Monday, June 7, 2010

JEJAK BERTAPAK



PERSAHABATAN kami bermula sejak awal 1970-an... 1972 @ 1973....? Semasa masih di bangku sekolah rendah. Sahabatku ini pindah ke SRJK (I) Kota dari sebuah sekolah rendah di bandar Tanah Merah.

Keramahannya membuatkan kami dalam kelas mudah kenal dan mesra. Aku dan dia serasi dan cepat akrab. Mungkin kerana kami mempunyai banyak persamaan.

1975... kami sama-sama melangkah ke sekolah menengah, SMK Kota. Hubungan kami terus diwarnai biru ungu alam persekolahan....

1978... aku ke Ting. 4 di SIC. Dia kekal di SMK Kota, tetapi kami masih berhubung, walaupun tidak sekerap sebelumnya. 1981... kami kembali belajar di bawah satu bumbung, SIC sehingga aku meninggalkan bangku sekolah untuk ke Lembah Pantai. Persahabatan kami terus mewangi walaupun dari jauh... Dalam sibuk mengejar cita-cita, kami tetap akan bertemu setiap kali tiba musim libur untuk berkongsi cerita zaman remaja yang indah lagi mengasyikkan... !

September 1985... sahabatku ini hadir meraikan hari istimewaku sebagai "Ratu Sehari"... rupa-rupanya, itulah kali terakhir kami bersua muka. Jarang bertemu atau tidak bertemu dalam tempoh yang singkat adalah perkara biasa. Tidak pernah terfikir, perpisahan pada hari itu akan menjadi terlalu lama. 

Minggu bertukar bulan, bulan berganti tahun... sehingga bertahun-tahun lamanya. Tempoh awal perpisahan, kami masih bertukar berita walaupun dari jauh. Sekali-sekala masih terdengar khabar mengenainya, khabar yang dibawa oleh rakan taulan yang lain....!

Bertahun-tahun kami terpisah jauh membawa haluan diri setelah masing-masing membina keluarga sendiri.... akhirnya hubungan kami terputus terus tanpa sedar.... tanpa khabar dan berita.

Walau apapun, yang pasti, setiap kali menjelang SEPTEMBER, ingatanku akan singgah kepadanya. Hati meronta-ronta untuk menitipkan ucapan sebagaimana musim persahabatan kami pada usia remaja dahulu. Kad dibeli tetapi tersimpan rapi tanpa dikirim kerana jejaknya tak dapat dikesan. Akhirnya, di angin lalu kusampaikan ucapan ''SELAMAT HARI LAHIR"... kami sebenarnya, berkongsi tarikh lahir yang sama... 19 SEPTEMBER 1962 !

Aku tidak pernah jemu atau lelah menjejak dan mencarinya. Aku percaya, suatu waktu pasti pencarian ini akan bertapak jua.

Dengan izin-Nya, beberapa bulan lepas, setelah bertahun-tahun hilang di mata, kami bertemu di alam maya..... terima kasih yang tidak terhingga kepada dunia fb yang telah menamatkan pencarianku yang sudah telalu lama.  Mulai saat itu, kami terus berhubung melalui tinta maya, menunggu kesempatan untuk bertemu bagi melepaskan rindu yang sarat...

Hujung minggu yang santai, setelah hasrat dihati tertangguh beberapa kali... setelah zaman muda belia kami sudah jauh ditinggalkan... setelah anak-anak kami mula menginjak usia remaja menuju alam dewasa... Atas kehendak-Nya, kami dipertemukan semula.

Dengan izinNya juga, semuanya berlaku dengan mudah. Berpandukan alamat yang tersimpan dalam memori telefon, aku yang ditemani suami yang banyak memberi dorongan, mudah sahaja sampai ke destinasi walaupun malam agak kelam. Dari rumah persinggahanku di Sentul, tidak sampai 15 minit kami tiba di kediamannya di hujung jalan Datuk Keramat yang permai bersempadan dengan MINDEF. 5 JUN 2010 pasti tidak akan kulupa.

Syukur kepada-Mu Ilahi... semoga keakraban yang telah terjalin hampir 4 dekad yang lalu dengan sahabatku SARIMAH OMAR, tidak akan luntur walaupun dimamah usia.

Biarlah persahabatan ini terus mekar mewangi di sepanjang jalan pulang...

3 comments:

roshanilawatey said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

bila-bila aje bersedia utk jadi drebar...

sarimah said...

Terima kasih sahabatku....amat tersentuh hatiku bila mengenangkan betapa dirimu sentiasa mengingati diri ini walaupun masa telah jauh meninggalkan kita....inilah betapa mahalnya nilai seorg sahabat.
Sahabat sejati amat sukar utk dicari...semoga persahabatan kita akan terus terjalin walau di mana kita berada.....Daku amat menghargai kerajinanmu mencari dan merungkai pelbagai cara utk bersua kembali....tkasih sahabatku.