CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, June 1, 2010

Menjejak Warisan Sejarah (2) : Banda Kaba

Dalam perjalanan ke Banda Hilir dari Bukit Cina, melalui celah-celah jalan yang agak sempit yang di kiri kanannya terdapat bangunan-bangunan lama, terjumpalah Jalan Banda Kaba sebelum tiba di hadapan Sekolah Tinggi Melaka di sebelah kanan jalan. Rasanya inilah pertama kali saya terjumpa dengan nama Banda Kaba, atau mungkin sebelum ini, saya tidak begitu perasan akan jalan ini...

Banda Kaba yang terletak berhampiran dengan Sekolah Tinggi Melaka dikatakan mendapat nama daripada perkataan Portugis 'Jakaba'. Daripada perkataan inilah lahirnya Banda Kaba.

Menurut cerita pada masa dahulu, di kawasan Banda Kaba terdapat banyak pokok kelapa. Apabila orang hendak masuk ke kawasan Banda Kaba, maka jalan yang hendak ditempuhi itu gelap sehingga membuatkan mereka yang lalu di situ teraba-raba dan dari peristiwa itulah dipercayai wujudnya nama Banda Kaba.

Terdapat dua andaian mengenai sejarah pembukaan Banda Kaba. Andaian pertama mengatakan bahawa Banda Kaba telah dibuka oleh Pak Bakar yang berasal dari Daik. Menurut cerita sebahagian tanahnya telah dibahagikan kepada anak-anaknya. Walau bagaimanapun, tanah-tanah tersebut telah dijualkan kepada orang-orang Cina.

Andaian kedua pula mengatakan bahawa Banda Kaba telah dibuka oleh keturunan Tuan Haji Bachik. Tuan Haji Bachik ketika itu merupakan orang kaya di Banda Kaba. Sebahagian daripada masyarakat yang mendiami Banda Kaba terdiri daripada masyarakat Melayu dan selebihnya masyarakat India (India Muslim), Cina dan Jawa.

Sumber : Siri Jejak Sejarah, Fauziah Abdul Ralip, 2002.

1 comments:

Anonymous said...

Terimakasih kerana menulis tentang kampung saya..tak ramai yg tahu kewujuda kampung ini ditengah2 bandar Melaka..memang kampung ini didiami oleh anak-cucu Tuan Haji Bachee..saya adalah cicit kepada Tuan Hj Bachee..rumah agamnya telah lama dirobohkan dan yg masih tinggal adalah rumah kampung keluarga kami. Ibu saudara saya, Puan Badariah masih mendiami rumah tersebut yang dimiliki oleh Allahyarham datuk saya, Said Bin Hj Bachee..sudilah singgah jika kesana lagi..No 62 Kampung Banda Kaba...:)