CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, December 31, 2011

CORETAN PENGHUJUNG TAHUN 2011....

Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menyempurnakan tugasan rutin akhir tahun. Lega rasanya....

Syukur juga kerana saya masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar tahun 2011 yang disulami hujan yang mula turun renyai-renyai membasahi bumi....

Kita semua tahu, mentari 2011 bakal terbenam dan akan diganti dengan fajar 2012 beberapa jam lagi. Tentu sekali banyak kenangan yang terakam dalam memori sepanjang 12 bulan kita berada di tahun 2011. Pasti ada yang manis dan ada juga yang pahit. Semuanya akan terpahat kukuh dalam ingatan sampai bila-bila.

Secara peribadi, 2011 membuka lembaran baru kepada kami sekeluarga. Yang paling indah, tahun ini kami menerima ahli baru dan bakal bertambah lagi ahli baru pada tahun hadapan. Beberapa hari lepas, keluarga kami diceriakan dengan kehadiran anak saudara yang baru, MOHAMMAD ZARIF ZIKRY... hadiah penutup tirai 2011....

Dalam pada itu, kami juga kehilangan seorang ahli keluarga... kakak ipar sulung telah kembali menemui Penciptanya buat selama-lamanya pada 11 Zulhijjah 1433 yang lalu. Kami tidak henti-henti diuji sehinggalah saat-saat 2011 akan berakhir.... Sesungguhnya, semua peristiwa yang berlaku akan kami jadikan teladan dan sempadan buat menempuh perjalanan menuju jalan pulang yang masih jauh....


Mungkin ada yang beranggapan bahawa tahun yang bakal berlalu sebagai tahun yang tidak pernah diduga akan hadir di dalam diari hidup mereka, lantaran ujian dan cabaran yang betul-betul menekan. Jangan lupa, seperti yang selalu diperkatakan orang, ujian dan cabaran ialah rempah ratus kehidupan.

Tanpa ujian dan cabaran, hidup kita akan berlalu bak air yang mencurah keluar daripada pancur, sekadar mencurah turun, tak ada langsung nilai-nilai yang boleh dikenang dan dijadikan teladan.

Sebaliknya jika perjalanan hidup kita seperti air sungai yang sekejap cetek dan sekejap melimpah ke tebing, kemudian perlu mengharung segala batu, kayu termasuk sampah sarap… ketibaan kita di muara nanti merupakan sesuatu yang amat bermakna.

Paling penting juga, ingatlah, bukan kita sahaja diuji. Ada insan lain yang lebih teruk ujiannya daripada kita. Lantas, jadikan ujian Ilahi sebagai pendekat diri kita kepada-Nya dan percayalah…. YANG PAHIT AKAN MANIS AKHIRNYA…

Tak kisahlah apa-apa sekali pun peristiwa yang kita lalui di sepanjang 2011, yang pasti kita perlu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan untuk terus melihat fajar tahun baharu yang bakal muncul nanti....

Tahun baharu bermakna usia sudah tidak baharu lagi. Hayat bertambah menjadi semakin lama... SELAMAT TAHUN BAHARU 2012 dan ucapan untuk diri sendiri "selamat menempuh usia separuh abad....

Semoga kita semua terus diberi kelapangan dan kekuatan mental serta fizikal bagi membolehkan kita memantapkan amal ibadat buat bekalan di akhirat kelak...juga dapat kita berbakti kepada keluarga, agama dan negara. Semoga kita terus berada dalam peliharaan dan keberkatan-Nya... Amin.


- pantun SELAMAT TAHUN BAHARU nukilan Cikgu Naim Daipi...


Wednesday, December 21, 2011

DIA yang menentukan segala-galanya...

Terasa lama sungguh tak singgah di sini... Ilham tak kunjung tiba dek minda sarat dengan tugasan yang lebih penting... demi melaksanakan amanah dan misi negara....

Alhamdulillah, tugasan penting hampir selesai. Tinggal lagi kerja-kerja perkeranian yang perlu disiapkan. Yang ini kena tunggu "sampul misteri" dulu daripada anak-anak buah. Selepas cuti Hari Natal nanti barulah boleh selesaikan.... jadi bolehlah 'terapi minda' di sini buat seketika.

Sebenarnya, banyak peristiwa berlaku seminggu dua ini yang tidak sempat dikongsikan di sini. Ada yang menggembirakan, tak kurang juga yang mengharukan.... Semuanya DIA yang menentukannya... dan sesungguhnya, setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya....

Ujian daripada Allah...



ISNIN pertama Disemb
er 2011, lebih kurang pukul 10 malam.... sedang saya sibuk menyiapkan bahan untuk mesyuarat, tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada adinda MUTIA ANGGEREK yang ketika itu sedang bertugas di luar KL....
"Kak La dah tahu ke pasal Abe..." perlahan aje suara Ya, walaupun sebenarnya orang lain tak akan dengar perbualan kami....

"Apa cerita...?" Hati memang berdebar-debar kerana baru semalam kami bertemu di Danau Kota, Setapak sebelum saya bertolak balik ke Kuantan.

"Abe accident...., tapi tak serius. Kalau nak tahu lebih, telefon Wan..."
Saya terus menghubungi adinda NADIA HANUM untuk mengetahui perkembangan selanjutnya.... Ketika itu Wan dan ALONG AINA ada bersama Abe di HKL... setelah mengetahui sedikit sebanyak keadaan sebenar dan boleh bercakap sendiri dengan Abe, barulah lega sikit rasa hati. Tulang belakang T12 Abe patah sedikit akibat terjatuh daripada motosikal yang dilanggar dari belakang.... Kata doktor, nasib baik patah ke luar; jika patah ke dalam, akan memberi kesan pada saraf ....

Saya amat terkilan juga kerana tidak dapat bersama Abe, malah tidak sempat untuk menjenguknya selama 4 hari Abe di HKL kerana terpaksa menjalankan amanah negara. Kebetulannya pada waktu itu saya bermesyuarat dengan 'anak-anak buah' selama 3 hari di SMKTP Kuantan. Hati meronta, Tuhan sahajalah yang tahu naluri seorang Ibu ketika berada dalam situasi begini. Hanya doa yang dapat saya titipkan dari jauh, semoga Abe reda dan tabah dengan ujian ini.

Walau apa sekalipun ujian yang mendatang, kami tetap memanjatkan rasa syukur
kepada Ilahi kerana keadaan Abe tidak serius. Abe perlu memakai 'brace' untuk menstabilkan tulang belakangnya ketika hendak berdiri atau duduk.

Selepas 4 hari di hospital, Abe dibenarkan pulang. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga untuk Ibu Jam, Adinda Bariyah dan Adinda Nadia kerana meluangkan masa untuk membawa Abe balik ke rumah adinda Noni di Taman Bukit Serdang....
Abe dinasihatkan berehat selama 1 bulan sebelum pemeriksaan susulan dibuat pada 4 Jan 2012. Harap-harap dalam masa beberapa minggu ini Abe akan kembali pulih... Nampaknya, kena cuti lagilah, Abe.

Kepada adinda SAHAZALI AD dan NORBANILAWATEY JUSOH, terima kasih banyak-banyak. Walaupun sibuk dengan tugasan harian di pejabat, tetapi kalian masih punya waktu untuk menjaga makan minum Abe...

Kepada Anak-anak saudara yang tersayang... A B C yang dengan rela hati menjadi misi @ jururawat separa terlatih untuk menjaga Abe dengan tunjuk ajar anakanda AISYAH... Tidak lupa kepada ahli keluarga yang lain, termasuk sahabat-sahabat Abe yang turut bersusah payah menjaga Abe, terima kasih banyak-banyak...Hanya Allah sahaja yang akan membalas budi baik kalian.


Sesungguhnya kita semua tidak pernah terlepas daripada ujian Allah....

Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani....


2 hari selepas Abe kemalangan, dalam keadaan resah gelisah dan rasa terkilan bersilih ganti - antara tugas dengan melawat Abe di HKL, kami dihadiahkan satu perkhabaran lagi.... Kali ini khabar yang menggembirakan. Khabar yang dinanti-nantikan oleh seluruh ahli keluarga....

Tidak lama lagi Papa HJ JUSOH DAUD dan Mama HJH CHE HALIMAH CHE YUSOFF bakal menerima cicit pertama.... Anakanda MOHD FAHMI NAIN dan NURUL AINA AWANG bakal menimang cahaya mata yang pertama pada pertengahan Ramadan tahun depan. Sebagaimana Syawal tahun ini, kami sekali lagi akan mendapat ahli baru dalam keluarga menjelang Syawal 1433....

Alhamdulillah... DIA-lah yang menentukan segala-galanya....




Sunday, December 11, 2011

Eeka genap sepuluh tahun....



11.12.2011...

genaplah 10 TAHUN usianya...

NUR HANIS SHAFIQAH

puteri bongsu

NORBANILAWATEY JUSOH

dan

SAHAZALI AWANG DERAMAN...



Semoga Eeka akan terus menjadi

anak yang solehah.



Selamat

menyambut

ulang tahun

kelahiran.....



Eeka yang sentiasa menghiburkan.....


Daripada : Cik La, Ayah Chik, Abe Faris, Abe Emi & Kak Aina dan Kak Uti....




Saturday, December 3, 2011

Warna Cermin Diri

Warna merupakan ciptaan Allah s.w.t yang sangat cantik. Warna yang terbaik adalah warna pelangi, warna yang Allah s.w.t pamerkan selepas hujan.

Mengapa ketika solat Nabi galakkan memakai pakaian berwarna putih? Ketika peperangan, Nabi memakai pakaian berwarna hitam?

Semua orang mempunyai warna kegemaran. Warna kadang-kadang mencerminkan diri seseorang. Warna juga boleh mempengaruhi seseorang dalam melakukan sesuatu. Setiap orang mempunyai warna diri.

Warna diri ini berkait rapat dengan ragam, perangai, tingkah laku, cara berfikir, perasaan, semangat, perlakuan dan tindak tanduk setiap individu. Apabila tidak mengetahui warna diri atau warna alah kepada dirinya, seseorang itu akan menyukai warna-warna tertentu sebagai warna kegemaran yang tanpa disedari itulah lambang kelemahan yang sedang dilaluinya.

Setiap individu mempunyai warna yang melindungi dirinya. Warna pelindung diri ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian luaran dan dalaman. Warna luaran mendominasikan 80% sifat individu berbanding warna dalaman. Warna diri ini dikenali sebagai aura yang tidak kelihatan yang bertindak sebagai perisai halus atau benteng diri manusia. Warna-warna tersebut mewakili empat level diri manusia iaitu Spiritual (Putih), Emosi (Merah Jambu), Mental (Hijau) dan Fizikal (Biru).

Atas segala sesuatu yang berlaku, hanya Allah s.w.t yang menentukannya...Dekatilah diri kepada-NYA sentiasa.


Thursday, December 1, 2011

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Sayang....

Buat suami,
insan yang penuh dengan cinta dan sayang,
ingin kutitipkan ucapan...

"SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-51..."

Kupanjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah s.w.t. kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju. Lebih bermakna lagi kerana 2011 diraikan bersama ahli baru dalam keluarga, anakanda NURUL AINA AWANG. Kita memasuki fasa baru dalam melayari hidup bersama....

Buat suami tercinta, kutujukan doa khusus buatmu. Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupanmu sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umurmu, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan....

Kudoakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku, agar aku mampu membuatmu sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun ketika hidup kita dihempas gelombang.

Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih sayang kerana hadirmu begitu membahagiakan....


Friday, November 25, 2011

kunjungan yang istimewa....


Seperti biasalah bila tiba akhir bulan November setiap tahun maka kawasan Pantai Timur akan mengalami suasana monsun...musim tengkujuh..

Hujan yang berterusan - tok serek-serek....kekadang apabila hujan berlarutan tanpa henti, terjadilah banjir...minggu ini dah beberapa hari hujan berterusan...sekejap renyai-renyai... sekejap lebat...kain yang dibasuh pun tak kering. Terasa sejuk hingga ke tulang sum-sum.

Tak banyak aktiviti yang boleh dilakukan...cuma yang pasti aktiviti makan nampak lebih rancak...

Nasib baiklah semalam cuaca agak baik sedikit. Hari ini cuaca lagi baik, matahari memancar riang, kain-kain di jemuran kering dan aktiviti menjadi kembali rancak berbanding beberapa hari lepas.

Apa yang hendak dipaparkan di sini ialah, semalam saya menerima kunjungan istimewa; kunjungan yang sudah acap kali tertangguh. Kunjungan daripada tetamu yang istimewa, iaitu Chek Yah, Maksu Nik Hindun, dan Paksu Buniyamin.... Kami berasa sungguh gembira walaupun mereka sempat bermalam satu malam sahaja memandangkan cuaca yang tidak menentu ini memungkinkan berlakunya bah... mereka terpaksa pulang awal ke KB. Walaupun sekejab, sempatlah juga Maksu Hindun 'memborong' scarf di Pearl Haya....

Yang istimewanya, kunjungan Su Hindun dan Paksu Min kali ini menemukan mereka dengan seorang sahabat lama Paksu Min yang juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kami. Mereka bertemu semula setelah terpisah lebih 25 tahun yang lalu....

Pagi tadi, saya terpaksa meninggalkan Su Hindun, Chek Yah dan Paksu Min yang sedang bersarapan kerana terpaksa ke sekolah untuk bertugas. Semoga Su Hindun, Chek dan Paksu Min tidak serik untuk berkunjung lagi ke teratak kami.....



Wednesday, November 23, 2011

Ashita Hareru Kana-Instrumental

Ashita Hareru Kana-Instrumental

Bunga Kebangsaan...



Dalam sesi taklimat dan tayangan video penanda aras aspek 3K sekolah pagi semalam, kami ditayangkan dengan 15 jenis taman yang telah dibina di sekolah berkenaan. Dalam banyak-banyak taman itu, saya tertarik dengan Taman Bunga Raya....

Bunga raya, sebenar
nya dikenali juga sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu (Hibiscus rosasinensis). Bunga raya ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.

Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir pada tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung. Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.

Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau. Pelbagai kultivar, varieti, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda.

Masa kecil-kecil dulu, banyak juga Mama tanam pokok bunga raya di halaman rumah. Pelbagai warna dan ada yang kelopaknya berjurai-jurai (betul ke istilah ni). Tapi masa tu kita orang tak kisah sangat, tak tahu nak menghargainya.

Di SMKTP juga ada dita
nam dengan bunga raya, cuma tidaklah menjadi satu taman khas.

Beberapa pokok b
unga raya ditanam di Taman Mini Sejarah dan di Taman Moral terletak di belakang dewan sekolah. Penanaman bunga raya ini dilakukan semasa menyambut ulangtahun Kemerdekaan negara beberapa tahun lepas. Tak pasti sama ada masih dalam keadaan yang baik ataupun tidak.

Nampaknya, selepas ini kenalah buat sesuatu untuk memperbanyak tanaman pokok bunga raya ini di
SMKTP....



Tuesday, November 22, 2011

hujan oh hujan....

Kelmarin, semalam hingga ke hari ini hujan berterusan, sekejab lebat, sekejab renyai-renyai. Merupakan satu medley ala marathon.

Pagi tadi aku bangun awal seperti biasa bersiap-siap untuk
ke sekolah. Sejuknya menggetarkan dagu. Bayu pagi yang menghembus nipis menikam hingga ke tulang som-som. Beburung tidak bersiul pagi ini.

Sayup-sayup kedengaran azan Subuh dari masjid dan surau berdekatan diselang-seli dengan bunyi deraian air hujan....Biji-biji manik hujan menitis entah berapa billion trillion jumlahnya. Segala lopak dipenuhi air.



Hujan masih menitis terjun ke bumi.
Gaya nak rentinya belum pasti.

Ia akan turun lagi dan lagi...

Musim hujan banyak meninggalka
n kenangan....

Musim hujan @ bah
semua urusan menjadi sukar
dan lambat.

Syukur, kita masih lagi diberi peluang
melihat titisan hujan
dan men
dengar titisan hujan
jatuh ke bumi......



Monday, November 21, 2011

PITIS RM100

Mengikut Kamus Dewan, pitis bermaksud mata wang pada zaman dahulu, duit, wang. Dalam dialek Kelantan, disebut pitih. Maksudnya sama juga - duit atau pitis.


Sehari dua ini ramai orang bercakap tentang pitih yang kerajaan bagi kepada murid-murid sekolah tu. Pitih RM100 yang diberi kepada murid melalui ibu bapa. Ibu bapa/ penjaga kena hadir sendiri untuk mendapatkan pitih itu. Jika tidak datang, sekolah tidak boleh ambil atau simpan pitih itu. Kena kembalikan semula ke kantung pihak yang memberi, iaitu kerajaan....

Saya ada juga mendapat khabar, ada murid yang menerima pitih RM100 melalui ibu bapanya dan disumbangkan semula kepada pihak sekolah. Mungkin individu tersebut berasa mereka tidak layak menerima bantuan tersebut dan dalam masa yang sama ingin membantu sekolah. Ada
, tetapi mungkin tidak ramai. Rasanya di sekolah saya, tak ada yang begitu. Tak apalah, itu hak mereka.

Suasana di sekolah seluruh negara menjadi meriah tiba-tiba dengan kehadiran ibu bapa / penjaga ke sekolah untuk menuntut pitih RM100 tu. Ada ibu bapa yang datang ke sekolah buat kali pertama semasa mendaftarkan anak mereka masuk ke sekolah untuk Drj. 1 atau Ting. 1, baru kini pula mereka melewati pintu pagar sekolah dan masuk ke kawasan sekolah.... bertemu guru... Semuanya gara-gara pitih RM100...!

Sebenarnya, bukan semua ibu bapa begitu. Ada segelintir ibu bapa yang sangat prihatin dengan perkembangan akademik anak-anak mereka dan tidak lokek untuk memberi sumbangan dari segi material serta buah fikiran untuk membantu sekolah. Walau bagaimanapun, saya berani mengatakan bahawa lebih daripada 60% ibu bapa tidak pernah masuk ke kawasan sekolah bertemu dengan guru anak-anak mereka selepas hari pertama menghantar anaknya mendaftar diri di sekolah berkenaan. Ini berlaku atas pelbagai
alasan....Mereka sahajalah yang tahu sebabnya.

Semoga selepas menerima pitih RM100 ini, sekurang-kurangnya sehingg
a anak mereka tamat belajar di sekolah tersebut, mereka akan terus datang jika ada program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Semoga mereka akan dapat mencari pintu pagar sekolah jika ada jemputan untuk hadir ke Mesyuarat Agung PIBG, program gotong-royong perdana di sekolah, Hari Pelaporan Akademik Murid dan pelbagai aktiviti lagi yang membutuhkan kehadiran mereka...!

Harap-harap pitih RM100 yang diterima itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk persiapan persekolahan anak-anak sesi 2012 nanti. Beli uniform sekolah, beli buku dll. Kalau nak dikira, tak cukup sebenar
nya dengan pitih RM100 tu, tetapi sekurang-kurangnya ini dapat meringankan beban ibu bapa membuat persiapan awal tahun, apatah lagi kalau ada 3 atau 4 atau lebih anak yang masih bersekolah....!

Janganlah pula apabila sekolah dibuka pada awal 2012 nanti, masih ada murid yang memakai baju sekolah lusuh, baju yang dipakainya sejak 2 tahun lepas; masih dengan kasut yang sudah haus tapaknya; masih dengan beg sekolah yang hampir putus talinya...! Untuk ibu-ibu dan bapa-bapa, gunakanlah pitih RM100 itu dengan sewajarnya. Kita seharusnya bersyukur dengan pemberian tersebut.

Mungkin ini merupakan pemberian bantuan persekolahan yang pertama dan terakhir untuk semua murid tanpa mengambil kira pendapatan ibu bapa.... kalau saya silap, minta maaf ajelah. Kalau tahun depan dan tahun-tahun berikutnya masih ada bantuan sebegini, lagi baik. Alhamdulillah.

Sungguh, seumur hidup saya... saya yang akan menjangkau umur setengah abad tahun depan, tidak pernah dengar murid-murid diberi pitih RM100 pada akhir tahun, yang kononnya untuk persiapan persekolahan pada tahun berikutnya.... Apa-apa pun, langkah ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban ibu-ibu dan bapa-bapa dengan keadaan harga barangan keperluan yang makin meningkat setiap masa....

Yang seronoknya, secara tidak langsung kami juga menjadi antara penyumbang penting pitih RM100 dalam menjayakan misi kebajikan ini kerana kami merupakan pelanggan LHDN yang penting dan tidak pernah lari daripada membayar cukai pendapatan....!




Sunday, November 20, 2011

Singkong dan nostalgia ubi kayu....


Kalau di Seberang Selat Melaka jenis makanan ini dikenali sebagai singkong, sama ada singkong rebus ataupun singkong goreng, tetapi di sini kita panggil ubi kayu... ubi kayu rebus atau ubi kayu goreng....


Sebut pasal singkong ni, teringat saya sebuah lagu dari seberang yang pernah popular suatu ketika dahulu..Lagu Singkong dan Keju, ciptaan Arie Wibowo...


" Kau bilang cinta padaku... aku bilang pikir dulu...

selera kita terlalu jauh berbeda....

parfummu dari Paris... sepatumu dari Itali....

Kau bilang demi gengsi...semua serba luar negeri....

Manakah mungkin.... mengikuti caramu yang penuh huru-hara...

Aku suka jaipong...kau suka disco

Aku suka singkong....kau suka keju

Aku dambakan seorang gadis yang sederhana...

Aku ini hanya anak singkong....hanya anak singkong..."


Masa tu, saya sendiri pun tak faham maksud singkong.... ! Rupa-rupanya singkong ini ialah ubi kayu...

Semasa wisata kami ke Bandung baru-baru ini, di mana-mana sahaja kami dapat lihat singkong ini dijual oleh penjaja gorengan dengan kereta sorong. Yang uniknya, singkong @ ubi kayu goreng ini ditabur dengan parutan keju dan sebuk cili di atasnya.... Pada mulanya saya tidak berani mencuba, tapi setelah merasa satu, memang sedap...lemak masin.... cuma tak tahan rasa pedas serbuk cili....

Dulu, apabila tiba musim hujan, Atok akan ke tebing sungai untuk ambil ubi kayu. Ubi kayu ni kalau baru dicabut masih fresh dan tak masuk angin lagi. Biasanya kami akan tolong koyakkan kulitnya, basuh dan rebus sampai empok. Sambil-sambil tu Atok pula akan dapatkan nyior dan suruh Mama atau Nenek kukur (parut). Nyior yg diparut/ kukur ini akan digaul dng sedikit garam. Ubi kayu rebus tadi akan dicicah dng kelapa parut sebelum dimasukkan ke mulut...hmm best...!

Masa kanak-kanak dulu Nenek guna dapur kayu untuk memasak...kadang-kadang kami akan menyibuk di dapur. Kalau masih ada bara atas dapur kayu selepas Nenek memasak, kami akan masukkan ubi kayu ini ke dalam bara api itu. Kena berjaga-jaga, takut ubi kayu hangus, tak jadi ubi kayu bakar lagi, sebaliknya jadi arang ubi kayu...! Bila dah yakin telah masak, ubi itu dikeluarkan dari bara api dan dibuang kulitnya sebelum dimakan.

Kadang-kadang kami buat bengkang ubi kayu. Masa kecil-kecil dulu kami hanya memerhati Mama atau Nenek buat. Semasa darjah 6 kami 3 beradik dah pandai buat sendiri. Musim hujan akhir tahun, cuti sekolah. Kami akan fikir macam-macam aktiviti untuk dibuat. Ubi memang banyak pada musim ini kerana semua ubi perlu dicabut, takut ditenggelami air bah. Ubi kayu itu kami hantar ke kedai runcit berdekatan rumah Mama untuk dimesin (kalau tak, kami parut aje). Ubi kayu yang dah dimesin/ parut itu dicampur dengan kelapa muda yang telah diparut dan dicampur gula + garam secukup rasa. Lepas tu, diletakkan atas tudung periuk sebelum dibakar sehingga masak. Masa ni kami bakar guna sabut, belum ada oven; lagi jauh sekali ketuhar gelombang micro...! Seronok sangat... Bila dah masak, bentuknya yang bulat leper itu akan kami potong dan dihidangkan bersama kopi 'o' panas.

Ubi kayu ini juga boleh dibuat lepat ubi kayu. Yang ni Mama atau Nenek yang buatkan. Kami, masa tu tak pernah mencuba. (Kalau lepat pisang biasa juga buat sebab pernah buat di sekolah semasa belajar Home Science). Rasa lepat ubi ni mesti manis + lemak, barulah sedap... kena masukkan manisan @ gula melaka + kelapa muda, lepas tu bungkus dengan daun pisang dan kukus.

Selain itu, Nenek juga biasa buat tapai ubi kayu. Ubi kayu ni perlu direbus terlebih dahulu sehingga empuk. Ubi kayu rebus ini perlu disejukkan terlebih dahulu, ditabur dengan ragi sebelum disusun dalam periuk untuk diperam. Biasanya selepas 24 jam diperam, ubi kayu tadi akan bertukar menjadi tapai. Tapai yang nenek buat terkenal di sekitar kampung, dan kadang-kala, Nenek jual tapai ni di pasar Wakaf Che Yeh. Kata Nenek, bolehlah seringgit dua buat belanja dapur... nak toreh getah tak boleh kerana batang pokok getah basah. Musim tengkujuh katakan...!

Selain itu, ada lagi makanan favourite berasaskan ubi kayu pada musim-musim hujan begini, iaitu "putu halba". Gerai menjual putu halba tumbuh seperti cendawan lepas hujan di tepi-tepi jalan utama di negeri kelahiranku pada musim tengkujuh. Putu halba dibuat daripada ubi kayu + manisan + kelapa. Dikukus.

Kisah ubi kayu mengembalikan nostalgia semasa kanak2 dan awal remaja. Kini, walaupun sekali-sekala balik ke kampung semasa musim tengkujuh, tak sempat untuk makan ubi kayu rebus atau bengkang ubi kayu. Lepat ubi kayu dan tapai ubi kayu biasa juga makan kerana ada dijual di pasar, bolehlah dibeli.

Anak-anak zaman sekarang yg biasa dihidangkan dengan makanan segera tidak gemar makan makanan berasaskan ubi, apatahlah lagi ubi kayu.

Ubi kayu atau singkong makanan nenek-moyang masyarakat serumpun bangsa sejak zaman berzaman. Ubi kayu memberi sumber tenaga semasa zaman sukar. Alangkah pentingnya ubi kayu suatu ketika dahulu....


Saturday, November 19, 2011

Cuti sekolah & sahabat....

Hari ini 19 NOVEMBER 2011, bermulalah cuti persekolahan untuk sesi 2011.

Semua tugasan akhir tahun sudah diselesaikan selewat-lewatnya semalam. Meja yang menjadi tempat 'berkubang' kami selama hampir 11 bulan setiap tahun juga perlu dikemas. Bahan-bahan yang hendak dibuang, kami masukkan ke dalam bakul yang disediakan oleh PUAN YEOW SIEW ENG untuk dikitar semula.

Kotak-kotak yang berisi bahan tugasan murid atau buku-buku, dll yang disimpan di bawah meja sepanjang 11 bulan ini perlu diletakkan di tempat yang lebih tinggi, takut kemungkinan berlaku banjir. Inilah rutin setiap hujung tahun sebelum cuti walaupun sebenarnya SMKTP tidak pernah ditenggelami air ketika banjir, kecuali semasa banjir besar yang melanda negeri Pahang pada tahun 2001.

Dalam sibuk-sibuk mengemas meja masing-masing, 'pot luck' tidak dilupakan. Pelbagai juadah terhidang di meja. Saya tak sempat @ tak dapat merasa semuanya kerana kekenyangan.... alhamdulillah...

Hujung minggu ini kami berdua hanya bersantai di rumah. Rehat minda dan menyelesaikan beberapa urusan yang tertangguh sebelum ini. Anakanda Mohd Fahmi dan Aina balik menjenguk keluarga di Banggol Peradong, KT....


Cuti sekolah bukan bermakna cuti segala-galanya. Masih ada tugasan yang perlu dilaksanakan oleh sebahagian besar warga pendidik di seluruh negara...

Di SMKTP, ada taklimat dan tayangan video berkaitan dengan peningkatan keceriaan sekolah yang akan disampaikan oleh Pengetua SMKTPEn. Loh Sai Heng, pada 22 Nov nanti. Mr. Loh yang merupakan bekas Pengetua di SMK Ketari menjadikan sekolah tersebut sebagai penanda aras dalam aspek keceriaan. Harap-harap ramai rakan guru akan hadir tepat pukul 8.30 pagi hari Selasa ini....

Selain itu, g
uru-guru juga perlu melaksanakan tugasan semasa cuti / semasa peperiksaan SPM sebagaimana yang dijadualkan. Guru jadual waktu akan sibuk menyempurnakan tugasan siang dan malam untuk memastikan jadual dapat diedarkan sebelum sesi persekolahan bermula....

Pada 3 @ 4 Dis nanti seperti yang diarahkan oleh KPM, pendaftaran murid baru akan dijalankan di semua sekolah di seluruh negara. SMKTP memilih 3 Dis.... Bagi yang terlibat dengan kerja-kerja penandaan kertas peperiksaan SPM / STPM, amanah dan tanggungjawab akan bermula seminggu dari sekarang sehinggalah akhir Disember. Ada juga warga pendidik yang terpaksa menghadiri seminar atau mesyuarat, dll di dalam / di luar daerah semasa cuti berkaitan dengan bidang tugas guru...

Sebenarnya, banyak lagi tugas yang perlu dilakukan oleh warga pendidik semasa cuti bagi memastikan sesi persekolahan pada awal tahun 2012 berjalan lancar dan proses P & P dapat dimulakan seawal hari pertama persekolahan....

Jadi, siapa kata cuti sekolah, cuti segala-galanya buat warga pendidik....?

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA...." dan "Saya yang menurut perintah...."

Berakhirnya sesi persekolahan setiap tahun pasti ada yang akan bertukar atau berpindah sekolah pada sesi yang akan datang, sama ada yang memohon pertukaran ataupun yang ditukarkan.

Di SMKTP, beberapa orang sahabat yang memohon untuk berpindah sekolah atas pelbagai alasan telah mengetahui keputusannya seminggu yang lalu. Hanya dua permohonan yang berjaya, iaitu seorang pertukaran dalam daerah dan seorang lagi pertukaran ke luar negeri Pahang.
- Puan Rosni Bt. Che Hak berpindah ke SMK Bukit Rangin, Kuantan
- Puan Lee Lai Kuen berpindah ke KL

Yang hilang akan berganti walaupun tidak akan sama dengan yang telah pergi. Pastinya, yang lama tetap di hati; yang baru sama-samalah kita rai.... Sehingga semalam (18 Nov 2011) pihak sekolah sudah menerima dua surat pertukaran guru yang akan berpindah masuk ke SMKTP. kedua-duanya pertukaran dalam daerah Kuantan.

Untuk sahabat yang akan bertukar, selepas ini kita pasti akan saling merindu... Sesungguhnya, kerinduan menjadi sebahagian daripada kehidupan bersahabat.

Buat renungan semua sahabat,

Sebenarnya, apa-apa yang kita lalui demi SAHABAT, kadang-kadang menyeronokkan, kadang-kadang melelahkan, dan kadang-kadang menjengkelkan… tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. Persahabatan sering berdepan dengan dugaan @ ujian, tetapi persahabatan sejati pasti dapat mengatasi setiap dugaan yang mendatang, bahkan menjadikannya bertambah mekar dan keharumannya mewangi di sepanjang perjalanan hidup kita...

Persahabatan tidak terjalin secara sendirinya. Persahabatan memerlukan proses yang panjang, ibarat besi menajamkan besi, demikianlah sahabat menajamkan sahabatnya. Persahabatan diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur-disakiti, diperhatikan-dikecewakan, didengar-diabaikan, dibantu-ditolak...namun, semua ini tidak pernah sengaja dilakukan dengan tujuan kebencian.

Sahabat semua, biar badai menerajang, biar gempa menghadang...pastikan persahabatan antara kita tetap kukuh di hati... dan tidak bisa dikalahkan hanya dengan keegoan diri....

Untuk Rosni dan Lai Kuen.... semoga kalian lebih cemerlang di tempat baru....jangan lupakan kami di Tanah Putih....




Friday, November 18, 2011

LELUHUR KITA SAMA

Hampir dua musim yang lalu
baru kutahu
rupa-rupanya, kami daripada leluhur yang satu...

Bermusim-musim lamanya

di bawah satu bumbung
sama-sama berkhidmat dan berbakti
mencari rezeki
berganding bahu jayakan misi
saling bertukar ceritera diri
suka dan duka
silih berganti...

Walaupun sering berkongsi pengalaman
mendidik
anak bangsa
tapi, tidak pernah terbuka bicara
asal usul keluarga...


Awal musim
2010
hatinya
t
erdetik untuk bertanya
menagih kepastian merungkai persoalan

yang sekian lama terbuku dan terpendam...

Ah... tidak pernah terlintas di hati kami
bicara sulung kisah keluarga

menjawab teka-teki

rupa-rupanya...
moyangku dan moya
ngnya
dua saudara seibu sebapa


Sesungguhnya, kami penerus warisan

4 generasi terdahulu
moyang - atuk - bonda - aku dan dia ...
ikatan keluarga jelas dan nyata

jika moyang kami bersaudara
dan atuk kami pula sepupu
tentulah bonda kami dua pupu


...jadi, kami.... ?


Leluhur kami sama...
walaupun pernah terpisah
lama
walaupun kehidupan lalu menjarakkan kami tanpa diduga

namun,
kami ditakdirkan
berada di daerah yang sama

dalam satu bangunan yang sama
kami, daripada leluhur yang sama....


SIAPAKAH GERANGANNYA...?

Kini, dia ingin beralih angin
mencari tapak baru buat menguji kekuatan diri
katanya, berbelas-belas musim di sini
sudah cukup mematangkan peribadi
sudah puas dia mencurah bakti....

Biarpun hanya sempat seketika bersama
pertemuan kami di SMKTP amat bermakna

mengikat erat ikatan leluhur yang diwarisi.

Esok, biarlah kita terus menganyam rindu
biarpun kita hilang dari pandangan mata
namun, ingatan biarlah tetap melekat di kalbu.

Buat PUAN ROSNI CHE HAK, selamat bertugas di tempat baru. Semoga dapat menimba pengalaman yang lebih bermakna di sana dan terus cemerlang dalam kerjaya....


Inilah perjalanan hidup yang telah direncanakan Ilahi tanpa kita sedar...sesungguhnya DIA lah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui...


Wednesday, November 16, 2011

Mengintai Mek Bunga di Kuala Gandah


3 November lepas, hari Khamis beberapa hari sebelum cuti Hari Raya Aidil Adha kami telah mengadakan lawatan mendekati alam sebagai salah satu aktiviti selepas PMR bersama-sama 100 orang murid Tingkatan 3. Rombongan 3 buah bas bersama-sama 10 orang guru pengiring terdiri daripada 4 orang kaunselor, GPK Hem, serta 5 orang guru Tingkatan 3... saya, Yin Yoke Chan, Rosni, Ruslina dan Rosmiza.

Destinasi kami adalah ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lancang. Tempat ini terletak di kawasan perkampungan Orang Asli suku Che Wong dan Temian. Kami bertolak seawal pukul 7.45 pagi dan sampai di Kuala Gandah 2 jam kemudian. Ada beberapa kumpulan murid prasekolah yang juga baru tiba. Tepat pukul 10.30 pagi kami berkumpul di tapak khas yang lapang untuk diperkenalkan kepada beberapa ekor gajah.

Satu sesi taklimat ringkas disampaikan oleh Encik Rasli berkaitan dengan Pusat Konservasi ini. 5 ekor gajah ditampilkan dan diperkenalkan kepada kami, iaitu Timur, 37 tahun dari Johor; Mawar, 11 tahun juga dari Johor; Pyan, 37 tahun dari Myanmar; Kala dan Akot berusaia 16 tahun. Kemudian kami diberi peluang memberi makanan kepada gajah sambil bergambar dengan gajah-gajah berkenaan. Ini diikuti dengan aktiviti menunggang gajah.

Menurut Encik Rasli, setiap aktiviti yang dijalankan, misalnya memberi makanan kepada gajah mempunyai tujuan tertentu, iaitu untuk mempamerkan rasa sayang dan prihatin kita terhadap gajah-gajah 'yatim piatu' ini yang telah terpisah daripada induknya. Gajah sangat sensitif terhadap persekitaran.

Semasa sesi berkenalan dengan gajah denak ini, saya ternanti-nanti dan mengintai-intai kemunculan Mek Bunga, tetapi malangnya Mek Bunga direhatkan pada masa itu. Sebelum bertolak ke Kuala Gandah lagi, saya sudah berkira-kira untuk bertemu Mek Bunga. Ingin melihat bersua dan mengusap badannya. Kulit gajah yang agak kasar tetapi amat sensitif.... Sebelum bertolak ke Lancang pada pagi tersebut, Puan Suriani sempat 'berkirim salam' untuk Mek Bunga.

Mek Bunga dan se
ekor lagi gajah betina yang diberi nama Lokimala, berusia 70 tahun lebih merupakan dua ekor gajah denak atau gajah pemujuk yang paling tua. Mereka digunakan untuk 'menggoda' dan memujuk gajah yang diselamatkan untuk bertenang dan naik ke lori sebelum dibawa ke Pusat Konservasi Gajah ini. Sudah banyak jasa dan sumbangan Mek Bunga dalam usaha 'memujuk' gajah-gajah liar untuk dijinakkan.

Mungkin ada pengunjung di sini pernah terbaca dalam akhbar tentang kisah atau cerita dua ekor gajah denak ini membantu pihak PERHILITAN dalam operasi pemindahan gajah gajah liar yang telah kehilangan habitatnya. Yang terbaru, pada bulan Jun lepas, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Jabatan PERHILITAN telah menangkap seekor gajah betina liar yang dilaporkan memusnahkan tanaman penduduk di beberapa buah kampung di Mukim Baka dan Cherang Hangus, Machang Kelantan.

Gajah betina yang dianggarkan berusia 25 tahun dan seberat 1.5 tan itu telah dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Ke
bangsaan, Kuala Gandah untuk dijinakkan. Operasi itu mengambil masa selama satu jam hasil bantuan gajah denak Mek Bunga dan Kala serta sepasukan anggota PERHILITAN negeri dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.

Tahukah anda, kos setiap kali proses tangkapan gajah liar yang dilakukan oleh Jabatan PERHILITAN dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan ini menelan belanja lebih kurang RM35 ribu...!

Sebenarnya, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang lokasinya berdekatan dengan Hutan Simpanan Hidupan Liar Krau telah ditubuhkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada tahun 1989. Pusat ini merupakan ibu pejabat Pasukan Pemindahan Semula Gajah yang telah wujud sejak tahun 1974.

Unit Gajah merupakan satu pasukan yang unik di Malaysia di mana peranan utama unit ini adalah untuk menempatkan semula gajah-gajah liar yang habitatnya telah diambil alih oleh kawasan pertanian.
Gajah liar ini akan ditempatkan semula ke kawasan-kawasan perlindungan seperti di Taman Negara.

Sejak lebih 30 tahun yang lalu, pasukan yang dahulunya terdiri daripada 25 ora
ng ahli telah berjaya memindahkan lebih daripada 450 ekor gajah liar di mana proses pemindahan ini bertujuan untuk meminimumkan risiko kepupusan yang berterusan.

Selain berfun
gsi sebagai ibu pejabat untuk unit gajah, pusat ini juga merupakan tempat perlindungan bagi beberapa ekor gajah denak dan liar. Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah juga mempunyai matlamat untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh gajah di Malaysia.

Selain itu, pusat pemuliharaan ini menggalakkan kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan semula dan konservasi gajah.

Pusat ini juga giat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Para pelawat digalakkan untuk menonton dokumentari tentang proses pemindahan semula gajah liar yang dilakukan pada 1996 dengan kerjasama krew Nationa
l Geographic.

Pusat ini mempunyai beberapa ekor gajah tempatan yang dibawa masuk daripada Thailand dan Myanmar. Gajah-gajah ini dilatih dan digunakan untuk memindahkan gajah-gajah liar dari kawasan-kawasan yang bermasalah di seluruh Semenanjung Malaysia. Pusat ini juga memelihara anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya untuk memastikan anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya terus hidup.

Gajah Asia kini dikategorikan sebagai spesies yang kian terancam dengan anggaran yang kurang daripada 1,200 ekor gajah liar di Semenanjung Malaysia.

Melindungi gajah Asia liar atau Elephus Maximus secara langsungnya membantu melindungi ribuan jenis sp
esies lain yang terdapat dalam lingkungan habitat gajah tersebut. Gajah membuka denai-denai dan menumbangkan pohon-pohon yang menjadi sumber makanan semula jadi yang sangat diperlukan untuk haiwan yang lebih kecil umpama jentolak semula jadi, serta menyebarkan biji-bijian di dalam najisnya.

Walau bagaimanapun disebabkan oleh kekurangan habitat, gajah kini
terpaksa mencari makanan di kawasan pinggir hutan yang telah bertukar rupa menjadi kawasan perladangan dan penempatan manusia. Pencerobohan ini menyebabkan kerugian pihak terbabit.

Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah ini memberikan pelawat peluang untuk mempelajari dengan lebih lanjut mengenai haiwan mamalia yang besar ini serta pengalaman menunggang gajah di persekitaran hutan dengan bantuan seorang mahout atau pemandu gajah. Hampir 50 orang murid SMKTP diberi peluang menunggang gajah. Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk menunggang "Mawar" bersama anak didik dari kelas 3K8, Ayu Wulandari dengan bantuan mahout atau pemandu gajah. Agaknya, inilah percubaan yang pertama dan terakhir untuk saya....

Selain itu, pelawat yang berani dan menginginkan pengalaman yang berlainan pula berpeluang menunggang gajah ke sungai dan memandikannya...! Tidak ada di tempat lain di mana anda boleh mendekati haiwan mamalia yang besar ini seperti ini... Disebabkan jadual untuk gajah mandi adalah pada pukul 2.30 petang, jadi kami tidak sempatlah mencubanya kerana terpaksa beredar ke auditorium untuk tayangan video "Simfoni Alam" sebelum singgah di Deer Land dalam perjalanan keluar dari Kuala Gandah ini...

Sebaik sahaja kami tiba di Taman Rusa, hujan mulai turun dan aktiviti terhenti seketika. Ketika ini petugas di Taman Rusa memberi peluang kepada murid SMKTP bergambar dan 'bermesra' dengan dua ekor ular yang agak besar juga. Setelah hujan teduh, murid-murid mula mendekati rusa dan memberi rusa-rusa itu makanan....

Kami bertolak balik ke Kuantan lebih kurang pada pukul 2.30 petang dan tiba di sekolah menghampiri pukul 5.00 setelah berhenti makan di R & R Temerloh untuk seketika....

Lawatan mendekati alam ini amat menyeronokkan dan diharap dapat memberi sedikit kesedaran kepada generasi muda peri pentingnya menyelamat dan memelihara hidupan liar di negara kita....