CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, December 31, 2011

CORETAN PENGHUJUNG TAHUN 2011....

Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menyempurnakan tugasan rutin akhir tahun. Lega rasanya....

Syukur juga kerana saya masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar tahun 2011 yang disulami hujan yang mula turun renyai-renyai membasahi bumi....

Kita semua tahu, mentari 2011 bakal terbenam dan akan diganti dengan fajar 2012 beberapa jam lagi. Tentu sekali banyak kenangan yang terakam dalam memori sepanjang 12 bulan kita berada di tahun 2011. Pasti ada yang manis dan ada juga yang pahit. Semuanya akan terpahat kukuh dalam ingatan sampai bila-bila.

Secara peribadi, 2011 membuka lembaran baru kepada kami sekeluarga. Yang paling indah, tahun ini kami menerima ahli baru dan bakal bertambah lagi ahli baru pada tahun hadapan. Beberapa hari lepas, keluarga kami diceriakan dengan kehadiran anak saudara yang baru, MOHAMMAD ZARIF ZIKRY... hadiah penutup tirai 2011....

Dalam pada itu, kami juga kehilangan seorang ahli keluarga... kakak ipar sulung telah kembali menemui Penciptanya buat selama-lamanya pada 11 Zulhijjah 1433 yang lalu. Kami tidak henti-henti diuji sehinggalah saat-saat 2011 akan berakhir.... Sesungguhnya, semua peristiwa yang berlaku akan kami jadikan teladan dan sempadan buat menempuh perjalanan menuju jalan pulang yang masih jauh....


Mungkin ada yang beranggapan bahawa tahun yang bakal berlalu sebagai tahun yang tidak pernah diduga akan hadir di dalam diari hidup mereka, lantaran ujian dan cabaran yang betul-betul menekan. Jangan lupa, seperti yang selalu diperkatakan orang, ujian dan cabaran ialah rempah ratus kehidupan.

Tanpa ujian dan cabaran, hidup kita akan berlalu bak air yang mencurah keluar daripada pancur, sekadar mencurah turun, tak ada langsung nilai-nilai yang boleh dikenang dan dijadikan teladan.

Sebaliknya jika perjalanan hidup kita seperti air sungai yang sekejap cetek dan sekejap melimpah ke tebing, kemudian perlu mengharung segala batu, kayu termasuk sampah sarap… ketibaan kita di muara nanti merupakan sesuatu yang amat bermakna.

Paling penting juga, ingatlah, bukan kita sahaja diuji. Ada insan lain yang lebih teruk ujiannya daripada kita. Lantas, jadikan ujian Ilahi sebagai pendekat diri kita kepada-Nya dan percayalah…. YANG PAHIT AKAN MANIS AKHIRNYA…

Tak kisahlah apa-apa sekali pun peristiwa yang kita lalui di sepanjang 2011, yang pasti kita perlu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan untuk terus melihat fajar tahun baharu yang bakal muncul nanti....

Tahun baharu bermakna usia sudah tidak baharu lagi. Hayat bertambah menjadi semakin lama... SELAMAT TAHUN BAHARU 2012 dan ucapan untuk diri sendiri "selamat menempuh usia separuh abad....

Semoga kita semua terus diberi kelapangan dan kekuatan mental serta fizikal bagi membolehkan kita memantapkan amal ibadat buat bekalan di akhirat kelak...juga dapat kita berbakti kepada keluarga, agama dan negara. Semoga kita terus berada dalam peliharaan dan keberkatan-Nya... Amin.


- pantun SELAMAT TAHUN BAHARU nukilan Cikgu Naim Daipi...


0 comments: