CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, August 31, 2010

Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu

Negaraku dan Laungan Merdeka 1957

Saturday, August 21, 2010

Amalan berzikir terapi jiwa paling mujarab

Ibadat yang sangat dianjurkan Islam kepada umatnya dalam kehidupan seharian ialah berzikir kepada Allah s.w.t. Jika ditinjau secara halus, zikir adalah amalan paling mudah dan tidak membebankan kita untuk dilaksanakannya berbanding ibadat solat, zakat serta puasa. Amalan berzikir hanya menuntut ingatan penuh tulus kepada Allah. Berzikir tidak menuntut kerahan tenaga atau sumbangan kewangan, sebaliknya hanya menuntut supaya digerakkan lidah, hati dan akal mengingati Allah pada bila-bila masa tanpa mengira tempat...

Zikir memberi kesan yang besar kepada minda kita. Apabila seseorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Apabila disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif. Kumpulan saraf yang aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Junjungan Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah S.W.T., serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh-musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong lehermu?” Kemudian para sahabat bertanya, “Apakah itu wahai Rasul?” Beliau menjawab: “Zikir kepada Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi).

Rasulullah s.a.w. telah bersabda lagi yang bermaksud:

“Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang yang menyebut perkataan “Allah, Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).


Sesungguhnya, amalan berzikir menjadikan jiwa & fikiran kita tenang...

Dengan zikirlah juga Abe sembuh daripada penyakit misteri yang dialaminya suatu ketika dahulu...

Tuesday, August 17, 2010

Setahun Berlalu - Bahana H1N1 : kena kuarantin di rumah !




17 Ogos 2009 - Wabak influenza A H1N1 'melanda' SMKTP.

Pada minggu sebelumnya, Jabatan Kesihatan telah datang ke sekolah dan telah membuat pemeriksaan suhu badan terhadap murid yang didapati tidak sihat. 3 sample daripada murid sesi petang telah diambil, dan 2 daripadanya didapati +ve. Untuk sesi pagi, tidak ada sampel yang diambil kerana murid yang betul-betul demam telah diarahkan terlebih awal supaya tidak datang ke sekolah. Jika mereka datang dan didapati tidak sihat, ibu bapa akan dipanggil untuk membawa anak mereka balik ke rumah dengan segera. Jadi, dapatlah penyebaran virus tersebut dikawal pada peringkat awal.

Bermula 17 Ogos 2009, Peperiksaan Percubaan PMR berlangsung. Hampir semua murid tingkatan 3 hadir ke sekolah pada hari Isnin walaupun ada yang demam, semata-mata ingin menduduki peperiksaan.

Sehari sebelum itu, murid-murid tingkatan 3 telah diperiksa suhu badan dan didapati ramai yang melebihi 37 darjah celsius. Ini menandakan ramai murid yang tidak sihat! Hasil daripada pandangan guru & ibu bapa serta maklum balas daripada murid T3 sendiri, pihak pentadbir sekolah mengambil keputusan untuk tutup sekolah sepenuhnya bermula 18 Ogos hingga 24 Ogos 2009, bagi mengelakkan penularan virus H1N1 dalam kalangan warga SMKTP, walaupun sebenarnya banyak perkara yang tertangguh.... Keselamatan & kesihatan perlu diutamakan !

Ini bermakna kami mendapat cuti yang agak panjang kerana bersambung dengan cuti sekolah dan cuti Hari Kebangsaan... itu kisah setahun yang lalu....

Foto : (1) pemeriksaan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan (2) hand rub sanitizer utk kelas (3) pemeriksaan suhu badan murid oleh guru..

Wednesday, August 11, 2010

Maher Zain - Insha Allah | ماهر زين - ان شاء الله

Saturday, August 7, 2010

Resensi Buku : Nadi Ilmu Amalan Membaca



Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 1323, 'resensi' bermaksud pertimbangan atau pembicaraan mengenai buku dll, atau ulasan buku. Pada tahun ini semua guru dikehendaki membuat ulasan atau resensi buku bagi memenuhi Program LADAP di peringkat sekolah.

Dalam mesyuarat guru tengah hari tadi, Tn Pengetua, Mr. Moy Wah Goon memaklumkan bahawa
Timbalan Pengarah JPNP yang baharu, iaitu Tn. Hj Yahya B. Zainal Abidin (mantan PPD Kuantan) sangat prihatin dan sentiasa memberi keutamaan terhadap budaya membaca. Hal ini terbukti dengan terbitnya 'GELOMBANG NILAM' yang dibentangkan oleh beliau semasa Persidangan Kebangsaan Pegawai Pelajaran Daerah/ Gabungan KPM 2007 di Hotel Vistana, Kuantan pada 8-11 Julai 2007.

Dalam prakata 'GELOMBANG NILAM' itu, Tn. Hj Yahya menjelaskan bahawa selepas dua minggu memegang jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan pada tahun 2007 beliau pernah mengemukakan 'Embryo of 2007" kepada pemimpin sekolah di Daerah Kuantan. Kandungannya berkisar pemupukan Budaya Membaca. Kemudiannya, 'Embrio of 2007' telah diterjemahkan kepada GELOMBANG NILAM.

Dalam entri kali ini saya ingin berkongsi catatan beliau berkait dengan budaya membaca....
Berikut ialah catatan beliau yang dipetik daripada GELOMBANG NILAM, halaman 4 - 7 :

" Saya ingin membicarakan satu agenda yang sangat penting untuk survival anak cucu dan keturunan kita pada masa hadapan. Saya ingin menceritakan pengalaman penting tentang membaca. Saya melihat dan mendengar orang menceritakan hasil bacaannya. Saya alami pengalaman latihan bermain dikendalikan oleh jurulatih yang merujuk kepada buku. Saya memperolehi banyak pengalaman melalui pembacaan buku tentang membangunkan negara dan pembangunan diri.

Semasa di sekolah rendah, saya tidak pernah membaca buku cerita. Buku yang saya baca hanyalah buku teks yang dibekalkan. Saya tidak perasan adakah sekolah saya ada khutub khanah? Amalan membaca buku cerita memang tidak ada sewaktu di sekolah rendah.

Sewaktu di tingkatan satu tahun 1967, saya dikehendaki membeli buku cerita bertajuk
"Buaya Mati Dua Kali" sebagai buku tambahan mata pelajaran Bahasa Melayu. Saya membacanya hingga tamat beberapa kali. Guru Bahasa Melayu sering menyoal tentang jalan cerita, watak dan teladan. Buaya ialah nama seorang lelaki yang memegang watak utama yang kudung sebelah tangan. Akhir ceritanya ialah "Buaya berjalan kaki meninggalkan kampungnya menuju pantai. Dia berjalan di pesisir pantai hingga hilang dari penglihatan. Hingga kini tidak diketahui Buaya masih hidup atau mati." Sewaktu tingkatan dua, saya membaca buku cerita bertajuk "Harimau Di Majapahit". Seperti tahun lepas juga, guru meminta kami membaca novel itu beberapa kali. Selepas itu saya hafal jalan ceritanya.

Sewaktu di tingkatan 3, kami dikehendaki membeli buku cerita bertajuk
"Di Bawah Alunan Ombak". Ceritanya mengesahkan penduduk Terengganu yang tinggal di tepi pantai yang sering berhadapan dengan bahaya ribut, ombak besar. Seperti tahun sebelumnya juga, saya berjaya membaca hingga tamat beberapa kali. Cikgu Hussin mengajar Bahasa Melayu. Beliau selalu menyoal perkara yang diceritakan dalam buku DBAO itu. Cikgu Hussain boleh tahan juga garangnya, menyebabkan saya terpaksa merajinkan diri membaca buku cerita DBAO itu. Walaupun saya sibuk mengambil bahagian dalam sukan dan pelbagai aktiviti tetapi masih berjaya memberi tumpuan membaca buku cerita itu. Sikap terus membaca baru bermula sewaktu di sekolah menengah rendah, itupun kerana dipaksa oleh guru Bahasa Melayu.

Minat membaca tiba-tiba terhenti apabila melangkah ke tingkatan 4 hingga tamat tingkatan 6 Atas. Berbetulan sukatan pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 4 dan 5 tiada menyediakan buku novel seperti di menengah rendah, maka tiadalah inisiatif untuk membaca novel atau majalah. Waktu itu membaca terbatas kepada buku pelajaran sahaja. Sewaktu di tingkatan 6, saya belajar mata pelajaran Matematik, Fizik, Kimia dan Kertas Am. Saya sangat sibuk menelaah buku teks, maka minat membaca buku cerita terus tenggelam.

Sewaktu di universiti, saya selalu belajar di perpustakaan yang besar itu. Di dalam perpustakaan itu terdapat beberapa rak yang penuh dengan novel. Beberapa orang kawan dari kalangan mahasiswi jurusan Sastera selalu membaca novel. Dalam kalangan mereka ada memberitahu saya novel tertentu yang bagus, maka saya cuba-cuba membacanya. Akhirnya saya mula berminat membaca novel tetapi waktu lapang sangat terhad. Seingat saya sewaktu di universiti selama 4 tahun, saya berjaya membaca tidak lebih 30 buah novel sahaja.

Minat membaca buku pengetahuan am seperti novel tiba-tiba terhenti apabila mula mendapat pekerjaan hinggalah saya mengikuti kursus kajian tindakan awal tahun 2000. Seingat saya, hanya beberapa buah buku yang saya baca, itupun baca tebuk-tebuk sahaja. Rupa-rupanya sikap suka membaca tidak konsisten.

Semasa menjadi guru biasa selama 26 tahun, saya selalu meneliti ucapan pengetua sewaktu perhimpunan pagi Isnin. Sebelum saya dilantik jawatan pengetua, saya meneliti berbagai-bagai stail ucapan 12 orang pengetua. Ada yang mengupas kembali ucapan guru yang berucap sebelumnya. Ada yang bercakap seperti guru bertugas mingguan membaca pengumuman. Ada juga yang marah-marah, menghentam pelajarnya. Jarang-jarang sekali dapat mendengar ucapan yang berjaya memukau pelajar. Kerap kali sewaktu pengetua berucap, pelajar dan guru turut bercakap juga. Inilah cabaran Pengetua sewaktu berucap dalam perhimpunan. Ucapan yang biasa selalunya tidak boleh kekal lama dalam ingatan pendengarnya. Oleh sebab itu, ada pengetua yang menyuruh pelajar mencatat hujah-hujah penting sewaktu perhimpunan."
Menurut Tn Hi Yahya lagi...,
"Melalui pembacaan, kita boleh mempengaruhi pendengarnya. Guru yang rajin membaca dan pandai bercerita boleh memukau murid yang mendengar. Manakala jurulatih juga boleh mendapat banyak panduan teknik latihan bermain bola di dalam buku yang berkaitan dengan sukan bola sepak..."
Dalam GELOMBANG NILAM ini, beliau turut menekankan bahawa pemimpin sekolah mesti tanamkan keyakinan kepada guru untuk meneruskan projek besar ini agar semua orang menghayati bahawa GELOMBANG NILAM ini adalah harta kita yang paling berharga.

Dalam rumusan GELOMBANG NILAM, beliau menegaskan bahawa...
"...budaya membaca perlu dicetuskan dari atas dan dilaksanakan kepada rakyat jelatanya secara tegas. Menurut beliau, kita perlu melaksanakan program GELOMBANG NILAM secara menyeluruh. Adakan target buku yang mesti dibaca. Pada peringkat permulaan unsur paksa perlu digunakan. Lama kelamaannya kita akan biasa dan akhirnya kita berasa suka. Inilah proses yang perlu diikuti untuk membentuk budaya baru."
"Jika kita lewat bertindak, semakin ramai orang akan memintas kita. Kita akhirnya akan dijajah sekali lagi" Renungkanlah ! ..."

Semoga catatan ini memberi manfaat kepada kita semua... membuka minda untuk terus membaca....

Sumber : Gelombang Nilam, Yahya Bin Zainal Abidin, Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan, KPM, 2007.

Wednesday, August 4, 2010

Karenah - Kerenah - Karena


PERNAHKAH anda mendengar atau membaca ayat contoh yang berikut ini?

1. Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan karenah akhir zaman.
2. Kelambatan pemprosesan permohonan itu disebabkan oleh kerenah birokrasi.
Dalam kedua-dua ayat di atas, perkataan yang bercetak condong ialah karenah (ayat 1), dan kerenah (ayat 2). Kedua-dua perkataan ini dibezakan sifat bunyinya oleh huruf vokal 'a', 'e' pepet, dan 'e' taling dalam suku-suku kata tertentu..

Kata karenah dibarisi oleh vokal 'a' dalam suku kata pertama, dan vokal 'e' taling dalam binaan suku kata kedua; maka bunyi kata ini ialah [ karénah ].

Kata kerenah dibunyikan sebagai [ k?r?nah ] dengan kedua-dua huruf vokal 'e' dalam suku kata pertama dan suku kata kedua perkataan itu vokal 'e' pepet.

Kata karenah yang berasal daripada perkataan bahasa Arab membawa empat maksud, iaitu makna alamat, bukti, tanda, dan cena (céna). (Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 678) Keempat-empat kata ini merupakan sinonim kepada kata karenah ini. Maksud karenah ini terkandung dalam ayat yang pertama di atas. Kita boleh sahaja menggantikan kata karenah dengan mana-mana kata sinonimnya, misalnya:

1. (a) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan tanda akhir
zaman.
(b) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan cena akhir
zaman; dan seterusnya.

Kata kerenah tidak asing lagi dimaklumi maknanya kerana kata ini sering digunakan oleh komuniti bahasa Melayu dalam kegiatan berbahasa. Sedarlah bahawa ada beberapa maksud kata kerenah ini, iaitu ragam, tingkah laku, kemahuan dan perangai. (Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 757). Selain maksudnya yang terkandung dalam ayat (2) di atas, kata kerenah dapat digunakan seperti dalam ayat contoh (3) yang berikut:

3. Banyak benar kerenah budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
Jika hendak digantikan kata kerenah dalam ayat tersebut dengan kata-kata lain yang bersinonim dengannya, boleh sahaja. Misalnya:
3. (a) Banyak benar ragam budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
atau
(b) Banyak benar kemahuan budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
Selain itu, kata kerenah ini juga bermaksud oleh (sebab), dan cara. Kedua-dua maksud ini dibawakan oleh dua potong ayat yang di bawah ini:
4. Demikian itu kerenah dia bekerja, pantas tetapi kelam kabut sahaja. (kerenah bermaksud cara)

5. Pekerja kontrak itu telah lama teraniaya kerenah tindakan majikan yang tidak bertimbang rasa. (kerenah bermaksud oleh sebab)

Jelaslah, kata karenah dan kerenah, jika kita tersilap menggunakannya dalam ayat, pastilah maksud ayat berubah, atau tidak mendukung maksud maklumat sebenar yang hendak diungkapkan. Oleh itu, berhati-hatilah memilih kata yang betul untuk menepati maksud sebenar yang hendak dinyatakan.

Karenah dan kerenah tidak sama dengan kata karena.
Kata karena merupakan variasi ejaan kata kerana. Selain bentuk ejaan karena ini, dapat juga kita temukan bentuk-bentuk lain seperti kerana, kerena dan kerna. Oleh itu, kata kerana (bentuk ejaan baku bahasa Melayu) dieja juga sebagai karena, kerena dan kerna. Bentuk-bentuk, selain kerana, digunakan di negara jiran. Walaupun berkelainan ejaan, namun maksudnya tetap sama, iaitu hal yang menjadi sebab atau alasan

Begitulah bicara ringkas tentang kata karenah dan kerenah serta cara penggunaannya dalam bahasa Melayu. Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada kita semua.

Bahasa Jiwa Bangsa...

Sumber : Pelita Bahasa, Portal Pendidikan Utusan, Kamus Dewan...

Tuesday, August 3, 2010

RASMI DAN RESMI


Perkataan resmi dan rasmi ialah dua perkataan yang sering menimbulkan kesilapan pemilihan. Kedua-dua perkataan ini kerap digunakan dalam konteks yang tidak tepat lantaran kedua-duanya hampir sebunyi, tetapi mempunyai maksud yang berbeza.

Perkataan rasmi digunakan dalam rangkai kata tertentu seperti surat rasmi, bendera rasmi, bahasa rasmi, tugas rasmi, pakaian rasmi, upacara rasmi, dan kediaman rasmi. Rasmi dalam rangkai kata tersebut bermaksud disahkan atau ditentukan oleh yang berwibawa, iaitu kerajaan.

Walau bagaimanapun, ramai juga yang mengunakan kata 'resmi' untuk 'urusan rasmi'...

Maksud resmi (Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 1324) ialah sifat semula jadi, sifat khas (benda, adat, perangai, tabiat).
Resmi digunakan dalam konteks yang berlainan berbanding rasmi, seperti dalam peribahasa "Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk", "jangan ikut resmi lalang, makin berisi makin tegak", atau dalam ayat : "Resmi Mak Piah tidak ubah seperti ayam betina, bertelur sebiji riuh sekampung".
Perkataan resmi dalam peribahasa tersebut membawa maksud sifat atau resam.

Cintailah bahasa Kebangsaan kita....

Sunday, August 1, 2010

OGOS 1945 - Bulan yang tidak menentu di Tanah Melayu

Di Tanah Melayu dan Singapura, pemerintahan Jepun semakin hari semakin tidak popular. Rakyat jelata hidup dalam keadaan gelisah kerana tekanan politik dan keadaan ekonomi yang begitu merosot.


Ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada awal Ogos 1945 mengejutkan seluruh dunia khususnya Maharaja Jepun, angkatan tentera serta rakyat jelatanya. Ledakan ini berlaku dalam keadaan penguasaan tentera Jepun ke atas negara-negara di Asia Tenggara kian merosot.

Apabila bencana yang besar ini menimpa rakyat jelatanya, Maharaja Jepun bersama menterinya bersetuju supaya Jepun mengangkat bendera putih untuk menyerah diri. Walau bagaimanapun, beberapa orang pegawai tertinggi angkatan tenteranya tidak pula bersikap demikian. Malah ada yang percaya bahawa lebih baik mereka mati daripada menyerah diri kerana kematian membuktikan taat dan cinta mereka kepada Maharaja dan tanah air mereka. Menyerah diri adalah suatu perbuatan yang memalukan.
Perbezaan pendapat ini menjadikan kedudukan pemerintahan Jepun di Asia Tenggara dalam keadaan serba salah.

Perisytiharan menyerah diri tidak terus berkuatkuasa sehingga awal bulan September.
Dalam tempoh sebulan bulan Ogos ini keadaan adalah tidak menentu di Tanah Melayu. Berita perkembangan Perang Dunia Kedua dapat diikuti melalui All-India Radio hampir setiap hari. Pada pagi 11 Ogos, pemberita menyampaikan berita "kemungkinan Jepun akan menyerah diri kepada Tentera Bersekutu dan Perang Dunia Kedua akan ditamatkan."

Pada esok harinya, sekali lagi All-India Radio menyiarkan perkembangan terbaharu tentang perang dan melaporkan bahawa pucuk pimpinan tentera Jepun di Tanah Melayu dan Singapura belum bersedia menyerah diri....!


Dalam keadaan yang tidak menentu inilah juga berlaku satu peristiwa yang menggemparkan rakyat Pahang. Pada pertengahan bulan Ogos DYMM Sultan Abu Bakar telah 'diculik' oleh pihak MPAJA dan berada hampir sebulan di kawasan pedalaman Hutan Simpanan Jengka - Chenor (kini Felda Jengka).

Rujukan : Wan Hashim Wan Teh, Perang Dunia Kedua - Perang Gerila Melayu Force 136, 1993
bersambung selepas ini...coretan pengalaman rakyat Malaysia yang terselamat dalam peristiwa pengeboman Hiroshima & Nagasaki dan peristiwa DYMM Sultan Abu Bakar 'diculik' oleh pihak MPAJA...