CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, August 7, 2010

Resensi Buku : Nadi Ilmu Amalan Membaca



Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, halaman 1323, 'resensi' bermaksud pertimbangan atau pembicaraan mengenai buku dll, atau ulasan buku. Pada tahun ini semua guru dikehendaki membuat ulasan atau resensi buku bagi memenuhi Program LADAP di peringkat sekolah.

Dalam mesyuarat guru tengah hari tadi, Tn Pengetua, Mr. Moy Wah Goon memaklumkan bahawa
Timbalan Pengarah JPNP yang baharu, iaitu Tn. Hj Yahya B. Zainal Abidin (mantan PPD Kuantan) sangat prihatin dan sentiasa memberi keutamaan terhadap budaya membaca. Hal ini terbukti dengan terbitnya 'GELOMBANG NILAM' yang dibentangkan oleh beliau semasa Persidangan Kebangsaan Pegawai Pelajaran Daerah/ Gabungan KPM 2007 di Hotel Vistana, Kuantan pada 8-11 Julai 2007.

Dalam prakata 'GELOMBANG NILAM' itu, Tn. Hj Yahya menjelaskan bahawa selepas dua minggu memegang jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan pada tahun 2007 beliau pernah mengemukakan 'Embryo of 2007" kepada pemimpin sekolah di Daerah Kuantan. Kandungannya berkisar pemupukan Budaya Membaca. Kemudiannya, 'Embrio of 2007' telah diterjemahkan kepada GELOMBANG NILAM.

Dalam entri kali ini saya ingin berkongsi catatan beliau berkait dengan budaya membaca....
Berikut ialah catatan beliau yang dipetik daripada GELOMBANG NILAM, halaman 4 - 7 :

" Saya ingin membicarakan satu agenda yang sangat penting untuk survival anak cucu dan keturunan kita pada masa hadapan. Saya ingin menceritakan pengalaman penting tentang membaca. Saya melihat dan mendengar orang menceritakan hasil bacaannya. Saya alami pengalaman latihan bermain dikendalikan oleh jurulatih yang merujuk kepada buku. Saya memperolehi banyak pengalaman melalui pembacaan buku tentang membangunkan negara dan pembangunan diri.

Semasa di sekolah rendah, saya tidak pernah membaca buku cerita. Buku yang saya baca hanyalah buku teks yang dibekalkan. Saya tidak perasan adakah sekolah saya ada khutub khanah? Amalan membaca buku cerita memang tidak ada sewaktu di sekolah rendah.

Sewaktu di tingkatan satu tahun 1967, saya dikehendaki membeli buku cerita bertajuk
"Buaya Mati Dua Kali" sebagai buku tambahan mata pelajaran Bahasa Melayu. Saya membacanya hingga tamat beberapa kali. Guru Bahasa Melayu sering menyoal tentang jalan cerita, watak dan teladan. Buaya ialah nama seorang lelaki yang memegang watak utama yang kudung sebelah tangan. Akhir ceritanya ialah "Buaya berjalan kaki meninggalkan kampungnya menuju pantai. Dia berjalan di pesisir pantai hingga hilang dari penglihatan. Hingga kini tidak diketahui Buaya masih hidup atau mati." Sewaktu tingkatan dua, saya membaca buku cerita bertajuk "Harimau Di Majapahit". Seperti tahun lepas juga, guru meminta kami membaca novel itu beberapa kali. Selepas itu saya hafal jalan ceritanya.

Sewaktu di tingkatan 3, kami dikehendaki membeli buku cerita bertajuk
"Di Bawah Alunan Ombak". Ceritanya mengesahkan penduduk Terengganu yang tinggal di tepi pantai yang sering berhadapan dengan bahaya ribut, ombak besar. Seperti tahun sebelumnya juga, saya berjaya membaca hingga tamat beberapa kali. Cikgu Hussin mengajar Bahasa Melayu. Beliau selalu menyoal perkara yang diceritakan dalam buku DBAO itu. Cikgu Hussain boleh tahan juga garangnya, menyebabkan saya terpaksa merajinkan diri membaca buku cerita DBAO itu. Walaupun saya sibuk mengambil bahagian dalam sukan dan pelbagai aktiviti tetapi masih berjaya memberi tumpuan membaca buku cerita itu. Sikap terus membaca baru bermula sewaktu di sekolah menengah rendah, itupun kerana dipaksa oleh guru Bahasa Melayu.

Minat membaca tiba-tiba terhenti apabila melangkah ke tingkatan 4 hingga tamat tingkatan 6 Atas. Berbetulan sukatan pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 4 dan 5 tiada menyediakan buku novel seperti di menengah rendah, maka tiadalah inisiatif untuk membaca novel atau majalah. Waktu itu membaca terbatas kepada buku pelajaran sahaja. Sewaktu di tingkatan 6, saya belajar mata pelajaran Matematik, Fizik, Kimia dan Kertas Am. Saya sangat sibuk menelaah buku teks, maka minat membaca buku cerita terus tenggelam.

Sewaktu di universiti, saya selalu belajar di perpustakaan yang besar itu. Di dalam perpustakaan itu terdapat beberapa rak yang penuh dengan novel. Beberapa orang kawan dari kalangan mahasiswi jurusan Sastera selalu membaca novel. Dalam kalangan mereka ada memberitahu saya novel tertentu yang bagus, maka saya cuba-cuba membacanya. Akhirnya saya mula berminat membaca novel tetapi waktu lapang sangat terhad. Seingat saya sewaktu di universiti selama 4 tahun, saya berjaya membaca tidak lebih 30 buah novel sahaja.

Minat membaca buku pengetahuan am seperti novel tiba-tiba terhenti apabila mula mendapat pekerjaan hinggalah saya mengikuti kursus kajian tindakan awal tahun 2000. Seingat saya, hanya beberapa buah buku yang saya baca, itupun baca tebuk-tebuk sahaja. Rupa-rupanya sikap suka membaca tidak konsisten.

Semasa menjadi guru biasa selama 26 tahun, saya selalu meneliti ucapan pengetua sewaktu perhimpunan pagi Isnin. Sebelum saya dilantik jawatan pengetua, saya meneliti berbagai-bagai stail ucapan 12 orang pengetua. Ada yang mengupas kembali ucapan guru yang berucap sebelumnya. Ada yang bercakap seperti guru bertugas mingguan membaca pengumuman. Ada juga yang marah-marah, menghentam pelajarnya. Jarang-jarang sekali dapat mendengar ucapan yang berjaya memukau pelajar. Kerap kali sewaktu pengetua berucap, pelajar dan guru turut bercakap juga. Inilah cabaran Pengetua sewaktu berucap dalam perhimpunan. Ucapan yang biasa selalunya tidak boleh kekal lama dalam ingatan pendengarnya. Oleh sebab itu, ada pengetua yang menyuruh pelajar mencatat hujah-hujah penting sewaktu perhimpunan."
Menurut Tn Hi Yahya lagi...,
"Melalui pembacaan, kita boleh mempengaruhi pendengarnya. Guru yang rajin membaca dan pandai bercerita boleh memukau murid yang mendengar. Manakala jurulatih juga boleh mendapat banyak panduan teknik latihan bermain bola di dalam buku yang berkaitan dengan sukan bola sepak..."
Dalam GELOMBANG NILAM ini, beliau turut menekankan bahawa pemimpin sekolah mesti tanamkan keyakinan kepada guru untuk meneruskan projek besar ini agar semua orang menghayati bahawa GELOMBANG NILAM ini adalah harta kita yang paling berharga.

Dalam rumusan GELOMBANG NILAM, beliau menegaskan bahawa...
"...budaya membaca perlu dicetuskan dari atas dan dilaksanakan kepada rakyat jelatanya secara tegas. Menurut beliau, kita perlu melaksanakan program GELOMBANG NILAM secara menyeluruh. Adakan target buku yang mesti dibaca. Pada peringkat permulaan unsur paksa perlu digunakan. Lama kelamaannya kita akan biasa dan akhirnya kita berasa suka. Inilah proses yang perlu diikuti untuk membentuk budaya baru."
"Jika kita lewat bertindak, semakin ramai orang akan memintas kita. Kita akhirnya akan dijajah sekali lagi" Renungkanlah ! ..."

Semoga catatan ini memberi manfaat kepada kita semua... membuka minda untuk terus membaca....

Sumber : Gelombang Nilam, Yahya Bin Zainal Abidin, Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan, KPM, 2007.

0 comments: