CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, December 28, 2010

Putu halba Zaruni....


Ubi kayu menjadi makanan favourite pada musim-musim hujan begini. Biasanya ubi kayu direbus atau dibakar, kemudian dimakan bersama kelapa parut dicampur gula dan sedikit garam. Ada juga yang suka makan ubi kayu bersama ikan tamban kering goreng. Biasanya hanya orang tua-tua yang suka makan ubi kayu sebegitu. Oleh sebab itulah dipelbagaikan kegunaan ubi kayu ini dengan membuat kuih putu halba. Rasanya lebih sedap dan disukai oleh semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak. suka.

Putu halba ialah sejenis kuih istimewa yang mungkin hanya muncul pada musim hujan antara bulan November dan Disember. Gerai menjual putu halba tumbuh seperti cendawan lepas hujan di tepi-tepi jalan utama di negeri kelahiranku pada musim tengkujuh. Walaupun putu halba yang diperbuat daripada ubi kayu ini kini tidak lagi menjadi pilihan utama sajian zaman moden, tetapi keenakannya masih boleh mengecurkan liur sesetengah individu ketika musim tengkujuh.

Putu halba yang baru dimasak dan masih panas memang sedap dimakan ketika hujan kerana selepas sejuk, ia mula melekit dan terasa agak pahit, tentunya tidak lagi merangsang selera.

Kesempatan balik ke kampung beberapa hari lepas, dapatlah saya merasa putu halba yang munculnya hanya pada musim tengkujuh. Memang terdapat banyak gerai di tepi-tepi jalan menjual putu halba, tetapi tidak semua putu halba yang dijual itu 'asli' seperti dulu-dulu. Kini, ada yang hanya menggunakan debu ubi kayu untuk buat putu halba. Rasanya memang tak sama dengan putu halba yang dibuat daripada 'hampas' ubi kayu yang diparut...!

Zaruni, anak Pokcik Loh yang juga rakan sepermainan semasa kecil-kecil dulu ada menjual putu halba di depan rumah Mama. Katanya, itulah rezeki untuk membesarkan anak-anaknya. Putu halba yang dijual oleh Zaruni memang enak kerana dia menggunakan resepi turun-temurun daripada nenek saudaranya yang memang tersohor buat putu halba suatu ketika dahulu... Orang tua kata, apabila makan, terasa ditekak. Kata Mama, Zaruni mendapatkan bekalan ubi kayu dengan harga yang agak berpatutan di Kg Salor. Bolehlah dia menampung perbelanjaan keluarganya.... Sempatlah saya merasa putu halba Zaruni yang masih mengekalkan keasliannya. Sungguh enak, makan putu halba panas-panas dengan kopi 'O' yang dibancuh oleh Mama..... Kena tunggu musim tengkujuh tahun hadapan, barulah dapat 'jumpa' putu halba sekali lagi.

Sebenarnya, proses membuat putu halba ni agak unik. Tidak seperti kuih lain, putu halba diperbuat daripada hampas ubi kayu yang dicampur manisan kelapa dan sedikit biji halba.

Putu halba ini seakan putu piring. Ramuan membuat putu halba mudah didapati iaitu ubi parut yang dikeringkan airnya dan dikukus dengan menggaulkannya bersama halba. Hampas ubi kayu (ubi kayu diparut dan diperah airnya sampai kering) yang telah dicampurkan dengan sedikit halba ini diletakkan di dalam piring atau bekas bulat yang nipis, masukkan gula melaka sebagai inti. Acuan putu ditutup dengan tudung kendi dan dibalut dengan tuala nipis atau kain muslim (macam orang buat putu piring). Kukus sampai masak. Makan dengan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.

Dulu, putu halba dimasak dengan menggunakan wap yang keluar daripada tin biskut setelah tin itu dipanaskan pada bahagian bawahnya. Sekarang tempat masak putu diganti dengan bekas keluli tahan karat yang di bahagian atasnya mempunyai beberapa lubang dan acuan. Ia lebih mudah, menjimatkan masa dan boleh buat dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa.

Sekiranya kuih putu halba tidak mengalami kepupusan, suatu ketika nanti teknologi pembuatan putu pastinya mengalami perubahan iaitu dengan menggunakan peralatan yang lebih moden. Yang paling penting, biarpun menggunakan teknik moden, rasa putu halba hendaklah sama dengan yang ada pada hari ini. Biji halba yang sederhana sudah mencukupi dan kalau tidak dimasukkan biji halba tentunya putu yang ada nanti tidak lagi bernama putu halba.

Friday, December 24, 2010

Nostalgia Musim Bah....


Kali ni kisah bah @ banjir pula.

Kini, negeri-negeri di Pantai Timur sedang dilanda musim tengkujuh. Setakat ini belum ada lagi banjir besar. Sehari dua lagi, tak pasti macam mana keadaannya. Jabatan Meteorologi menjangkakan hujan lebat akan melanda negeri-negeri di Pantai Timur mulai hari ini sehingga hari Ahad nanti. Harap-harap tak ada banjir besar. Bimbang nanti jalan ditenggelami air, terkandaslah pula saya untuk balik ke Kuantan.... Semalam sebelum bertolak balik ke KB, hujan tidak berhenti turun di Kuantan sejak pagi, tetapi tidaklah terlalu lebat.

Hujung tahun, bermakna musim bah akan tiba. Mereka yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir @ bah pasti akan sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan banjir. Yang tak pasti ialah sama ada bah itu besar atau kecil..!

Sebenarnya, ada bah besar, ada bah kecil. Ada bah disebabkan air hujan yang bertangkung kerana sistem saliran yang tidak baik. Ada bah disebabkan oleh limpahan air sungai yang banyak. Bah air hujan cepat surut. Apabila hujan reda, bah pun akan surut.

Bah air sungai akan berlaku setelah isipadu air sungai Kelantan bertambah akibat hujan lebat berterusan di kawasan Ulu Kelantan. Air sungai berbeza dengan air hujan... lebih sejuk dan warna jg lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat apabila angin monsun bertiup kencang menyebabkan aliran air ke muara menjadi sebak. Akibatnya, tempat yg rendah akan ditenggelami air dalam tempoh masa yang lama, contohnya di Kg Tingkat dan di Kg Penambang yang menghala ke PCB.

Boleh dikatakan saban tahun pasti berlaku bah, tetapi bah besar tidak semestinya berlaku pada setiap tahun.

Musim bah banyak meninggalkan kenangan kepada sesiapa sahaja. Dulu, kalau musim bah, di KB jadi macam pesta... Bagi mereka yang terpaksa berpindah tu, lainlah pula ceritanya - bukan pesta lagi tp dah jadi mimpi negeri ..... !

Dulu masa zaman kanak-kanak, kami selalu mengikuti perkembangan banjir melalui siaran radio... bila air di Tangga Bradley, Kuala Krai -tempat sukat banjir (kini, Tangga Krai) turun, bermakna kawasan hilir akan siap sedia untuk banjir. Di rumah Mama biasanya paling teruk pun, hanya tenggelam 2 anak tangga. Bila bah, jalan ke KB terputus, iaitu di Jambatan Paloh (Pintu Geng) dan di Bunut Payong. (Sekarang jambatan di Bunut Payong dah tinggi). Dari rumah ke Pasir Mas pula, akan tersekat di beberapa tempat, antaranya di Chabang Tiga Pendek dan di Gertak Lembu, dekat Salor. Masa ni Papa pun kenalah bertugas bergilir-gilir 24 jam di Bilik Gerakan Banjir KB.

Tahun 1967, banjir besar di Kelantan dan beberapa negeri lain di Malaysia... saya ingat2 lupa, Papa bawa jalan2 main air... masa tu belum sekolah lagi. Tahun 1971, bah berlaku selepas sehari sesi persekolahan tahun baru 1971 bermula. Sekolah diisytihar tutup. (Bila baca tentang sejarah KL kemudiannya, barulah tahu rupa2nya pada 1971 KL juga dilanda banjir besar....! ) Tahun 1979, bah besar berlaku akibat hujan lebat di kawasan Ulu Kelantan sehingga meruntuhkan Bukit Puteri di Lubok Bongor, Jeli, meranapkan sebuah klinik desa di situ . Dalam tragedi Bukit Puteri ini ramai jg yg terkorban.

Bah 1979 berlaku di beberapa buah negeri di Pantai Timur sehari selepas semua calon SPM/ MCE menduduki kertas terakhir. Ada kawan2 yang bersekolah di SBP @ MRSM @ SMT terkandas dalam perjalanan untuk pulang ke kampung masing2 sebaik sahaja selesai peperiksaan.

Sekali bah, pasti pantai akan berubah; berubah akibat hakisan....

Kolam mandi awam di PCB dah bertahun-tahun lamanya 'terkubur'. Kubu Pertahanan Jepun semasa Perang Dunia Ke-2 di Pantai Sabak juga dah jauh tenggelam ke dasar laut....! Dalam Rhu @ Pantai Semerak dah tak boleh dipanggil Dalam Rhu lagi... kerana pokok ru dah tak ada. (Yang ada sekarang, yg baru ditanam semula).

...bersambung - bah besar 1988 - Pep. SPM terpaksa ditunda....

Thursday, December 23, 2010

Detik waktu

Hidup ini terdiri daripada detik-detik waktu. Kita harungi lautan detik waktu itu. Berjuta-juta detik waktu itu melewati kita dengan tidak sedikit pun kita sedari kehadirannya.

Sebahagiannya, seperti air di anak sungai menuju ke muara, berlegar-legar di sekitar kita lalu kemudiannya beredar pergi kerana kita telah tidak memanfaatkan kehadirannya.
Sebahagian kecil daripadanya, bagai sampah-sampah halus dibawa arus sungai, melekap ke tebing; melekat ke batu, lalu merupakan sebahagian daripada hidup kita.

Detik-detik waktu adalah keberuntungan. Yang membezakan antara kita ialah cara keberuntungan itu kita manfaatkan sebaik-baiknya.
Detik-detik penting melekat dalam ingatan kita. Detik-detik yang kurang penting berpindah ke dalam ingatan separuh sedar kita....

Ah, alangkah cepatnya detik waktu berlalu meninggalkan kita.... kini, cuti panjang persekolahan sudah berada di penghujung. Calon PMR 2010 bakal mendapatkan keputusannya hari ini. Cabaran 2011 setia menanti di hadapan....

Sunday, December 19, 2010

kacar sugho di SMKSI

Rasa-rasanya telah beberapa tahun saya tidak merasai “sugho” @ bubur asyura ala Kelantan ni...tahun ni rasa teringin sangat untuk merasainya...Teringat semasa zaman kanak-kanak dulu, melihat Nenek buat sugho bersama-sama jiran tetangga. Sehingga kini, masih ada masyarakat kampung yang meneruskan tradisi membuat bubur asyura beramai-ramai dalam bulan Muharram...

Dulu-dulu, orang kampung juga memanggil bulan Muharram sebagai bulan sugho... di sana-sini pasti ada kumpulan yang berpakat secara gotong-royong 'mengacar sugho' ni. Memang meriah sungguh walaupun mengambil masa yang lama, sehingga 8 - 9 jam untuk menukarkan bahan-bahan yang dijerang di dalam kawah itu menjadi sugho... Malangya, anak-anak saya kini sudah tidak berkesempatan melalui pengalaman seperti itu....malah, mereka tidak begitu menyukai juadah turun-temurun ini...

Paling akhir, pengalaman bersama-sama (melihat orang) kacau @ 'kacar sugho' ialah semasa bertugas di SMK Sultan Ismail, Kota Bharu beberapa tahun lepas. Sudah menjadi tradisi warga SMKSI mengadakan majlis keagamaan begini bagi merapatkan hubungan silaturahim antara guru-murid-ibu bapa. Kalau tak kacar sugho, kami bekwah potong lembu sempena Maulidur Rasul.

Walaupun hanya sempat 2 tahun (2004-2005) bertugas di SMKSI sebelum berpindah ke Kuantan, kenangan bersama-sama rakan guru amat meninggalkan kesan di hati. Kami diagihkan tugas untuk menyediakan ramuan sugho tu. Kalau tidak silap, saya dan beberapa orang teman guru diberi tugas menyediakan daging untuk digunakan sebagai ramuan sugho itu. Setiap orang menyediakan 1 @ 2 kilo daging. Daging ini kami rebus. Kemudiannya tongkolan daging yang telah direbus itu disiat-siatkan menjadi urat daging yang halus. Semua ni kami buat di rumah.

Keesokan paginya, kami bawa semua bahan yang telah disediakan itu ke sekolah. Hari kami buat majlis 'kacar sugho' tu kebetulannya jatuh pada hari Khamis, hari pakai baju batik ke sekolah. Jadi, berbaju batiklah kami pada hari itu. Tak sangka pula, ramai yang berbatik biru....macam uniform pula. Kami sama-sama berkumpul di atas wakaf berbumbung atap nipah di tepi kantin SMKSI untuk menyediakan apa-apa yang patut. Semuanya menjadi kenangan yang indah walaupun sudah lebih 6 tahun berlalu...

Sebenarnya, bubur Asyura @ sugho ini ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharram iaitu pada Hari Asyura. Setiap negeri, terutama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Bubur asyura @ sugho di Kelantan berbeza dengan bubur asyura yang terdapat di tempat lain…

Antara bahan yang digunakan untuk buat sugho ni ialah beras, ubi keledek, kacang merah, kacang hijau, kacang putih, jagung, rempah "sugho" (ramuan yang paling penting yang boleh membezakan rasa...), santan, daging , bawang merah, bawang putih, halia, gula dan garam secukup rasa. (Tak pasti pula, kalau-kalau ada yang tertinggal...!)

Tempoh mengacaunya ialah selama 7-8 jam... Mula-mula tidaklah terasa penat sangat kerana ramuan masih cair dan berwarna putih (campuran santan dan beras). Tetapi, selepas beberapa jam, setelah (telah dicampurkan dengan bahan-bahan di atas), sugho tadi menjadi semakin pekat, barulah mula terasa kepenatannya. Sugho ni perlu dikacau sehingga betul-betul sering, supaya tahan lama dan lambat basi. Selepas 7 atau 8 jam, dan sugho ni betul-betul sering, barulah disejukkan di dalam bekas... Masa kecil-kecil dulu Nenek akan sejukkan sura ni di dalam tempurung kelapa. Dulu, manalah ada bekas-bekas plastik yang tahan panas seperti hari ini...

Peristiwa Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s.,
Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh.
Kononnya, selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh.

Puasa hari Asyura pula merupakan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).

....Makan sugho makan juga, tapi penghayatan itu lebih penting. Menggabungkan kedua-dua niat itu alangkah lagi bagus. "Memasak dengan niat menjamu dan sedekah + Menghayati peristiwa dan Kisah Nabi Nuh as".

Friday, December 17, 2010

Buah perah, biji getah dan asam rong


Asam rong atau asam rum merupakan makanan tradisional bagi masyarakat di daerah Jerantut, Pahang dan begitu popular di sekitar beberapa perkampungan di dalam daerah ini. seperti di kawasan perkampungan kecil iaitu di Kampung Ulu Tembeling, Kampung Kuala Tembeling, Kampung Kuala Tahan dan sekitarnya.

Kini asam rong mula dikenali hingga ke beberapa daerah dalam negeri Pahang yang lain. seperti di Kuala Lipis, Maran, Raub dan Kuantan. Uniknya ialah asam rong ini diperbuat dari biji getah yang dikutip dari bawah pokok getah lalu diproses menjadi asam rong.
Sebelum ini saya tidak pernah tahu tentang asam rong ini. Walau bagaimana pun sejak bertugas di negeri Mat Kilau ini, saya mula mengenali beberapa jenis masakan tradisi negeri ini, termasuklah gulai asam rong dan juga gulai asam tempoyak ikan patin.

Saya hanya kenal dan pertama kali merasa gulai ikan asam rong ini hasil air tangan Ustazah Nor Azimah, anak jati Jerantut. Kak Azimah rajin memasak dan membawa gulai ikan asam rong ke sekolah. Biasanya Kak Azimah akan letakkan bekas yang berisi gulai ikan asam rong ini di bilik makan guru untuk dirasa oleh rakan-rakan yang lain.
Sebenarnya, perkataan asam rong ini berasal dari perkataan isirong, iaitu merujuk kepada bahagian isi dalam buah. Perkataan asam itu pula digunakan kerana kaedah penyimpanan dan pembuatan asam rong ini sama dengan asam yang lain. Asam rong ini dipopularkan oleh penduduk di sebelah perkampungan mukim Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.

Pada asalnya asam rong ini diperbuat daripada
buah perah iaitu sejenis buah yang didapati dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan tebal. Namun begitu, menyedari sukarnya mencari dan mendapatkan buah perah ini penduduk di sini mula mencari alternatif lain dengan menggantikan dengan biji getah iaitu biji dari pokok getah.

Pada masa ini mereka menggunakan biji getah kerana ia senang diperoleh berbanding dengan buah perah yang perlu dicari di dalam hutan tebal. Memandangkan kebanyakan penduduk di sini banyak menanam pokok getah sebagai sumber pendapatan utama mereka, maka penggunaan biji getah untuk membuat asam rong ini memudahkan mereka mendapatkan bahan tersebut.


Asam rong ini bukanlah mempunyai rasa masam seperti lazim asam yang lain, ia mempunyai rasa yang sedikit pahit dan lemak. Mungkin kerana ia diperam berbulan-bulan lamanya dan dipanggil asam oleh penduduk di sini lantaran cara penyediaan dan penyimpanannya sama dengan asam yang lain. Bahan utama yang diperlukan untuk membuat asam rong ini ialah biji getah atau buah perah.

Biji getah ini dikutip di bawah pokok getah yang gugur dari pokok-pokok getah yang telah matang. Biji getah ini dikumpulkan lalu dipecahkan kulitnya untuk mendapatkan isi yang berwana putih kerana biji getah ini mempunyai kulit yang keras dan licin.
Biji getah ialah biji yang dihasilkan dari pokok getah yang matang. Biji getah ini berbentuk bulat dan lonjong. Warnanya bergantung kepada baka pokok getah itu ada yang berwarna cokelat, hitam, merah-kemerahan, berjalur hitam dan putih. Saiz biji getah ini juga mengikut baka pokok tersebut ada yang kecil dan ada yang besar kebiasaanya dalam lingkungan (20mm hingga 35mm). Kulit di bahagian permukaannya keras, licin dan nipis dan mempunyai tertulang di bahagian belakang biji getah ini. Isinya bewarna putih dan ia lembut dan kenyal.

Biji getah ini akan gugur sendiri ke bumi jika ia sudah cukup matang dan biji getah yang gugur ke bumi ini boleh mengeluarkan tunas dan boleh menjadi baka anak pokok getah yang baru.
Biji getah ini dikutip di bawah pokok getah dan kesemua biji getah ini dipecahkan lalu isinya dikumpul dan dijemur di tengah panas. Proses penjemuran ini memakan masa 3 hingga 7 hari bergantung kepada keadaan kekeringannya.

Setelah kering isi biji getah tadi ditumbuk tetapi tidak terlalu hancur seperti menumbuk kacang untuk dibuat kuah ketupat.
Isi biji getah yang telah ditumbuk tadi lalu diperam di dalam bekas yang tertutup rapi dan sedia untuk dimasak. Kebiasaanya asam rong ini boleh bertahan hingga berbulan-bulan lamanya walaupun tidak disimpan di dalam peti sejuk.

Bagi penduduk di sekitar perkampungan Ulu Tembeling, Jerantut, asam rong boleh dimasak bersama ikan atau sayur seperti kangkung. Jika ia dimasak dengan menggunakan ikan ia dikenali sebagai gulai asam rong. Cara memasak gulai asam rong ini sama seperti cara memasak gulai yang lain cuma perlu dicampurkan sedikit asam rong ini (tiga hingga lima sudu teh) di dalam masakan tersebut. Jika dicampurkan dengan sayur, seperti kangkung ia kelihatan seolah-olah kangkung dimasak bersama taucu.

Asam rong itu akan kelihatan seperti kacang yang ditumbuk halus. Asam rong ini juga boleh dipelbagaikan cara masakannya bergantung kepada daya kreativiti tukang masaknya. Selain itu. asam rong ini juga boleh di buat sambal.


Bagi yang baru pertama kali merasainya mungkin ada yang terus jatuh hati dengan keunikkan rasanya yang berbeza dengan masakan Melayu yang lain dan mungkin juga ada yang tidak menyukai dengan masakan ini. Bagi penggemar gulai asam rong ini aroma baunya sahaja sudah cukup memberikan selera makan yang cukup luar biasa.


Bagi yang ingin merasai keaslian rasa gulai asam rong ini anda bolehlah mencari di beberapa buah restaurant disekitar pedalaman Pahang. Kini asam rong mula dipasarkan di serata Malaysia malah boleh didapati di beberapa pasar raya besar di negara ini.
Jika ada dalam kalangan pengujung blog ini yang berasal dari daerah Jerantut, sudilah kiranya untuk menambah atau melengkapkan info berkaitan dengan asam rong ini....
Rujukan : Wikipedia.


Tuesday, December 14, 2010

Buah Perah


Lagi cerita tentang buah perah.

Ada orang kata buah perah seakan-akan sama dengan Brazil nut… tak pastilah pula.
Sesiapa yang pernah makan buah perah rebus, mereka akan merasai keunikannya… lemak, sedap sehingga tidak boleh berhenti menguyah isi buah perah yang berwarna putih itu.

Sekiranya makan banyak sampai ‘over dose’, seseorang itu akan terasa mabuk sikit, terjelepek; tak boleh bangun. Kalau bangun juga, pasti akan terumbang ambing. Silap-silap akan tertanduk dinding atau apa-apa sahaja yang ada di hadapan…!

Makan buah perah kadang-kadang terasa seperti makan buah berangan ataupun makan buah badam. Buah berangan atau badam, kita tak akan terasa mabuk walaupun makan banyak!

Beberapa orang rakan yang singgah di sini sebelum ini, ada bertanyakan tentang buah perah ini dengan lebih lanjut lagi. Ada sesetengah tu sudah lupa akan rupa dan rasanya, walaupun dulu-dulu sewaktu zaman kanak-kanak, mereka pernah merasa buah buah perah rebus @ jeruk ini.

Atas permintaan itu, sambil menyiapkan tugasan, sebagai selingan untuk merehatkan minda, sempatlah saya 'google' di sana-sini. Akhirnya, 'bertemulah' saya dengan sumber yang akan saya paparkan di bawah ini....

Buah perah atau nama saintifiknya Elateriospermum tapos merupakan sejenis buah yang berasal dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan hujan khatulistiwa di Malaysia ini. Buah ini akan gugur sendiri ke bumi apabila ia sudah cukup tua atau matang.

Buah perah ini berbentuk lonjong dan berwarna hitam. Saiz buahnya agak kecil kira-kira (30mm hingga 40mm). Kulitnya keras, nipis dan licin manakala isinya pejal dan keras berwarna putih. Buah ini pada asalnya di dalam satu kepompong dan mengandungi 3 biji.

Buah perah yang sudah cukup tua atau matang akan gugur ke bumi, ia akan meletup dan berderai di udara sebelum jatuh ke bumi. Faktor angin memainkan peranan yang cukup penting dalam proses pengguguran buah ini. Selain itu, faktor haiwan seperti kera atau monyet juga boleh membantu proses pengguguran buah ini.

Kulitnya sangat keras dan untuk mendapatkan isinya ia perlu diketuk bagi memecahkan kulit tersebut. Isinya jika dimakan secara mentah (tanpa diproses atau dimasak) serta secara berlebihan boleh menyebabkan mabuk atau pening kepala. Isinya bewarna putih dan keras sama seperti buah badam dan ia boleh dimakan tetapi perlu dimasak atau diproses dengan betul. Buah ini tidak mempunyai biji.

Buah ini boleh juga dibuat asam rong makanan tradisional masyarakat di negeri Pahang. Bagi sesetengah penduduk mereka membuat jeruk dengan menggunakan buah perah ini. Selain itu buah ini boleh juga dimasak atau digoreng untuk hidangan sebelah petang.

Bagi masyarakat dahulu mereka suka menjerukkan buah ini dan disimpan hingga berbulan-bulan lamanya tanpa perlu disimpan di dalam peti sejuk. Penyimpanan di dalam tempayan atau balang besar yang diisi dengan air boleh membuatkan buah ini tahan lebih lama.

Sumber : Wikipedia, Flora Malaysiana

"Tak kenal maka tak cinta...."

Entri berikutnya : buah perah dan asam rong....




Saturday, December 11, 2010

Buah nadir yang kian dilupakan....


Lama tak terdengar sebutan 'buah perah'.

Baru-baru ini seorang sahabat (berkawan sejak di bangku sekolah rendah lagi), WEE SAW LAN bertanyakan tentang buah ini setelah melihatnya dalam album fb. Mungkin ramai yang tahu kewujudan buah ini dan pernah pernah merasai 'keunikan' serta 'keenakan' buah yang sudah hampir dilupakan oleh generasi muda hari ini.

Dulu, masa kecil-kecil selalu juga makan buah perah. Apabila Mak Aji atau Mak Yam yang mudik ke Ulu Kelantan untuk melihat kebun getahnya di sana, mereka akan bawa balik buah perah sebagai 'buah tangan' di samping hasil hutan yang lain seperti petai .... Kebunnya terletak di Kg. Lubuk Bongor, dalam daerah Dabong, Ulu Kelantan. Tahun-tahun 70-an memang susah untuk ke sana. Mereka akan mudik menggunakan pengangkutan air.

Sebenarnya, kita tidak boleh makan banyak buah ini dalam satu masa. Jika makan banyak, boleh membuatkan kepala kita berasa berpusing-pusing. Ada orang kata, seelok-eloknya jangan lebih daripada 12 biji sekali makan.

Buah perah yang dikategorikan sebagai buah nadir ini sebenarnya hanya terdapat di kawasan pedalaman. Bagi memastikan agar buah nadir ini tidak dilupakan oleh generasi hari ini, POS Malaysia Bhd. telah memilih buah perah (selain buah cermai, setol, dll) untuk dijadikan setem (kategori buah-buahan nadir) yang bernilai 30 sen.

Bila? Tak ingat dah.....



Friday, December 10, 2010

Gelang Hitam Dari Makkah

Sekarang musim jemaah haji kembali ke tanah air. Hampir sebahagian besar jemaah sudah pulang daripada menunaikan ibadat haji di Tanah Suci Makkah.


Mengenang musim jemaah kembali daripada menunaikan haji, teringat kenangan semasa zaman kanak-kanak, lebih 40 tahun yang lalu. Gelang hitam bergelung buah tangan dari Makkah.

Saya belum bersekolah lagi ketika itu, agaknya baru berusia 6 tahun. Masa kecil-kecil dulu, kalau pakai gelang hitam plastik/ damar?- bergelung, rasa bangga sekali. Ada juga gelang hitam daripada akar bahar. Terasa bangga kerana itu merupakan buah tangan dari Makkah, biasanya pemberian daripada ahli keluarga terdekat yang baru balik dari menunaikan ibadah haji. Saya juga mendapat sepasang gelang hitam bergelung daripada TokBe. Rasanya kini, sudah tidak ada lagi gelang hitam bergelung seperti itu. Yang ada sekarang, reka bentuknya pelbagai dan agak moden

Kalau masa TokBe (Kakak sulung Nenek Lijah) pergi Makkah lebih 40 tahun dahulu, kami menghantarnya di Stesen Kereta api Tumpat, tetapi semasa balik kami tunggu TokBe di sSesen Kereta api Kuala Krai. Agak jauh dari bandar Kota Bharu. Nak tunggu di Tumpat atau Wakaf Baru rasa terlalu lambat. Tak sabar nak jumpa. Apatah lagi apabila mendapat berita TokBe terpisah dengan Wak Aji (suami Tok Be) ketika di Tanah Suci Makkah. Saya bersama nenek Lijah, Papa, Mama dan kakak (Kak Ros) serta adik (Noni) juga turut serta ke stesen kereta api Kuala Krai. Mok Abe, Pok Muda Leh, sanak saudara di Kg Surau Kota dan di Kg Pasir Kota juga ikut serta. Kami ramai-ramai menunggu Tok Be di Stesen Kereta Api Kuala Krai.

Dari Kuala Krai, saya ikut nenek balik ke rumah TokBe di Kg. Pasir Kota, dekat Pintu Geng. Jarak rumah TokBe dengan rumah kami di Kg Kota, Jalan Salor lebih kurang 3 km sahaja. Papa, Mama, kakak dan adik tak ikut sekali, mereka terus balik ke rumah. Saya sejak kecil lagi selalu 'mengekor' nenek jika bertandang ke rumah sanak saudara sebelah nenek Lijah. Kak Ros agak 'perumah', tak boleh bermalam rumah orang, Noni pula masa tu, masih kecil, baru berumur 4 tahun. Jadi, saya seorang sajalah yang ikut nenek bermalam di rumah TokBe.

Keesokan paginya, ketika sedang bersarapan, TokBe senyap-senyap menyarungkan gelang hitam itu ke pergelangan tangan saya. kenangan itu masih hijau dalam ingatan saya sampai sekarang. Terasa seronok sangat. Naluri seorang kanak-kanak... Agaknya pada masa itu, hanya saya seorang cucu saudara yang ada bersamanya. Yang lain, rasanya sudah balik ke rumah masing-masing kerana rumah mereka berdekatan sahaja.

Lama saya pakai gelang hitam dari Makkah itu.....


Wednesday, December 8, 2010

Tepung Sema


Tugas fasa pertama yang diamanahkan bagi bulan Disember 2010 sudah bermula....seterusnya akan disambung sebaik sahaja balik ke rumah nanti....

Sementara menunggu suami keluar sarapan dengan sahabat lamanya Encik Ruslan Wook, bolehlah 'update' blog ni. Entri kali ni santai sahaja. Kisah kuih tradisional yang kian dilupakan oleh generasi kini terutama 'anak Kelantan & Terengganu'. Ada yang tidak kenal @ tidak tahu @ tidak pernah makan... termasuk anak-anak saya...!

Ketika kami sembang2 sambil menikmati juadah di meja makan beberapa hari lepas di Summit, timbullah cerita tentang kuih tradisional ni.... Kalau di meja makan, memang tak ada cerita lain, pasti tentang makanan... entah macam mana terkeluar nama-nama makanan tradisional masyarakat di Pantai Timur...timbullah nama-nama kuih seperti beko, akok, ... dan satu lagi ialah tepung sema.


Adinda Wan Khairiah rupa-rupanya tahu serba sedikit cara untuk membuat tepung sema ini. Walaupun Wan tidak pernah buat sendiri, sekurang-kurangnya dia pernah melihat arwah bondanya menyediakan pelbagai jenis makanan tradisional, termasuk sema semasa zaman kanak-kanaknya. Cara Wan menjelaskan kaedah membuat sema itu memang menarik dan menunjukkan dia tahu betul. Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk mengetahui tentang itu... yang saya tahu, beli yang dah siap di pasar Siti Khadijah.


Sebenarnya, sema ini juga dikenali sebagai kuih tepung sema, atau kuih gula tarik dan di sesetengah tempat, terutamanya di Terengganu dikenali sebagai
slemang. Ada juga yang menggelarnya sebagai kuih semak dalam mulut! Kuih sema ialah kuih tradisional di Kelantan dan di Terengganu. Ia merupakan gula terurai yang dibebat dalam tepung.

Semasa kecil-kecil dulu kami selalu makan kuih ini. Biasanya kuih ini berwarna merah jambu atau merah samar dan mempunyai rasa yang manis. Semasa makan, kita tidak boleh banyak bercakap, kena 'lemah-lembut' tak boleh buka mulut luas-luas, nanti tersembur keluar kerana kuih ini macam berdebu sedikit. Kalau tidak berhati-hati, habis putih mulut dan muka terkena tepung yang terdapat dalam kuih sema ni.

Memang saya betul-betul tidak tahu cara untuk membuat kuih ini. Setelah mendengar 'cerita' daripada Wan tempoh hari, saya terpanggil untuk 'mencari'nya ... akhirnya dapatlah resepi serta cara-cara untuk membuat sema. Resipi ini saya petik dan diubahsuaikan daripada
: Yusnida Mohd Yusof, myresipi.net .

KUIH / TEPUNG SEMA

a) Peralatan:

2 batang buluh (sederhana panjang dan leper)
1 biji biji periuk tembaga
1 periuk biasa(kecil)
1 biji pengayak
1 biji besen sederhana diisi air

1 helai kertas minyak

1 biji kuali

1 senduk kayu

b) Bahan-bahan:
2 keping gula kelapa/gula gerek
1 kg tepung gandum

1 mangkuk sedang air

1 botol kecil minyak jagung

c) Cara-cara memasak :

1) Goreng tepung gandum sehingga naik bau harum kekuningan, angkat dan ayak ke dalam bekas.
2) Masukkan air ke dalam periuk biasa (kecil) dan masakkan dengan gula kelapa sehingga gula cair dan berbuih.
3) Ambil 1 batang buluh dan celup ke dalam air gula yang mendidih, angkat dan lihat sama ada gula agak bersarang apabila terkena udara, maka ia sedia diangkat.
4) Kecilkan api, masukkan 1-2 titik minyak jagung ke dalam periuk tembaga, sapu sehingga rata, kemudian tuang adunan didih tadi.
5) Biar dan lenggang sehingga agak kelihatan beku, sapu minyak pada 2 batang buluh tadi. Angkat dengan menggunakan 2 batang buluh, kemudian tarik gula sehingga kelihatan keemasan. 6) Panaskan tepung yang telah digoreng jangan sampai hangit, kemudian ayak atas kertas minyak, gula yang ditari-tarik tadi, diletakkan di atas tepung yang diayak atas kertas minyak tadi.
7) Kemudian tarik- tarik gula tadi di atas tepung, dan selang seli ditabur tepung gandum panas seperti cara membuat mi wantan. Tarik gula sehingga kelihatan teksturnya halus dan kelihatan seperti bihun, sedia dihidangkan.

Cara untuk membuat sema memerlukan masa yang tepat,tangan yang tahan panas dan pantas supaya gula tidak cepat sejuk dan berketul.

Bolehlah tengok sekiranya ada kawan-kawan yang nak cuba buat.... Wan Khairiah pun katanya nak cuba buat....

Selamat mencuba....


Monday, December 6, 2010

Salam Maal Hijrah 1432



Dalam hitungan jam maka tahun hijriah akan terganti dari 1431 menuju 1432, dan dalam hitungan hari maka tahun masehi juga akan terganti dari 2010 menuju 2011. Alangkah eloknya jika HIJRAH dijadikan iltizam TAHUN BARU 1432H / 2011M...


UMUMNYA hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah S.A.W berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.

Sesungguhnya penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah telah memberi nafas baru kepada suatu perubahan yang besar dalam sejarah kebangkitan ummah. Penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah misalnya adalah sekadar penghijrahan biasa saja bagi melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Makkah, dan penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib adalah penghijrahan yang dilakukan atas arahan dan perintah Allah bagi meneruskan perjuangan untuk menegak, mengukuh dan mempertahankan Islam

Kalangan ulama bersepakat meletakkan peristiwa hijrah sebagai ‘ZAMAN BARU' yang memberi ‘nafas baru’ kepada misi penyebaran Islam. Selain daripada tahun hijrah diguna pakai sebagai penanda TAKWIM BARU umat Islam,
hijrah juga menandakan bermulanya method kehidupan baharu melalui pembinaan semula sahsiah dan keperibadian Muslim seperti yang dibentuk dan diperkasakan agama. Perpindahan daripada amalan yang memaparkan kejahilan setelah hilang panduan hidup kepada amalan yang berasaskan disiplin agama yang berpandukan al-Quran.... jadi elok sangatlah HIJRAH dijadikan iltizam tahun baru...

Hari ini dan ketika ini, cerita penghijrahan Rasulullah SAW hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah. Seperti cerita-cerita sejarah yang lain, cabaran penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah menjadi rakaman sejarah sekadar untuk dibaca sebagai bekalan bagi menjawab soalan peperiksaan. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi agama.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.”
– (Hadis Riwayat Bukhari)

Fajar tahun Hijrah 1432 yang bakal menjenguk kita nanti diharapkan dapat mengubah persepsi Muslim berkaitan isu itu melalui iltizam yang penuh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

...mengingatkan pada diri ... HIJRAH - iltizamku sambut tahun baru....

"Ya ALLAH jadikanlah sebaik-baik umur saya pada hujungnya, dan sebaik baik amal an saya adalah pada akhirnya dan sebaik-baik hari adalah pada saat saya menemuiMU... Jika esok atau pada tahun hadapan nafas tidak lagi ENGKAU titipkan kepada saya, maka permudahkan saya pada saat sakaratul maut ya ALLAH dan terimalah segala ibadah saya yang tak sempurna ini..." Amin.



Sunday, December 5, 2010

Erti Kebahagiaan


Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang kita cari dalam hidup. Walaupun mungkin usia sudah menjangkau setengah abad, tapi jiwa masih dalam pencarian. Apakah yang kita cari...?

Sukar untuk kita menilai erti kebahagiaan buat diri seseorang. Mungkin ada yang mengukur kebahagiaan dari segi material, dan ada juga yang melihatnya daripada aspek lain. Kadang-kala kita perlu reda, menerima sesuatu seadanya tanpa meminta lebih barulah rasa bahagia itu datang. Yang penting, hati mesti sentiasa dekat dengan Tuhan, barulah jiwa kita akan tenang dan tenteram. Kita juga akan rasa lebih berlapang dada dalam menerima sesuatu keadaan; tidak akan mengharapkan sesuatu yang menjangkaui kemampuan diri.

Jangan juga cuba mengukur kebahagiaan anda dengan kebahagiaan orang lain! Setiap orang ada sebab berbeza-beza yang membuatkan mereka bahagia. Oleh itu jangan sekali-kali menganggap anda akan bahagia jika jadi seperti mereka. Mungkin andainya benar terjadi, anda seperti mereka, tidak mustahil anda tetap tidak bahagia!

Kita akan sentiasa berasa bahagia jika kita... *** tidak menyimpan dendam *** tidak hidup dengan masa lalu *** sentiasa bersyukur

Semoga kita semua berbahagia dengan cara kita....

Thursday, December 2, 2010

Berdoalah untuk kesejahteraan....


Berdoa ialah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang berasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan doa ke hadrat Allah s.w.t. agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia berasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.

Sebagai seorang Mukmin yang yakin atas Qada' dan Qadar Allah s.w.t., kita perlu berfikiran positif dan yakin terhadap apa-apa sahaja keputusan Allah s.w.t. Kita perlu yakin, itu ialah keputusan yang terbaik, yang hanya Allah s.w.t. sahaja Maha Mengetahui atas kehidupan kita pada masa sekarang dan pada masa akan datang.

Saya ingin berkongsi sebuah artikel yang dipetik daripada http://abubasyer.blogspot.com/2010/11/bersabarlah-dengan-ujian-penyakit.html

TAJUK : BERSABARLAH DENGAN UJIAN PENYAKIT DARIPADA ALLAH

Setiap manusia yang hidup di dunia ini tidak akan terlepas daripada menghidapi penyakit. Ada masanya penyakit datang sekali sekala seperti demam panas, pening kepala dan sakit gigi . Ada penyakit datang berterusan menyebabkan penghidapnya hidup menderita hingga membawa kepada kematian. Penyakit yang datang berpunca daripada kuman, virus atau bakteria yang menyerang organ manusia hingga menyebabkan kerosakan organ-organ tersebut seperti buah pinggang, hati, jantung, paru-paru, usus dan lain-lain. Penyakit seperti kanser, sakit kencing manis, sakit jantung, paru-paru berair dan penyakit-penyakit lain ialah penyakit yang sering menyerang manusia sama ada orang dewasa, remaja atau kanak-kanak.


Sebagai seorang Mukmin kita kena redha bahawa penyakit itu datangnya daripada Allah s.w.t. dan Dia juga yang akan memulihkannya. Setiap penyakit itu pasti ada ubatnya yang disediakan oleh Allah s.w.t. Dia mendatangkan penyakit kepada hamba-Nya adalah semata-mata Dia ingin menguji kesabaran dan keimanan hamba-Nya; Adakah dengan penyakit itu seseorang hamba akan berasa kecewa dan putus asa? Atau dengan penyakit yang dihadapinya dia akan redha dengan Qada' dan Qadar Allah s.w.t.?


Walau apa-apa saja yang kita alami di dunia ini, ia merupakan sunnatullah yang telah ditetapkan menurut hikmah-Nya sebagai cubaan dan ujian. Dalam al-Qur'an banyak disebut mengenai ujian Allah ini. Dengan kata lain, manusia sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk sama ada manusia suka atau tidak Allah tetap mengujinya.

Al-Qur'an dalam surah Al-Anbiya ayat 35 Allah berfirman yang bermaksud:
“Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

Sebenarnya ada hikmah bagi orang Mukmin bila ditimpa sakit kerana dalam sakit itu terkandung pahala dan keampunan serta sekali gus mengingatkan kepada kita akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Darjat yang tinggi Allah berikan kepada mereka yang tabah dan sabar dalam menghadapi musibah sakit ini, dengan syarat pesakit tidak melupakan kewajipan solat lima waktu. Betapa pun sakit itu tidak membolehkan kita untuk berdiri atau bersuci, namun kita tidak boleh meninggalkannya hanya atas sebab itu.

Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.” (Hadis riwayat Al Bukhari)

Selain ubat, doa juga penting untuk cepat menyembuhkan penyakit.
Berdoa bererti memohon kepada Allah yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah s.w.t..

Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku.”

Daripada Abu Hurairah r.a. dan Abu Sa’id r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah gulanaan hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya (dosa-doasnya)."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Tidaklah seorang Muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu derajat dan dihapuskan pula satu kesalahan darinya” (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w melarang kita mencaci maki akan marah kerana ditimpa penyakit demam seperti sabda baginda yang bermaksud :
“Janganlah kamu mencaci maki penyakit demam, kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi.” (Hadis Riwayat Muslim)

Allah s.w.t mengasihi hamba-Nya supaya Dia dapat mengembalikan hamba-Nya untuk mengingati-Nya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat sebelummu, kemudian Kami timpa mereka dengan kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk dan merendahkan diri.”(Surah .Al-An’am ayat 42)

Allah s.w.t. menimpakan cubaan berupa penyakit dan penderitaan kepada orang Mukmin agar dia mengingat saudara-saudaranya yang ditimpa kesulitan, sehingga rasa simpati untuk membantunya.

Allah s.w.t. menjadikan penyakit yang dihadapi adalah sebagai ubat pembersih untuk mengeluarkan semua kotoran dan penyakit hati yang ada pada hamba-Nya, yang kalau seandainya kotoran dan penyakit tersebut tidak dibersihkan maka seseorang itu akan celaka (kerana dosa-dosanya), atau paling kurang, berkurang pahala dan darjatnya di sisi Allah s.w.t.. Oleh sebab itu, hendaklah kita bersabar supaya meraih pahala yang sempurna dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya :
“Alangkah mengagumkan keadaan seorang mukmin, karena semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Imam Ibnu Qayyim berkata :
“Hati dan roh boleh mengambil manfaat dari penderitaan dan penyakit yang merupakan urusan yang tidak boleh dirasakan kecuali jika di dalamnya ada kehidupan. Kebersihan hati dan roh bergantung kepada penderitaan badan dan kesulitannya." (Tuhfatul Mariidh hal 25)

Allah s.w.t. menjadikan ujian penyakit di dunia sebagai sebab untuk menyempurnakan keimanan seorang hamba terhadap kenikmatan sempurna yang Allah s.w.t. sediakan bagi hamba-Nya yang bertaqwa di Syurga kelak. Inilah keistimewaan Syurga yang menjadikannya sangat jauh berbeda dengan keadaan dunia, kerana Allah menjadikan Syurga-Nya sebagai negeri yang penuh kenikmatan yang kekal abadi, serta tidak ada kesusahan dan penderitaan padanya selamanya. Sehingga kalau seandainya seorang hamba terus-menerus merasakan kesenangan di dunia, maka tidak ada ertinya keistimewaan Syurga tersebut, dan dikhuatirkan hamba tersebut hatinya akan terikat kepada dunia, sehingga lupa untuk mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
“Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang sedang melakukan perjalanan.” (Hadis Sahih Riwayat Al Bukhari)

Akhirkata perlulah sama-sama kita berbaik sangka kepada Allah dan redha di atas Qadha' dan Qadar-Nya sekiranya Allah s.w.t. menguji kita jadikanlah sabar dan solat itu penolong kita.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (yaitu) orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya”. (Surah Al-Baqarah ayat 45-46)





Wednesday, December 1, 2010

Selamat Panjang Umur....




Buat suami,
insan yang penuh dengan cinta dan sayang,
ingin kutitipkan ucapan
...

"SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-50..."

Kupanjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah s.w.t. kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju.

Buat suami tercinta, kutujukan doa khusus buatmu. Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupanmu sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umurmu, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan....

Kudoakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku, agar aku mampu membuatmu sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun tika hidup kita dihempas gelombang.

Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih sayang kerana hadirmu begitu membahagiakan....