CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, September 30, 2013

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR 2013



KEPADA SEMUA CALON PMR, KHUSUSNYA DI SMK TANAH PUTIH,


SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN PMR YANG AKAN BERMULA LUSA, 2 - 9 OKT 2013.... 


esok, kelas 'AWESOME 35' yang terakhir

murid 3K1 di bilik peperiksaan yang akan digunakan semasa PMR 2013 nanti

KEPADA ANAK SAUDARAKU SHAWALTU NAJWA BT SAHAZALI YANG AKAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN PMR DI DEWAN SMK AMINUDIN BAKI KL, DIDOAKAN AGAR BEE DAPAT MENGULANGI KECEMERLANGAN SEBAGAIMANA YANG PERNAH DILAKARKAN SEBELUM INI.  INSYAALLAH.

 

SEMOGA KALIAN AKAN MEMPEROLEH KEJAYAAN YANG CEMERLANG DALAM PMR DAN DALAM KEHIDUPAN SETERUSNYA SELEPAS INI.

PENGEMBARAAN KALIAN DALAM MENCARI KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN YANG HAKIKI MASIH JAUH....

SELAMAT MAJU JAYA...!



Saturday, September 28, 2013

"Yeay....dapat juga jumpa Hannan"



Akhirnya rinduku pun terlerai.

Sungguh, benar sekali.  Dia mendengar suara hatiku.  Dia Maha Mengetahui dan Maha Penyayang.  Tadi lebih kurang pukul 4.00 petang ketika mataku hampir terlelap, telefon antikku berbunyi minta dijawab.


Abah Hannan rupanya.  Jarang-jarang terima panggilan daripada Abah Hannan.  Yang biasa membuat panggilan atau menghantar SMS bertanyakan khabarku ialah Mummy Hannan.

"Mak, Emi ada di Legend Cherating sekarang.  Datanglah.  Ayah ada di rumah ke?"

"Ayah kerja.  Tak tahulah dapat pergi atau tidak.  Esok Mak ada majlis blarok keluarga Echah di Kg. Sri Damai, Kuantan."

"Tak apalah kalau begitu.   Esok Emi singgah di Kuantan sebelum balik ke KT"

"Baiklah, rasanya sempat.  Mak mungkin sampai rumah dalam pukul 2 petang."




Hatiku melonjak kegembiraan dan ingin sangat bertemu mereka.  Dalam masa yang sama aku terfikir, sempatkah kami bertemu esok?  Pukul berapa majlis blarok akan selesai?  Takkan mereka datang ke Kuantan dulu kemudiannya bertolak balik ke KT?  Pukul berapa mereka akan sampai di rumah kelak?  Pagi Ahad Abah Hannan berkerja.  Tidak penatkah dia?  Pelbagai persoalan menerjah mindaku.

Lalu aku terus menelefon Encik Kasihku.  Aku memberitahunya tentang perbualan yang berlaku dengan Abah Hannan.  Sebenarnya ada maksud tersirat.  Syukur, Encik Kasihku memahaminya dan bersetuju untuk menjengah mereka pada malam nanti.  Tapi beberapa minit selepas itu, melalui telefon Encik Kasihku mengajak aku pergi petang itu juga selepas dia balik dari pejabat.  Tidak terkata gembira sungguh hatiku.  Yeay, dapat juga jumpa mereka, tidak perlu menunggu lama.  Semuanya adalah dalam perancangan-Nya.

5.30 petang lebih kurang kami bertolak ke Cherating.  Kami redah hujan yang agak lebat dan dalam masa kurang daripada 40 minit kami tiba di pekarangan LBR.   Bilik 222 kami jengah.  Terpandang sahaja wajah mereka, rinduku terurai gugur satu persatu. Alhamdulillah.


Sempatlah kami 'bermain-main' dengan Hannan dan bertanya khabar anak menantu.  Usai solat Maghrib, kami beredar mencari ruang untuk makan malam.  Kami singgah di Restoran Pak Su, tidak jauh dari LBR.  



Pengunjung belum lagi ramai kerana waktu itu masih awal.  Beberapa ketika selepas itu, tempat duduk di restoran tersebut hampir penuh dengan pengunjung yang entah dari mana mereka datang.  Barangkali pengunjung itu adalah sebahagian daripada mereka yang menghabiskan cuti hujung minggu dengan bersantai sambil menikmati keindahan pantai Laut China Selatan.



Usai makan malam, Hannan pun nampaknya sudah mula nak tunjuk ragam.  Tangannya asyik menggeyeh mata tanda mengantuk walaupun jam baru menunjukkan 9.20 malam.  Agaknya penat kerana sepetang berada di pantai dan di kolam bermain air.  Kami beredar dari Restoran Pak Su dan terus pulang ke IM8 setelah singgah sekejab di LBR.   

Pukul 10.00 malam kami sudah selamat sampai di rumah IM8.   Sempat lagi Encik Kasihku menonton Pasukan Tok Gajah menyumbat gol yang ke-2 & ke-3 mengalahkan PKNS. 

Selamat malam Hannan.  Selamat malam semua.  Nanti kita jumpa lagi.  Tidurlah dengan lena cucuku.

Allahuakbar.  Alhamdulillah. Rindu yang kukendong semalam sudah terurai sebahagiannya....Dia Maha Mengetahui.




Thursday, September 26, 2013

RINDU BERTAMU LAGI....



SESEKALI tika gerimis turun

bertukar lebat menjadi hujan

membasahi bumi yang sudah lama gersang

rindu itu pun singgah bertandang

pada sore yang kian kelam....


SEBENARNYA,

baru 2 minggu berlalu

berkumpul bermesra bersama cucu dan anak menantu


Hannan....

tapi hatiku terasa seperti sudah lama benar tak bertemu

rindu yang bertamu

buat hatiku rasa sebu....

anak menantu & cucu....

SESUNGGUHNYA,

lebih sepurnama tidak kutemui mereka

tidak sempat kujengah walaupun untuk seketika

untuk menatap wajah Ayahanda Bonda tercinta

hanya kenangan sewaktu bersama bermain di mata.


 Papa dan Mama.... kukendong rindu yang sarat

BEGITULAH catatan yang tersurat...

pabila tiba masanya

tidak akan terlewat atau tercepat walaupun sesaat

sudah hampir lima purnama rupanya

Mek kembali ke alam abadi menemui Pencipta

meninggalkan anak menantu cucu cicit dan saudara mara

ah, rindu di hatiku tidak tertahan rasanya

mengendong kenangan hampir 28 tahun bersama.

 di airport Subang menunggu saat Mek berlepas ke Tanah Suci lebih 20 tahun yang lalu...

ALHAMDULILLAH, syukur kepada-Mu Ilahi

dalam ruang kosong yang sunyi ini

masih ada yang sudi menemani

encik kasihku yang sentiasa setia di sisi

berdua meniti hari di teratak nan sepi

menyusun memori yang telah lama terpateri

buat pengubat rindu yang tak pernah bertepi.
 
setia bersama di sepanjang jalan pulang....

SESUNGGUHNYA,

tidak pernah kulupa untuk berdoa

mohon limpahan kasih sayang dan dilindungan-Nya

setiap hari, tanpa mengira saat atau ketika....
 


SEMEMANGNYA

akan terus kutadah tangan memohon doa

tanda syukur yang tidak terkira

atas nikmat-Mu buat kami semua

cucu anak menantu dan seluruh ahli keluarga.


BIARLAH  rindu yang bertamu ini

terus menghiasi malam sunyi kami

sehingga tiba saatnya nanti

kita pasti bertemu kembali....









Monday, September 23, 2013

CALON PMR 2013... sudahkan anda bersedia....?


Musim demam peperiksaan semakin 'merebak'. UPSR baru sahaja berlalu. Tidak lama lagi, PMR dan diikuti dengan peperiksaan SPM dan STPM. Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk membantu murid memantapkan persiapan mereka bagi menghadapi peperiksaan. AWESOME '35, KELAS INTENSIF, KELAS TAMBAHAN, PRAPMR, PECUTAN AKHIR PMR, COUNTDOWN PMR....

Anak-anak didiku... sudahkah anda bersedia...?

Minggu ini merupakan minggu terakhir kami bersama murid PMR.  PROGRAM JADUAL ANJAL PMR  sudah berakhir dan bermula kelas intensif dan COUNTDOWN PMR di SMKTP. 


Daripada pemerhatian kami, walaupun ramai murid yang menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk memantapkan kemahiran mereka bagi menghadapi PMR nanti, tetapi terdapat juga segelintir murid yang masih tidak endah dengan PMR yang akan bermula dalam masa beberapa hari sahaja lagi.... 




Kami para guru telah usahakan yang terbaik untuk mereka. Apa-apa pun, kami berharap agar program ini dapat memberi manfaat kepada lebih 360 murid Tingkatan 3 di SMKTP bagi menghadapi PMR pada 2 - 9 OKTOBER ini.

Majlis Solat Hajat (19.9.13)

Pada malam Jumaat lepas (19 September 2013), telah diadakan solat hajat bagi murid Islam. Berdoalah sentiasa agar diberi ketenangan dan kelapangan fikiran semasa menjawab soalan nanti. Majlis Restu Ilmu pula akan diadakan pada Isnin ini (30 SEPTEMBER 2013), juga bertempat di Dewan SMKTP.

KELAS TAMBAHAN - Sabtu (21.9.13)



SELAMAT MENGHADAPI PMR 2013....

Thursday, September 19, 2013

Majlis Solat Hajat PMR & SPM 2013...


Saya baru sahaja balik dari program Solat Hajat dan Bacaan Yaasin yang diadakan di Dewan Terbuka sekolah, anjuran Panitia Pendidikan Islam. Hadirin mula berkumpul seawal 6.30 petang.

Selepas azan Maghrib berkumandang, para hadirin terus mendirikan solat Maghrib dan diikuti oleh Solat Hajat





Seterusnya, bacaan surah Yaasin dilakukan beramai-ramai sebelum tazkirah disampaikan sementara menunggu solat Isyak. Sebelum  solat Isyak, Tuan Pengetua, ENCIK CHAN KOK WAI telah mengambil kesempatan untuk memberi kata semangat kepada murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan PMR pada 2 OKTOBER 2013 ini dan SPM tidak lama lagi. Sebelum bersurai, para hadirin dijemput menjamu selera....


Kehadiran ibu bapa, murid dan guru-guru tadi bolehlah dikatakan sangat menggalakkan. Terima kasih kepada mereka yang telah hadir. Sesungguhnya program tahunan ini bertujuan untuk mendedahkan kepada murid tentang kepentingan sikap mengharap dan bertawakkal kepada Allah s.w.t setelah segala usaha dilakukan selama ini. Aktiviti ini juga boleh dijadikan sebagai medan untuk menanam dan membina budaya hidup dan kecintaan Islam dalam diri murid-murid.


Kesempatan mengumpulkan murid-murid serta ibu bapa mereka memberi peluang kepada penceramah dalam sesi tazkirah untuk memberi tips dan perkara-perkara yang patut diberi perhatian serta dipraktikkan oleh ibu bapa dan anak-anak menjelang peperiksaan PMR dan SPM 2013 nanti.

Semoga kejayaan akan mengiringi anak-anak didik kita hendaknya. Insya Allah.

Wednesday, September 18, 2013

19 SEPTEMBER.... Kita raikan bersama....


 Esok, 19 SEPTEMBER... saya berkongsi 
tarikh ulang tahun kelahiran 
dengan seorang sahabat lama...
 sahabat sejak zaman sekolah rendah lagi.... 
 

2012....

Buat sahabatku, SARIMAH BT. OMAR....

Std 6 Blue 1974...

Dulu,
sejak di bangku sekolah rendah
sehingga dijengah usia remaja
kita tidak pernah lupa akan tarikh keramat ini.

Dulu,
kita sering bertukar-tukar kad ucapan
diiringi doa dan harapan
demi kesejahteraan
dan keabadian
jalinan persahabatan.

Dulu,
setiap kali tiba musim libur
dalam kelelahan mengejar cita
kita tidak pernah lupa
bertemu dan bercerita
berkongsi kisah remaja
indah dan mengasyikkan.

Tiba-tiba
tanpa sedar
kita terpisah
...tanpa berita
...tanpa kata
lantaran cita-cita
kita bawa haluan diri
demi mengukuh peribadi
bersama keluarga
bersama tuntutan masa
tidak pernah lagi bersua muka
bertahun-tahun lamanya.

Sahabat,
kenangan sering singgah
walaupun kita terpisah jauh
ingatan tetap utuh
minda terus diterjah
walaupun sukar ditelah....

Sahabat,
setiap kali menjelang 19 September
hati meronta
lantaran jejakmu yang hilang
sukar dikesan
kad pengganti diri
tersimpan rapi
kemas dalam lipatan
tanpa dikirim...

hanya di angin lalu
ucapan kutitipkan
"SELAMAT HARI LAHIR....."
Setelah terpisah sekian lama
tiba jua saat dan ketika
dengan kehendakNYA
kita dipertemukan semula
seperti baru semalam kita bersapa...

Sungguh indah pertemuan itu
sekian lama kenangan yang tersimpan
kembali segar dalam ingatan
titian persahabatan
kembali bertaut erat
melerai rindu yang sarat.





2010....
Sahabat,
inginku panjatkan syukur ke hadrat Ilahi
pertemuan semula pada usia begini
pasti mengendong seribu makna
walaupun banyak sudah yang berbeza
walaupun kita semakin dihambat usia
namun, taman persahabatan kita
tetap semerbak harumnya
sewangi kesturi.

Kini,
walaupun tiada kad pengganti diri
namun, ingatan tetap bertakhta di hati
di ruang ini ingin kutitipkan
ucapan keramat,

"SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN"

untukmu sahabat
untuk kita berdua
sama-sama menempuh suka duka

sama-sama berkongsi kenangan....

19 SEPTEMBER 1962






Tarikh ulang tahun kelahiran pada 19 SEPTEMBER juga dikongsi dengan rakan setugas... NOR EKELIDA BT. ZAKARIA.  Tarikh sama, tetapi tahun berbeza.....

bersama Ekelida dan rakan-rakan yg lain : Che Pah, Zie, Chah, Imah dan Jah.... 2010

Buat Eke, semoga terus cemerlang dalam kerjaya, bahagia bersama keluarga, diberkati Ilahi sentiasa dan terus tabah menghadapi perjalanan hidup yang penuh liku ini....
 

Sunday, September 15, 2013

SELAMAT HARI MALAYSIA

Esok, Isnin 16 SEPTEMBER 2013 merupakan Hari Malaysia.

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama tahun 1963, 3 hari sebelum saya menyambut ulang tahun kelahiran yang pertama.

Perisytiharan ini menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. 

Pada asalnya, pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-6. 
Periystiharan Pembentukan MALAYSIA pada 16 SEPTEMBER 1963....

Selain itu, beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambat pengisytiharan hingga ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan hari cuti umum di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri

Walaupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti umum di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti umum di semua negeri di Malaysia.



Friday, September 6, 2013

kisah buah celagi @ asam jawa...


Pagi tadi, rakan sekerja CIKGU ZAIDOM MUDA membawa buah celagi ke sekolah.  Dibedak-bedakkan kepada kami.... mereka panggil buah ni buah asam jawa.  Terima kasih, sahabat kerana mengembalikan nostalgia makan buah celagi ketika zaman kanak-kanak dulu....


BUAH CELAGI sebenarnya berasal daripada Pokok Jawa atau Tamarind. Rasanya yang masam masam manis menjadikan buah celagi makan ringan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Kelantan.   Asam jawa atau celagi ialah sejenis pokok saka malar hijau yang menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan harian di Malaysia.   


Bersumberkan Cik Wiki, rekod dan sejarah ada menunjukkan bahawa ibu negeri Senegal diberi nama ‘Dakar’ dalam bahasa tempatan yang bermaksud “pokok asam jawa”. Pokok asam jawa merupakan tumbuhan semula jadi di benua Afrika.   

Kini asam jawa telah tersebar luas ke serata dunia dan termasuklah yang ada di Malaysia. Ia juga boleh menjadi pokok hiasan selain ditanam sebagai pokok tanaman. Pokok ini diperkenalkan ke negara-negara di Asia melalui pedagang-pedagang Arab yang datang singgah ke Asia Tenggara. India ialah negara yang mempunyai tanaman dan ladang asam jawa yang paling luas di dunia.  


Nama lain bagi buah celagi atau asam jawa ialah Asam, Asam Jawa, Asam Kemal, Asam Kuning (Melayu).


Asam jawa merupakan sejenis ramuan masakan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu.  Biasanya asam jawa akan dilarutkan ke dalam air dan hanya airnya digunakan dalam masakan. Hampasnya pada kebiasaannya dibuang. 

Selain digunakan dalam masakan, asam jawa juga boleh dimakan begitu sahaja ataupun dengan ditambah dengan gula. Selain itu asam jawa juga digunakan secara tradisional bagi mengubat batuk dan perit tekak. Pucuk muda mentah atau yang telah dicelur, dimakan dengan budu, cencaluk, sambal belacan atau pencecah lain dengan nasi.  Buah muda asam jawa yang dikupas kulit dan ditumbuk kasar atau diracik kecil, dicampurkan dengan sambal belacan, sesuai dimakan dengan nasi. Rasa buah asam jawa adalah masam-masam manis manakala daunya berasa sedikit kelat dan masam.




Suatu ketika dahulu, ketika kami di sekolah rendah, kami suka mengutip buah celagi @ buah asam jawa ini selepas balik mengaji Quran madrasah Tok Nik Weil.  Di hadapan kedai Mok Yoh Aji ada sebatang pokok celagi yang besar.  Pokok celagi ini merupakan pokok saka yang mana pokok matangnya boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter. Pokok ini boleh hidup lama dan masih mampu mengeluarkan hasil walaupun telah berusia puluhan tahun. Pokok ini tahan dari serangan serangga perosak, tiupan angin kencang malahan tahan terendam dalam air berbanding dengan pokok lain. 

Batang pokok celagi di hadapan kedai Mok Yoh Aji  pendek dan mempunyai banyak cabang dan bentuk pokoknya adalah rimbun.   Dahan dan cabang pokok mempunyai susunan yang terbuka luas.  Dahan pokok amat kuat dan tahan tiupan angin kencang dan jarang-jarang sekah atau patah.   Kanopi pokok celagi ini juga berbentuk seperti kubah yang bulat melebar. Daun celagi yang gugur menghiasi tanah....


Buah celagi mempunyai dua jenis iaitu celagi yang manis dan yang masam.  Buah celagi boleh dimakan segar dan ada dijual di pasar kebanyakannya di Utara seperti Kedah dan Perlis (bekalan dari Thailand). Asam jawa biasanya dijadikan jus minuman yang dicampur dengan air gula sebagai minuman segar terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia serta negara tropika lain. 

Kini jus asam jawa telahpun dibotolkan dan mudah didapati secara runcit oleh usahawan tempatan dalam pasaran domestik malahan ekspot. Syarikat ADABI menghasilkan puri asam jawa yang ‘sedia guna’ dan mendapat pasaran yang sangat luas di Malaysia. Kordial minuman asam jawa juga merupakan antara perisa yang popular di Malaysia.  


Peranan asam jawa dalam masakan memang penting dari zaman nenek moyang hinggalah kini. Ada pepatah Melayu yang berbunyi 'garam di laut, asam di darat; dalam periuk, bertemu jua'. Pepatah ini menunjukkan betapa pentingnya peranan asam dalam kehidupan harian masyarakat kita.

Di Kelantan misalnya, terdapat aktiviti industri asas tani dengan memproses asam jawa menjadi sejenis pencuci mulut.  Caranya adalah dengan membuat asam jawa disalut dengan gula pasir, serbuk cili dan dibalut seperti gula-gula.  Rasa masam, manis dan pedas ini sangat enak rasanya dan harganya juga sangat murah.   Sebenarnya, asam jawa 'putar' yang banyak terdapat di Pasar Siti Khatijah kini datangnya dari seberang Sungai Golok....!

Kegunaan celagi atau asam jawa dari segi perubatan tidak boleh dikira banyaknya. Untuk tujuan komersial didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung. Sama ada dimakan begitu sahaja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat berkesan dalam mengatasi masalah penghadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (skurvi). Amalan ini juga telah terbukti secara klinikal di beberapa negara seperti di India.

Asam jawa juga digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan.   Ia juga digunakan untuk berkumur-kumur bagi mengurangkan sakit tekak. Caranya adalah dengan mengambil sedikit garam dicampur ke dalam air asam dan kemudian ia boleh digunakan sebagai sapuan bagi melegakan sakit sendi. 

Daun asam jawa sama ada yang kering atau yang telah direbus boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh. Losyen atau ekstrak daunnya pula boleh digunakan bagi merawat sakit mata, sebagai antiseptik, merawat cirit-birit, jaundis, sakit kulit dan buasir. Kulit pokok asam jawa, jika digoreng dengan garam dan dikisar lumat boleh digunakan sebagai penawar ketakcernaan dan kolik. Air rebusannya digunakan dalam kes radang gusi, lelah dan sakit mata. Losyennya boleh digunakan pada kudis dan ruam ulat bulu. Tepung daripada biji asam digunakan untuk merawat bisul.

Begitulah alkisahnya buah celagi @ asam jawa yang sangat dekat di hati masyarakat kita....