CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, September 28, 2013

"Yeay....dapat juga jumpa Hannan"



Akhirnya rinduku pun terlerai.

Sungguh, benar sekali.  Dia mendengar suara hatiku.  Dia Maha Mengetahui dan Maha Penyayang.  Tadi lebih kurang pukul 4.00 petang ketika mataku hampir terlelap, telefon antikku berbunyi minta dijawab.


Abah Hannan rupanya.  Jarang-jarang terima panggilan daripada Abah Hannan.  Yang biasa membuat panggilan atau menghantar SMS bertanyakan khabarku ialah Mummy Hannan.

"Mak, Emi ada di Legend Cherating sekarang.  Datanglah.  Ayah ada di rumah ke?"

"Ayah kerja.  Tak tahulah dapat pergi atau tidak.  Esok Mak ada majlis blarok keluarga Echah di Kg. Sri Damai, Kuantan."

"Tak apalah kalau begitu.   Esok Emi singgah di Kuantan sebelum balik ke KT"

"Baiklah, rasanya sempat.  Mak mungkin sampai rumah dalam pukul 2 petang."




Hatiku melonjak kegembiraan dan ingin sangat bertemu mereka.  Dalam masa yang sama aku terfikir, sempatkah kami bertemu esok?  Pukul berapa majlis blarok akan selesai?  Takkan mereka datang ke Kuantan dulu kemudiannya bertolak balik ke KT?  Pukul berapa mereka akan sampai di rumah kelak?  Pagi Ahad Abah Hannan berkerja.  Tidak penatkah dia?  Pelbagai persoalan menerjah mindaku.

Lalu aku terus menelefon Encik Kasihku.  Aku memberitahunya tentang perbualan yang berlaku dengan Abah Hannan.  Sebenarnya ada maksud tersirat.  Syukur, Encik Kasihku memahaminya dan bersetuju untuk menjengah mereka pada malam nanti.  Tapi beberapa minit selepas itu, melalui telefon Encik Kasihku mengajak aku pergi petang itu juga selepas dia balik dari pejabat.  Tidak terkata gembira sungguh hatiku.  Yeay, dapat juga jumpa mereka, tidak perlu menunggu lama.  Semuanya adalah dalam perancangan-Nya.

5.30 petang lebih kurang kami bertolak ke Cherating.  Kami redah hujan yang agak lebat dan dalam masa kurang daripada 40 minit kami tiba di pekarangan LBR.   Bilik 222 kami jengah.  Terpandang sahaja wajah mereka, rinduku terurai gugur satu persatu. Alhamdulillah.


Sempatlah kami 'bermain-main' dengan Hannan dan bertanya khabar anak menantu.  Usai solat Maghrib, kami beredar mencari ruang untuk makan malam.  Kami singgah di Restoran Pak Su, tidak jauh dari LBR.  



Pengunjung belum lagi ramai kerana waktu itu masih awal.  Beberapa ketika selepas itu, tempat duduk di restoran tersebut hampir penuh dengan pengunjung yang entah dari mana mereka datang.  Barangkali pengunjung itu adalah sebahagian daripada mereka yang menghabiskan cuti hujung minggu dengan bersantai sambil menikmati keindahan pantai Laut China Selatan.



Usai makan malam, Hannan pun nampaknya sudah mula nak tunjuk ragam.  Tangannya asyik menggeyeh mata tanda mengantuk walaupun jam baru menunjukkan 9.20 malam.  Agaknya penat kerana sepetang berada di pantai dan di kolam bermain air.  Kami beredar dari Restoran Pak Su dan terus pulang ke IM8 setelah singgah sekejab di LBR.   

Pukul 10.00 malam kami sudah selamat sampai di rumah IM8.   Sempat lagi Encik Kasihku menonton Pasukan Tok Gajah menyumbat gol yang ke-2 & ke-3 mengalahkan PKNS. 

Selamat malam Hannan.  Selamat malam semua.  Nanti kita jumpa lagi.  Tidurlah dengan lena cucuku.

Allahuakbar.  Alhamdulillah. Rindu yang kukendong semalam sudah terurai sebahagiannya....Dia Maha Mengetahui.




0 comments: