CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, August 21, 2011

perihal hidup....


Hidup merupakan suatu pengembaraan yang panjang.

Setiap tindakan yang diambil hari ini menentukan nasib masa hadapan.
Pepatah Melayu ada menyebut, "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna".
Kata-kata ini sememangnya memberi maksud yang begitu bermakna untuk dihayati kerana ia bukan sahaja melambangkan kehidupan yang dilalui, tetapi ia turut merangkumi segala tindak-tanduk yang akan diambil oleh seseorang untuk menyelesaikan masalah....

Dalam kehidupan seharian, kita tidak mungkin dapat mengubah permulaan yang sudah kita buat, tetapi kita boleh menentukan bagaimanakah bentuk penghujung kehidupan yang ingin kita jalani kelak.
Sama ada kita memilih untuk bersusah payah dahulu dan bersenang-senang kemudian ataupun sebaliknya.

Tepuk dada tanya hati !


Friday, August 19, 2011

Nuzul al-Quran (3)


Sambungan entri terdahulu...

SEJARAH PENGUMPULAN DAN PEMBUKUAN AL-QURAN

AL-QURAN yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui beberapa cara iaitu:

• Jibril memasukkan ke dalam hati Baginda dalam keadaan Baginda tidak melihat apa-apa, hanya Baginda berasa bahawa wahyu itu berada dalam hatinya.

• Malaikat memperlihatkan dirinya sebagai seorang lelaki dengan mengucapkan ayat kepada Baginda sehingga Baginda benar-benar dapat menghafaz ayat yang diturunkan itu.

• Wahyu datang kepadanya berserta bunyi loceng. Ini adalah cara yang paling berat dihadapi oleh Baginda sehingga keadaan baginda sangat panas walaupun ketika itu cuaca sangat sejuk.

• Jibril memperlihatkan dirinya yang sebenar sepertimana yang dialami oleh Baginda sewaktu turunnya ayat surah al-Muzammil.

Sejarah penurunan al-Quran pula terbahagi kepada tiga peringkat iaitu:
• Allah menurunkan al-Quran ke Luh Mahfuz secara sekali gus bukannya secara beransur-ansur. Firman Allah dalam surah al-Buruj ayat 21 - 22 yang bermaksud: “Bahkan apa yang didustakan mereka itu ialah al-Quran yang mulia, yang tersimpan dalam Luh Mahfuz.”
• Dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia juga diturunkan sekali gus. Firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan ayat 3 maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran di malam yang penuh keberkatan.” Firman-Nya lagi dalam surah al-Qadar ayat 1 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr.” Firman-Nya lagi dalam surah al-Baqarah ayat 185 maksudnya: “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran.”
• Turun dari langit dunia kepada Nabi saw melalui perantaraan Jibril bermula tanggal 17 Ramadan . Firman Allah dalam surah as-Syura ayat 192-195 maksudnya:

“Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam, dibawa turun oleh Ar-Ruhul Amin (Jibril) ke dalam hatimu (Muhammad saw) supaya kamu menjadi salah seorang di antara orang yang memberi peringatan dengan bahasa Arab yang jelas.”

Setiap ayat yang dibawa oleh Jibril dihafaz oleh Nabi SAW kemudian baru dibacakan kepada sahabat.
Nabi saw menghafaznya betul-betul bimbang jika tertinggal perkataan tertentu atau huruf tertentu. Baginda mengulangi bacaan ketika Qiamullail(bangun malam) dan solat. Setiap tahun sekali Nabi SAW ditasmi (mendengar dan membetulkan) bacaannya oleh Jibril(Angel Gabriel) dalam bulan Ramadan secara bertadarus.

Pada akhir hayat Baginda, Jibril mentasminya sebanyak dua kali.
Sahabat berusaha dan bersungguh-sungguh menghafaz dan mempelajari serta memahaminya dengan menjauhi kenikmatan tidur dan rehat. Sebagaimana Rasulullah saw, sahabat turut memanfaatkan masa malam mereka untuk memantapkan hafalan mereka.

Di antara huffaz(penghafaz/ penghafal Al-Quran) terkenal daripada sahabat iaitu empat orang Khulafa Ar-Rasyidin (Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan dan Ali bin Abi Talib), Talhah, Ibnu Mas’ud, Huzaifah, Abu Hurairah, Ibnu Omar, Ibnu Abbas, (Ai’syah dan Hafsah){isteri Rasullullah). Termasuk daripada orang-orang Ansar(penduduk asal Kota Madinah) seperti Ubai bin Ka’ab, Muaz bin Jabal, Zaid bin Thabit, Abu Darda’ dan Anas bin Malik.

Pada masa sama, Nabi SAW melantik beberapa sahabat sebagai penulis wahyu. Mereka menulisnya sebagai salah satu teori pembelajaran berkesan setiap kali wahyu turun sebagai tambahan dalam hafalan supaya tidak hilang begitu saja. Di antara penulis itu ialah empat Khulafa’ Ar-Rasyidin, Muawiyah bin Abu Sufian, Khalid bin al-Walid, Ubai bin Kaab dan Zaid bin Thabit.

Penulisan pada waktu itu hanya dibuat diatas kulit kayu,batuan,kulit haiwan dan kain-kain sahaja berikutan kertas belum diketemukan.
Pada masa itu iaitu sewaktu Rasulullah SAW masih hidup, ayat al-Quran tidak dihimpunkan dalam satu mashaf(teks lengkap yang berbuku).

Ini disebabkan oleh beberapa faktor iaitu:
• Tidak ada faktor yang membolehkan untuk dikumpul satu mashaf daripada kemudahan penulisan, sedangkan sewaktu itu ada ramai huffaz(penghafal Al-Quran) dan qurra’(pembaca Al-Quran).
• Ada di antara ayat yang diturunkan itu nasikh dan mansukh(hukum atau ayat yang bertukar disebabkan perkara tertentu)
• Ayat al-Quran tidak diturunkan sekali gus, tetapi beransur-ansur.
• Setiap ayat yang turun adalah atas satu-satu faktor, sebab dan peristiwa.
Pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah ramai huffaz mati dalam peperangan Yamamah iaitu hampir 70 orang. Lalu Saidina Umar mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar supaya dihimpunkan helaian ayat-ayat Al-Quran yang ditulis berasingan sebelumnya kerana bimbang akan kehilangannya dengan sebab kematian huffaz dan qurra’.

Pada mulanya beliau ragu-ragu kerana Nabi SAW tidak pernah melakukannya dan takut seandainya berlaku perubahan ayat atau pertukaran ayat al-Quran.
Selepas dibincang dengan teliti, atas alasan maslahah dan menyedari bahawa ia adalah satu wasilah yang paling agung untuk memudahkan menghafaznya serta mengelakkan daripada hilang dan luput, maka Saidina Abu Bakar bersetuju untuk dikumpulkan ayat al-Quran itu. Maka dipanggil beberapa huffaz dan penulis wahyu zaman Nabi saw yang masih hidup antaranya Zaid bin Thabit bagi meneruskan usaha penulisan al-Quran.

Al-Quran kemudian ditulis oleh Zaid hasil pengumpulan daripada lembaran yang ada dan akhirnya diikat kemas, tersusun turutan ayatnya sebagaimana yang ditetapkan oleh Rasulallah SAW. Mashaf ini diserahkan kemudiannya kepada Saidina Abu Bakar. Selepas kewafatannya, diserahkan pula kepada Saidina Umar al-Khattab. Selepas beliau wafat, mashaf itu dipindahkan ke rumah Hafsah, isteri Rasulullah SAW yang juga anak Saidina Umar sehingga ke saat pengumpulan dan penyusunan Al-Quran pada zaman Khalifah Uthman.

Apabila berlaku pertentangan dari sudut bacaan ayat Al-Quran (disebabkan kemunculan ilmu Qiraat yang telah diizinkan Nabi Muhammad sebelumnya), ia akhirnya memaksa kepada tindakan Khalifah Uthman untuk membukukan Al-Quran. Maka dibentuk satu jawatankuasa penyelaras dalam usaha membukukannya.

Pada peringkat awal,jawatan kuasa penyelaras Al-Quran itu telah membukukan sebanyak 6 buah naskah Al-Quran iaitu untuk dipegang oleh Khalifah Uthman bin Affan sendiri,naskah dihantar ke Kota Basrah,naskah kepada kota Kufah dan kota Syam serta sebuah naskah ke kota Madinah Al-Munawwarah dan sebuah lagi ke kota Makkah Al-Mukarramah.

Manakala, kemudiannya diciptakan 2 buah naskah khas yang disalin terus dari naskhah Khalifah Saidina Uthman bin Affan untuk pegangan Sheikh Umar Dany dan Sheikh Abu Daud Sulaiman bin Najah. Dua salinan baharu itu hanya digunakan tatkala timbulnya perselisihan berkenaan teks salinan sebenar Kitab suci Al-Quran, serta membetuli akan keraguan dalam mashaf Al-Quran enam buah seperti yang dinyatakan diatas, akibat timbul dari perbezaan sebutan dan periwayatan imam-imam Qiraat.


Mashaf Uthmani yang asli yang dipegang oleh Khalifah Uthman sendiri serta 2 buah kitab yang disalin darinya sebenarnya ditulis dan disalin mengikut ejaan dan sebutan Arab Quraisy yang tepat mengikut bacaan Nabi Muhammad selaku seorang yang berbangsa Arab Quraisy. Ini dapat dibuktikan dengan penulisan dan pembarisan ayat-ayat Al-Quran mashaf Uthmani itu sendiri yang diriwayatkan oleh Hafs bin Sulaiman ibn Mughairah Al-Asadi Al-Kufi menurut bacaan Asim bin Abi Najud Al-Kufi At-Taabie daripada Abi AbdilRahman Abdillah bin Habibi Sulami daripada Uthman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Sabith dan Ubai bin Kaab dan akhirnya daripada Muhammad bin Abdullah(Nabi SAW).

Manakala cara membarisnya pula adalah diambil daripada apa yang telah diakui kesahihannya oleh para Ulama seperti yang dibandingkan dalam Kitab “At-Tarazu Ala Dhabtil Kharazi” karangan Imam At-Tanassi dengan mengambil tanda-tanda Al-Khalil bin Ahmad dan Para pengikut daripada kalangan(Masyariqah) Masyarakat Al-Quran, gantian daripada tanda-tanda yang disepakati oleh orang Andalusia(di Sepanyol) dan orang-orang Maghribi.


Akhirnya terhasillah apa yang dinamakan Mashaf Uthmani hasil penggemblengan tenaga oleh Zaid bin Thabit sebagai ketua, Abdullah bin Zubair, Said bin Ash dan Abdul Rahman bin Harith bin Hisyam.
Akhirnya mashaf Uthmani itu bertebaran ke seluruh dunia yang menjadi panduan umat Islam yang paling utama hingga hari ini.

Nota:
Walaupun Al-Quran yang telah distandardkan mengikut resam mashaf Uthmani sekarang,namun masih ada lagi saki baki kitab-kitab Suci Al-Quran mengikut resam yang berlainan seperti Al-Quran Muhammad (Quranul Majid), Mashaf Madinah dan lain-lain.

Hal ini demikian kerana Al-Quran tersebut diselaraskan dengan bacaan sesuatu pegangan imam Qiraat (Imam-imam Syatibi) yang khusus,tidak mengikut standart bacaan Arab Quraisy yang dipersetujui bersama. Namun begitu ayat-ayat Al-Quran dalam Teks resam yang lain dari mashaf Uthmani tidak mengubah akan ayat-ayat dan maksud Al-Quran itu, cuma mungkin berlainan dari segi tanda baris akibat dari sebutan yang diriwayatkan oleh imam-imam Qiraat yang berlainan. Namun diharapkan Al-Quran versi bukan mashaf Uthmani diminta untuk tidak dibuat bacaan ataupun hafalan bagi mengelakkan kekeliruan.
Oleh: Abuyusoef Hashim Othman Al-Maranji.


Thursday, August 18, 2011

Nuzul al-Quran (2)


Sambungan entri terdahulu....Sejarah Penurunan Al-Quran

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang.

AYAT PERTAMA DAN AKHIR DITURUNKAN

Ketinggian kedudukan al-Quran dan keagungan ajaran-ajarannya akan dapat merobah kehidupan manusia, menghubungkan langit dengan bumi, dan dunia dengan akhirat. Pengetahuan mengenai sejarah perundangan Islam daripada sumber utama iaitu al-Quran akan menggambarkan kepada kita mengenai pemeringkatan hukum dan penyesuaiannya dengan keadaan tempat hukum itu diturunkan yang memerlukan perbahasan mengenai apa yang pertama dan terakhir diturunkan.


Yang Pertama Diturunkan

Terdapat empat pendapat mengenai apakah yang mula-mula diturunkan mengenai al-Quran :-
• i) Jumhur (Pendapat yang paling rajih atau sahih) bersetuju iaitu yang pertama diturunkan ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq berdasarkan riwayat ‘Aisyah yang dicatatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Hakim dalam kitab-kitab hadith mereka.

Aisyah r.a. menyatakan: “Sesungguhnya permulaan wahyu datang kepada Rasulullah s.a.w. melalui mimpi yang benar di waktu tidur. Mimpi itu jelas dan terang bagaikan terangnya pagi hari. Kemudian dia gemar menyendiri dan pergi ke gua Hira’ untuk beribadah beberapa malam dengan membawa bekal.

Sesudah kehabisan bekal, beliau kembali kepada isterinya Khadijah r.a., maka Khadijah pun membekalinya seperti bekal terdahulu sehinggalah beliau didatangi dengan suatu kebenaran (wahyu) di gua Hira’ tersebut, apabila seorang malaikat (Jibril a.s.) datang kepadanya dan mengatakan:

“Bacalah!” Rasulullah menceritakan, maka aku pun menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Malaikat tersebut kemudian memeluk-ku sehingga aku merasa sesak nafas, kemudian aku dilepaskannya sambil berkata lagi: “Bacalah!” Maka aku pun menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Lalu dia memeluk-ku sampai aku rasa sesak nafas dan dilepaskannya sambil berkata: “Bacalah!” Aku menjawab: “Aku tidak tahu membaca.” Maka dia memeluk-ku buat ketiga kalinya seraya berkata: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu yang Maha Pemurah! Yang mengajar dengan perantaraan kalam dan mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Setelah berlaku peristiwa itu kembalilah Rasulullah s.a.w. kepada isterinya Khadijah (membawa ayat-ayat ini) dengan tubuh menggigil………sehinggalah akhir hadith.” (al-Hadith).
Imam-imam yang lain seperti al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam al-Dala’il dan al-Tabrani dalam al-Kabir mengesahkan ayat tersebut adalah yang pertama diturunkan.

• ii) Pendapat lain mengatakan Surah al-Muddathir yang pertama kali diturunkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah seorang sahabat. Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman, dia berkata: “Aku telah bertanya kepada Jabir bin ‘Abdullah: Yang manakah di antara al-Quran mula-mula diturunkan? Jabir menjawab,” يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ “. Aku berkata, “Atau اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ “.

Dia Jabir berkata,”Aku katakan kepada-mu apa yang dikatakan Rasulullah s.a.w. kepada kami: “Sesungguhnya aku berdiam diri di gua Hira’. Maka ketika habis masa diam-ku, aku turun lalu aku susuri lembah. Aku lihat ke depan, ke belakang, ke kanan dan ke kiri. Lalu aku lihat ke langit, tiba-tiba aku melihat Jibril yang amat menakutkan. Maka aku pulang ke Khadijah. Khadijah memerintahkan mereka untuk menyelimuti aku. Mereka pun menyelimuti aku.
Lalu Allah menurunkan: ْ يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِر“Wahai orang yang berselimut; bangkitlah, lalu berilah peringatan”. Mengenai Hadis Jabir ini, dapatlah disimpulkan iaitu pertanyaan tersebut adalah mengenai surah yang diturunkan secara penuh.

Jabir menjelaskan yang surah Muddathir diturunkan secara penuh sebelum surah Iqra’ selesai diturunkan, kerana yang turun pertama sekali daripada surah Iqra’ itu hanyalah permulaannya saja. Ini diperkuatkan oleh hadith Abu Salamah daripada Jabir yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim. Jabir berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. ketika bercakap mengenai putusnya wahyu, beliau menyebut dalam percakapannya itu, “Sewaktu aku berjalan, aku terdengar suara dari langit. Kemudian aku angkat kepala-ku, tiba-tiba aku ternampak malaikat yang mendatangi aku di gua Hira’ duduk di atas kursi antara langit dan bumi, lalu aku pulang dan aku katakan: Selimutkanlah aku! Mereka pun menyelimuti aku. Lalu Allah menurunkan ayat, يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ .


Hadis ini menggambarkan peristiwa ini terkemudian daripada peristiwa di gua Hira’, atau al-Muddathir adalah surah yang pertama diturunkan setelah terputusnya wahyu. Dapat disimpulkan ayat pertama untuk kenabian ialah Iqra’ dan surah pertama untuk risalah ialah surah al-Muddathir.


• iii) Andaian ketiga ialah berdasarkan satu kenyataan yang diperakukan kepada Ali bin Abi Talib, disebut oleh Abi Ishaq daripada Abi Maisarah.

Riwayat yang direkodkan oleh al-Wahidi menyebut: Apabila Rasulullah muncul (dari gua Hira’) dan mendengar suatu suara menjerit, “Wahai Muhammad”, Rasulullah terus pulang ke rumah. Waraqah bin Naufal menasihatkan Rasulullah mendengar kepada suara tersebut. Oleh itu apabila Rasulullah kemudiannya mendengar suara tersebut, beliau menyahut; Suara itu berkata, “Katakanlah, Aku bersaksi sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah dan bacalah:
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ‘……..” (al-Fatihah: 1-7)

• iv) Sebahagian ulama tabiin seperti al-Dhahhak bin Muzahim berpendapat ayat pertama ialah Bismillah. Dia menyebut ‘Abdullah bin ‘Abbas pernah berkata: Perkara pertama yang diturunkan oleh malaikat Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. dengan beliau mengatakan, “Wahai Muhammad, aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui daripada Syaitan yang dilaknat, dan katakanlah: Bismillahir Rahmanir Rahim (Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.) Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani menyebutkan hadith ini sebagai munqati’ dalam kitabnya, Al-Intisar.

Menurut al-Zarkasyi di dalam kitabnya al-Burhan, sebahagian besar ulama menyatukan hadith riwayat ‘Aisyah dan Jabir dengan menyimpulkan Jabir mendengar Nabi membicarakan peristiwa permulaan wahyu dan dia mendengar bahagian akhirnya sedang bahagian pertamanya dia tidak mendengar. Jadi Jabir menyangka surah yang didengarnya adalah yang pertama diturunkan, pada hal bukan.

Ibn Hibban dalam sahihnya menyatakan tidak ada pertentangan antara kedua hadith tersebut kerana ketika turun kepada Rasulullah Iqra’, beliau pulang ke rumah lalu berselimut; kemudian turunlah Surah Al-Muddathir.
Surah-surah lain yang awal diturunkan termasuklah al-Masad (111), al-Takwir (81), al-Ala (87), al-Lail (92) dan al-Fajr.
Para ulama juga membicarakan ayat-ayat yang mula-mula diturunkan berdasarkan permasalahan atau persoalan tertentu. Di antaranya ia melibatkan
i) Pertama kali mengenai makanan-ayat 145 Surah al-An’am, ayat 145 Surah al-Nahl, ayat 173 Surah al-Baqarah dan ayat 3 Surah al-Ma’idah;

ii) Pertama kali mengenai minuman- ayat 219 mengenai khamar dalam Surah al-Baqarah, ayat 43 Surah al-Nisa’ dan ayat 90-91 Surah al-Ma’idah; dan

iii) Pertama kali mengenai perang iaitu ayat 39 Surah al-Hajj.


Yang Terakhir Diturunkan

Pelbagai pendapat mengenai yang terakhir diturunkan tetapi semua pendapat ini tidak mengandungi sesuatu yang dapat disandarkan kepada Rasulullah s.a.w., malah masing-masing merupakan ijtihad atau dugaan. Al-Qadhi Abu Bakar mengatakan mungkin mereka memberitahu apa yang terakhir kali didengar oleh mereka daripada Rasulullah s.a.w. ketika beliau hampir wafat. Antara pendapat tersebut ialah:-

• i. Pendapat Ibn ‘Abbas-banyak riwayat yang dikaitkan dengan Ibn ‘Abbas:
• a. ‘Amir al-Sha’bi meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Abbas pernah berkata: “Ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. adalah ayat mengenai riba.” Firman Allah, يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba - yang belum dipungut -.” (al-Baqarah:278).

• b. Ikrimah meriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas menyebut: Ayat al-Quran terakhir diturunkan adalah, وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ “Dan peliharalah diri-mu daripada azab yang terjadi pada suatu hari kamu semua dikembalikan kepada Allah.” (al-Baqarah: 281)

• c. ‘Abdullah b. ‘Utbah r.a. katanya, ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata kepada saya: “Adakah anda tahu ayat yang terakhir sekali turun? Jawab-ku “tahu” iaitu ِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan) (al-Nasr: 1). Berkata Ibnu ‘Abbas: “Kamu benar.”

• d. Said bin Jubayr mengatakan orang-orang Kufah berselisih tentang ayat, وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Al-Nisa’:93). Saya menemui Ibn ‘Abbas dan bertanyakan ayat ini dan beliau berkata: “Ayat ini adalah ayat terakhir diturunkan dan selepas itu tidak ada ayat yang menasakhkan ayat ini.”
• ii. Pendapat al-Bara bin ‘Azib Berikut ialah dua kenyataan yang diriwayatkan oleh beliau:-
• a. Abu Ishaq al-Sabi’ee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: “Surah lengkap terakhir diturunkan ialah surah Baraah.Bukhari vol 3 Kitab al-Maghazi hadith 4364.

• b. Abu Ishaq al-Sabi’ee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: ”Ayat terakhir diturunkan ialah, يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلالَة “Mereka (orang-orang Islam umat-mu) meminta fatwa kepada-mu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalalah itu………(al-Nisa’:176)
• iii. Pendapat Ubay bin Ka’ab Yusuf b. Mihran meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas yang Ubay bin Ka’ab mengatakan potongan ayat al-Quran terakhir diturunkan ialah, لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (al-Taubah:12

• iv. Pendapat ‘Abdullah bin Amru bin al-‘As Abu Abdul Rahman al-Halabi mendengar ‘Abdullah b. Amru sebagai berkata: Surah terakhir diturunkan ialah Surah al-Ma’idah.

• v. Pendapat ‘Aishah Jubayr bin Nufayl berkata, “Aku pergi menemui ‘Aishah, yang bertanya kepadaku: Adakah kamu membaca Surah al-Ma’idah? Aku kata: Ya. Dia berkata: Inilah Surah terakhir yang diturunkan……”

• vi. Pendapat Ummu Salamah Mujahid b. Jabr mengatakan yang Umm Salamah berkata: “Ayat terakhir diturunkan adalah ayat,
فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لأكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ ثَوَابًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ
“Maka Tuhan mereka perkenan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan……..” (al-Nisa:195)

• vii. Pendapat ‘Umar al-Khattab Abu Sa’id al-Khudry meriwayatkan daripada ‘Umar al-Khatab yang memberitahu ayat terakhir diturunkan ialah pengharaman riba’ (al-Baqarah:275) dan Rasulullah s.a.w. wafat beberapa hari selepas itu dan perkara riba’ tersebut tidak tertinggal tanpa penjelasan.

• viii. Pendapat Mu’awiyah bin Abi Sufiyan ‘Amr Qais al-Kufi meriwayatkan Mu’awiyah mengatakan ayat berikut sebagai ayat terakhir diturunkan,
قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada-ku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (al-Kahfi:110) Sekiranya kita menganalisis pendapat-pendapat di atas, kita akan menghadapi kesukaran untuk menentukan ayat terakhir diturunkan kepada Rasulullah disebabkan perbezaan pendapat tersebut.

Walau bagaimanapun kita boleh membuat rumusan berdasarkan logik;


• i. Ayat 275 hingga 281 surah al-Baqarah nampaknya diturunkan bersama kerana ayat ini membicarakan persoalan riba’ dan hukum berkaitannya. ‘Umar dan ‘Abdullah Ibn ‘Abbas mengatakan ayat riba merupakan ayat terakhir diturunkan boleh dikatakan tepat memandangkan Rasulullah wafat 9 hari selepas ayat ini diturunkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Jubayr dan Ibn Jurayj mengenai ayat 281, surah al-Baqarah.

• ii. Pandangan Ibn ‘Abbas mengenai ayat 93 surah al-Nisa’ ialah tentang ayat terakhir berhubung pembunuhan seorang Muslim, bukannya ayat terakhir al-Quran. Manakala pendapatnya mengenai surah al-Nasr tidak menjadi masalah. Surah al-Nasr kemungkinan merupakan surah pendek yang terakhir diturunkan, sementara surah al-Baraah merupakan surah panjang yang terakhir diturunkan. Ini tidak bercanggah dengan pandangan ‘Aishah dan Ibn ‘Amr yang mengatakan surah al-Ma’idah merupakan surah penuh terakhir diturunkan. Mereka bermaksud surah terakhir mengenai perkara halal dan haram.

• iii. Pandangan al-Bara tentang ayat 176 surah al-Nisa’ sebagai ayat akhir turun ialah ayat akhir tentang faraid. Apa yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab mengenai ayat 128 hingga 129 surah al-Taubah adalah sebahagian daripada surah tersebut yang diturunkan secara keseluruhan sebagai surah panjang yang terakhir diturunkan. Riwayat Umm Salamah pula bukannya mengenai ayat terakhir tetapi lebih kepada jawapan kepada soalan beliau kepada Rasulullah mengenai kedudukan wanita dalam Islam. Pandangan Mu’awiyah pula jelas merujuk kepada yang terakhir diturunkan di Mekah melibatkan surah al-Kahfi termasuk ayat terakhirnya.

Kesimpulannya, Surah al-Taubah sebagai surah panjang terakhir turun; Surah al-Nasr surah pendek terakhir turun; dan ayat 275 hingga 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat terakhir diturunkan.

...Semoga memberi manfaat kepada kita semua....

Oleh: Abuyusoef Hashim Othman Al-Maranji.



Sunday, August 14, 2011

kuih tradisional nenek moyang....

Kesempatan balik ke kampung halaman hujung minggu lepas, saya tidak melepaskan peluang untuk menempah kuih tradisional daripada Hjh Nik Mariam di Jalan Kelocor, Kota Bharu. Beliau pakar dalam menyediakan pelbagai kuih tradisional dan tersohor di KB. Antara kuih dihasilkan ialah ialah jala mas, buah tanjung, taikitik, pauh dilayang, piana, dan akok...

Saya telah menempah akok, jala mas dan pauh dilayang. Buah tanjung dan taikitik diberi percuma oleh Hjh Nik untuk saya rasa....

Sebenarnya, saya lebih suka jala mas berbanding yang lain. Rasanya manis dan lemak. Kena makan sikit-sikit, lepas tu simpan dalam peti ais. Rasa buah tanjung atau kuih mas sejemput sama dengan jala mas. Saya tidak berapa suka rasa kuih taikitik yang berasaskan putih telur tu. Tapi makan juga kerana ada dibekalkan oleh Hjh Nik Mariam. Yang belum dirasa ialah kuih pauh dilayang. Menurut Pn. Hjh Nik kuih itu sedap dimakan dengan susu cair... manis berlemak....

Sebenarnya, kini kuih-kuih ini mudah didapati di pasar lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini (berbanding dulu yang hanya disediakan untuk golongan bangsawan atau untuk majlis-majlis istimewa). Walau bagaimanapun, rasanya tidaklah sama dengan kuih yang dihasilkan oleh orang yang pakar dalam menyediakan kuih-kuih tradisional ini. Rupa sama tetapi rasa agak berbeza....

Kuih jala mas merupakan sejenis hidangan kuih tradisional Melayu yang lemak manis yang dihasilkan dengan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula, sama seperti buah tanjung atau kuih mas sejemput, tetapi mempunyai cara penyediaan dan rupa yang berbeza.

Kuih jala mas disediakan dengan kuning telur yang diurai ke dalam air gula yang menggelegak. Selepas beberapa lama apabila masak, adunan itu diangkat dan kemudiannya ditompokkan pada bahagian kecil atau juga boleh diletak begitu sahaja dalam bekas.

Kuih jala mas mempunyai bentuk yang berjurai seperti mi halus. Pada kebiasaannya telur itik digunakan kerana ia mempunyai saiz kuning telur yang lebih besar. Selain itu, ia biasanya dihasilkan bersama kuih tahi itik kerana mengelakkan pembaziran putih telur yang berbaki.

Kuih jala mas ini lebih popular di sebelah pantai timur, terutama di Kelantan dan Terengganu. Pada masa dahulu, ia biasanya dikhaskan bagi hidangan raja dan kaum bangsawan. Ini disebabkan kos penghasilan yang mahal dan cara menghasilkannya yang rumit.

Nama jala mas mungkin diambil dari warnanya yang kuning keemasan dan bentuknya seperti jala. Secara tradisi, dalam kebudayaan Melayu tradisi, warna kuning keemasan dikhaskan bagi golongan raja-raja sahaja.

Kuih jala mas kurang popular di negeri lain di Malaysia, disebabkan rasanya yang agak manis. Ia mempunyai rasa bertali dari juraian kuning telur yang disira dalam air gula. Sebagaimana mas sejemput, ia dihidangkan secara atas darat (tidak berkuah) dan dihias.

Kini, kuih jala mas kurang dikenali oleh golongan muda. Mungkinkan disebabkan oleh rasanya yang manis atau kerana terdapat pelbagai jenis makanan 'moden' di pasaran hari ini....



Thursday, August 11, 2011

Ikhlas dalam kerja...

Semua perkara akan menjadi susah sekiranya kita tidak melakukannya dengan ikhlas. Sekiranya kita melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas, setiap perkara yang dianggap sukar oleh orang lain, tetap mudah bagi kita.

Sekiranya kita ikhlas melakukan sesuatu perkara, kita pasti akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat.

Oleh itu dahulukan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara.


Tuesday, August 9, 2011

IMBASAN

Adik-adikku, lebih 20 tahun yang lalu, kalian masih kanak-kanak.

Ketika itu, perjalanan hidup masih telalu jauh. Asam garam dunia belum begitu banyak dirasai. Kalau adapun semuanya manis-manis belaka.

Kini...

Melisa Kamelia - Menjadi semakin dewasa dengan perjalanan hidup yang ditempuh ;

Mutia Anggerek - Sedang membina kerjaya yang semakin menguji kemampuan diri ;

Nadia Hanum - Tidak pernah jemu meningkatkan prestasi diri, teruskan berusaha ;

Ratna Idayu - Perjuangan hidup sudah bermula, perlu tabah dan kuatkan semangat. Dik, hidup ini tidak mudah sebagaimana yang kita jangka. Ilusi dan angan-angan tidak seindah realiti.

Adik-adikku, hidup ini sarat dengan pejuangan dan pengorbanan. Jika kita berani berjuang, dan rela berkorban, kita pasti berjaya...sesungguhnya, tidak sempurna hidup seorang insan tanpa ujian dan dugaan.

Ingatlah, jangan lupa berdoa dan mengadu kepada-NYA. DIA-lah yang berkuasa menentukan segala-galanya...