CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, May 30, 2013

Cuti yang menghambat kami....

Cuti sekolah Penggal Pertama sesi 2013 sudah bermula.

Maka bermulalah kami dengan aktiviti yang sangat padat.  Khamis malam bertolak balik ke KB, bermalam di KT menjenguk cucu yang lena diulit mimpi tatkala kami tiba....dan awal dini hari Jumaat usai solat subuh kami meneruskan perjalanan ke KB, sempat menjenguk Hannan seketika yang masih nyenyak di kamarnya.

Sepenuh masa kami habiskan masa di Kg Parit Cina...




Terasa waktu begitu pantas menghabat kami.  Dalam tempoh seminggu ini banyak perkara yang perlu diselesaikan dan disiapkan.  






Banyak tenaga yang perlu dikorbankan.  Singgah di rumah Mama hanya untuk seketika, keluar pagi lewat senja baru balik.  Kadang-kadang melepasi waktu tengah malam.  

Akhirnya, malam tadi, Khamis 30 MEI 2013, solat hajat dan bacaan doa selamat diadakan di Teratak Bonda.  Solat hajat dan majlis doa selamat untuk memohon kesejahteraan daripada Yang Esa serta tanda kesyukuran atas rezeki yang dipinjamkan olehNya kepada kami.  







Tidak lupa solat hajat  dan doa selamat ini diadakan buat Li @ SAHAZALI AWANG DERAMAN, adinda ipar yang sedang berperang emosi yang akan menjalani pembedahan jantung esok hari, 31 Mei 2013 di APSH.   

Adinda Noni menemani Li di APSH... 30.5.13......

Doa selamat ini juga adalah untuk majlis pertunangan anakanda saudara sulung, AINA ZAIREYNNA ZAINUDDIN yang akan diadakan esok, 31 MEI 2013 sebelum solat Jumaat.....



Alhamdulillah, semoga semuanya berjalan lancar.

Biarpun Teratak Bonda belum begitu sempurna, namun kami amat bersyukur dengan rezeki dan ujianNya ini.....





Thursday, May 16, 2013

PENGETUA BARU & HARI GURU 2013.....

tahun 2013
bulan yang ke-5
hari yang ke-16
 



akan tercatat dalam diari kenangan
Pengetua baru dan Hari Guru
  


setelah hampir 2 tahun bertamu di sini 
ke daerah asal akhirnya ENCIK LOH SAI HENG pergi
meninggalkan seribu kenangan mani
buat menghiasi taman peribadi
 

16 MEI 2013
pada pagi yang permai ini
ingin kami titipkan walaupun dalam hati
buat seorang pengetua yang kami hormati....


ENCIK CHAN KOK WAI,
"selamat datang ke laman kami"
dari SMART singgah di Semambu terus ke sini 
dengan tugas dan tanggungjawab yang menanti...

ucapan sulung Tn. Pengetua SMKTP, ENCIK CHAN KOK WAI
menerajui warga SMKTP meneruskan tradisi
memimpin kami merealisasi visi dan misi

taklimat ringkas pengenalan diri di MK2

membuka bicara mesra dengan pantas dan padu
bersama menuju matlamat yang satu....

Kini,
sambutan Hari Guru berlalu sudah
Satu Aspirasi Satu Agenda tercatat indah
di bahu terpikul tugas dan amanah
akan tertunaikah ikrar yang dilafaz?




persembahan muzik tradisional 'angklung' bimbingan Pn. Letchumy



Ayuh, rakan taulan bersama kita tekad
onak duri dan ranjau bersama kita tempuh
peribadi dan jati diri biarlah teguh
teruslah melangkah tanpa rasa lenguh
ikhlaskan hati jangan sesekali mengeluh....



Ayuh, kita sematkan rasa bangga dalam diri
ingat akan ikrar serta janji 
juga pada amanah yang diberi 
demi agama bangsa dan ibu pertiwi.


"SELAMAT HARI GURU semua" dan 
"SELAMAT DATANG KE SMKTP, Encik Chan...."


Wednesday, May 15, 2013

SELAMAT HARI GURU 2013....

Catatan pada petang Rabu yang permai....

Esok, seluruh warga pendidik akan menyambut Hari Guru 2013. Sedar tak sedar, tahun ini merupakan kali ke-27 saya menyambut Hari Guru setelah bergelar Cikgu.  

Tahun pertama, saya menyambut perayaan Hari Guru setelah menjadi warga pendidik adalah pada tahun 1986 di SMK Ahmad, Pekan....  dan alhamdulillah, pada tahun ini saya masih lagi berkesempatan menyambut HARI GURU buat kali ke-8 di SMK Tanah Putih....



SELAMAT HARI GURU buat semua insan yang bergelar guru... yang pernah dipanggil cikgu, teacher, sir, ustaz, ustazah dan sebagainya oleh anak didik mereka.... 


bersama guru kelas 6 BLUE - 1974, MR CHONG SAM CHONG

Teristimewa ucapan ini ditujukan khas buat guru-guruku yang pernah mengajar dan mendidikku tanpa jemu dan penuh ikhlas... cikgu-cikgu di SRJK (I) Kota, KB (1969 - 1974), di SM Kota, KB (1975 - 1977) dan di Maktab Sultan Ismail (SIC), KB (1978 - 1981)...


 
guru-guru SMK Kota - 1976....
antara guru di SIC - 1979....
Tidak lupa, ucapan ini juga ditujukan kepada semua insan yang telah menjadi tempat untuk saya berguru dan mendapatkan tunjuk ajar di sepanjang jalan pulang... sama ada yang berlaku secara langsung ataupun tidak langsung.

Jasamu akan kukenang selagi hayat dikandung badan....terima kasih, Cikgu. Terima kasih, semua.


Selamat Hari Guru juga saya tujukan buat semua rakan seperjuangan di seluruh pelosok tanah air, tidak kira sama ada yang bertugas di bandar ataupun nun jauh di pedalaman Gua Musang atau di Sabah dan Sarawak....!

Pasti saban tahun akan ada getar di jiwa kita setiap kali melafazkan ikrar dan ketika menghayati bait-bait lirik lagu 'GURU MALAYSIA'.

"...amanat yang diberi, kami tak persiakan, apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan... tunai tetap kami tunaikan..."

Di SMKTP, sambutan Hari Guru di peringkat sekolah akan adakan esok, 16 MEI 2013 seperti juga sekolah-lain di Malaysia. Atur acaranya tetap sama sebagaimana tahun-tahun lepas.... membaca perutusan, ucapan, persembahan, penyampaian cenderamata dan makan-makan, kemudian diikuti dengan sukaneka. 

 barisan pentadbir pada sambutan Hari Guru 2012
Pada tahun ini kami akan meraikan sambutan Hari Guru bersama dengan Pengetua SMKTP yang baru iaitu ENCIK CHAN KOK WAI.   Beliau menggantikan ENCIK LOH SAI HENG yang telah bertukar balik ke Daerah Bentong mulai awal minggu ini.   


Mr. Chow dan Mr. Loh di majlis HAC SMKTP 2012....
Buat bekas pengetua SMKTP - Mr. Chow Ah Soon, Mr. Moy Wah Goon, dan Mr. Loh Sai Heng  ingin saya titipkan ucapan,    " Selamat Hari Guru...."

Selamat Hari Guru 2013 semua....

semoga masih diberi kesempatan untuk menyambutnya pada tahun-tahun yang mendatang....


Saturday, May 11, 2013

Perjalanan Terakhir : Antara PRU13 dan Mek Kiah...


Sudah seminggu berlalu.

Hingga saat ini, terasa seolah-olah Mek masih ada.  

Terbayang-bayang Mek dengan tongkatnya terkedek-kedek dari ruang tengah terataknya menuju sofa yang setia menunggu Mek melabuhkan diri.  


Tergambar di minda, Mek duduk di pangkin usang, sambil kakinya terjuntai tersenyum lebar menegur mesra jiran tetangga yang melintasi halaman rumah untuk ke kedai atau ke pasar malam.

Terngiang-ngiang suara Mek yang tidak pernah berubah sejak hari pertama aku hadir dalam keluarga Mek, menyuruh Tihah atau Ema (anak saudaraku @ cucu Mek yang tinggal bersamanya sejak dilahirkan) supaya menyiapkan juadah untuk kami.  Juadah makan tengah hari, makan malam dan juga sarapan pagi.  

Syawal 1433... syawal terakhir Mek.....

Sesekali berpeluang balik ke kampung bertemu Mek, akan ada sahaja cerita yang hendak dikongsikan dengan kami.  Kadang-kadang cerita itu diulang-ulang.... Kami akan setia mendengarnya sehingga Mek memohon diri untuk masuk berehat di biliknya.

Sejak 2 tahun ke belakangan ini, kesihatan Mek memang agak merosot.  Faktor umur dan kemungkinan juga faktor emosi membuatkan Mek semakin ketara dimamah usia.   Mek tidak pernah sakit berat.   Berita Mek demam ringan-ringan tidak pernah sampai ke telinga kami.  Kami hanya mengetahuinya setelah Mek kembali sihat.  


Sejujurnya, kami sentiasa bersedia menerima apa-apa sahaja perkhabaran tentang Mek.  Tentang tahap kesihatan Mek.   Perkhabaran tentang Mek tiba juga di telinga kami  pada pagi Khamis, 25 April lepas.  Puteri bongsu Mek telah menelefon abangnya memberitahu bahawa Mek jatuh di bilik air dan terus tidak dapat bercakap dan sebelah kanan tubuhnya tidak berfungsi....Mek telah dibawa ke hospital Tanah Merah untuk mendapat rawatan.  


Ketika itu saya berada di sekolah.  Hati berasa tidak keruan.  Hanya doa kami titipkan kepada Allah agar keadaan Mek tidak terlalu serius dan kami sempat bertemu Mek.  Sabtu, (27/ 4) merupakan hari persekolahan ganti sempena cuti tambahan perayaan.  Minda ligat berfikir tentang cuti yang perlu saya ambil.  Lalu, pada petang Khamis, saya menghubungi pengetua melalui akaun fbnya untuk memohon pertimbangan membenarkan saya mengambil CRK selama 2 hari, iaitu pada Sabtu (27/4) dan Isnin (29/4).  Syukur, Pengetua sangat memahami keadaan saya dan tidak keberatan meluluskan CRK saya.  Saya ke sekolah seperti biasa pada hari Jumaat walaupun hati berdebar-debar sejak menerima berita tentang situasi Mek.  Kami terus bertolak balik ke TM usai tugasan saya pada hari itu dengan doa agar kami sempat bertemu Mek.....


Selepas 3 hari di hospital, doktor membenarkan Mek dibawa pulang untuk dirawat di rumah.  Ada respons positif daripada Mek.  Mek boleh memahami beberapa arahan walaupun dalam keadaan terbaring dan tidak boleh bercakap.  Mek boleh senyum apabila diusik oleh anak-anaknya.  Hati terasa lega, cuma terfikir sampai bilakah Mek akan berada dalam keadaan begini?  Badan sebelah kanan tidak boleh berfungsi.  Mek tidak boleh bercakap dan menelan.  Mek diberi minum susu melalui saluran pernafasan setiap 3 jam sekali. 

Isnin, saya balik ke Kuantan dan berjanji dalam hati untuk balik menjenguk Mek lagi.  Semasa mencium dan memeluk Mek sebelum beredar balik, air mata Mek bergenang seolah-olah tidak mahu melepaskan kami pergi.  Kami tidak putus berdoa agar Allah berikan yang terbaik buat Mek.  Hanya DIAlah yang Maha Mengetahui.... Kami sentiasa berharap agar Mek cepat sembuh.  

Mek sempat meriba Hannan pada Aidiladha yang lepas.... Aidiladha terakhir buat Mek....

Kami berharap sangat Mek sempat menjejakkan kakinya di teratak baru kami yang akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini.  Kami berdoa agar Mek akan dapat bersama meraikan majlis kenduri kesyukuran yang akan diadakan pada awal Jun ini.  Sebenarnya, itulah hajat Mek sejak beberapa bulan terakhir ini yang sentiasa bermain di bibir setiap kali kami balik menjenguknya.  

Mek sangat berharap agar kami dapat mengadakan majlis sambut menantu yang kedua ini di rumah kami sendiri....

Hujung minggu datang lagi.  Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat rutin harian berjalan seperti biasa walaupun sebenarnya ingatan melayang jauh kepada Mek.  Hati berbelah bagi.  PRU13 hanya tinggal beberapa hari lagi.    Kami bakal mengundi di dua pusat yang berbeza dan agak jauh jaraknya antara satu sama lain.

Memang benar, Allah telah tetapkan hati kami.  Antara neraca, purnama dan Mek, hati kami berat memihak kepada Mek.  Kami nekad untuk memilih Mek dan terus balik ke kampung setelah 4 hari meninggalkan Mek dalam keadaan terbaring lesu.  Menjelang senja, kami selamat sampai di sisi Mek.   Alhamdulillah.

5 MEI 2013 - tarikh keramat yang dinanti-nantikan oleh seluruh warganegara Malaysia yang hanya akan tiba setiap 5 tahun sekali untuk memilih kerajaan baru.  

Dalam kesyahduan dini hari 5 MEI 2013, tatkala berkumandang bacaan ayat suci al-Quran di masjid berhampiran sementara masuk waktu subuh, Mek pergi meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan tenang sekali.  Mek telah kembali ke alam abadi menemui Penciptanya.  Kami semua redha dengan ketentuan Ilahi.  Itulah yang terbaik untuk Mek.  Mek pergi buat selama-lamanya setelah 10 hari diuji oleh Allah s.w.t.  
perjalanan terakhir....

Syukur alhamdulillah.  Allah telah menggerakkan hati kami untuk balik ke kampung menghabiskan sisa waktu yang ada bersama Mek, bukannya memilih yang lain-lain....

Walaupun Mek sudah meninggalkan kami semua, tetapi kenangan bersama Mek selama hampir 28 tahun menjadi ahli keluarga Mek akan tetap kukuh dalam ingatan....

Alfatihah.



Wednesday, May 1, 2013

May Day....

Hari ini, 1 MEI, RABU - cuti umum sempena Hari Pekerja. Kami tidak merancang untuk ke mana-mana.... Santai dan berehat di rumah sambil menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh.  Kami keluar ke COWBOY dan JAKEL sekejab untuk membeli sedikit barangan sebagai persiapan majlis kesyukuran keluarga yang akan diadakan sebulan dari sekarang.

Mogok Haymarket 1886 di Chicago, Illinois
 Hari Pekerja atau Hari Buruh merupakan satu nama untuk pelbagai cuti tahunan yang diraikan pada 1 Mei (atau dalam permulaan bulan Mei). 

Hari ini juga disebut sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang diraikan bagi memperingati kejayaan pergerakan buruh melalui mogok umum dan Mogok Haymarket pada tahun 1886 yang menuntut lapan-jam waktu bekerja di Amerika Syarikat.

SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA.... bekerjalah dengan ikhlas dan jujur, ganjarannya besar di dunia dan akhirat.


sumber : Wiki