Sudah seminggu berlalu.
Hingga saat ini, terasa seolah-olah Mek masih ada.
Terbayang-bayang Mek dengan tongkatnya terkedek-kedek dari ruang tengah terataknya menuju sofa yang setia menunggu Mek melabuhkan diri.
Tergambar di minda, Mek duduk di pangkin usang, sambil kakinya terjuntai tersenyum lebar menegur mesra jiran tetangga yang melintasi halaman rumah untuk ke kedai atau ke pasar malam.
Terngiang-ngiang suara Mek yang tidak pernah berubah sejak hari pertama aku hadir dalam keluarga Mek, menyuruh Tihah atau Ema (anak saudaraku @ cucu Mek yang tinggal bersamanya sejak dilahirkan) supaya menyiapkan juadah untuk kami. Juadah makan tengah hari, makan malam dan juga sarapan pagi.
Syawal 1433... syawal terakhir Mek..... |
Sesekali berpeluang balik ke kampung bertemu Mek, akan ada sahaja cerita yang hendak dikongsikan dengan kami. Kadang-kadang cerita itu diulang-ulang.... Kami akan setia mendengarnya sehingga Mek memohon diri untuk masuk berehat di biliknya.
Sejak 2 tahun ke belakangan ini, kesihatan Mek memang agak merosot. Faktor umur dan kemungkinan juga faktor emosi membuatkan Mek semakin ketara dimamah usia. Mek tidak pernah sakit berat. Berita Mek demam ringan-ringan tidak pernah sampai ke telinga kami. Kami hanya mengetahuinya setelah Mek kembali sihat.
Sejujurnya, kami sentiasa bersedia menerima apa-apa sahaja perkhabaran tentang Mek. Tentang tahap kesihatan Mek. Perkhabaran tentang Mek tiba juga di telinga kami pada pagi Khamis, 25 April lepas. Puteri bongsu Mek telah menelefon abangnya memberitahu bahawa Mek jatuh di bilik air dan terus tidak dapat bercakap dan sebelah kanan tubuhnya tidak berfungsi....Mek telah dibawa ke hospital Tanah Merah untuk mendapat rawatan.
Ketika itu saya berada di sekolah. Hati berasa tidak keruan. Hanya doa kami titipkan kepada Allah agar keadaan Mek tidak terlalu serius dan kami sempat bertemu Mek. Sabtu, (27/ 4) merupakan hari persekolahan ganti sempena cuti tambahan perayaan. Minda ligat berfikir tentang cuti yang perlu saya ambil. Lalu, pada petang Khamis, saya menghubungi pengetua melalui akaun fbnya untuk memohon pertimbangan membenarkan saya mengambil CRK selama 2 hari, iaitu pada Sabtu (27/4) dan Isnin (29/4). Syukur, Pengetua sangat memahami keadaan saya dan tidak keberatan meluluskan CRK saya. Saya ke sekolah seperti biasa pada hari Jumaat walaupun hati berdebar-debar sejak menerima berita tentang situasi Mek. Kami terus bertolak balik ke TM usai tugasan saya pada hari itu dengan doa agar kami sempat bertemu Mek.....
Selepas 3 hari di hospital, doktor membenarkan Mek dibawa pulang untuk dirawat di rumah. Ada respons positif daripada Mek. Mek boleh memahami beberapa arahan walaupun dalam keadaan terbaring dan tidak boleh bercakap. Mek boleh senyum apabila diusik oleh anak-anaknya. Hati terasa lega, cuma terfikir sampai bilakah Mek akan berada dalam keadaan begini? Badan sebelah kanan tidak boleh berfungsi. Mek tidak boleh bercakap dan menelan. Mek diberi minum susu melalui saluran pernafasan setiap 3 jam sekali.
Isnin, saya balik ke Kuantan dan berjanji dalam hati untuk balik menjenguk Mek lagi. Semasa mencium dan memeluk Mek sebelum beredar balik, air mata Mek bergenang seolah-olah tidak mahu melepaskan kami pergi. Kami tidak putus berdoa agar Allah berikan yang terbaik buat Mek. Hanya DIAlah yang Maha Mengetahui.... Kami sentiasa berharap agar Mek cepat sembuh.
Kami berharap sangat Mek sempat menjejakkan kakinya di teratak baru kami yang akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini. Kami berdoa agar Mek akan dapat bersama meraikan majlis kenduri kesyukuran yang akan diadakan pada awal Jun ini. Sebenarnya, itulah hajat Mek sejak beberapa bulan terakhir ini yang sentiasa bermain di bibir setiap kali kami balik menjenguknya.
Mek sangat berharap agar kami dapat mengadakan majlis sambut menantu yang kedua ini di rumah kami sendiri....
Hujung minggu datang lagi. Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat rutin harian berjalan seperti biasa walaupun sebenarnya ingatan melayang jauh kepada Mek. Hati berbelah bagi. PRU13 hanya tinggal beberapa hari lagi. Kami bakal mengundi di dua pusat yang berbeza dan agak jauh jaraknya antara satu sama lain.
Memang benar, Allah telah tetapkan hati kami. Antara neraca, purnama dan Mek, hati kami berat memihak kepada Mek. Kami nekad untuk memilih Mek dan terus balik ke kampung setelah 4 hari meninggalkan Mek dalam keadaan terbaring lesu. Menjelang senja, kami selamat sampai di sisi Mek. Alhamdulillah.
5 MEI 2013 - tarikh keramat yang dinanti-nantikan oleh seluruh warganegara Malaysia yang hanya akan tiba setiap 5 tahun sekali untuk memilih kerajaan baru.
Dalam kesyahduan dini hari 5 MEI 2013, tatkala berkumandang bacaan ayat suci al-Quran di masjid berhampiran sementara masuk waktu subuh, Mek pergi meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan tenang sekali. Mek telah kembali ke alam abadi menemui Penciptanya. Kami semua redha dengan ketentuan Ilahi. Itulah yang terbaik untuk Mek. Mek pergi buat selama-lamanya setelah 10 hari diuji oleh Allah s.w.t.
Syukur alhamdulillah. Allah telah menggerakkan hati kami untuk balik ke kampung menghabiskan sisa waktu yang ada bersama Mek, bukannya memilih yang lain-lain....
Walaupun Mek sudah meninggalkan kami semua, tetapi kenangan bersama Mek selama hampir 28 tahun menjadi ahli keluarga Mek akan tetap kukuh dalam ingatan....
Alfatihah.
No comments:
Post a Comment