Friday, September 19, 2014

29 TAHUN, SUSAH SENANG BERSAMA....



Hari ini 19 SEPTEMBER 2014 merupakan hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-29.
Dalam meniti 29 tahun usia perkahwinan kami, saya berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana Encik Kasihku seorang yang penyabar kepada saya dan anak-anak. Dia menyayangi kedua ibu bapa saya PAPA SOH dan MAMA CHE HALIMAH  sebagaimana dia menyayangi kedua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluarga saya. Begitu juga di pihak saya, saya juga menyayangi kedua ibu bapanya, ARWAH CHE POK MAT dan ARWAH MEK KIAH serta seluruh ahli keluarganya. Saya menerima mereka seadanya.
19 SEPTEMBER 1985

Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….



Setelah 30 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengimbau pengalaman 3 dekad yang telah berlalu....

19 September 1985 – 19 September 2014 .

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-29. 

Kepada Encik Kasihku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....


Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta.  Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang.  Pautan ini berasal dari angan-angan atas nama rindu.  Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...

Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan sangat ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....

Kami sedar, berkahwin pada usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Hal ini bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.

Sedar tak sedar, kini sudah 29 tahun kami hidup bersama sebagai suami isteri; dikelilingi oleh 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH dan dua orang menantu kami, anakanda NURUL AINA AWANG dan SITI NUR AISHAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.… Istimewa sekali, kehadiran cucunda FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI, dan FALISHA SALSABILA BT. MOHD FAHMI, si cilik yang sentiasa menghiburkan kami semua....rindunya akan cucu-cucu Mak Tok....


Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.







Syukur kepada Allah s.w.t atas kasih sayang dan perlindungan-Nya, yang terus memelihara kerukunan keluarga dan rumah tangga ini.   Ameen....

 

Tuesday, September 9, 2014

Kakak sudah mula ke sekolah....


3 SEPTEMBER  
Kakak mula ke sekolah.  
The Little Caliphs. 


Permulaan yang baik buat Kakak.  
Pada usia baru melewati 25 bulan Kakak sudah belajar berdikari.  Kakak menjadi murid yang paling muda di 'The Little Caliphs'.

hari pertama Kakak ke sekolah....

Seperti yang dijangka, Kakak 'menyanyi' sekuat hati apabila ditinggalkan oleh Mummy pada hari pertama.... 
Mummy tunggu di dalam kereta.  

Kakak balik dari sekolah pada hari kedua....

Hari kedua, Kakak masih 'menyanyi' tetapi sekejab sahaja.  
Hari demi hari, 'nyanyian' Kakak semakin kurang kenyaringannya....  
Kakak dengan uniform... agak besar, saiz untuk yang berumur 4 tahun....

Hari ini setelah empat hari ke sekolah, 
Kakak sudah mula berbual-bual dengan kawan-kawan.

 gembira... sebelum ke sekolah pada hari ke-4....



Semoga Kakak cepat menyesuaikan diri di sekolah.





Monday, September 8, 2014

Nostalgia Musim Haji....


Di sana-sini ramai orang memperkatakan tentang ibadat haji yang bakal bermula tidak lama lagi. Beberapa orang rakan dan sanak saudara telah mendapat jemputan untuk ke rumah Allah pada tahun ini. Alhamdulillah. Saya turut gembira dengan perkhabaran tersebut. Bilakah pula giliran saya....?

Setiap kali musim haji tiba, saya sering teringat pengalaman buat pertama kalinya menghantar ahli keluarga terdekat ke tanah suci. Kenangan lebih 40 tahun yang lalu....
Saya masih ingat lagi, pada tahun 1968, ketika itu saya masih belum bersekolah. Saya bersama rombongan keluarga terdekat menghantar Tok Be Saadiah dan suaminya yang kami panggil Wak Aji untuk pergi menunaikan haji ke Mekah melalui jalan laut. Kami menghantar Tok Be di Stesen Kereta Api Tumpat. Tok Be akan menaiki kereta api terus ke Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Jeddah dengan kapal di Pelabuhan Kelang.
Tok Be (Saadiah) merupakan kakak sulung kepada nenek Lijah. Nenek Lijah mempunyai 5 orang adik beradik. 4 perempuan dan seorang lelaki. Yang lelaki saya tidak sempat kenal. Kata nenek, dia pernah dikerah menjadi buruh paksa membina Jalan Kereta Api Maut (semasa Zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu) dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Nenek Lijah merupakan adik bongsu. 2 lagi ialah Tok Chik (Zainab) dan Tok Ngah (Esah). Dalam empat beradik ni, Tok Be merupakan orang yang pertama sekali ke Mekah dan dialah yang paling akhir kembali ke rahmatullah. Tok Be meninggal dunia pada tahun 2005.
Ingat-ingat lupa, kami menaiki bas @ menyewa kereta untuk ke Tumpat. Di stesen kereta api Tumpat (stesen paling akhir), orang sangat ramai. Pada masa tu, kalau ada orang pergi haji, hampir satu kampung akan turut serta mengiringi keberangkatan mereka. Maklumlah, bukan mudah untuk ke sana pada waktu itu, dalam satu kampung tu tak ramai yang pergi; tidak seperti hari ini.
Sebaik sahaja Tok Be menaiki kereta api menuju stesen Kuala Lumpur, saya ingat lagi, kami melambai-lambai dengan kain sapu tangan kecil sehingga kereta api hilang daripada pandangan mata. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kelang kerana pada masa tu, bakal haji pergi ke Mekah menaiki kapal laut. Perjalanannya jauh dan tentu sekali mengambil masa yang lama. Berbulan-bulan lamanya jika diambil kira pergi dan balik. Tabung Haji belum ada lagi waktu tu untuk menguruskan jemaah haji, jadi semuanya diuruskan sendiri dengan bantuan kenalan, biasanya yang dah lama menetap di Mekah (mungkin orang yang mengetuai rombongan haji).
Perpisahan di stesen kereta api, kadang-kadang dirasakan sebagai perpisahan terakhir. Hanya doa dan air mata yang mengiringi TokBe agar selamat pergi dan kembali. Daripada apa yang diceritakan oleh Mama, Tok Be terpisah dengan Wak Aji (suami TokBe) ketika di Mekah. Mereka bertemu semula setelah kembali ke tanah air.
Pada masa tu, kami yang masih kecil tidak begitu faham erti perpisahan...
Buat sahabat yang akan / telah berangkat ke tanah suci, selamat menunaikan fardu haji dan selamat menyempurnakan ibadah, semoga mendapat haji mabrur....

Monday, September 1, 2014

BULAN YANG KE-9 TAHUN 2014....


yang terindah....


September datang lagi....

Terkenang lagu " Ingatan Manis di Bulan September" yang dinyanyikan oleh biduanita Sharifah Aini sekitar awal 1970-an:
"Kumasih ingat
perkenalanku
di bulan,
September...
September...."


Sesungguhnya, September merupakan bulan merayakan beberapa hari istimewa dalam keluargaku.

2 September 2014, genap tiga tahun perkahwinan anakanda kami MOHD FAHMI NAIN dan NURUL AINA AWANG yang telah melangsungkan perkahwinan pada 2 Syawal 1432H, bersamaan 2 September 2011 dan cahaya mata mereka yang pertama FARHAH HANNAN sudah melewati usia dua tahun dan adindanya FALISHA SALSABILA sudah menjangkau usia 7 bulan.  





September... sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, banyak hari istimewa yang diraikan dalam keluarga....

09 SEPTEMBER, NATASHA ALIA BT. SAHAZALI genap usia 20 tahun. Natasha Alia, puteri sulung kepada Norbanilawatey Jusoh dan Sahazali Awang Deraman, dilahirkan di HKL sebelum dibawa balik ke kampung yang permai dan indah  "HAPPY BIRTHDAY ALONG TASHA".  

Semoga Along Tasha akan terus melakar kecemerlangan sebagai penuntut IPTA.... Doa Cik La agar Along Tasha akan menjadi seorang anak yang berjaya dunia dan akhirat, bertanggungjawab dan lebih matang menghadapi segala dugaan hidup...



Pada 14 SEPTEMBER, adik iparku SAHAZALI B. AWANG DERAMAN akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke- .... ?  Semoga terus tabah dengan ujian-Nya....

Tambah manis lagi, pada 19 SEPTEMBER ini bertambah lagi usiaku - melewati setengah abad...! 

Pada tarikh itu juga 28 tahun yang lalu aku telah disahkan menjadi suri hidup kepada insan yang tersayang setelah beberapa musim menyemai kasih dan menganyam rindu ketika bersama-sama di Lembah Pantai.... 


Cepatnya masa berlalu. Sudah menghampiri 3 dekad rupa-rupanya kami mengharungi pahit manis bersama, menempuh duri dan ranjau hidup menuju jalan pulang .... 


21 SEPTEMBER pula adik bongsu kami, RATNA IDAYU BT. JUSOH akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-29 tahun.  Dilahirkan 2 hari selepas Papa dan Mama 'bekwah' kahwinkan anak perempuan keduanya, yang julung kali dalam keluarga kami pada tahun 1985.



23 SEPTEMBER,  adik iparku yang ke-3, JAILANI B. ABDUL MANAF pasangan kepada adindaku MELISA KAMELIA akan menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke- ..... ?


SEPTEMBER yang sentiasa bertamu tanpa jemu, banyak merakamkan saat manis yang sangat indah untuk dikenang.... yang diraikan bersama keluarga....

Alhamdulillah.