CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, September 8, 2014

Nostalgia Musim Haji....


Di sana-sini ramai orang memperkatakan tentang ibadat haji yang bakal bermula tidak lama lagi. Beberapa orang rakan dan sanak saudara telah mendapat jemputan untuk ke rumah Allah pada tahun ini. Alhamdulillah. Saya turut gembira dengan perkhabaran tersebut. Bilakah pula giliran saya....?

Setiap kali musim haji tiba, saya sering teringat pengalaman buat pertama kalinya menghantar ahli keluarga terdekat ke tanah suci. Kenangan lebih 40 tahun yang lalu....
Saya masih ingat lagi, pada tahun 1968, ketika itu saya masih belum bersekolah. Saya bersama rombongan keluarga terdekat menghantar Tok Be Saadiah dan suaminya yang kami panggil Wak Aji untuk pergi menunaikan haji ke Mekah melalui jalan laut. Kami menghantar Tok Be di Stesen Kereta Api Tumpat. Tok Be akan menaiki kereta api terus ke Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Jeddah dengan kapal di Pelabuhan Kelang.
Tok Be (Saadiah) merupakan kakak sulung kepada nenek Lijah. Nenek Lijah mempunyai 5 orang adik beradik. 4 perempuan dan seorang lelaki. Yang lelaki saya tidak sempat kenal. Kata nenek, dia pernah dikerah menjadi buruh paksa membina Jalan Kereta Api Maut (semasa Zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu) dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Nenek Lijah merupakan adik bongsu. 2 lagi ialah Tok Chik (Zainab) dan Tok Ngah (Esah). Dalam empat beradik ni, Tok Be merupakan orang yang pertama sekali ke Mekah dan dialah yang paling akhir kembali ke rahmatullah. Tok Be meninggal dunia pada tahun 2005.
Ingat-ingat lupa, kami menaiki bas @ menyewa kereta untuk ke Tumpat. Di stesen kereta api Tumpat (stesen paling akhir), orang sangat ramai. Pada masa tu, kalau ada orang pergi haji, hampir satu kampung akan turut serta mengiringi keberangkatan mereka. Maklumlah, bukan mudah untuk ke sana pada waktu itu, dalam satu kampung tu tak ramai yang pergi; tidak seperti hari ini.
Sebaik sahaja Tok Be menaiki kereta api menuju stesen Kuala Lumpur, saya ingat lagi, kami melambai-lambai dengan kain sapu tangan kecil sehingga kereta api hilang daripada pandangan mata. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kelang kerana pada masa tu, bakal haji pergi ke Mekah menaiki kapal laut. Perjalanannya jauh dan tentu sekali mengambil masa yang lama. Berbulan-bulan lamanya jika diambil kira pergi dan balik. Tabung Haji belum ada lagi waktu tu untuk menguruskan jemaah haji, jadi semuanya diuruskan sendiri dengan bantuan kenalan, biasanya yang dah lama menetap di Mekah (mungkin orang yang mengetuai rombongan haji).
Perpisahan di stesen kereta api, kadang-kadang dirasakan sebagai perpisahan terakhir. Hanya doa dan air mata yang mengiringi TokBe agar selamat pergi dan kembali. Daripada apa yang diceritakan oleh Mama, Tok Be terpisah dengan Wak Aji (suami TokBe) ketika di Mekah. Mereka bertemu semula setelah kembali ke tanah air.
Pada masa tu, kami yang masih kecil tidak begitu faham erti perpisahan...
Buat sahabat yang akan / telah berangkat ke tanah suci, selamat menunaikan fardu haji dan selamat menyempurnakan ibadah, semoga mendapat haji mabrur....

1 comments:

teratai said...

Harapan tu, bila pencen nok gi lagi sekali...:)