CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, May 28, 2012

seketika di kampung....

25.5.12 - usai solat Jumaat, kami bertolak balik ke kampung halaman.  

Cuti sekolah bermula esok selama 2 minggu.   Kebetulan Anakanda CT Nadiah juga bercuti selama seminggu, jadi dapatlah kami balik sama-sama.  Tak lama, hanya 3 malam.  Isnin, kami  sudah kembali ke Kuantan.

Kami tiba di rumah Mama sudah agak lewat.  Malam.  Mama akan mengikuti rombongan lawatan ke Acheh yang dijangka bertolak pada hari Ahad nanti.   
masih dalam pembinaan....

Esoknya, pagi-pagi lagi kami ke tapak rumah kami yang masih dalam pembinaan.  Selepas itu kami ke Pasar Siti Khadijah sebelum balik menjengok Mek di Batang Merbau, Tanah Merah.   Abang Mie minta tolong belikan serunding daging yang selalu kami hadiahkan kepadanya.  Sedap katanya....  

serunding @ sambal daging Kak Ani di Pasar Siti Khadijah....


bersantai sambil minum air nyiur muda....

puteri tunggal bongsu kami....

Sebelum ke TM, kami singgah di rumah Mama terlebih dahulu untuk mengambil apa-apa yang patut dan yang pasti untuk minum kopi-o panas yang disediakan oleh Mama.  Kebetulannya Papa sudah ada di rumah.  Papa nampaknya semakin sihat, cuma belum boleh berjalan-jalan di KB.  Selepas berbual-bual seketika dengan Papa, kami meminta izin untuk bertolak balik ke TM.

Kami tiba di rumah Mek ketika zohor sudah hampir ke penghujung.   Abang Mie tiba kira-kira 30 minit selepas itu dan Pak Teh sampai melewati waktu Asar.  Malam itu, keempat-empat anakanda Bonda Nik Zakiah berkumpul di rumah Mek.  A'zemin Mamat, Nain Mamat, Lokman Mamat dan Aynun Mamat. 

Bilangan anak-anak Mek sudah kurang.  Tinggal 4 daripada 6. Terasa seolah-olah ada yang tertinggal.  Terasa-rasa seperti Che Long masih ada.  Itulah hakikat kehidupan.... dua anak Mek sudah kembali menemui Penciptanya.   Arwah Abang Aziz kembali ke rahmatullah hampir 7 tahun yang lalu, manakalah arwah Che Long @ Kak Mah pada Hari Raya Haji yang kedua @ 11 Zulhijjah yang lepas.  

Kini, tinggallah Mek menghabiskan usia yang sudah semakin lanjut, yang kudratnya semakin menipis hari demi hari bersama dua orang cucunya, anak kepada puteri Mek yang bongsu - Su Aynun....  Mek sudah agak uzur sejak beberapa bulan kebelangan ini.   Mek terpaksa  menggunakan tongkat untuk berjalan bagi mengurangkan sengsara sakit lututnya.
tongkat Mek.... lama dan baru

Esok paginya, sebelum saya bertolak balik ke rumah Mama di KB, kami ke pekan TM untuk membeli tongkat yang lebih selesa untuk Mek gunakan. 

Kami bertolak balik dari rumah Mama di KB sebelum tengah hari.... Mama masih di Acheh dan hanya akan balik pada petang Rabu nanti.

kenangan Mama di Acheh....

Kami sampai di rumah di IM6 Kuantan sebelum azan Maghrib berkumandang di udara....


Thursday, May 24, 2012

Ayam pansuh di rumah Hanna....

Hari ketiga di Kuching kami diundang untuk makan malam di rumah keluarga pengantin perempuan.  Selepas solat Isya' Kami dijemput oleh abang dan ahli keluarga Hanna di BDC dengan 3 buah kereta.

Ayahanda dan bonda Hanna, Encik Wasta dan Puan Masnah siap siaga menanti kami di pekarangan rumah. Di ruang hadapan sudah sedia terhidang pelbagai jenis juadah yang enak-enak, walaupun belum 'disentuh' tetapi aromanya menusuk deria bau dan deria rasa kami....menjadikan kami semakin tidak sabar untuk 'mencubanya'.  

Usai doa ringkas yang dibaca oleh Abang Him, kami pun dijemput menjamu selera.  Tuan rumah dengan penuh ramah melayan kami makan sambil menerangkan jenis masakan yang terhidang.... 
ayam pansuh...

Dalam banyak-banyak juadah yang terhidang, saya tertarik dengan sejenis masakan ini.... dari jauh nampak seperti daging ayam disaluti santan... tapi bukan ayam percik...!   Kak Masnah memberitahu bahawa itu merupakan sejenis masakan tradisional masyarakat Sarawak iaitu ayam pansuh.  

Pertama kali saya mendengar nama itu dan saya belum pernah merasanya sebelum ini.  Melalui "Cik Google" tahulah saya sebenarnya perkataan 'pansuh' dalam masyarakat Iban membawa maksud memasak makanan di dalam batang buluh.   

Jika masyarakat Melayu Semenanjung  menggunakan buluh untuk membakar lemang menjelang Hari Raya, tetapi masyarakat Sarawak khususnya masyarakat Iban memasak pelbagai jenis makanan di dalam batang buluh - nasi, sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam.... 

Jadi, ayam pansuh ini ialah ayam yang dimasak di dalam buluh bersama-sama daun mentimun.  Ada juga yang menggunakan pucuk ubi kayu atau disebut pucuk gadong.

Menurut Kak Masnah, untuk menyediakan juadah ini, antara bahan yang diperlukan ialah :
Ayam
Bawang putih, bawang besar & bawang merah
halia & serai
pucuk mentimun
garam secukup rasa
dan
buluh 4 batang (anggaran untuk satu ekor ayam)
daging ayam yang diperap sebelum masukkan ke dalam buluh....

Terlebih dahulu daging ayam dibersihkan dan diperapkan dengan garam secukup rasa.  Bahan-bahan di atas perlu dikisar / tumbuk halus dan perapkan bersama ayam tadi.   Ada yang mengambil masa sehingga setengah hari untuk memastikan ayam yang diperap itu mesra dengan rempah ratus tersebut.... 

Langkah seterusnya, kita perlu memasukkan daging ayam yang diperap itu ke dalam buluh dan disumbatkan dengan daun mentimun.  Buluh yang diisi dengan daging ayam itu akan dibakar di atas bara api dan biarkan sehingga ayam betul-betul masak.   

Yang menariknya, buluh yang besar dan tebal seperti yang kita guna untuk membakar lemang itu tidak hancur; sebaliknya isi ayam yang terdapat di dalam buluh itu masak dengan elok dan tulang ayam boleh pecah semuanya.    MasyaAllah.   Betapa besarnya kuasa dan ciptaan Ilahi....

Wednesday, May 23, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (4) : bas mogok & kek lapis

Bas yang kami naiki menuruni Kampung Budaya Sarawak terus menuju ke pusat bandar Kuching.  Kami pada asalnya dijangka ke tempat pembuatan kek lapis yang sangat popular di Sarawak.

Encik Pemandu melencongkan menuju ke bangunan Dewan Undangan Negeri.  Kata Encik Pemandu, biasanya ramai pelawat yang akan berkunjung ke bangunan DUN itu.... Saya berkata kepada suami, hari ini bermula persidangan DUN, sudah pasti pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan bangunan DUN.
bangunan Dewan Undangan Negeri tersergam megah di tebing Sungai Sarawak....

Ketika bas yang kami naiki sampai betul-betul di pintu masuk bangunan DUN, tiba-tiba enjin bas terhenti.   Ketika itu waktu sudah melewati pukul 1.30 tengah hari.  Persidangan ditangguhkan untuk berhenti rehat. Abe Him, Abe Safuan, Ariff, dan suami turun dari bas dan 'bersantai' di bawah kanopi di persimpangan jalan ke bangunan DUN.

pandangan dari atas bas yang mogok....'part-time' ....
Dari jauh kelihatan anggota persidangan turun dari bangunan DUN menuju ke tapak letak kereta untuk pulang. Mereka melalui jalan tempat bas yang 'mogok' itu.   Mujurlah setelah 'dipujuk' beberapa ketika, bas tersebut dapat dihidupkan semula tetapi alat pendingin hawa perlu dimatikan.  Kami berada dalam keadaan 'suana' yang meresahkan...!  
pandangan dari arah pusingan "U" menuju ke pusat bandar....

Ketika bas kami mula bergerak membuat pusingan "U" di pintu masuk ke bangunan DUN menuju ke pusat bandar, kelihatan berderet-deret kereta keluar dari kawasan tersebut....Mujur sekali lagi, ketika itu kami sudah mula bergerak meninggalkan tempat itu.

Dalam keadaan berhati-hati dan 'bersauna', bas kami menuju ke kawasan pembuatan kek lapis Sarawak.  Hanna membawa kami ke kilang Kek Lapis Dayang Salhah.  Kedai/ kilangnya tidaklah berapa besar, tetapi ramai sungguh pengunjungnya.  Kami disambut mesra dan diberi stiker berwarna kuning yang dilekatkan pada lengan baju. 
di kedai kek lapis Dayang Salhah

Seronok juga 'mencuba-cuba' sampel kuih lapis itu.  Bermacam-macam jenis kek lapis disediakan di dalam bekas yang diletakkan di atas meja rendah di tengah-tengah ruang.  Rasanya seperti Hari Raya pula.  Selepas merasa hampir semua jenis sampel dan terasa sudah agak kenyang, kami pun mulalah memilih kek yang disukai.  Kek-kek ini diletakkan di dalam bakul dan dibawa ke kaunter bayaran.  Kek-kek tersebut dimasukkan ke dalam kotak dan dibungkus rapi.
sticker....

Dari kilang kek lapis Dayang Salhah kami berjalan kaki melintasi jalan menuju ke medan selera di tepi Sungai Kuching @ Sungai Sarawak, atau lebih tepat di Kuching Waterfront.   Waktu yang sesuai untuk kami mengisi perut yang sudah mula 'menyanyi-nyanyi'.... 

Ramai juga yang membuat pesanan Nasi Kerabu Kelantan.  Nampak dari jauh, cukup syaratnya.  Lengkap dengan budu lagi.  Saya dan suami memesan nasi goreng ikan terubuk.  Dua kali buat pesanan di gerai yang berlainan, barulah dapat makan dengan selesa....!
makanan di sini boleh tahan, terasa di tekak....

Bas yang kami naiki menunggu kami di seberang sungai.  Jadi, kami perlu menyeberangi sungai dengan perahu tambang untuk menjimatkan masa.  Tambang perahu tersebut hanyalah sebanyak RM0.50 sen.   Seronok juga sekali sekala melalui pengalaman begini.
menuju ke perahu untuk menyeberangi sungai....

Dulu, ketika usia remaja selalulah juga saya menyeberangi Sungai Kelantan menggunakan motobot dari pangkalan Seberang Pasir Mas ke bandar Pasir Mas untuk ke rumah seorang sahabat, TUAN HASNAH RAJA HASSAN.  Ketika itu belum ada jambatan yang menghubungkan Jalan Pasir Mas - Salor dengan bandar Pasir Mas di seberang Sungai Kelantan.
bersantai menghirup udara segar di Kuching Waterfront.....

Kami menjejakkan kaki di pangkalan seberang sana dengan selamatnya.   Kami menyusuri jalan di sepanjang deretan bangunan kedai lama untuk meninjau cenderamata yang akan dijadikan buah tangan kenangan.... Yang lainnya, Kak Ha dan Abe Him bersantai  di pelantar rehat berbentuk bulat di tepi sungai sambil memerhati cucunda kesayangan bermain....sementara menunggu bas tiba.  
asyik sekali dengan "baby angkasa" nya....

Beberapa ketika menunggu, bas pun tiba.  Jangkaan kami, bas lain akan menggantikan bas yang 'mogok' tadi. Rupa-rupanya kami akan balik ke inap desa dengan bas yang sama. Bas yang 'mogok' di depan bangunan DUN. Kami berdoa dalam hati agar perjalanan kami tidak akan tergendala.  Kami tiba di inap desa dalam keadaan 'bersauna' dengan selamatnya walaupun dua kali juga enjin bas terhenti ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau....


Pada sebelah malamnya, kami diundang oleh Encik Wasta dan Puan Masnah untuk makan malam di rumahnya di BDC....  

Inilah pengalaman yang indah dan menyeronokkan untuk dikenang di sepanjang jalan pulang....

Monday, May 21, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (3) : Kampung Budaya Sarawak

Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan seni budaya yang unik.  Sejenak di bumi Kenyalang mendekatkan diri saya dengan keindahan dan keistimewaan budaya hidup pelbagai etniknya.  
Kampung Budaya Sarawak....

Hari ke-3, 14 Mei 2012 di bumi Kenyalang, pagi-pagi lagi selepas sarapan, kami berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village).  Kunjungan ke Kampung Budaya Sarawak merumus segala inti sejarah, budaya dan keistimewaannya.  

Terletak di kaki Gunung Santubung sejauh 35 kilometer dari bandar raya Kuching dan tersorok di tengah-tengah kehijauan hutan hujan, KBS mencanang pakej dan agenda lawatan yang unik lagi menyeronokkan.  Dalam keluasan 14 ekar landskap semula jadinya, KBS menghimpunkan diversiti kumpulan etnik utama Sarawak dalam persekitaran yang benar-benar serupa dengan kehidupan mereka di seluruh Bumi Kenyalang.
Gunung Santubung dari kejauhan....

Dalam perjalanan ke KBS, dari kejauhan kelihatan megah berdiri Gunung Santubung yang menjadi kebanggaan penduduk bumi Kenyalang yang penuh dengan ceritera rakyat lagenda negeri Sarawak.  Untuk ke sana kami melalui Damai Beach Resort dengan pasirnya kelihatan halus memutih menghiasi gigi pantai, mengindahkan panorama pantainya.  

Sesampainya kami di KBS, kami terus membeli tiket yang nilainya RM60.00 untuk seorang dewasa.  Bagi warga emas, pelajar universiti / murid sekolah dapatlah sedikit diskaun.  Agak mahal juga.  Hanya Che' yang mendapat separuh harga kerana berada dalam kategori Warga Emas...!   
Pasport ke KBS bernilai RM60.00....

Kami diberi 'pasport' sebagai pas masuk ke KBS. Variasi ucapan yang menyambut kedatangan tetamu sejurus melewati pintu masuk kampung di kaki Gunung Santubong ini amat jelas mewakili sistem sosio majmuk yang menjadi penghuni di dalamnya.
menapak ke rumah tradisional etnik Sarawak....

Kami mulalah berjalan-jalan dan singgah turun naik semua rumah yang ada di situ.  Tangganya tinggi-tinggi.  Ada rumah yang tangganya cuma batang kayu yang ditakak untuk tempat menapak.  Nak naik memang senang, tetapi bab nak turun tu yang gayat sikit. 
kenangan di rumah panjang kaum Iban....

Ada tujuh buah rumah semuanya, iaitu Rumah Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan, Melayu , Cina dan  Rumah Melanau. Mendaki tangga tinggi rumah Orang Ulu, bermain buai di bawah rumah Melanau dan belajar menyumpit di pondok Penan adalah antara aktiviti yang boleh dicuba. 

Selain 'apa khabar' dan 'ni how' yang biasa didengari di Semenanjung Malaysia, sesekali terdengar juga ucapan salam yang lain bunyinya. 'inou dengah', 'damea brita', 'nama brita', dan 'nu denge', itu semua bersahut-sahut daripada bibir mereka yang kelihatan bangga menyarung pakaian tradisional masing-masing.  

Selepas diamati betul-betul wajah, dan pakaian mereka   barulah kami dapat membezakan satu-persatu orang yang menyambut penuh senyum itu.   Melanau, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu, terasa sungguh istimewa dan betapa bumi Sarawak ini kaya dengan entiti seumpamanya.
jambatan ke rumah kaum Penan....bersama Kak Ha, Mek & Zue

Dalam turun naik rumah-rumah tersebut, kami seronok tengok gelagat 3 beradik cucunda kesayangan Kak Ha dan Abe Him.  Mereka sedang dalam fasa semua benda nak buat sendiri.  Cepat saja mereka 'memanjat' tangga termasuklah si adik Nisa.  
Nisa sabar menunggu untuk didukung menuruni tangga...

Ada suatu ketika di dalam rumah Orang Iban, tengok-tengok ketiga-tiga si cilik ni sudah ada di atas loteng.... Masa naik cepat sahaja, tetapi nak turun mungkin mereka terasa sedikit gayat, terpaksalah ayahanda mereka naik ke atas dan dukung  seorang demi seorang menuruni tangga....

Kami tidak sempat singgah di semua rumah etnik itu.  Kami mengejar masa untuk menonton persembahan kebudayaan yang dijangka bermula pada pukul 11.30 pagi di Theatre KBS.... Semua rangkuman kehidupan itu boleh disaksikan dalam persembahan budaya selama 45 minit di panggung KBS.   
tarian tradisional etnik di Sarawak....

Kami mengambil tempat duduk di barisan hadapan panggung.  Jangan pula terkejut kalau tiba-tiba disergah oleh pahlawan-pahlawan Iban yang bersenjatakan parang dan tombak. Juga bersedialah untuk menyerah diri kalau tempat duduk dijadikan sasaran sumpit.

PERTUNJUKAN budaya di panggung KBS menghimpunkan lagu-lagu, kostum ekstravaganza dan tarian etnik negeri.  Di atas pentas yang sarat ciri teater itu juga, kita disaksikan oleh kenakalan bakat-bakat ini mengusik para tetamu wanita di panggung itu. Sememangnya menghiburkan!

Walaupun tidak sempat menghabiskan 'penjelajahan' kami ke seluruh kampung etnik ini, namun kami tetap berpuas hati dengan pengalaman separuh hari di Kampung Budaya Sarawak."


Yang pasti, pengunjung Kampung Budaya Sarawak boleh mendekati gaya hidup pelbagai kaum dari pelbagai aspek termasuk makanan, muzik dan juga aktiviti yang berkaitan dengan alam semula jadi.
 

Kepelbagaian kaum dan etnik merupakan tarikan utama di kampung yang bertindak sebagai muzium hidup ini.  sewajarnyalah bukan sahaja warga asing, malah kami rakyat Malaysia yang datang dari Semenanjung juga kagum dengan apa yang kami temui ini....

Kami turut difahamkan bahawa KBS menyediakan pakej perkahwinan yang membolehkan pasangan pengantin meraikan hari bersejarah mereka dengan persediaan persalinan dan sambutan yang mengikut adat Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau atau Cina.

Pengalaman disambut dengan aneka ucapan salam kaum etnik, merentas sungai dengan titi buluh, hampir 'disumpit', dan kemudian diajak menari tarian tradisional, tidak mungkin kalau satu pun daripada pengalaman itu tidak membuatkan tetamu tersenyum dan terkenang-kenang kembali saat melangkah pulang! 
rehat sekejab sebelum meninggalkan Kampung Budaya Sarawak....
 
Keluar dari Kampung Budaya, pemandu bas membawa kami menjenguk Kuching Waterfront....

....bersambung.

 

Saturday, May 19, 2012

Bertemu sahabat lama di Bumi Kenyalang...

Hari kedua di Bumi Kenyalang....

Dalam perjalanan pulang dari Top Spot Food Court, saya telah menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang sahabat lama.  Seorang sahabat yang pernah sama-sama menghabiskan usia remaja di Lembah Pantai awal 1980-an.    Ketika SMS itu dihantar, beliau sudah berada di kawasan penginapan kami.  Ketika itu saya masih di pusat bandar Kuching, dalam perjalanan balik ke inap desa di Herritage Garden.  Kami singgah seketika di sebuah kedai runcit di Satok kerana Abe Him hendak membeli lada hitam.... untuk masak mi sup, katanya.

Kami sampai di tempat penginapan melewati pukul 8 malam.  Beberapa minit kemudian sahabat kami, Sabariah Putit dan suaminya Wan Akil tiba untuk membawa kami ke rumahnya yang tidak jauh dari situ.... 
di kediaman  Sabariah dan Wan Akil... 13 MEI 2012

Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa suatu hari kami dapat bertemu muka dengan Sabariah setelah hampir 30 tahun terpisah.  Bertemu di bumi kelahirannya sendiri, iaitu di Kuching Sarawak.  Kebetulannya pula, Wan Akil merupakan rakan suami saya ketika di Fakulti Sains, UM hampir 3 dekad yang lalu....Kami dibawa ke rumah agamnya di Jalan Merdeka Off Jalan Astana, Petra Jaya. 
bersama Sabariah Dis 1982... hampir 3 dekad yang lalu



Pertemuan ini sarat dengan kisah keluarga, disulami dengan imbauan nostalgia tatkala menjadi warga Lembah Pantai suatu ketika dahulu.   Sambil menikmati juadah istimewa yang disediakan, kami tidak putus-putus melahirkan rasa syukur kerana pada usia melewati setengah abad ini kami masih diberi kesempatan bertemu muka berkongsi cerita.... 

Terima kasih Sab dan Akil kerana dalam kesibukan memenuhi tuntutan tugas, kalian masih sempat  meluangkan masa untuk menjemput dan menghantar kami.... Semoga persahabatan yang sudah sekian lama bertunas kembali mekar dan mewangi di sepanjang jalan pulang.  

Semoga kita akan bertemu lagi pada masa akan datang.... 


Friday, May 18, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (2)

Hari kedua,  sebelah petang usai majlis resepsi kami menyusuri Sungai Kuching @ Sungai Sarawak dengan cruise @ bot melepasi kediaman Ketua Menteri Sarawak.  
mesra bersama keluarga Kak Ha & Abe Him

Kami 9 orang semuanya, dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 seorang.  Biasanya RM20 hanya sehingga jambatan, jika ingin melewati kediaman KMS, akan dikenakan bayaran sebanyak RM25 seorang.  Memandangkan kami dalam jumlah yang ramai, pemandu cruise itu memberi diskaun kepada kami.  


menunggu di jeti...
Semasa kami mula menjejakkan kaki ke perut bot itu, awan kelabu bertompok hitam di sana-sini sedang melintasi sungai Kuching.  Sungai Kuching agak luas dan lebar.    Bot yang kami naiki akan mudik ke hilir sehingga tiba di kawasan rumah kediaman Ketua Menteri Sarawak.   Panorama di sepanjang sungai kelihatan menarik.  

menyusuri Sungai Kuching @ Sungai Sarawak....
Menurut pemandu bot tersebut, Kuching ditadbir oleh dua orang Datuk Bandar daripada dua kaum yang berbeza.   Pembangunan antara kedua-dua belah sungai nampak ketara perbezaannya.  Di sebelah kanan sungai  menghala ke muara kelihatan banyak bangunan tinggi terdiri daripada hotel, pejabat pentadbiran dan pusat beli belah.  Hotel Magheritta, Hilton dan lain-lain lagi mewarnai panorama tebing kanan sungai pada waktu malam.  Seronok sungguh melihat pemandangan di kiri dan kanak tebing sungai Kuching yang lebar ini. 
Kuching Water Front

Cuaca mula mencemburui kami.  Langit mendung bertukar kelabu gelap menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa.  Ketika kami melepasi kawasan kediaman KM yang tersergam indah di tebing sebelah kiri Sungai Kuching, pemandu bot mula mengubah haluan dan membuat pusingan mudik ke hulu menghala ke jeti semula.  Ketika inilah tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya berserta angin yang agak kencang.  Saat itu kami berada di tengah-tengah Sungai Kuching. 
pandangan dari cermin tingkap bot... hujan dan air sungai bergabung ....

Jarak penglihatan menjadi semakin kabur.  Hati mula berasa bimbang.  Di kiri kanan tebing sudah tidak nampak apa-apa.  Kelabu dan putih berkabut.  Tidak ada lagi bangunan batu dan rumah penduduk yang kelihatan.   Air hujan yang lebat meleleh masuk melalui cermin tingkap.  Walaupun tidak banyak tetapi sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam keadaan hujan lebat dan angin bertiup kencang ini.  Kalau sebelum ini kami tidak henti-henti menemubual pemandu bot ini, tetapi kini suasana sunyi sepi. Hanya enjin bot dan deburan air hujan memecah kesenyapan kami.
air hujan yang meleleh keluar melalui tingkap bertakung di lantai bot

Perjalanan kami masih jauh.  Kelajuan bot menjadi agak perlahan kerana pemandangan di hadapan sangat kelam dan kabur.  Kami tidak mahu mengganggu konsentrasi pemandu bot, jadi lebih baik berdiam dan berdoa dalam hati agar tidak ada perkara buruk berlaku.....!  Terasa pergerakan bot perlahan sangat.  Terasa lama berada di dalam bot berbanding ketika mudik ke hilir. 

Hati berasa lega kerana jeti tempat kami naik sudah kelihatan.  Hujan pun sudah semakin reda.  Bot hanya melewati jeti tanpa singgah menurunkan kami rupa-rupanya.  Ada lagi jarak perjalanan yang perlu dihabiskan.   Sambil bergurau, Abang Safuan berkata, "kita baru habis RM15.00 ada lagi RM5.00...."  Bot yang kami naiki terus menghala ke hulu.  Di sebelah kanan kami kelihatan bangunan Dewan Undangan Negeri gah berdiri di tebing Sungai Kuching yang menjadi mercu tanda dan kebanggaan penduduk Sarawak.
Bangunan DUN bersama titisan hujan....

Kami menjejak kaki di jeti dalam keadaan hujan masih turun renyai-renyai.   Kami bersyukur kerana telah sampai di pangkalan dengan selamatnya.....

Sebelum pulang kami singgah di Top Spot Food Court untuk makan malam. Medan Selera ini terletak di tingkat 6.  Kami menaiki lif untuk sampai ke sana.  Bangunan ini memang dikhaskan untuk medan selera ini sahaja, tidak ada kedai lain selain daripada kedai @ gerai makan.

Ramai betul peminat makanan laut singgah di sini dan benar gerai makanan berasaskan makanan laut, tetapi kebanyakannya gerai tidak halal.  Kami singgah di gerai Muslim Seafood.  

Saya tidak pasti apakah keistimewaan makanan laut di medan selera ini.... Makanannya memang sedap, tidak jauh bezanya berbanding dengan tempat-tempat lain terutamanya di Tanjung Lumpur, Kuantan.  Yang ketara bezanya ialah harga makanan di sini (khususnya di 'stall' makanan laut yang kami singgah) boleh tahan mahalnya.   Di gerai lain, tak pastilah pula.  Mungkin mereka "mengenakan" kami yang bukan penduduk tempatan....!  
menjamu selera di Top Spot Food Court....

Makanan yang belum saya cuba dan rasa di tempat lain ialah sejenis makanan laut yang dikenali sebagai 'ambal' goreng berlada.   Di semenanjung rasanya tidak ada jenis hidupan laut ini. Kalau ada pun sangat sukar ditemui.   Ambal ini sejenis dengan 'keluarga' kupang, kerang, kepah, lala, tijah dll yang terdapat di semenanjung....   
beginilah rupa ambal yang belum dimasak...

Kami beredar dari medan selera itu dengan senang hati.... gendang gendut tali kecapi; kenyang perut suka hati.... 

Sebenarnya, saya ada janji temu dengan sahabat yang telah lama terpisah pada malam itu....Dalam hati saya berdoa agar sahabat saya itu belum sampai di tempat penginapan kami untuk membawa kami ke rumahnya....!


Wednesday, May 16, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (1)

Kami telah dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin putera Kak Ha dan Abe Him, Mohd Basri B. Awang dengan pasangannya Nurul Hana puteri kepada pasangan Encik Wasta dan Puan Masnah di Kuching Sarawak yang berlangsung pada 13 MEI 2012 (Ahad).  

mempelai di pelamin yang indah....
Rombongan kami yang seramai 25 orang berlepas dari LCCT Sepang lewat tengah hari 12 MEI dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching  hampir pukul 4.30 petang.  Kami disambut mesra oleh  Encik Wasta Jeho dan  Encik Morsidi Jeho yang sedia menunggu ketibaan kami di airport.  

Kami bertolak pulang ke KL pada petang Selasa, 15 Mei 2012.  Kami singgah sekejab di Sentul dan bertolak pulang ke Kuantan pada pukul 11 malam.  Kami selamat sampai di rumah pada pukul 2.00 pagi 16 Mei 2012....  
bumi Kenyalang dari udara....
Di Kuching, kami disediakan tempat tinggal, iaitu di inap desa yang beralamat No. 62 & 63 Herritage Garden, Petra Jaya....agak jauh dari rumah keluarga pengantin perempuan yang letaknya berdekatan dengan lapangan terbang.  Majlis resepsi pula diadakan di Dewan Suarah, Jalan Budaya, Kuching, tidak jauh dari tempat kami menginap. 
Medan Selera Kubah Ria, Matang

Sebelum tiba di tempat penginapan, kami dibawa oleh Encik Wasta dan Encik Morsidi singgah terlebih dahulu di medan selera Kubah Ria.   Pelbagai jenis makanan ada dijual di sini.  Semuanya sedap.  Yang menarik perhatian saya ialah nasi goreng dabai. 
buah dabai... sejenis buah tropika Sarawak yang tidak ada di Semenanjung

Pada keesokan harinya, kami ke Dewan Suarah untuk menyempurnakan majlis resepsi.   Majlis bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang.  Rombongan kami tiba tepat pada masanya, iaitu pada pukul 11 pagi.  Ketika kami masuk ke dewan, para jemputan sudah memenuhi semua tempat duduk.  Majlis dimulakan sebaik sahaja mempelai mengambil tempat di pelamin.  
mesra bersama.... Kak Rul, Mek, Adik Mah, Mek Ki, Che', Kak Kay & me
Majlis meriah dan terhibur dengan celoteh serta pantun pengacara majlis.  Kelunakan suara ENCIK HASSIM TOHUT memikat hati semua hadirin.  Pertama kali saya melihat acara adat makan temuan.   Menurut Ibu Saudara pengantin perempuan, jika mereka ikut  adat Melanau sebelah Ayahanda pengantin, banyak lagi yang boleh dilihat....!
Hubby bersama Abg Him (besan) dan pengacara majlis (tengah)

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih daripada kami buat Hana sekeluarga atas layanan yang sungguh istimewa sepanjang kunjungan kami ke Bumi Kenyalang.... terima kasih daun keladi...


Thursday, May 10, 2012

Raikan ibu....

HARI IBU jatuh pada hari Ahad minggu kedua bulan MEI setiap tahun. Pada tahun ini, Hari Ibu jatuh pada 13 Mei 2012. Sama ada kita memanggilnya ibu, mak, ummi, mama atau mummy, maknanya sama sahaja.

Ibu adalah panggilan istimewa seorang anak kepada wanita istimewa yang melahirkannya.
Biarpun kasih sayang, pengorbanan dan jasa ibu saban hari dikenang selagi hayat dikandung badan, namun sambutan Hari Ibu memberi makna yang amat besar kepada semua ibu di negara ini.
Mama bersama 7 daripada 8 orang Puterinya.....

Peranan dan tanggungjawab wanita yang bergelar ibu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun ibu tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak sudah menjadi tanggungjawab mereka menghargai dan memberikan kebahagiaan kepda ibu yang dikasihi.


Oleh itu, pada kesempatan sambutan HARI IBU yang diraikan di seluruh negara Ahad ini, anak-anak yang masih berpeluang menghargai ibu mereka, jadikanlah hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat si ibu.... hargailah ibu kita pada setiap masa sementara masih ada ruang waktu....



Mama bersama satu-satunya Kakandanya.... Mok Abe

Ucapan Hari Ibu juga ditujukan istimewa untuk Bonda Mertuaku... Hjh Nik Zakiah Bt. Hj Nik Mat.  Semoga Mek sentiasa sihat dalam meniti usia emas ini.  Walaupun anak-anak Mek jauh di perantauan, namun Mek sentiasa di hati mereka....

SESUNGGUHNYA, SETIAP HARI MERUPAKAN HARI IBU....!

.... sekadar mengingatkan diri sendiri
"...Mama, engkaulah RATU hati kami sepanjang waktu...."

hujung minggu lepas balik KB bertemu Mama....



Sunday, May 6, 2012

Tali air : kenangan yang semakin menjauh....

Esok masih cuti walaupun orang lain sudah kembali bertugas selepas cuti hujung minggu.  Esok ialah cuti umum sempena Hari Hol untuk mereka yang menetap di Negeri Pahang Darul Makmur.  Ini bermakna, sudah dua hari saya pulang ke kampung.   Pulang untuk melepaskan kerinduan kepada keluarga tercinta.  Pulang setelah lebih sepurnama tidak menjejak kaki di kampung kelahiran.

Sesekali pulang ke kampung halaman, ingatan singgah pada kenangan zaman kanak-kanak apabila melihat tali air terbentang di tengah-tengah sawah padi ketika melalui lebuh raya KB - Pasir, melalui persimpangan Jalan Bt. 4, Jelutong, Kampung Kota hingga ke persimpangan lampu isyarat untuk ke Mulong, Pasir Mas atau ke Tendong.  Walaupun pemandangannya sudah berubah berbanding lebih 30 tahun yang lalu, namun kenangan itu tetap singgah di minda.   

"Tali Air" - kata yang tidak memberi apa-apa makna kepada seorang kanak-kanak yang baru berusia 6 - 7 tahun lebih 4 dekad yang lalu... kanak-kanak itu hanya tahu menyebut, tetapi tidak pasti maksud sebenarnya tali air.

Di Kg Kota, salah satu aktiviti ekonomi masyarakatnya ialah menanam padi. Sekali setahun. Bermula dengan kerja-kerja menenggala (membajak tanah dengan tenggala), menabur benih, mencabut semai (anak padi) dan mencedung atau menanam semula anak padi di tapak semaian. Sementara menunggu padi masak, penduduk kampung yang terlibat akan melakukan aktiviti lain seperti menoreh getah, menanam sayur, bertukang rumah dll. Setelah padi masak bertukar warna menjadi kuning keemasan, bermulalah proses mengetam atau memukul @ membanting padi.... Penanaman padi bergantung kepada bekalan air, jadi "tali air" telah membawa perubahan kepada masyarakat petani di seluruh negara, termasuklah petani di Kg Kota. Penanaman padi 2 kali setahun bermula dengan adanya tali air.

Dulu, di seberang jalan depan rumah kami terbentang luas sawah padi yang menghijau. Berpetak-petak dengan keluasan yang berbeza-beza. Pernah suatu ketika, pada pertengahan tahun 1960-an kerajaan berura-ura untuk membina sebuah sekolah menengah di situ, tetapi tidak dipersetujui oleh penduduk setempat. Sawah inilah punca ekonomi sebahagian besar penduduk Kg Kota pada waktu itu. Pembinaan sekolah mengorbankan kawasan sawah padi yang luas. Ini bermakna mereka akan kehilangan mata pencarian. 


Awal tahun 1969... penduduk kampung, lebih-lebih lagi kanak-kanak begitu teruja melihat beberapa buah jentera berat, terutama sekali jentolak dan jengkaut masuk ke kampung kami meredah sawah padi yang sedang 'berehat' kerana musim menuai baru berakhir. Di seberang jalan, di belakang rumah Tok Wan Yusof Tauke Kain, dengan jarak serelung bendang padi, kerja-kerja menggali tanah dijalankan tanpa henti. Di luar musim menanam, tapak sawah di belakang rumah Tauke Kain ini tidak digunakan. Tanah rang ini akan bertukar menjadi gelanggang untuk kami bermain bola wa atau bola kaki tiga pada waktu petang sehingga musim menanam padi kembali semula pada tahun berikutnya.

Jentera-jentera berat ini terus gagah menukar lanskap bumi. Daripada seela menjadi serantai dan seterusnya berantai-rantai, berangkai-rangkai.... Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan... Sambil bermain, kami asyik melihat dari jauh kerja-kerja pengorekan @ penggalian tanah.... Kadang-kadang, pada hari-hari mereka tidak bekerja, naluri ingin tahu telah membawa kami untuk menjenguk lubang panjang yang siap digali... tidak terfikir oleh minda kanak-kanak seusia 6 @ 7 tahun, apakah sebenarnya yang hendak dihasilkan....? Tanah di sebelah kiri dan kanan korekan itu diratakan menjadi laluan bertebing @ jalan tak berturap. Kami sering kali berkejar-kejaran di atas laluan itu.

Pernah pada suatu petang, kami masuk ke dalam terowong yang menghubungkan antara dua tali air. Panjang terowong ini lebih kurang 20 meter. Sesuatu yang baharu bagi kami. Sebagai kanak-kanak, sebenarnya kami masih belum mengerti fungsi atau tujuan terowong itu ada di situ....

Setelah beberapa bulan berlalu... sedar-sedar, korekan tanah yang panjang berantai-rantai panjangnya, dengan kedalamannya lebih daripada 10 kaki itu telah dipenuhi air. Tidak pernah terlintas di minda kami untuk ambil tahu, bagaimana talian korekan tanah itu dipenuhi air. Pada kami, itu berlaku secara semula jadi. Kanak-kanak, apalah sangat yang boleh mereka fikirkan. (Beberapa tahun selepas itu, setelah belajar Geografi semasa di sekolah menengah, baharulah terjawab semua persoalan zaman kanak-kanak dahulu...)

Akhirnya, oh, begini rupanya yang dikatakan "TALI AIR ". Panjang seperti tali, kemudian dipenuhi air....! Tali air yang dibina di bawah Rancangan Pengairan KEMUBU ini merupakan salah satu projek Rancangan Pembangunan Ekonomi negara yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan petani di luar bandar melalui DEB, iaitu penanaman padi dua kali setahun...!

Aku masih ingat, aku juga sering menghabiskan masa bersama Noni mengikut bapa saudara (Arwah Che Abe) menangguk udang @ anak-anak ikan di tali air. Kadang-kadang aku dan Noni curi-curi mandi (walaupun tidak tahu berenang) di tali air. Langsung tidak terfikir akan bahaya bermain di tali air.... memang tidak tahu takut...!

Dalam tempoh 12 tahun pertama selepas pembinaannya, tali air ini 'terpelihara' dengan baik. Dari rumah Mama kami boleh lihat ibu bapa membawa anak-anak bersiar-siar di atas tali air pada waktu petang sementara menunggu senja, terutama sekali pada musim menuai padi.

Yang paling aku suka ialah meniti di atas titi kayu atau titi yang dibuat daripada 2 batang pokok kelapa yang merentangi tali air..... Kenangan hampir 30 tahun yang lalu... selepas melanjutkan pelajaran ke luar daerah, aku sudah tidak berkesempatan lagi berjalan-jalan di atas tali air ini, apatah lagi setelah berkeluarga dan sekali-sekala pulang ke kampung ...!

Kini, persekitaran tali air tidak seindah 30 tahun yang lalu. Airnya keruh dan banyak rumput dan rumpai air tumbuh sehingga menjadikan alirannya tersekat! Di sesetengah tempat, tali air kini dijadikan tempat membela ikan dalam jaring. Sawah bendang yang memisahkan jalan raya dengan tali air sudah dipenuhi rumah-rumah kediaman.  Sawah yang saujana mata memandang kini sudah didirikan bangunan pejabat kerajaan persekutuan.  TEMAN yang dibina beberapa tahun lepas menjadi tumpuan masyarakat setempat.  Kini TEMAN dikenali sebagai RTC (Rural Transformation Centre) Kelantan yang telah dirasmikan oleh YAB PM semalam (Jumaat 5.5.12)   di tapak bangunan tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Beringin.  Kg Beringin yang kini tinggal kenangan.  Banyak lagi bangunan yang sedang dan bakal dibina di tapak sawah yang terbentang luas suatu ketika dahulu yang jelas pada pandangan mata dari rumah Mama....
Adakah Pusat Dagangan Tunjung ini menjadi realiti dan akan menukarkan lanskap Mukim Kota...?

Kini, tiada lagi kelihatan penduduk kampung berjalan-jalan petang di tali air sambil melihat kanak-kanak bermain wau.  Dari rumah Mama kami sudah tidak dapat melihat tali air yang dahulunya menjadi tumpuan kami bersama adik-adik bersiar-siar sebelum menjelang senja... semuanya sudah berubah.  Kenangan ini tetap indah di hati dan sering menggamit kerinduan akan zaman kanak-kanak yang sungguh indah....

Tali air... tersimpan banyak memori di sepanjang jalan pulang... tali air yang memberi rezeki.... tali air yang merentap nyawa ...