CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, May 18, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (2)

Hari kedua,  sebelah petang usai majlis resepsi kami menyusuri Sungai Kuching @ Sungai Sarawak dengan cruise @ bot melepasi kediaman Ketua Menteri Sarawak.  
mesra bersama keluarga Kak Ha & Abe Him

Kami 9 orang semuanya, dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 seorang.  Biasanya RM20 hanya sehingga jambatan, jika ingin melewati kediaman KMS, akan dikenakan bayaran sebanyak RM25 seorang.  Memandangkan kami dalam jumlah yang ramai, pemandu cruise itu memberi diskaun kepada kami.  


menunggu di jeti...
Semasa kami mula menjejakkan kaki ke perut bot itu, awan kelabu bertompok hitam di sana-sini sedang melintasi sungai Kuching.  Sungai Kuching agak luas dan lebar.    Bot yang kami naiki akan mudik ke hilir sehingga tiba di kawasan rumah kediaman Ketua Menteri Sarawak.   Panorama di sepanjang sungai kelihatan menarik.  

menyusuri Sungai Kuching @ Sungai Sarawak....
Menurut pemandu bot tersebut, Kuching ditadbir oleh dua orang Datuk Bandar daripada dua kaum yang berbeza.   Pembangunan antara kedua-dua belah sungai nampak ketara perbezaannya.  Di sebelah kanan sungai  menghala ke muara kelihatan banyak bangunan tinggi terdiri daripada hotel, pejabat pentadbiran dan pusat beli belah.  Hotel Magheritta, Hilton dan lain-lain lagi mewarnai panorama tebing kanan sungai pada waktu malam.  Seronok sungguh melihat pemandangan di kiri dan kanak tebing sungai Kuching yang lebar ini. 
Kuching Water Front

Cuaca mula mencemburui kami.  Langit mendung bertukar kelabu gelap menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa.  Ketika kami melepasi kawasan kediaman KM yang tersergam indah di tebing sebelah kiri Sungai Kuching, pemandu bot mula mengubah haluan dan membuat pusingan mudik ke hulu menghala ke jeti semula.  Ketika inilah tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya berserta angin yang agak kencang.  Saat itu kami berada di tengah-tengah Sungai Kuching. 
pandangan dari cermin tingkap bot... hujan dan air sungai bergabung ....

Jarak penglihatan menjadi semakin kabur.  Hati mula berasa bimbang.  Di kiri kanan tebing sudah tidak nampak apa-apa.  Kelabu dan putih berkabut.  Tidak ada lagi bangunan batu dan rumah penduduk yang kelihatan.   Air hujan yang lebat meleleh masuk melalui cermin tingkap.  Walaupun tidak banyak tetapi sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam keadaan hujan lebat dan angin bertiup kencang ini.  Kalau sebelum ini kami tidak henti-henti menemubual pemandu bot ini, tetapi kini suasana sunyi sepi. Hanya enjin bot dan deburan air hujan memecah kesenyapan kami.
air hujan yang meleleh keluar melalui tingkap bertakung di lantai bot

Perjalanan kami masih jauh.  Kelajuan bot menjadi agak perlahan kerana pemandangan di hadapan sangat kelam dan kabur.  Kami tidak mahu mengganggu konsentrasi pemandu bot, jadi lebih baik berdiam dan berdoa dalam hati agar tidak ada perkara buruk berlaku.....!  Terasa pergerakan bot perlahan sangat.  Terasa lama berada di dalam bot berbanding ketika mudik ke hilir. 

Hati berasa lega kerana jeti tempat kami naik sudah kelihatan.  Hujan pun sudah semakin reda.  Bot hanya melewati jeti tanpa singgah menurunkan kami rupa-rupanya.  Ada lagi jarak perjalanan yang perlu dihabiskan.   Sambil bergurau, Abang Safuan berkata, "kita baru habis RM15.00 ada lagi RM5.00...."  Bot yang kami naiki terus menghala ke hulu.  Di sebelah kanan kami kelihatan bangunan Dewan Undangan Negeri gah berdiri di tebing Sungai Kuching yang menjadi mercu tanda dan kebanggaan penduduk Sarawak.
Bangunan DUN bersama titisan hujan....

Kami menjejak kaki di jeti dalam keadaan hujan masih turun renyai-renyai.   Kami bersyukur kerana telah sampai di pangkalan dengan selamatnya.....

Sebelum pulang kami singgah di Top Spot Food Court untuk makan malam. Medan Selera ini terletak di tingkat 6.  Kami menaiki lif untuk sampai ke sana.  Bangunan ini memang dikhaskan untuk medan selera ini sahaja, tidak ada kedai lain selain daripada kedai @ gerai makan.

Ramai betul peminat makanan laut singgah di sini dan benar gerai makanan berasaskan makanan laut, tetapi kebanyakannya gerai tidak halal.  Kami singgah di gerai Muslim Seafood.  

Saya tidak pasti apakah keistimewaan makanan laut di medan selera ini.... Makanannya memang sedap, tidak jauh bezanya berbanding dengan tempat-tempat lain terutamanya di Tanjung Lumpur, Kuantan.  Yang ketara bezanya ialah harga makanan di sini (khususnya di 'stall' makanan laut yang kami singgah) boleh tahan mahalnya.   Di gerai lain, tak pastilah pula.  Mungkin mereka "mengenakan" kami yang bukan penduduk tempatan....!  
menjamu selera di Top Spot Food Court....

Makanan yang belum saya cuba dan rasa di tempat lain ialah sejenis makanan laut yang dikenali sebagai 'ambal' goreng berlada.   Di semenanjung rasanya tidak ada jenis hidupan laut ini. Kalau ada pun sangat sukar ditemui.   Ambal ini sejenis dengan 'keluarga' kupang, kerang, kepah, lala, tijah dll yang terdapat di semenanjung....   
beginilah rupa ambal yang belum dimasak...

Kami beredar dari medan selera itu dengan senang hati.... gendang gendut tali kecapi; kenyang perut suka hati.... 

Sebenarnya, saya ada janji temu dengan sahabat yang telah lama terpisah pada malam itu....Dalam hati saya berdoa agar sahabat saya itu belum sampai di tempat penginapan kami untuk membawa kami ke rumahnya....!


0 comments: