Destinasi kami adalah ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lancang. Tempat ini terletak di kawasan perkampungan Orang Asli suku Che Wong dan Temian. Kami bertolak seawal pukul 7.45 pagi dan sampai di Kuala Gandah 2 jam kemudian. Ada beberapa kumpulan murid prasekolah yang juga baru tiba. Tepat pukul 10.30 pagi kami berkumpul di tapak khas yang lapang untuk diperkenalkan kepada beberapa ekor gajah.
Satu sesi taklimat ringkas disampaikan oleh Encik Rasli berkaitan dengan Pusat Konservasi ini. 5 ekor gajah ditampilkan dan diperkenalkan kepada kami, iaitu Timur, 37 tahun dari Johor; Mawar, 11 tahun juga dari Johor; Pyan, 37 tahun dari Myanmar; Kala dan Akot berusaia 16 tahun. Kemudian kami diberi peluang memberi makanan kepada gajah sambil bergambar dengan gajah-gajah berkenaan. Ini diikuti dengan aktiviti menunggang gajah.
Menurut Encik Rasli, setiap aktiviti yang dijalankan, misalnya memberi makanan kepada gajah mempunyai tujuan tertentu, iaitu untuk mempamerkan rasa sayang dan prihatin kita terhadap gajah-gajah 'yatim piatu' ini yang telah terpisah daripada induknya. Gajah sangat sensitif terhadap persekitaran.
Semasa sesi berkenalan dengan gajah denak ini, saya ternanti-nanti dan mengintai-intai kemunculan Mek Bunga, tetapi malangnya Mek Bunga direhatkan pada masa itu. Sebelum bertolak ke Kuala Gandah lagi, saya sudah berkira-kira untuk bertemu Mek Bunga. Ingin melihat bersua dan mengusap badannya. Kulit gajah yang agak kasar tetapi amat sensitif.... Sebelum bertolak ke Lancang pada pagi tersebut, Puan Suriani sempat 'berkirim salam' untuk Mek Bunga.
Mek Bunga dan seekor lagi gajah betina yang diberi nama Lokimala, berusia 70 tahun lebih merupakan dua ekor gajah denak atau gajah pemujuk yang paling tua. Mereka digunakan untuk 'menggoda' dan memujuk gajah yang diselamatkan untuk bertenang dan naik ke lori sebelum dibawa ke Pusat Konservasi Gajah ini. Sudah banyak jasa dan sumbangan Mek Bunga dalam usaha 'memujuk' gajah-gajah liar untuk dijinakkan.
Mungkin ada pengunjung di sini pernah terbaca dalam akhbar tentang kisah atau cerita dua ekor gajah denak ini membantu pihak PERHILITAN dalam operasi pemindahan gajah gajah liar yang telah kehilangan habitatnya. Yang terbaru, pada bulan Jun lepas, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Jabatan PERHILITAN telah menangkap seekor gajah betina liar yang dilaporkan memusnahkan tanaman penduduk di beberapa buah kampung di Mukim Baka dan Cherang Hangus, Machang Kelantan.
Gajah betina yang dianggarkan berusia 25 tahun dan seberat 1.5 tan itu telah dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah untuk dijinakkan. Operasi itu mengambil masa selama satu jam hasil bantuan gajah denak Mek Bunga dan Kala serta sepasukan anggota PERHILITAN negeri dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.
Tahukah anda, kos setiap kali proses tangkapan gajah liar yang dilakukan oleh Jabatan PERHILITAN dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan ini menelan belanja lebih kurang RM35 ribu...!
Sebenarnya, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang lokasinya berdekatan dengan Hutan Simpanan Hidupan Liar Krau telah ditubuhkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada tahun 1989. Pusat ini merupakan ibu pejabat Pasukan Pemindahan Semula Gajah yang telah wujud sejak tahun 1974.
Unit Gajah merupakan satu pasukan yang unik di Malaysia di mana peranan utama unit ini adalah untuk menempatkan semula gajah-gajah liar yang habitatnya telah diambil alih oleh kawasan pertanian. Gajah liar ini akan ditempatkan semula ke kawasan-kawasan perlindungan seperti di Taman Negara.
Sejak lebih 30 tahun yang lalu, pasukan yang dahulunya terdiri daripada 25 orang ahli telah berjaya memindahkan lebih daripada 450 ekor gajah liar di mana proses pemindahan ini bertujuan untuk meminimumkan risiko kepupusan yang berterusan.
Selain berfungsi sebagai ibu pejabat untuk unit gajah, pusat ini juga merupakan tempat perlindungan bagi beberapa ekor gajah denak dan liar. Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah juga mempunyai matlamat untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh gajah di Malaysia.
Selain itu, pusat pemuliharaan ini menggalakkan kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan semula dan konservasi gajah.
Pusat ini juga giat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Para pelawat digalakkan untuk menonton dokumentari tentang proses pemindahan semula gajah liar yang dilakukan pada 1996 dengan kerjasama krew National Geographic.
Pusat ini mempunyai beberapa ekor gajah tempatan yang dibawa masuk daripada Thailand dan Myanmar. Gajah-gajah ini dilatih dan digunakan untuk memindahkan gajah-gajah liar dari kawasan-kawasan yang bermasalah di seluruh Semenanjung Malaysia. Pusat ini juga memelihara anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya untuk memastikan anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya terus hidup.
Gajah Asia kini dikategorikan sebagai spesies yang kian terancam dengan anggaran yang kurang daripada 1,200 ekor gajah liar di Semenanjung Malaysia.
Melindungi gajah Asia liar atau Elephus Maximus secara langsungnya membantu melindungi ribuan jenis spesies lain yang terdapat dalam lingkungan habitat gajah tersebut. Gajah membuka denai-denai dan menumbangkan pohon-pohon yang menjadi sumber makanan semula jadi yang sangat diperlukan untuk haiwan yang lebih kecil umpama jentolak semula jadi, serta menyebarkan biji-bijian di dalam najisnya.
Walau bagaimanapun disebabkan oleh kekurangan habitat, gajah kini terpaksa mencari makanan di kawasan pinggir hutan yang telah bertukar rupa menjadi kawasan perladangan dan penempatan manusia. Pencerobohan ini menyebabkan kerugian pihak terbabit.
Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah ini memberikan pelawat peluang untuk mempelajari dengan lebih lanjut mengenai haiwan mamalia yang besar ini serta pengalaman menunggang gajah di persekitaran hutan dengan bantuan seorang mahout atau pemandu gajah. Hampir 50 orang murid SMKTP diberi peluang menunggang gajah. Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk menunggang "Mawar" bersama anak didik dari kelas 3K8, Ayu Wulandari dengan bantuan mahout atau pemandu gajah. Agaknya, inilah percubaan yang pertama dan terakhir untuk saya....
Selain itu, pelawat yang berani dan menginginkan pengalaman yang berlainan pula berpeluang menunggang gajah ke sungai dan memandikannya...! Tidak ada di tempat lain di mana anda boleh mendekati haiwan mamalia yang besar ini seperti ini... Disebabkan jadual untuk gajah mandi adalah pada pukul 2.30 petang, jadi kami tidak sempatlah mencubanya kerana terpaksa beredar ke auditorium untuk tayangan video "Simfoni Alam" sebelum singgah di Deer Land dalam perjalanan keluar dari Kuala Gandah ini...
Sebaik sahaja kami tiba di Taman Rusa, hujan mulai turun dan aktiviti terhenti seketika. Ketika ini petugas di Taman Rusa memberi peluang kepada murid SMKTP bergambar dan 'bermesra' dengan dua ekor ular yang agak besar juga. Setelah hujan teduh, murid-murid mula mendekati rusa dan memberi rusa-rusa itu makanan....
Kami bertolak balik ke Kuantan lebih kurang pada pukul 2.30 petang dan tiba di sekolah menghampiri pukul 5.00 setelah berhenti makan di R & R Temerloh untuk seketika....
Lawatan mendekati alam ini amat menyeronokkan dan diharap dapat memberi sedikit kesedaran kepada generasi muda peri pentingnya menyelamat dan memelihara hidupan liar di negara kita....
No comments:
Post a Comment