CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, November 11, 2011

Calon SPM : Sudahkah anda bersedia...?

Musim demam peperiksaan kembali lagi. Setelah UPSR dan PMR berlalu, kini datang pula SPM dan STPM. Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk membantu murid memantapkan persiapan mereka bagi menghadapi peperiksaan tersebut.

Calon SPM : sudahkah anda bersedia...?

Tinggal hanya 2 hari lagi bagi semua murid Tingkatan 5 untuk menduduki Peperiksaan SPM. Diharapkan semua calon SPM sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Kebanyakan daripada mereka sudah mula membuat persiapan awal sama ada belajar secara bersendirian ataupun dalam kumpulan, selain mendapat nasihat guru serta mengikuti bengkel dan seminar.

Di SMKTP, dewan dan bilik peperiksaan sudah disediakan sejak h
ari Khamis lepas sebaik sahaja selesai Majlis Restu Ilmu di dewan terbuka SMKTP.

Mereka yang terlibat dengan pengawasan peperiksaan juga telah menghadiri mesyuarat dengan Ketua Pengawas di pusat-pusat peperiksaan yang telah ditetapkan pagi tadi. Semua pihak sudah bersedia...

Bagaimana pula dengan 370 orang calon SPM di SMKTP, sudahkah anda semua bersedia....? Harapan kami warga pendidik agar semua calon SPM 2011 sudah siap siaga untuk menghadapi "perjuangan di medan ilmu" ini yang akan bermula pada hari Isnin 14 NOVEMBER 2011.
Dalam membicarakan isu peperiksaan, saya terpanggil untuk berkongsi maklumat berkait dengan peperiksaan. Sama-samalah kita fikir dan renungkan....

KERANGKA UJIAN PERLU DIBENTUK SELARAS DENGAN KEPERLUAN SISTEM PENDIDIKAN MODEN

Oleh : Dr Zaini Ujang

SELAIN menentukan pencapaian seseorang pelajar, peperiksaan perlu dirangka supaya menjadi sebahagian kaedah menggalakkan pembelajaran, penyuburan budaya ilmu dan pemantapan budaya inovasi. Banyak kajian merumuskan bahawa peperiksaan untuk tujuan penanda aras pencapaian semata-mata tidak dapat mendorong minda dan minat pelajar untuk bersifat kreatif dan inovatif.

Sehubungan itu, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menganjurkan bengkel pengurusan skenario selama dua hari bermula 3 Ogos lalu untuk mendapatkan pandangan pakar dan pihak berkepentingan. Ini selari dengan inisiatif Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula kaedah pelaksanaan sistem penilaian pendidikan, terutama pada peringkat sekolah.

Memang dimaklumi bahawa peperiksaan masih diperlukan. Namun peperiksaan tidak lagi boleh dilaksanakan secara konvensional dan berorientasi kertas soalan semata-mata. Dalam konteks pendidikan, banyak kaedah penilaian pencapaian pelajar boleh digunakan seperti pengujian secara anjal termasuk penilaian berasaskan aktiviti di sekolah dengan penekanan lebih terhadap aspek praktikal.

Peperiksaan juga perlu dirangka agar menjadi pendorong supaya pelajar sentiasa
ingin belajar dan meningkatkan kefahaman ilmu secara berterusan, tidak hanya terikat kepada musim peperiksaan untuk menjawab kertas soalan. Di samping boleh memahami sesuatu kandungan dalam sesuatu disiplin ilmu, peperiksaan juga perlu dirangka bagi meningkatkan integriti. Bukankah salah satu etika dalam peperiksaan ialah menjawab secara jelas berasaskan kefahaman, tidak meniru apatah lagi menipu.

Jika difahami dengan setepatnya dan dirangka sebaiknya, peperiksaan dapat menyuburkan minda kreatif dan inovatif. Menerusi kaedah penilaian berterusan sepanjang tahun sebagai contoh, maka seluruh aktiviti pelajar dalam dan luar bilik darjah boleh diolah supaya proses pembelajaran dapat dijalankan secara lebih bersahaja, holistik dan menyer
onokkan. Kita perlu adil terhadap semua pelajar kerana setiap individu mempunyai keupayaan dan keistimewaan tersendiri.

Kadang kala bakat besar dalam sesuatu bidang hanya menyerlah jika bakat itu disuburkan menerusi aktiviti pembelajaran berterusan, bukan di atas kertas peperiksaan yang perlu dijawab dalam tempuh dua atau tiga jam. Itulah rasionalnya maka seluruh aktiviti pembelajaran perlu dirangka supaya penilaian dapat dilaksanakan secara lebih holistik, adil dan seimbang.


Di sinilah perlunya kita memahami sifat dan tabii manusia dalam konteks penilaian proses pembelajaran. Selain perlu disesuaikan dengan pelbagai tuntutan zaman seperti permintaan pasaran kerja, kemahiran baru dan trend semasa dari segi penggunaan teknologi, kita juga perlu kembali kepada hakikat keinsanan manusia adalah sebaik-baik kejadian oleh Allah Yang Maha Pencipta
Oleh itu, fakulti keinsanan meliputi fizikal, intelektual, emosi, spiritual dan bermasyarakat perlu digabungkan secara sepadu dalam semua aspek kehidupan, apatah lagi proses pembelajaran untuk menyerlahkan komponen sebaik-baik kejadian itu. Tidak tepat jika proses pembelajaran, termasuk penilaian dalam pendidikan formal hanya tertumpu kepada aspek intelektual.

Besar kemungkinan hasilnya ialah manusia tidak seimbang yang mengabaikan tuntutan beretika, berintegriti dan beramal salih. Islam mengajar kita bahawa keistimewaan dan kemuliaan insan sebagai khalifah di bumi hanya boleh direalisasikan dengan ilmu pengetahuan.
Oleh itu, sejak Nabi Adam di alam syurga, baginda diajarkan nama ciptaan Allah. Dengan ilmu itulah Nabi Adam mengajar malaikat. Kemudian Allah mengarahkan malaikat sujud kepada Nabi Adam tanda kemuliaan insan dengan ilmu dan takwa. Al-Quran merakamkan peristiwa ini secara naratif (Al-Baqarah: 30-35).

Dengan ilmu maka bercambahlah hikmah, iaitu tahap lebih tinggi daripada sekadar mengetahui. Dari sudut bahasa, hikmah mempunyai sembilan pengertian iaitu keadilan, menahan marah, kenabian, lawan kepada kejahilan, kebenaran, meletakkan sesuatu pada tempatnya, perkataan yang betul, mencegah kerosakan dan mengetahui sebaik-baik perkara dengan sebaik-baik ilmu. Sebagai contoh, pengertian hikmah mengenai mengetahui sebaik-baik perkara dijelaskan dalam doa Nabi Ibrahim: “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang yang salih” (As-Syuara’: 83).

Dalam konteks semasa, kreativiti dan inovasi boleh disuburkan menerusi konsep dan aplikasi hikmah. Dalam bidang perundangan misalnya, kreativiti dan inovasi diserlahkan dalam bentuk perumusan fatwa baru. Dalam bidang sains fundamental pula, kreativiti dan inovasi membabitkan paradigma, teori, formula dan klon baru. Sementara dalam bidang sains gunaan, kejuruteraan dan perubatan pula, kreativiti dan inovasi membabitkan kaedah, prosedur, sistem, produk dan jenama baru.
Menerusi kefahaman jelas mengenai tabii keinsanan maka mudahlah kita merangka sistem penilaian bagi proses pendidikan pada pelbagai peringkat. Pada prinsipnya, ilmu dalam pelbagai perlu digarap sebaiknya, kemudian dinilai secara berterusan, holistik dan adil bagi memungkinkan seluruh dimensi pembelajaran dan fakulti keinsanan disuburkan sebaiknya sehingga terhasil hikmah dan bercambah budaya inovasi.

Demikian pertalian antara peperiksaan, proses pembelajaran, ilmu dan hikmah dalam konteks budaya inovasi. Secara konstruktif, budaya inovasi merujuk kepada kesediaan berubah, mencuba perkara baru dan cara baru dalam seluruh aspek kehidupan untuk kemakmuran, kedamaian, kesenangan, kesejahteraan dan kelestarian menerusi penyelesaian kreatif. Hasilnya ialah masyarakat yang kukuh dengan nilai ilmu dan hikmah yang memungkinkan bukan saja terbina sistem ekonomi berasaskan inovasi, malah negara maju dan tamadun besar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

KEPADA SEMUA CALON SPM 2011, KHUSUSNYA DI SMK TANAH PUTIH,


SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN SPM YANG AKAN BERMULA PADA 14 NOVEMBER 2011....

DOA KAMI WARGA PENDIDIK SMKTP SEMOGA KALIAN AKAN MEMPEROLEH KEJAYAAN YANG CEMERLANG DALAM SPM DAN DALAM KEHIDUPAN SETERUSNYA SELEPAS INI.

PENGEMBARAAN KALIAN DALAM MENCARI KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN YANG HAKIKI MASIH JAUH....

SELAMAT MAJU JAYA...!



0 comments: