Masih saya ingat... lebih 20 tahun yang lalu PADANG PAHLAWAN @ PADANG MERDEKA dipisahkan dengan Selat Melaka oleh sebatang jalan raya yang menjadi laluan kepada pengunjung untuk bersantai sambil menaiki kereta lembu mengelilingi Padang Pahlawan.
Di tepi jalan itu terdapat binaan tembok atau benteng bagi memisahkan laut @ pantai dengan daratan. Ramailah yang duduk-duduk di situ menghirup udara laut yang nyaman sambil bergambar kenangan...
Sehingga akhir tahun 1990-an, di sepanjang jalan tersebut, (yang mengadap ke Selat Melaka) dipenuhi dengan gerai menjual makanan dan gerai menjual pelbagai jenis hasil kraftangan. Tidak sah datang ke Melaka kalau tidak membawa balik replika kereta lembu sebagai buah tangan....
Sebelum 1989, kita boleh melihat para pengunjung termasuk pelancong asing menaiki kereta lembu menglilingi Padang Pahlawan dengan dikenakan sedikit bayaran. Dahulunya, kereta lembu digunakan sebagai pengangkutan oleh orang-orang kaya di Melaka. Ciri-ciri yang membezakan kereta lembu Melaka ini dengan yang lain adalah bumbungnya yang berbentuk seperti tanduk lembu yang berwarna-warni. Paling tidak pun, pengunjung akan 'berposing' kenangan di atas kereta lembu...
Itu dulu, kini sudah tidak kelihatan lagi kereta lembu di Padang Pahlawan. Pada akhir 1980-an, lanskap Padang Pahlawan mula mengalami perubahan. Sudah tidak ada lagi trek untuk laluan kereta lembu di sekeliling Padang Merdeka. Para pengunjung termasuk pelancong asing sudah tidak berpeluang untuk 'makan angin' dengan kereta lembu di Padang Pahlawan. Yang ada hanyalah replika kereta lembu yang sinonim dengan negeri Hang Tuah ini. Kini, jika ingin mengalami pengalaman naik kereta lembu, pengunjung perlu ke Taman Rekreasi Ayer Keroh.
Akhir 1980-an, telah dibina sebuah pentas khas serta tempat duduk bertingkat di Padang Pahlawan, mengadap kota A Famosa sebagai satu usaha untuk memperkenalkan pertunjukan CAHAYA DAN BUNYI.
Pertunjukan Cahaya dan Bunyi yang mula diperkenalkan pada tahun 1989 ini merupakan cara yang terbaik untuk mengenali dan belajar tentang Melaka. Pertujukan ini merupakan projek cahaya dan bunyi yang pertama di Asia Tenggara dan dianggap setaraf dengan pertunjukan di Gaza yang dinamakan Egyptian Pyramid, Acropolis di Athens dan juga Red Fort di Delhi. Sejarah Melaka digambarkan oleh cahaya berserta penceritaan hikayat melalui dialog, muzik dan kesan bunyi khas yang memaparkan drama kehidupan sebenar masyarakat di Melaka yang berusia 600 tahun yang lampau.
Malang sekali, saya tidak berkesempatan menikmati keindahan pengkisahan sejarah Melaka melalui teknik moden ini kerana Pertunjukan Cahaya dan Bunyi tentu sekali diadakan pada sebelah malam... Kini, pertunjukan cahaya dan bunyi dihentikan untuk sementara waktu, tidak pasti sampai bila... adakah untuk selama-lamanya memandangkan Padang Pahlawan sudah hilang pada pandangan mata khalayak sekarang...!
Menurut rekod PERZIM, sejak pertunjukan itu dimulakan pada Mac 1989 sehingga 1998, seramai 265,488 penonton terdiri daripada rakyat tempatan dan pelancong asing menyaksikan persembahan itu dengan kutipan tiket bernilai RM1.064 juta. Bagaimanapun, ia dihentikan sekitar tahun 2000 kerana masalah audio dan untuk pembaikan pentas dan kemudahan lain melibatkan kos sebanyak RM2 juta...
Bermula akhir 1980-an, telah menampakkan perubahan yang ketara dari segi lanskap di persekitaran Padang Merdeka seiring dengan pembangunan Negeri Melaka. Pantai di seberang jalan Padang Merdeka telah ditambak. Pembangunan di kawasan tapak yang ditambak itu pesat sekali. Terbinalah bangunan bertingkat-tingkat. Wujudlah pusat beli belah Mahkota Parade, deretan rumah kedai, hospital, hotel dan pelbagai kemudahan lagi seiring dengan Pengisytiharan Melaka sebagai Bandar Raya Bersejarah pada 15 April 1989.
Benarlah, tamadun sesuatu bangsa itu dapat dikenali melalui sejarahnya...
No comments:
Post a Comment