CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, September 26, 2010

Berhujung minggu dengan "5S"....




Rasanya sudah beberapa bulan kami tidak berhujung minggu di rumah @ Kuantan.


Kalau kami tidak ke KL menjenguk anak-anak, kami akan balik ke KB bertanya khabar ayah bonda tersayang. Begitulah rutin mingguan kami berdua...

Minggu lepas, sebaik sahaja balik dari kampung menyambut Aidilfitri, hari minggu berikutnya kenalah pula ke KL hantar anak... Minggu ini, sejak dari semalam, kami bercadang untuk melakukan aktiviti "5S" di rumah kami dan persekitarannya.... kebetulan pula warga di Taman Cenderawasih Indah diseru menyertai program gotong-royong perdana mencegah aedes yang diadakan di sini semalam.

Apa itu 5S ?

Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu, dan Shitsuke ialah perkataan Jepun yang membawa maksud SISIH, SUSUN, SAPU, SERAGAM, SENTIASA AMALKAN @ PRAKTIK ini diringkaskan menjadi 5S.... agar ia mudah disebut dan seringkas penggunaannya. Amalan ini sebenarnya digunakan sebagai kaedah dan teknik kawalan kualiti sesebuah organisasi....
Semalam kami mulakan aktiviti "5S" ala kami sendiri; berbeza sedikit dengan konsep 5S di atas. Mula-mula kami sisihkan barang-barang yang tidak diperlukan. Kemudian kami susun, sapu dan seragamkan mana-mana barang yang masih diperlukan untuk disimpan atau 'disorok' di tempat yang sepatutnya... dan akhirnya senyum kerana berpuas hati dengan kerja-kerja yang telah kami lakukan.... yang pasti kami tidak SENTIASA amalkan aktiviti ini.... maklumlah kami selalu 'berderat'; tidak 'lekat' di rumah pada hujung minggu....

Pagi tadi, selepas sarapan, suami bercadang untuk menyisihkan barang-barang @ kit keretanya yang berselerak di dalam rak di garaj kereta serta menyisihkan kasut-kasut yang sudah tidak dipakai di dalam almari kasut. Barang-barang yang diperlukan telah diseragam dan disusun semula dengan kemas. Banyak yang sudah tidak diperlukan... barang-barang tersebut dimasukkan ke dalam beg sampah dan diletakkan di luar pintu pagar. Selalunya tidak lama selepas itu, akan ada orang yang memungutnya...

Sambil suami asyik dengan kerja-kerjanya itu, saya pula mengintai pokok-pokok bunga di luar pagar rumah.... rumput dan daun-daun kering perlu disisihkan. Tanah yang kian merekah dan sudah lama tidak berbaja perlu digembur dan dibubuh baja.


Yang lebih utama di luar pintu pagar rumah itu adalah untuk memastikan pelepah pokok tamar yang tidak diperlukan hendaklah disisih. Rasanya sudah beberapa bulan tidak dipotong. Pagi ini dengan menggunakan gunting, pelepah yang masih muda itu telah saya sisih, dikerat pendek-pendek sebelum dimasukkan ke dalam beg sampah.


Seronok juga sekali-sekala melakukan aktiviti '5S' ini. Lepas ni tak tahu bila pula kami ada masa terluang begini...? Menghabiskan hujung minggu dengan aktiviti yang jarang-jarang dilakukan ini memang menyeronokkan... lebih-lebih lagi suami turut bersama membantu....!


Saya kata kepada suami, boleh tulis dalam diari kerana bukan mudah hendak tengok dia buat kerja-kerja pembersihan ini... selalunya saya seorang sahaja yang buatkan semasa cuti sekolah. Katanya, bukan tak nak buat, tetapi hujung minggu kami selalu tak ada di rumah....


Selain hasilnya yang amat memuaskan, aktiviti seumpama ini sungguh bermakna kepada kami setelah 25 tahun bersama....


....
''S" yang paling bermakna tentu sekalilah SUAMIKU... he..he..he....


0 comments: