CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, July 2, 2010

Kadir Adabi (2) : Persuratan & Politik...


sambungan....

Dalam tahun 1923, Abdul Kadir bekerja menjadi pembantu penulis petisyen kepada bapa sepupunya, Mat Saman bin Jambol. Sewaktu bekerja sebagai penulis petisyen inilah beliau menyambil menulis rencana dalam pelbagai majalah, di dalam dan di luar Kelantan, seperti Pengasuh, Edaran Zaman dan Saudara. Sejak rencana beliau yang pertama bertajuk “Permintaan” terbit dalam majalah Pengasuh keluaran 22hb Mei 1921, beliau terus menulis dengan pelbagai tajuk dan mengenai pelbagai persoalan.

Sekitar waktu yang sama juga Abdul Kadir banyak mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan sosial dan budaya di Kelantan. Pada tahun 1929, bersama-sama dengan As’ad Shukri bin Haji Muda (Dato’ Haji Mohamad Asri – Menteri Besar Kelantan 1964 – 1972), beliau menubuhkan Putera Club. Kelab ini menerbitkan majalah Putera bagi menyampaikan suara bicaranya, akan tetapi tidak lama. April 1930, Abdul Kadir menerbitkan majalah Kenchana pula. Akan tetapi dalam majalah ini beliau tidak menggunakan nama sebenarnya selaku pemimpin utama, sebaliknya berselindung di balik nama samaran : Wook bt. Abdullah. Selepas setahun 10 bulan, majalah kedua ini juga terhenti.

Tidak lama kemudian, awal Februari 1932, beliau mengisi masa lapangnya dengan bekerja menjadi penyunting majalah Pengasuh di bawah pimpinan bekas gurunya, Dato’ Laksamana. Tetapi tidak lama. Selepas dua bulan, kira-kira pada bulan April 1932, beliau meninggalkan Pengasuh untuk bergabung kembali dengan sahabat-sahabatnya, A’sad Shukri dan Yusuf Helmi bagi menerbitkan buku-buku pengetahuan umum di bawah siri “Kenchana Library”.

Mulai April 1934, Abdul Kadir menyertai majalah al-Hikmah, membantu pengarangnya Haji Ahmad Ismail (kemudiannya Dato’ Lela Negara). Tugas ini dipegangnya sehingga tahun 1941, iaitu apabila penerbitan al-Hikmah terhenti berikutan pecah Perang Dunia Kedua. Inilah waktunya apabila tulisan-tulisan beliau mencapai tahap kematangan dan daya intelektual yang tinggi.

Disebabkan oleh tulisan-tulisannya yang tajam dan mengkritik banyak pihak, terutama kalangan atasan dan pihak berkuasa agama, Abdul Kadir menjadi orang yang tidak disenangi.
Beliau pernah dipukul dua kali dengan kapak kerana tulisan-tulisannya. Kali pertama pada 2 Januari 1931 dan kali kedua pada 18 Mac 1936. Sebelum itu, pada 10 Oktober, Penasihat Undang-undang Kerajaan Kelantan, L.B William, pernah membuat kenyataan bahawa tulisan-tulisan Abdul Kadir mengenai perjudian mengandung unsur-unsur memecah keamanan dan ketenteraman di antara keluarga di Raja dengan orang ramai. Akibatnya, beliau dihadapkan ke mahkamah pada 6 Disember 1928 dan dijatuhi hukuman sehari penjara dan denda RM100.00, atau sebulan penjara dengan kerja ringan.

Tidak puas dengan menulis, Abdul Kadir melibatkan diri dalam politik pula. Apabila cabang Persatuan Melayu Semenanjung dibuka di Kelantan pada 10 Februari 1939, beliau duduk sebagai salah seorang ahli jawatankuasanya. Dalam tahun yang sama juga beliau melawat Pattani bagi meninjau reaksi rakyat Patani terhadap dasar Thai Rathaniyum Kerajaan Siam ke atas orang Melayu. Pada tahun 1940, beliau mulai berhubung dengan Ibrahim bin Haji Yaacob, pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM). Pertemuan pertama berlaku di Dungun, Terengganu, diikuti kemudiannya di Kota Bharu, pada waktu pejuang politik Melayu yang terkenal sebelum perang itu kerap berada di Kota Bharu kerana jaringan politiknya, juga kerana urusan cetak bukunya “Melihat Tanah Air”.

Menjelang Perang Dunia Kedua, Abdul Kadir sudah terlibat dalam KMM. Bagaimanapun, kegiatannya dalam KMM pada peringkat ini tidaklah terang-terangan, tetapi berselindung di balik kegiatan Setiawan Belia (sebuah badan budaya yang didirikan pada Oktober 1931), melalui pelbagai kegiatan, seperti ceramah, forum dan penerbitan. Dalam hal ini, peranan Abdul Kadir sangat besar.

Apabila Jepun menduduki Tanah Melayu, beliau menerbitkan majalah Matahari di Kota Bharu, tetapi sekali lagi dengan memakai nama samaran. Sebelum KMM dibubarkan Jepun pada 18 Februari 1942 (3 hari selepas Jepun menakluk Singapura), Abdul Kadir sempat menjadi Yang Dipertuanya yang sangat aktif bergerak. Beliau pernah ke Ipoh, menemui Onan Hj Siraj dan kemudiannya ke Singapura. Semasa di Singapura, Abdul Kadir sempat menyertai Berita Malai bersama-sama Ibrahim Hj. Yaacob. Selain itu, peranan beliau yang sangat penting pada peringkat ini ialah menjadi wakil KMM menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu dengan pihak berkuasa Jepun di Bangkok pada tahun 1942.

Menjelang akhir tahun 1943, Abdul Kadir Adabi yang pada waktu itu sudah lama berada di Singapura, dikirim kembali ke Kelantan bagi memperkuat barisan kemerdekaan bersama beberapa orang pemimpin KMM Kelantan yang lain, seperti As’ad Shukri dan Wan Ibrahim Mustafa, sebagai langkah awal bagi menghadapi sesuatu kemungkinan sekiranya Jepun ditakdirkan kalah kelak.

Namun begitu, Abdul Kadir Adabi tidak pernah sampai di Kelantan. Menyedari bahawa beliau masih tidak disenangi di Kelantan berikutan penglibatannya dalam petisi rakyat bagi menjatuhkan pimpinan Majlis Agama Islam Kelantan daripada penguasaan golongan aristokrat, maka beliau atas nasihat teman-temannya, memilih untuk menetap di Kuala Terengganu buat sementara waktu.

Semasa di sini, beliau bergabung tenaga menerbitkan “Chahaya Timur” bersama-sama Muhammad Saleh bin Haji Awang (Misbaha) dan Ibrahim Fikri (kemudiannya Menteri Besar Terengganu). Beliau tinggal berjiran dengan Misbaha di Kampung Masjid, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Tidak lama di Kuala Terengganu, pada 24 Februari 1944, Abdul Kadir meninggal dunia kerana sakit jantung.

bersambung ....

0 comments: