CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, September 13, 2009

Nostalgia menjelang raya... (i)



Dulu-dulu...

Menjelang hari raya Mama akan sibuk membuat persiapan untuk keluarga kami. Mama akan jahit baju raya untuk kami, masa tu 4 beradik aje. Kami bertiga (Ciksu masih kecil) pakai baju sama fesyen & coraknya. Boria. Paling kurang 2 pasang mama sediakan. Beli kasut baru dan berstokin net panjang jaring-jaring macam jala ikan. Ataupun stokin biasa hingga ke paras lutut. Sesuai dengan baju mini skirt! Kat kampung masa tu, kami antara yang 'bergaya' semasa hari raya. Maklumlah, tukang jahit sendiri, kreatif pula tu... Siap dijahit manik dan labuci. Lengkap dengan beg kecil sangkut di bahu.. semuanya sama.

Papa pula akan pastikan dinding rumah (luar dan dalam) akan dicat baru. Tapi bukanlah setiap tahun.

Mama juga akan sediakan kuih raya 2 @ 3 hari sebelum raya. Yang selalu mama buat ialah marble cake, ambon (apong), biskut dahlia/ samprit. Buat kek masa awal tahun 70-an tak guna mixer electric, guna manual. Mama akan 'pukul' marjerin + castor sugar sehingga kembang, kadang-kadang sampai dekat 1 jam. Kata Mama, barulah kek akan jadi 'gebu'. Sekarang ni senang, masukkan aje dalam mixer dan dalam masa yang sama boleh buat kerja lain. Mama akan bakar cake tu menggunakan oven empat segi hitam cap butterfly, letak atas dapur minyak tanah. Pertengahan 70-an, barulah guna ovennet elektrik berbentuk bulat tu. Dengan kehidupan kami yang sederhana ni, itulah aje kemudahan yang ada.

Semasa kami bersekolah menengah, kami pula yang sama-sama dengan Mama buat biskut raya... Lepas sahur sebelum bersiap ke sekolah, kami bertiga akan buat; (kadang-kadang berdua aje dengan Noni); lepas balik sekolah buat lagi biskut. Masa tu tengah 'gila' buat biskut raya... Masa adun bahan, seronok lagi, tapi bila time tunggu nak bakar, masa ni tinggallah aku sorang. Kalau tak jaga, rentunglah biskut tu nanti. Banyak jenis biskut juga yang kami buat. Tak ada dalam kamus hidup untuk beli yang dah siap...

(Tapi kini, semuanya ditempah. Kat sekolah tu, macam-macam pilihan ada, pilih aje mana yang berkenan dan sediakan RM... menjana ekonomi katakan. Kalau semua orang buat sendiri, macamana orang berniaga nak hidup .... Aku ada juga tempah dengan Cikgu Fauziah sikit dan dengan Cikgu Ruslina sikit. Rasa dengan Cikgu Roslina T.Arus pun ada sikit. Sikit + sikit + sikit = banyak juga. Yelah, buah tangan utk hari raya di kampung...)

0 comments: