CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, September 13, 2009

Nostalgia menjelang raya... (ii)

Dulu, sehari sebelum raya, iaitu hari 'buat ketupat', nenek Lijah akan buat ketupat palas. Yang paling dinantikan ialah makan pulut 'arung' (pulut yang diarung dengan santan secukup rasa untuk dibungkus dalam daun palas). Nenek akan tinggalkan sedikit untukku untuk dimakan selepas berbuka nanti. Ketupat yang telah dibungkus dengan daun palas itu akan direbus di dalam periuk tembaga (bertelinga) yang besar. Periuk tembaga yang diisi dengan ketupat dan sedikit air ni diletakkan di atas dapur kayu...

(rindunya pada Nenek Lijah... terasa baru sahaja nenek meninggalkan kami, walaupun sebenarnya sudah lebih 15 tahun Nenek Lijah kembali ke rahmatullah...!).

Pada 'hari ketupat' , kami 3 beradik sibuk menolong Mama di dapur. Tolong apa-apa yang patut sesuai dengan usia kami ketika tu. Ada yang mengoreng kacang tanah, selepas tu asingkan kulit 'ari'nya dan ditumbuk hancur (tahun-tahun 70-an belum guna blender..!); ada yang ditugaskan untuk mengacau santan agar tidak berketul-ketul. Kacang yang ditumbuk tadi akan dimasukkan ke dalam santan yang telah 'pecah minyak' untuk dibuat kuah nasi impit. Kami juga akan tolong Mama potong daging untuk dibuat sate. Semua ni dibuat sehari sebelum raya.

Pada malam menjelangnya hari raya, kami mula mencucuk sate dan setelah lewat malam kami akan membakar sate beramai-ramai. Sebelum kerja-kerja membakar sate dilakukan, kami akan bermain bunga api di laman rumah dan memasang lilin di celah-celah pokok bunga.

Mama pula akan menanak nasi untuk dijadikan nasi impit. Mama akan masukkan nasi yang telah masak ditanak itu ke dalam periuk yang telah dialas dengan daun pisang. Nasi tersebut akan ditindih dengan benda yang berat, biasanya alat pengisar (kisar beras utk dijadikan tepung). Selain nasi impit & sate, Mama juga akan sediakan nasi dagang sebagai juadah hari raya.

Pada malam hari raya Mama akan masuk tidur setelah semuanya beres. Biasanya melewati pukul 2 pagi. Kadang-kadang kami akan turut menemani Mama. Yang pasti sebelum tidur kami akan letakkan baju, kasut dan stokin baru di tempat yang mudah untuk kami ambil keesokan paginya. Kami tidur sekejab sahaja, itupun tak lena sangat kerana tak sabar nak bangun untuk menyiapkan diri dan mengenakan baju baru...!

Kenangan semasa zaman kanak-kanak hampir 4 dekad yang lalu... sentiasa menggamit memori setiap kali tiba hari raya.

0 comments: