Usai kelas waktu terakhir hari Selasa lepas, saya dan Ustazah Bahijah sama-sama menuruni tangga ke laluan utama menuju ke pejabat sekolah. Bersama-sama kami ialah 'anak-anak' kesayangan dari Ting. 4A3... dalam keriuhan suara mereka, terdengarlah perkataan 'go back' yang disebut seakan-akan dengan bunyi 'gobek'. Saya kata kepada Jah, nanti nak tulis tentang 'gobek' dalam blog. Dah lama tak dengar perkataan itu.... Esoknya, Jah bertanya, sama ada saya sudah tulis tentang 'gobek' dalam blog saya ini.
Sebenarnya, kata 'gobek' sudah jarang-jarang kita dengar sekarang. Gobek biasa gunakan oleh generasi terdahulu terutama dalam kalangan masyarakat Melayu dan India, kerana 'gobek' merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Kini, ramai yang tidak tahu makna perkataan tersebut, apatah lagi dalam kalangan murid-muridku yang bukan Melayu ini.
Sebenarnya, kata 'gobek' sudah jarang-jarang kita dengar sekarang. Gobek biasa gunakan oleh generasi terdahulu terutama dalam kalangan masyarakat Melayu dan India, kerana 'gobek' merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Kini, ramai yang tidak tahu makna perkataan tersebut, apatah lagi dalam kalangan murid-muridku yang bukan Melayu ini.
Dulu, pernah semasa membincangkan soalan tatabahasa dengan murid-murid 3K13 (yang terdiri daripada 34 orang murid Cina dan sepasang murid Melayu), terdapat perkataan "menggobek" yang dikaitkan dengan aktiviti makan sirih. Selain perkataan 'menggobek', ada kata 'mengacip', 'menghiris' dan 'membelah'.
Hanya Amir dan Hazwani yang merupakan dua orang murid Melayu di kelas 3K13 boleh memahami perkataan tersebut, manakala 34 orang lagi tidak dapat memahaminya dengan tepat. Untuk itu, saya terpaksa melakar gambar kacip dan gobek di papan putih! Sekali-sekala kenalah gunakan kemahiran melukis yang tidak seberapa ini untuk menjelaskan makna sesuatu perkataan sebelum mereka merujuk kamus! Kata gobek ini memang asing dalam kalangan masyarakat Cina kerana aktiviti makan sirih rasanya tidak ada dalam masyarakat Cina. Tradisi makan sirih hanya terdapat dalam kalangan masyarakat India dan Melayu sejak zaman berzaman lagi....
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, gobek ialah sejenis alat (seperti tabung kecil) untuk melumatkan sirih. Menggobek pula membawa maksud melumatkan (menumbuk) sirih dengan gobek.
Gobek diperbuat daripada logam dan mempunyai dua komponen. Komponen pertama berbentuk silinder yang berlubang di bahagian tengahnya. Di bahagian hujung, silinder ini ditutup dengan sumbat kayu dengan ukuran yang sama besarnya dengan lubang silinder. Komponen ini disebut dengan ibu gobek.
Komponen yang satu lagi dinamakan anak gobek, memiliki ukuran yang lebih kecil, diperbuat daripada besi padu yang di bahagian hujungnya berbentuk seperti mata kapak serta mempunyai hulu di bahagian pangkalnya. Pada bahagian ibu dan hulu anak gobek diukir dengan berbagai corak yang menarik, sesuai dengan budaya setempat. Alat ini berfungsi seperti antan dan lesung untuk melumatkan sirih.
Daun sirih yang telah dilengkapi dengan pinang, gambir dan kapur (di sesetengah tempat ditambah dengan cengkeh) dimasukkan ke dalam gobek dan ditumbuk hingga lumat. Setelah lumat, tutup kayu di hujung silinder di tolak dengan anak gobek, sehingga boleh dikeluarkan dan siap dimakan. Gobek dipakai oleh para nenek yang sudah tidak mempunyai gigi dan tidak boleh lagi mengunyah sirih.
Di rumah Mama dan juga di rumah Nenek, tidak ada gobek kerana mereka tidak makan sirih, begitu juga dengan Mok Abe (satu-satunya emak saudara sebelah Mama). Yang makan sirih hanyalah Wa Tok Mek, iaitu moyang sebelah Mama. Di rumah Wa Tok Mek lah kami selalu cuba-cuba menggunakan gobek sambil mendengar celoteh Wa di bendul rumahnya...
Pernah pada suatu ketika, saya membeli sepasang gobek tembaga yang dijual di Pasar Siti Khadijah, KB untuk dipasangkan dengan tepak sirih tembaga putih warisan nenek yang kini menjadi koleksi peribadi...dapatlah juga ditunjukkan kepada anak-anak 'rupa' gobek yang agak asing kepada mereka.
Gobek yang dibeli itu kini tersimpan kemas di dalam kotak setelah beberapa kali bertukar tempat kerja. Tersimpan di dalam stor dan tidak dibuka-buka lagi selepas berpindah ke Kuantan...!
No comments:
Post a Comment