Sekarang bermula musim jemaah haji kembali ke tanah air. Selamat berangkat pulang diucapkan kepada kumpulan pertama, 450 Jemaah Haji, KT1 akan bertolak dari Jeddah pada 21 Oktober 2013...
Tanah Suci yang dirindui.... |
Mengenang musim jemaah kembali daripada menunaikan haji, teringat kenangan semasa zaman kanak-kanak, lebih 4 dekad yang lalu. Gelang hitam bergelung buah tangan dari Makkah.
Saya belum bersekolah lagi ketika itu, agaknya baru berusia 6 tahun. Masa kecil-kecil dulu, kalau pakai gelang hitam plastik/ damar?- bergelung, rasa bangga sekali. Ada juga gelang hitam daripada akar bahar.
gelang akar bahar |
1982...kenangan ketika Che & Mok Lijah balik dari Tanah Suci |
Dari Kuala Krai, saya ikut nenek balik ke rumah TokBe di Kg. Pasir Kota, dekat Pintu Geng. Jarak rumah TokBe dengan rumah kami di Kg Kota, Jalan Salor lebih kurang 3 km sahaja. Papa, Mama, kakak dan adik tak ikut sekali, mereka terus balik ke rumah. Saya sejak kecil lagi selalu 'mengekor' nenek jika bertandang ke rumah sanak saudara sebelah nenek Lijah. Kak Ros agak 'perumah', tak boleh bermalam rumah orang, Noni pula masa tu, masih kecil, baru berumur 4 tahun. Jadi, saya seorang sajalah yang ikut nenek bermalam di rumah TokBe.
Keesokan paginya, ketika sedang bersarapan, TokBe senyap-senyap menyarungkan gelang hitam itu ke pergelangan tangan saya. kenangan itu masih hijau dalam ingatan saya sampai sekarang. Terasa seronok sangat. Naluri seorang kanak-kanak... Agaknya pada masa itu, hanya saya seorang cucu saudara yang ada bersamanya. Yang lain, rasanya sudah balik ke rumah masing-masing kerana rumah mereka berdekatan sahaja.
Lama saya pakai gelang hitam dari Makkah itu.....
TokBe ketika hayatnya...suatu hari di hari raya.... |
Kenangan yang masih kekal dalam ingatan.
No comments:
Post a Comment