Friday, March 11, 2011

Cuti Sekolah & Bekwoh

Setiap kali musim cuti sekolah, banyak sekali majlis kenduri kahwin atau bekwoh @ 'big work'. Beberapa majlis kenduri kahwin kerabat terdekat sudah ada dalam catatan diari kami.

Petang nanti, kami akan bertolak ke Melaka untuk meraikan majlis perkahwinan anak saudara - Syuhada, yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini. Pada hari Rabu pula, majlis bertandang anak saudara kami yang telah melangsungkan perkahwinan pada bulan Dis lepas. Dari Felda Purun, rombongan pengantin perempuan akan 'bla rock' ke rumah pengantin lelaki di Temangan, Kelantan. Nampaknya kami tidak dapat menghadirkan diri untuk majlis tersebut kerana ada tugasan yang perlu diselesaikan di sini.

Hujung minggu depan, sebelum sekolah dibuka, kami akan balik ke kg untuk meraikan majlis perkahwinan seorang lagi anak saudara - EMMA yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 19 hb Mac. Begitulah keadaannya apabila tiba musim cuti sekolah....

Cerita tentang musim bekwoh nikoh kahwin ni, saya terpanggil untuk mencatat sesuatu tentang pernikahan dan perkahwinan... sekadar muhasabah diri kepada sesiapa sahaja yang bakal menempuh gerbang rumah tangga...

Sebenarnya, pernikahan bukan sekadar menghalalkan yang haram tetapi ia lebih daripada itu.

"...Melihat perkahwinan sebagai medan untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan..."

Perkahwinan datang bersama tanggungjawab di bahu. Jika dahulu hanya fikir tentang diri sendiri, apabila berkahwin kena fikir sekali tentang pasangan/anak2/keluarga kedua2 belah pihak. Bukan sedikit pengorbanan daripada pihak suami, isteri dan apatah lagi anak-anak. Apabila sudah tinggal bersama, segala kekurangan diri akan terserlah. Carilah titik persamaan yang akan mengukuhkan lagi ikatan yang ada, bukan masing2 mencari alasan untuk saling menjauhkan diri.

Begitulah kehidupan berumahtangga, saling lengkap melengkapi dan saling memerlukan. Perkahwinan datang bersama dengan tanggungjawab yang mesti digalas di bahu.

Sebaik-baik contoh kehidupan berkeluarga ialah rumahtangga Rasulullah s.a.w.

Baginda yang paling berlemah lembut pada keluarganya. Baginda menyayangi kanak-kanak dan tidak segan untuk mencium anak-anak dan cucu-cucu baginda.

Sesungguhnya banyak lagi yang kita boleh pelajari daripada buku-buku yang baik yang bercerita tentang Sirah Rasulullah s.a.w. untuk kita jadikan pedoman.

Pelbagai cerita yang kita baca dan ada yang kita lihat dengan mata sendiri tentang perkahwinan. Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w. bersabda :

"... bukan dari kalangan umatnya sesiapa yang menentang perkahwinan. ... Jika seseorang itu berkahwin maka telah sempurna sebahagian dari agamanya. Besarnya nilai sesebuah perkahwinan...."

Malangnya apa yang kita lihat hari ini amat menggusarkan. Perkahwinan menjadi seperti permainan. Apabila suka, ambil, tak suka, lemparkan ke mana-mana sahaja. Ada yang berkahwin umpama menukar baju, baik lelaki atau perempuan. Bukan sedikit seorang suami yang mengabaikan anak isteri hanya untuk mengejar wanita lain.

Kepada adik-adik yang bakal berkahwin, selalu saya ingatkan. Kadang-kadang jadi seperti leteran kepada mereka ....

Cantik atau kacak bakal pasangan kita, bukan menjadi keutamaan bila telah sah ikatan perkahwinan. Apa guna pasangan yang cantik atau kacak jika masing-masing tidak menjalankan tanggungjawab? Mungkin sebelum bernikah, adik-adik hanya mendengar umpama angin lalu apa yang saya katakan, tapi selepas bernikah mereka akan mengakui dan berhadapan dengan realiti kehidupan. Tambah lagi, apabila telah ada cahaya mata, tanggung jawab menjadi semakin besar !

"....perkahwinan itu akan menjaga kehormatan dan pandangan....tetapi jika agama tidak dijadikan landasan dalam sesebuah perkahwinan, maka jadilah perkahwinwn itu umpama barang yang tiada nilai..."

Untuk anak saudara kami SYUHADA, ANI, EMMA dan pasangan masing-masing... kami sekeluarga mendoakan agar kalian dikurniakan zuriat yang soleh & solehah dan ikatan perkahwinan berkekalan hingga akhir hayat.... TAHNIAH.



2 comments:

Granny Hani said...

tepat sekali..jangan inai masih merah,mata pun dah mula merah dek tangisan.

hanila said...

betul tu, Kak Hani....