Wednesday, March 9, 2011

GAHARU


"sudah gaharu cendana pula"

Peribahasa di atas merupakan salah satu peribahasa yang disunting daripada perbendaharaan peribahasa Melayu, yang sering diungkapkan oleh masyarakat dahulu hingga sekarang.

Peribahasa ini diucapkan sebagai sindiran kepada mereka yang sudah tahu akan sesuatu hal yang diperkatakan, tetapi sengaja tertanya-tanya seolah-olah tidak tahu atau tidak faham; orang yang berlagak tidak tahu.

Selain peribahasa yang tertulis di atas, ada beberapa ungkapan dan peribahasa Melayu yang mengandungi perkataan gaharu di dalamnya. Antaranya ialah :
"Bakar gaharu, kemenyan berbau" bermaksud orang yang menunjukkan kelebihannya supaya dipercayai orang; dan
"seperti buku gaharu" yang bermaksud memperlihatkan kecekapan apabila tiba masanya. (Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 423)

Selain memberi makna yang tersendiri, ketiga-tiga peribahasa ini juga memberi gambaran jelas bahawa gaharu sudah terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sejak zaman silam lagi.

Sebenarnya perkataan 'gaharu' berasal daripada perkataan Sanskrit "AGAHARU", iaitu sejenis kayu yang digunakan oleh masyarakat Hindu di Utara India sebagai ukuran timbangan pada zaman klasik (Garu maknanya berat).

Gaharu dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, hal 423 membawa maksud sejenis kayu yang harum berasal daripada pokok tangkaras (Aquilaria Malaccensis). Ini bermakna kayu gaharu ini mempunyai bau yang harum. Itulah kelebihan yang dikurniakan oleh Maha Bijaksana Tuhan pencipta alam kepada kayu yang bernama gaharu.

Gaharu ialah sejenis kayu berdamar yang amat wangi apabila dibakar yang terhasil daripada jenis pokok kayu yang digelar dengan nama pokok gaharu, pokok depu ataupun pokok karas. Nama saintifiknya Aquilaria dari famili Thymelaecae dan terdapat 15 spesis dari genus Aquilaria. Antaranya hanya 8 jenis yang ada menghasilkan gaharu dan yang terbanyak adalah dari jenis Aquilaria Crassna, Aquilaria Malaccensis, Aquilaria Agallocha dan Aquilaria Sinesis.

Sejak pada zaman purba lagi gaharu telah digunakan dan digemari serta didagangkan dengan harga yang tinggi. Ia menjadi bahan utama dalam upacara keagamaan, perubatan dan bahan wangian. Bangsa Arab adalah antara pengguna terbesar dunia dan selainnya negara-negara seperti China, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Eropah dan lain-lain lagi. Gaharu juga digunakan bagi menghasilkan pelbagai produk seperti minyak wangi, ubat-ubatan bagi rawatan kecantikan serta minuman dan lain-lain lagi.

Lain-lain nama bagi 'gaharu' mengikut negara dan budaya ialah :
- Chen-xiang (dalam bahasa Cina) dan Jin Koh (dalam bahasa Jepun) = kayu yang tenggelam ("sinking incense)
- Pokok gaharu yang telah diproses menjadi minyak digelar Oud oleh bangsa Arab
- Di Eropah pula dikenali dengan nama Lignum aquila (eagle-wood) @ Agilawood kerana rupanya seperti bulu burung helang.
- Nama lain yang disebut dalam kitab-kitab agama Kristian - Aloeswood
- Di Malaysia dan Indonesia dikenali sebagai "gaharu"
- Di Papua New Guinea digelar "ghara"
- Di Vietnam pula dipanggil "tram huong"
- Di India dikenali sebagai "agar"
- Di Laos dipanggil dengan nama "Mai Ketsana"

GAHARU HASIL DAGANGAN PAHANG

"Angin Barat Daya meniup keharuman baunya sehingga menusuk ke hidung pedagang-pedagang di Tanah Besar China. Lantaran itu ketika angin Timur Laut mula bertiup, berlumba-lumbalah mereka belayar ke Semenanjung Tanah Melayu, ke sebuah negeri bernama Pahang, untuk mendapatkan bahan dari hutan belantara..."
Gaharu menjadi hasil keluaran utama negeri Pahang pada zaman dahulu jelas dibuktikan dengan adanya catatan Wang Ta-Yuan di dalam buku sejarah China yang bertajuk "Tao-i-Chi-Leo" yang disusun pada tahun 1349. Berkaitan hasil negeri Pahang, Wang Ta-Yuan mencatatkan :
"Hasil keluaran negeri itu (Pahang) ialah huang-shu chen (berjenis-jenis kayu wangi), air wangi tapai, kapur barus, timah dan kayu sampang jenis kasar. Barang yang diperdagangkan dalam negeri itu ialah sutera kasar macam-macam warna, kain benang kapas, she-po (Jawa), perkakas dan besi, barang cat barnis dan perkakas bunyi-bunyian". (Buyung Adil, 1972, hal. 15)
Manakala dalam sebuah lagi buku sejarah China berjudul "Hsing-Cha'a" yang dikarang oleh Fei Hsin pada tahun 1436, juga menyebut tentang gaharu sebagai hasil negeri Pahang ketika itu. Fei Hsin menulis seperti berikut :
"Hasil dalam negeri gaharu, kapur barus, timah dan sejenis kayu yang digunakan sebagai pencelup. Barang-barang yang dibawa masuk ke dalam negeri itu ialah emas, perak, kain sutera yang berwarna-warni, kain jawa, perkakas tembaga dan besi, gong, papan dan lain-lain". (Buyung Adil, 1972, hal 17)
Setakat yang diketahui, kegunaan gaharu itu adalah sebagai ramuan dalam pembuatan minyak wangi dan penyediaan ubat tradisional China bagi menyembuhkan penyakit yang berpunca daripada kesejukan dan kelembapan.

Daripada kedua-dua catatan pengembara China di atas, terbukti gaharu adalah hasil keluaran utama bagi negeri Pahang pada zaman dahulu. Catatan itu jelas membuktikan bahawa bahan hutan tersebut dikeluarkan dalam kuantiti yang banyak dan juga memberi gambaran bahawa pekerjaan mencari gaharu di hutan dilakukan oleh kebanyakan penduduk ketika itu.

Kerja mencari gaharu dilakukan pada awal tahun kerana musim itu selalunya panas dengan hujan turun cuma sekali sekala. Keadaan cuaca seperti itu memberi kemudahan kepada mereka dalam menjalankan kerja tersebut. Manakala pada hujung tahun, ketika angin Timur Laut mula bertiup, belayarlah pedagang-pedagang China dengan jong besar penuh muatan lalu berlabuh di pengkalan, menunggu penduduk tempatan membawa hasil hutan sebagai tukaran.

Ini mewujudkan perniagaan dua hala ala sistem barter atau secara pertukaran barangan. Pedagang-pedagang China menawarkan berbagai-bagai bahan keperluan harian seperti alat tembikar dan benang sutera. Sementara penduduk tempatan bersedia dengan gaharu dan hasil hutan yang lain.

Begitulah cerita 'gaharu' yang menjadi hasil dagangan utama negeri Pahang suatu ketika dahulu... yang mencorakkan perniagaan dua hala yang terawal antara negeri China dengan negeri Pahang....


Rujukan : 1) Gaharu - Pembuka Lembaran Perdagangan China/ Pahang, Alauddin Bin Abdullah, Monograf Sejarah Pahang, Bil 4, 1989. 2) Wikipedia - Agarwood...

No comments: