Lagi kisah tentang buah nadir .....
Di halaman rumah Mama dulu ada dua batang pokok buah mache @ macang @ bacang. Betul-betul di halaman rumah, berhampiran dengan jalan raya. 2 pokok ni menjadi mercu tanda untuk ke rumah Mama (selain pokok sena yang diceritakan dalam entri terdahulu).
Machae atau bacang ialah nama sejenis pohon buah yang masih sekerabat dengan mangga. Orang sering menyebut buahnya sebagai bacang, ambacang, embacang atau mangga bacang. Juga dikenali sebagai macang atau machang, maa chang. Dalam bahasa Inggeris disebut bachang atau 'horse mango', sementara nama saintifiknya ialah Mangifera foetida Lour.
Pohonnya besar berbatang lurus, tingginya boleh mencapai 35m. Kulit kayunya coklat sampai coklat kelabu tua, memecah beralur dangkal. Bila ditores (semua bahagian tanaman) mengeluarkan getah jernih kelabu keputihan, yang lama-lama menjadi kemerahan dan menghitam. Getah ini tajam, gatal dan dapat melukai kulit (terutama selaput lendir).
Daunnya agak kaku dan serupa kulit, bertangkai panjang, lembar daun berbentuk lonjong memanjang dan berwarna hijau tua.
Buahnya berbentuk lonjong bulat telur atau hampir bulat, berkulit tebal, hijau sampai kekuning-kuningan, kusam, dengan bintik-bintik lentisel yang berwarna kecoklatan. Daging buah jika masak berwarna kuning-jingga pucat sampai kuning, berserat, asam manis rasanya dan banyak mengandungi sari buah, harum menyengat. Bacang ditanam untuk buahnya, yang biasa dimakan dalam keadaan segar jika masak.
Getah bacang yang gatal juga terdapat pada buahnya; akan tetapi jika masak, getah ini terbatas berada hanya pada kulitnya. Dengan demikian buah bacang perlu dikupas agak tebal, supaya getah itu tidak melukai mulut dan bibir dan menyebabkan bengkak-bengkak. Buah bacang yang muda biasanya direndam dalam air garam, sesudah dikupas dan dipotong-potong, agar dapat dijadikan rojak atau asinan. Buah bacang muda boleh juga dibuat kerabu. Best!
Bila musim berbuah, buahnya yang lebat gugur ke tanah dengan banyaknya. Kami akan mengagihkan buah machae kepada jiran-jiran. Ada yang bawa guni untuk mengambil buah itu. Buah ni, kalau dah masak tak boleh disimpan lama, jadi lebih baik diberi kepada sesiapa sahaja yang lalu-lalang di hadapan rumah kami.
Kami pernah jadikan batang pokok machae ni sebagai tiang semasa kami main permainan 'rebut tiang'. 2 batang tiang lagi ialah tiang ajung rumah Mama. Semuanya jadi empat tiang.
Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan semasa kami di sekolah rendah ialah, saya dan kakak (Kak Roslena) pernah 'ditambat' di batang pokok machae. Jarak antara 2 pokok bacang tu hanyalah 1 kaki. Dekat sahaja. Tak ingat apa kesalahan kami ketika itu.... Kebetulan pada masa tu, rambut kami panjang, jadi senanglah Mama ikat rambut kami pada batang pokok tu. Seorang satu batang pokok. Walaupun hanya untuk seketika, taklah lama sangat, tapi cukup untuk kami jadikan pengajaran. Itulah pertama dan terakhir kami ditambat...Lucu juga bila diingat-ingatkan semula!
Semasa awal remaja, di bawah pokok ini juga kami menghabiskan masa pada waktu petang berbual-bual dan membaca majalah atau novel. Papa letakkan kerusi rotan yang telah usang dan bangku panjang di situ.
Kini, semua tu hanya tinggal kenangan. Pokok machae tu telah ditebang pada tahun 1985. Kaki lima jalan raya depan rumah Mama sekarang merupakan lokasi pokok machae tu tumbuh suatu ketika dulu (setelah beberapa kali jalan raya itu dilebarkan).
Buah nadir ni memang sedap, isinya manis, cuma agak berserat, kena guna pisau yang betul-betul tajam untuk menghiris isi buah machae itu...barulah isinya tidak rosak.
Tapi malangnya, ada dalam kalangan anak-anak muda kini, sudah tak kenal akan buah nadir yang satu ini...
No comments:
Post a Comment