Tok Teh Embung... satu-satunya nenek saudara kami yang masih ada. Tok Teh merupakan kakak sulung kepada 6 orang adik beradik. Tok Teh kakak kepada nenek kami, arwah Mok Mek Ngo @ Nenek Membunga, bonda Papa. Adik beradik Tok Teh yang lain semuanya sudah kembali menyahut panggilan Ilahi.
Berkesempatan berhujung minggu di kg, Mama telah mengajak kami menziarahi Tok Teh. Minggu lepas kata Mama, Tok Teh tidak sihat. Tidak sakit apa-apa, cuma dalam usia Tok Teh yang sudah melewati 95 tahun itu kadang-kadang ada ketikanya dijenguk letih dan lesu. Kata Mama, semua anak cucu Tok Teh yang jauh dan dekat balik berkumpul ramai-ramai menjenguk Tok Teh kerana khuatir akan kesihatan Tok Teh yang kelihatan sangat uzur ketika itu.
Petang semalam, bersama-sama Mama dan Papa kami ke rumah Tok Teh yang hanya beberapa km daripada rumah Mama. Tok Teh nampak gembira sekali dengan kedatangan kami. Kelihatan Tok Teh sudah agak sihat, sihat cara-cara orang yang sudah dimamah usia. Sudah ada selera untuk makan. Tok Teh kata, dia makan semua jenis makanan yang sebelum ini tidak pernah dimakannya. Tok Teh sebenarnya tidak makan makanan yang berasaskan telur. Semua jenis masakan yang dimasukkan telur, Tok Teh tidak pernah jamah. Tetapi, menurut Makcik Nah, anak sulung Tok Teh, sejak dia kembali sihat (selepas tidak berapa sihat beberapa hari yang lepas...) Tok Teh minta nak makan pelbagai jenis kuih yang berasaskan telur, seperti akok, bengkang dll. Sedap, kata Tok Teh.
Begitulah kebesaran Ilahi... DIA lah berkuasa menentukan segala-galanya. Dibukanya selera Tok Teh dalam usianya yang begini untuk merasa nikmat makanan yang tidak pernah disentuhnya sebelum ini.
Kami meninggalkan Anjung Warisan Tok Teh dengan doa agar kami diberi peluang untuk bertemu lagi pada kesempatan yang lain. Kita tidak pasti siapakah yang akan 'pergi' dahulu....
Kita hanyalah tetamu yang menunggu giliran untuk kembali....
2 comments:
Alhamdullilah..seronok nya ada lagi 'roots' yang boleh mengingatkan kita pada asal usul keturunan.
InsyaAllah, panjang umur boleh jumpa lagi tu..raya nanti kot.
Salam Kak Hani, insyaalah...
Post a Comment