Tuesday, January 1, 2013

CORETAN HARI PERTAMA 2013....


Mentari awal 2013 agak cerah dan ceria menyinari bumi Kuantan walaupun beberapa hari sebelum ini bumi Kuantan basah dek hujan yang berterusan....

baru lepas meredah banjir.... cuaca cerah ceria

Kami bercadang untuk keluar berdua jalan-jalan.... saja-saja nak tengok suasana pada hari pertama 2013 selepas beberapa tempat dilanda banjir.  Kami melalui bypass Kuantan menuju ke Kemaman.   Sebelum sampai di bulatan Jabur - KL - Kemaman, kelihatan dari jauh air melintasi jalan raya, belum kering-kering sejak lebih seminggu yang lalu.  Airnya dalam juga, kenderaan ringan memang tak berapa nak lepas.  Kami terus meredah air banjir itu membuntuti sebuah pacuan 4 roda.

orang tak ramai tapi petugas di kaunter....!

Kami meneruskan perjalanan ke Kemaman.   Kesan banjir yang melanda kawasan rendah di sepanjang perjalanan ke Kemaman agak jelas kelihatan.   Selesai bersarapan di Restoran Mizi di Cherating, destinasi kami seterusnya ialah Pejabat Pos Chukai.  Ada sedikit 'urusan negara' yang perlu diselesaikan memandangkan Negeri Terengganu tidak cuti pada 1 Januari.  Jadi, tidak perlulah saya terkejar-kejar untuk menguruskannya di Kuantan pada 2 @ 3 Januari nanti.... Kami menunggu hampir satu jam sebelum tiba giliran kami.



Usai urusan di pejabat pos, kami  terus pulang ke Kuantan menyusuri jalan pantai.  Di sepanjang jalan dari Gebeng ke Balok, kesan banjir masih jelas kelihatan....

ECM @ Capital Mall

Kami tidak terus menuju ke rumah di IM8, sebaliknya kami singgah terlebih dahulu di Capital Mall yang dahulunya lebih dikenali sebagai ECM.  Kami menjangkakan orang tidak ramai kerana kemungkinannya masih ramai yang bercuti di luar Kuantan.  Jangkaan kami agak meleset kerana banyaknya kereta, sampai tidak ada tempat kosong....di depan penuh, agaknya di basement juga penuh, jadi kami mengambil keputusan untuk meletakkan kereta di bangunan Zennith.   
Lepas satu aras ke satu aras yang lain, berjalan-jalan sambil memerhati pengunjung yang sibuk membeli belah barang-barang keperluan untuk persekolahan anak-anak yang akan bermula esok. Ada juga pengunjung yang sibuk membeli persiapan untuk menyambut CNY. Setelah lebih 2 jam kami berlegar-legar di ECM, kami keluar dengan sepasang kasut kerja suami dan beberapa kelengkapan rumah yang dibeli di Aras 2.


Nampaknya, tak ada yang benar-benar tersangkut di hati... banyak jualan untuk perabis stok, barang yang dicari nampak seperti sudah agak lama, jadi kena tunggu minggu depan atau minggu berikutnya. Mungkin banyak barang baru akan masuk sempena perayaan CNY nanti....

Sekali-sekala berjalan berdua-duaan sambil memerhatikan gelagat orang ramai agak menyeronokkan. Jalan-jalan santai begini boleh dijadikan terapi minda. Sambil-sambil tu dapat menguji kekuatan 'kaki' yang sudah lama 'direhatkan', sebagai persiapan untuk menghadapi tugas rutin 'bertemu' anak-anak didik tersayang yang akan bermula esok.

Hari pertama tahun dua ribu tiga belas berlalu sudah.  Tugas dan amanah yang lebih mencabar menanti di hadapan....

"SELAMAT TAHUN BAHARU 2013"

No comments: