Saturday, August 3, 2013

AIDILFITRI... kenangan dan buat pertama kalinya....



Beberapa hari lagi seluruh umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri.  Mereka yang berada di perantauan sudah mula beransur pulang ke kampung untuk meraikan hari kemenangan ini bersama keluarga tercinta....   

jarang-jarang boleh berkumpul semua 8 beradik bersama Papa & Mama...

Kami sekeluarga akan bertolak balik ke kampung halaman hari ini.... bertiga sahaja.  Anakanda sulung dan isteri akan bertolak balik dari Kuala Pilah pada pagi hari raya yang kedua.  Anakanda kedua pula bersama isteri dan puteri sulungnya akan bertolak balik dari Kuala Terengganu pada petang hari raya yang kedua juga.  
 
bersama anakanda menantu NURUL AINA dan SITI NUR AISHAH....

Jadi, keluarga besar Papa dan Mama akan berkumpul ramai-ramai pada malam hari raya yang ke-3.  Pertama kali juga berhari raya bersama-sama dengan dua orang menantu dan cicit sulung.... Tidak sabar untuk berhari raya buat pertama kalinya bersama-sama dengan cucunda FARHAH HANNAN....

rindu akan gelagat HANNAN yang menghiburkan....
Pada tahun ini tidak ada apa-apa majlis keluarga yang besar sebagaimana hari raya tahun lepas dan tahun sebelumnya.... tahun ini buat pertama kalinya kami menyambut Aidilfitri  tanpa Bonda Nik Zakiah @ Mek Kiah, yang telah kembali ke alam abadi pada awal Mei lalu.  Jadi, pada tahun ini kami bercadang untuk balik ke rumah Bonda Mek Kiah di Kg Batang Merbau, Bt. 8 Tanah Merah pada awal pagi hari raya usai solat sunat Aidilfitri.  Biasanya, tahun-tahun sebelum ini kami akan bersama Mek pada malam hari raya.....

Syawal 1433H... Aidilfitri terakhir Bonda Nik Zakiah bersama anak menantu....
Pada tahun ini juga, buat pertama kalinya setelah 2 dekad di perantauan, adinda Noni sekeluarga tidak dapat menyambut Aidilfitri di kampung halaman.....

Syawal 1434 ini juga sangat bermakna kepada kami adik-beradik kerana kami menyambutnya di teratak Ayahanda Bonda yang berwajah baru.  Rumah tempat kami dilahirkan dan dibesarkan ini telah dibaiki selepas hari raya Aidilfitri tahun lepas.  Dinding dan lantai kayu yang telah usang dan dimakan anai-anai telah diganti, ditambah dengan anjung rehat Papa dan Mama.  Papa dan Mama sudah tidak risau lagi apabila cucu-cucu Papa dan Mama (Aiman, Afiq, Mimi, Yaya, Aisya) yang lasak dan "ganas" berlari-lari di atas gelegar rumah nanti.  Gelegar usang sudah berganti simen beralas mozek....  terbayang-bayang Papa dan Mama tersenyum lega tanpa resah melihat gelagat dan keletah cucu-cucunya dan tahun ini tambah seorang cicit bermain serta bergurau senda di ruang keluarga teratak 'baru' Papa dan Mama.

Pada tahun ini juga teratak kami di Kg Parit Cina, Salor yang sekian lama dalam pembinaan telah siap (walaupun belum seratus peratus sempurna) menjelang kenduri kahwin anakanda sulung Jun lepas.  Setelah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian dalam proses pembinaannya, dengan sokongan ahli keluarga, akhirnya raya tahun ini dapatlah kami sekeluarga buat pertama kalinya 'singgah' berhari raya di rumah milik sendiri di kampung halaman.... alhamdulillah, walaupun pada hakikatnya masih banyak perkara yang perlu diurus dan selesaikan....


Memandangkan pada tahun ini tidak ada majlis keluarga yang besar, kami bercadang untuk berkunjung ke rumah sanak-saudara yang sudah lama tidak bertemu mata.  Semoga Allah s.w.t memberi kelapangan kepada kami untuk bersama-sama Ayahanda dan Bonda mengunjungi rumah saudara-mara yang sebahagiannya hampir tidak kami kenal.
  

Dulu-dulu, aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara atau sahabat handai untuk meraikan hari raya dilakukan dengan cukup meriah. Kini, aktiviti tersebut masih diteruskan, sekurang-kurangnya untuk beberapa hari pertama bulan Syawal. Cuma, bezanya dulu tidak ada istilah 'Rumah Terbuka'. 
 
Kini, keadaan sudah sedikit berubah.... semua orang sibuk dengan 'rumah terbuka' terutama sekali masyarakat bandar. Bagi perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing, setelah mereka kembali ke bandar @ kota tempat mereka mencari rezeki, bermulalah 'majlis rumah terbuka'. Aktiviti pada setiap hujung minggu sehingga berakhirnya Syawal dipenuhi dengan undangan ke majlis 'rumah terbuka'....

Bagaimana jika ada sahabat handai atau sanak saudara yang tidak diundang ke majlis rumah terbuka....? Betulkah yang dijemput sahaja yang akan @ boleh hadir ke majlis tersebut...?

Jika pada tahun-tahun sebelum ini, keluarga kami akan berkumpul di 'rumah hinggap' kakak sulung kami (tidak jauh dari rumah Ayahanda Bonda) pada hari raya yang tertentu mengikut kesesuaian masa untuk mengadakan majlis kesyukuran hari raya, tetapi pada tahun ini belum pasti lagi apa perancangannya....? 
 


Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua ahli keluarga, rakan taulan, sama ada jauh atau dekat, serta semua 'kenalan' yang sempat 'singgah' di sini.  

Syawal ke-4 tahun 1433H....

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN....


No comments: