Monday, September 19, 2016

3 Dekad Bersama... Alhamdulillah



Pada 19 SEPTEMBER 1985 kami disatukan....sedar tak sedar, sudah lebih 3 dekad usia perkahwinan kami hari ini.



Dalam meniti 31 tahun hidup bersama, saya berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana Encik Kasihku seorang yang penyabar kepada saya dan anak-anak. Dia menyayangi kedua ibu bapa saya PAPA SOH dan MAMA CHE HALIMAH  sebagaimana dia menyayangi kedua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluarga saya. 

  
Begitu juga di pihak saya, saya juga menyayangi kedua ibu bapanya, ARWAH CHE POK MAT dan ARWAH MEK KIAH serta seluruh ahli keluarganya.  Saya menerima mereka seadanya.

Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….

Setelah 31 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengimbau pengalaman lebih 3 dekad yang telah berlalu....

19 September 1985 – 19 September 2016 .

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-31

Kepada Encik Kasihku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....



Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta.  Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang.  Pautan ini berasal dari angan-angan atas nama rindu.  Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...



Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan, sangatlah ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....



Kami sedar, berkahwin pada usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Hal ini bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.


Sedar tak sedar, kini sudah 31 tahun kami hidup bersama untuk saling melengkapi; dikelilingi 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH dan dua orang menantu kami, anakanda NURUL AINA AWANG dan SITI NUR AISHAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.… 



Istimewa sekali, kehadiran cucunda FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI, dan FALISHA SALSABILA BT. MOHD FAHMI, si cilik yang sentiasa menghiburkan kami semua....rindunya Mak Tok....


Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.



No comments: