Saturday, September 1, 2018

Raikan Bersama-sama SEPTEMBER

Terkenang lagu "Ingatan Manis di Bulan September"" yang dinyanyikan oleh biduanita Sharifah Aini sekitar awal 1970-an:
"Kumasih ingat
perkenalanku
di bulan,
September...
September...."

Sesungguhnya, SEPTEMBER merupakan bulan merayakan beberapa hari istimewa dalam keluargaku.

2 September 2018, genap TUJUH tahun perkahwinan anakanda kami MOHD FAHMI NAIN dan NURUL AINA AWANG yang telah melangsungkan perkahwinan pada 2 Syawal 1432H, bersamaan 2 September 2011 dan cahaya mata mereka yang pertama FARHAH HANNAN sudah genap 6 TAHUN pada akhir JULAI lepas dan adindanya FALISHA SALSABILA genap 4 tahun pada 6 FEBRUARI lepas.  




09 September, NATASHA ALIA BT. SAHAZALI genap usia 24 tahun. Natasha Alia, puteri sulung kepada Norbanilawatey Jusoh dan Sahazali Awang Deraman, dilahirkan di HKL sebelum dibawa balik ke kampung yang permai dan indah  "HAPPY BIRTHDAY ALONG TASHA".  Along semakin matang hari ke hari.  Along tulang belakang keluarga sekarang.

Semoga Along Tasha akan terus melakar kecemerlangan dalam kerjaya yang diceburi.... Doa Cik La agar Along Tasha akan menjadi seorang anak yang berjaya dunia dan akhirat, bertanggungjawab dan lebih matang menghadapi segala dugaan hidup...





Tambah manis lagi, pada 19 September ini bertambah lagi usiaku - melewati setengah abad...!  Begitu juga dengan adik iparku, NIK ARIF pasangan hidup adinda MUTIA AGGEREK berkongsi tarikh lahir yang sama denganku.




Pada tarikh itu juga 33 tahun yang lalu aku telah disahkan menjadi suri hidup kepada insan yang tersayang setelah beberapa musim menyemai kasih dan menganyam rindu ketika bersama-sama di Lembah Pantai.... 

Cepatnya masa berlalu. Sudah lebih 3 dekad rupa-rupanya kami mengharungi pahit manis bersama, menempuh duri dan ranjau hidup menuju jalan pulang .... 

21 September pula adik bongsu kami, RATNA IDAYU BT. JUSOH akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-33 tahun.  Dilahirkan 2 hari selepas Papa dan Mama 'bekwah' kahwinkan anak perempuan keduanya, yang julung kali dalam keluarga kami pada tahun 1985.  Tahun ini tentu sekali lebih bermakna kepada Adinda Ratna kerana dapat menyambut hari bahagia ini berempat.





23 September,  adik iparku yang ke-3, JAILANI B. ABDUL MANAF pasangan kepada adindaku MELISA KAMELIA akan menyambut hari ulangtahun kelahirannya yang ke-41 tahun.














SEPTEMBER yang sentiasa bertamu tanpa jemu, banyak merakamkan saat manis yang sangat indah untuk dikenang.... yang diraikan bersama keluarga....

Alhamdulillah.

Thursday, August 30, 2018

SAYONARA Mr. Choh

30 OGOS 2018 sampailah tempoh perkhidmatan Mr. Choh Ah Chin (GPK Pentadbiran, SMKTP) sebagai penjawat awam pada usia 60 tahun.  Esok, 31 OGOS 2018 merupakan ulang tahun kelahiran Mr. Choh yang ke-60.  SELAMAT BERSARA MR. CHOH.
















Saturday, July 28, 2018


Hari ini 28 JULAI 2018, usia Adik bertambah setahun lagi. 


 
Ucapan SELAMAT HARI LAHIR daripada kami sekeluarga untuk Adik....

Mak dan Ayah berharap agar Adik akan lebih matang dan kuat menghadapi cabaran hidup. 


Jangan lupa berdoa kepada Yang Esa. Selalu ingat DIA.  


Teruskan kecemerlangan untuk mencapai cita-cita Adik....



Cepatnya masa berlalu...

Sunday, July 1, 2018

PUDING HIASAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, halaman 1241, PUDING membawa maksud :

I.    sejenis tumbuhan (pokok kecil); 

II.  sejenis hidangan manis dan lembut yang dibuat daripada pelbagai bahan seperti tepung, susu, telur, gula, dan buah-buahan.



PUDING HIASAN, atau nama botaninya ialah CODIAEUM VARIEGATUM merupakan sejenis pokok renek yang dijadikan tumbuhan hiasan kerana daunnya yang berwarna-warni.  Suatu ketika dahulu di rumah Mama banyak terdapat pokok puding ini.  Saya ada juga tanam pokok puding ini di sudut laman berhampiran telaga D'LAvender, rumah saya di Parit Cina.


Pokok puding hidup subur di kawasan beriklim panas dan lembab.  Warna daunnya ialah campuran warna-warna kuning, hijau, dan merah berbintik-bintik atau berbelak-belak.  Warnanya bertambah cerah jika kena cahaya matahari.




Daunnya ada berbagai-bagai bentuk.  Ada bentuk pepita yang panjang atau pendek dengan tepi lurus atau berkedut, hampir bulat, bujur ; ada juga yang sumbing sipi dan bentuk lelembing.

Jika musim panas terlalu kering, pokok puding hendaklah dijaga kerana pada masa itu daunnya boleh gugur.  Pokok puding mesti disiram dan disungkup untuk menyelamatkannya.  Pokok ini mudah diserang hamama pada musim panas.


Pokok puding perlukan tanah yang baik salirannya dan dibubuh baja cecair.  Pokok puding boleh ditanam dari keratan batang.  Jika keratannya direndam dalam air, ia cepat tumbuh akar dan lebih mudah hidup apabila ditanam. 

Nak tambah koleksi puding di PC.....

Tuesday, June 19, 2018

Kenangan Aidilfitri yang mulia...

Alhamdulillah, kami masih diberi kesempatan menyempurnakan puasa penuh pada Ramadan tahun ini.  Kebetulannya pula minggu akhir Ramadan jatuh pada  cuti sekolah Penggal Pertama.  Seperti biasa, minggu pertama Syawal disambut bersama-sama keluarga di kampung halaman tercinta.




















1 Syawal @ 15 JUN 2018 bersamaan hari Jumaat.  Pagi raya kami hanya bertiga di rumah.  Anak  lelaki akan beraya di rumah keluarga isteri terlebih dahulu.






Rutin setiap hari lebaran, usai solat sunat hari raya, kami sekeluarga akan ke teratak Papa Mama... lepas tu balik ke Kg Batang Merbau TM, ziarah sanak saudara sebelah MIL / FIL.  






Petang rehat di rumah sambil menunggu anak menantu cucu tiba dari KT.  



Syawal ke-2, siri menziarah rumah Bonda dan Ayahanda saudara sebelah Mama... Mok Abe dan PokMuda Leh.   Ini diikuti siri menjelajah sanak saudara sebelah Mama di Kg Surau Kota / Pasir Kota dan sanak saudara sebelah Papa di Kg Pendek.  























Syawal ke-3, acara rutin, berkumpul di rumah Kakanda sulung di kediamannya di Lorong Tok Mandur Daud.   Sesi bergambar dan bervideo kenangan berlangsung seperti biasa.





Pada sebelah petang Syawal ke-3, kami dikunjungi oleh anak-anak saudara yang balik beraya di kampung... anak-anak Allahyarham BIL dan Allahyarhamah SIL.









Syawal ke-4, anak-anak kembali ke tempat kerja masing-masing.  Saya masih di D'LAvender menghabiskan cuti yang masih berbaki.  Suami sudah mula masuk ofis. 

Semoga kami diberi kesempatan untuk  berkumpul lagi pada Syawal yang akan datang.











Sunday, June 3, 2018

Pensel @ Kalam dan Kehidupan




Rasanya sudah beberapa minggu aku tidak meninggalkan catatan di sini. Bukannya terlalu sibuk, cuma ruang waktu kebelakangan ini tidak begitu mengizinkan... ada perkara lain yang perlu diberi keutamaan....

Aku baru sahaja selesai memeriksa kertas ujian 2. Aku dapati masih ramai murid T3 yang menggunakan pensel untuk menjawab soalan subjektif. Terdetik di hati untuk mencoretkan sesuatu berkait dengan PENSEL. Murid-muridku selalu berkata "takut salah dan susah untuk dipadamkan jika guna pen". Itulah jawapan mereka setiap kali apabila disuruh menggunakan pen.... Berbeza dengan zaman kita bersekolah pada zaman 70-an dahulu... kita sangat teruja untuk 'naik' sekolah menengah, kerana di sekolah menengah nanti barulah kita boleh menggunakan pen sepenuhnya untuk membuat nota atau semasa menjawab soalan....

Sebenarnya, di sepanjang jalan pulang, kita banyak bergantung kepada kebolehupayaan kita melihat sesuatu. Dalam kehidupan ini kalau kita boleh meneladani 5 kualiti yang ada pada PENSEL, kita akan sentiasa berdamai dengan diri, hidup harmoni di dunia dan berjaya mencapai banyak kejayaan dalam kehidupan.

Kualiti pertama : kita berupaya untuk mencapai banyak kejayaan besar dalam kehidupan. Dalam pada itu, jangan sesekali kita lupa akan 'Tuhan' yang membimbing takdir kehidupan kita. Tuhan sentiasa ada untuk membimbing kita dengan rahmat dan kasih sayangNya. Kita boleh merancang perjalanan dalam kehidupan tetapi setiap kali kaki kita melangkah tentu saja dengan keizinanNya. "SEUMPAMA PENSEL, YANG AKAN HANYA MENULIS JIKALAU ADA TANGAN YANG MENGGERAKKANNYA..." 

Kualiti kedua : Kini dan pada bila-bila masa pun, sebaik sahaja mata PENSEL tumpul, pensel perlu dipertajamkan dengan menggunakan "sharpener". Kebolehan pensel 'menahan sakit' tatkala sedang ditajamkan, akan menjadikan pensel lebih tajam dan elok penulisannya. Sama seperti perjalanan hidup kita, kebolehan mengharungi dugaan dan cubaan dalam kehidupan akan menjadikan kita seorang insan yang sentiasa lebih baik pada masa hadapan.

Kualiti ketiga PENSEL sentiasa ada kawan kedua, iaitu "eraser". Eraser akan bertindak segera memadamkan kesalahan yang ada. Hakikatnya, kehidupan ini penuh liku dan simpang. Memperbetulkan keadaan dan memadam kesilapan, bukanlah suatu kesalahan. Semua ini akan memudahkan kita mencari jalan yang lebih lurus dalam kehidupan.

Kualiti keempat : Apa-apa yang menjadikan PENSEL berguna bukanlah kayu luaran yang membentuk rupa wajah pensel, sebaliknya graphite di dalam pensel yang menentukan kualiti tulisan kita sama ada jelas atau tidak untuk dibaca. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memberi tumpuan kepada isian dalaman diri kita. Itulah hakikat yang asas dan paling utama dalam kehidupan.

Akhirnya, kualiti kelima PENSEL sentiasa meninggalkan catatan terindah yang akan terus kekal untuk dibaca. Begitu juga kehidupan kita nanti... setiap perkara yang kita lakukan pasti meninggalkan bekas dan ingatan. Oleh itu, jadilah insan cemerlang yang meninggalkan tapak gemilang dalam kehidupan yang akan dikenang sampai bila-bila....

...inilah hakikat kehidupan... sekadar mengingatkan diri sendiri.....