CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, August 28, 2009

Nostalgia Ramadhan di Pekan


Mei 1986. Aku melaporkan diri di SMK Ahmad, bandar Diraja Pekan beberapa hari sebelum Ramadhan menjelang. Ini merupakan penempatanku yang pertama sebagai PPPS.

Walaupun semasa masih menuntut aku pernah berjauhan dengan keluarga di bulan Ramadhan, namun kali ni berbeza sekali.... Di Pekan, dalam keadaan sarat mengandung anak pertama, aku hanya ditemani oleh Makcik Esah. Makcik Esah yang berasal dari sebuah kampung jauh nun di pedalaman Jeli, mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mertua. Pada waktu itu, hanya Makcik Esah yang boleh menemani aku di Pekan kerana ibu mertua - Mek Kiah terpaksa menunggu (arwah) ayah mertua di hospital Tanah Merah. Mama pula diperlukan di rumah kerana adik-adik masih kecil. Hubby waktu itu, memang bekerja di KB.

Berpuasa berdua dengan Makcik Esah tidak menjadi masalah kepadaku. Makcik Esah sangat mengambil berat tentang keperluanku... Waktu bersahur, aku dikejutkan oleh Makcik Esah dan kami sama-sama menjamu selera (walaupun sebenarnya taklah berselera sangat...!). Waktu sahur, Makcik akan bertanya apa juadah yang aku nak makan masa berbuka nanti. Selalunya, aku akan minta tolong jiran sebelah rumah (dah lupa nama...juga orang KB) membeli bahan basah untuk dimasak oleh Makcik. Pernah suatu hari Makcik pergi mencari pucuk kayu untuk dijadikan kerabu, hingga sampai ke gelanggang Polo.

Pada hujung minggu, Makcik akan mengajak aku ke Pekan Sehari. Kami berjalan kaki ke sana, Jaraknya 1km lebih jg dari rumah sewa kami. Walaupun dalam keadaan sarat mengandung, tak terasa sangat penatnya sebab waktu tu aku masih muda belia... Sempatlah 2 kali berjalan kaki ke Pekan Sehari...! Aku akan belikan Makcik apa-apa yang dia berkenan untuk dibawa balik menjelang Aidilfitri kelak.

Beberapa hari sebelum menjelang Syawal, Abg Aziz (arwah) yang menetap di KL, singgah di Pekan untuk membawa aku dan Makcik balik ke kampung. Sekolah akan dibuka semula pada hari Isnin minggu berikutnya. Sarat kereta Subaru Abg Aziz. Aku membawa balik semua keperluan 'baby' kerana aku dijangka akan bersalin dalam tempoh yang terdekat. Aku memaklumkan kepada Pengetua, walaupun aku belum bersalin sehingga sekolah dibuka, aku tetap tidak akan kembali ke Pekan selepas Aidilfitri nanti....

Alhamdulillah, dalam umat Islam masih meraikan kemeriahan Aidilfitri, aku selamat melahirkan putera sulungku pada hari Ahad, 22 Jun 1986, sehari sebelum sekolah dibuka! Maka akupun terus bercuti panjang....

(Nota : Hari ke-10 cuti bersalin, aku mendapat surat dari KPM permohonanku bertukar sekolah ke Kelantan telah diluluskan. Aku telah melaporkan diri di SMK Puteri, KB pada 1 Ogos 1986).





2 comments:

Anonymous said...

Salam.. Selamat menyambut Ramadhan dari Guru2 SMK Jengka 2..

Cikgu rosmawi kim salam ..lagi cikgu hassan sanusi...

anak dah sehat ke?

roshanilawatey said...

Terima kasih kerana masih ingat KRos, siapa ni? Rosmawi masih di J2 ke? Anak, alhamdulillah dah sihat...