Wednesday, November 20, 2013

Musim bah dan kisah ubi kayu ...



Musim bah @ musim tengkujuh dan ubi kayu memang sangat sinonim.  Kini, musim hujan @ tengkujuh kembali bertamu.

Dulu-dulu....

.... kalau tiba musim hujan begini, Che' Yusof @ Atok akan ke tebing sungai untuk cabut @ ambil ubi kayu. Ubi kayu ni kalau baru dicabut masih fresh dan tak masuk angin lagi. 


Ubi yang dibawa balik oleh Che' biasanya masih ada tanah yang melekat pada ubi itu.  Biasanya kami akan basuh terlebih dahulu sebelum kami buangkan / koyakkan kulitnya, basuh sekali lagi dan rebus sampai empok. 


Sambil-sambil tu Che' pula akan dapatkan buah nyior yang memang sedia ada di belakang rumahnya dan suruh Mama atau Mok Lijah kukur (parut). Nyior yg diparut/ dikukur ini akan digaul dengan sedikit garam. Ubi kayu rebus tadi akan dicicah dengan kelapa parut sebelum dimasukkan ke mulut...hmm best...!

inilah rupa wajah dapur kayu yang digunakan oleh Mak Lijah dulu....


Masa kanak-kanak dulu, Mok Lijah guna dapur kayu untuk memasak...kadang-kadang kami akan menyibuk di dapur. Kalau masih ada bara di atas para dapur kayu selepas Mok Lijah memasak, kami akan masukkan ubi kayu ini ke dalam bara api itu.  Kena berjaga-jaga, takut ubi kayu hangus, tak jadi ubi kayu bakar lagi, sebaliknya jadi arang ubi kayu...! Apabila sudah yakin telah masak, ubi itu dikeluarkan dari bara api dan dibuang kulitnya sebelum dimakan.


Musim hujan akhir tahun, cuti sekolah. Kami akan fikir macam-macam aktiviti untuk dibuat. Ubi memang banyak pada musim ini kerana semua ubi perlu dicabut, takut ditenggelami air bah.  Kadang-kadang kami buat bengkang ubi kayu.  Masa kecil-kecil dulu kami hanya memerhati Mama atau Mok Lijah buat.  Semasa darjah 6 kami 3 beradik dah pandai buat sendiri. 

Ubi kayu yang telah dibuang kulitnya itu biasanya kami bawa ke kedai runcit berdekatan rumah Mama untuk dimesin (kalau tak, kami parut aje). Ubi kayu yang sudah dimesin/ diparut itu dicampur dengan kelapa muda yang telah diparut dan dicampur gula + garam secukup rasa. Lepas tu, diletakkan di atas tudung periuk sebelum dibakar sehingga masak. Masa itu kami bakar guna sabut, belum ada oven; jauh sekali ketuhar gelombang micro...! Seronok sangat... Apabila sudah masak, bentuknya yang bulat leper itu akan kami potong dan dihidangkan bersama kopi 'o' panas.


Ubi kayu ini juga boleh dibuat lepat ubi kayu. Yang ni Mama atau Mok Lijah yang buatkan. Kami, masa tu tak pernah mencuba.  Rasa lepat ubi ni mesti manis + lemak, barulah sedap... kena masukkan manisan @ gula melaka + kelapa muda, lepas tu bungkus dengan daun pisang dan kukus.

 Mok akan bungkus dalam daun pisang jika ada orang yang nak beli...

Selain itu, Mok Lijah juga biasa buat tapai ubi kayu. Ubi kayu ni perlu direbus terlebih dahulu sehingga empuk. Ubi kayu rebus ini perlu disejukkan terlebih dahulu, ditabur dengan ragi sebelum disusun di dalam periuk untuk diperam. Biasanya selepas 24 jam diperam, ubi kayu tadi akan bertukar menjadi tapai ubi kayu. Tapai yang nenek buat terkenal di sekitar kampung dan kadang-kala, Nenek jual tapai ini di pasar Wakaf Che Yeh. Kata Mok Lijah, bolehlah seringgit dua buat belanja dapur... nak toreh getah tak boleh kerana batang pokok getah basah. Musim tengkujuh katakan...!


Selain itu, ada lagi makanan favourite berasaskan ubi kayu pada musim-musim hujan begini, iaitu "putu halba". Gerai menjual putu halba tumbuh seperti cendawan lepas hujan di tepi-tepi jalan utama di negeri kelahiranku pada musim tengkujuh. Putu halba dibuat daripada ubi kayu + manisan + kelapa. Dikukus.

Kisah ubi kayu mengembalikan nostalgia semasa zaman kanak-kanak dan awal remaja bersama Che' dan Mok Lijah. Kini, walaupun sekali-sekala balik ke kampung semasa musim tengkujuh, tak sempat pun untuk makan ubi kayu rebus atau bengkang ubi kayu. Lepat ubi kayu dan tapai ubi kayu biasa juga saya makan kerana ada dijual di pasar, bolehlah dibeli.

Anak-anak zaman sekarang yg biasa dihidangkan dengan makanan segera tidak gemar makan makanan berasaskan ubi, apatahlah lagi ubi kayu.

Ubi kayu makanan nenek-moyang sejak zaman berzaman. Ubi kayu memberi sumber tenaga semasa zaman sukar. Alangkah pentingnya ubi kayu suatu ketika dahulu....



No comments: