CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, May 26, 2011

seketika di SIC ...(3)


Sementara bulan Mei masih berbaki, biarlah saya menyambung nostalgia bersama insan yang banyak berbakti kepada kita suatu ketika dahulu di SIC....

Selain Mrs. Siew @ Mdm Lim, beberapa orang guru yang mengajar saya semasa Tingkatan 4 ialah Cikgu Rosni Yusof, Cikgu Alias, Cikgu Mokhtar, Cikgu Abdul Rahman, Cikgu Zaiton, dan Mrs Ganesan.

Guru yang mengajar kami semasa Tingkatan 5 pula, antaranya ialah Cikgu Wan Zakaria, Cikgu Jaswant Kaur, Mr. Tanimalai, Mr. Yeap, Ustaz "Sodok".... (lupa nama beliau), Mr. Murkherjee, Cikgu Farid, dan beberapa orang lagi... rupa masih jelas dalam ingatan tetapi sudah tidak ingat nama mereka...

Kenangan bersama mereka masih lagi tersisa di minda. Kadang-kadang ingatan itu muncul tiba-tiba dan pergi tanpa diduga....sehingga sukar dikutip untuk diabadikan dalam album kenangan....

Semasa di Tingkatan 4, Cikgu Rosni mengajar kami Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu . Sebenarnya, ketika itu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, diajar oleh dua orang guru yang berlainan. Puan Rosni mengajar aspek puisi. Sajak pertama yang diajar oleh beliau ialah sajak PERTEMUAN, manakala bahagian prosa pula diajar oleh Cikgu Alias. Teks sastera yang kami pelajari ketika itu ialah "PULANGLAH PERANTAU" karya Aziz Jahpin dan "HIKAYAT INDERAPUTERA". Cikgu Alias kemudiannya mengajarkan subjek Kertas Am ketika saya di Tingkatan 6 Atas. Saya masih ingat lagi, ketika itu Cikgu Alias tinggal di kuarters kerajaan bersebelahan SMZ yang kini merupakan lokasi pejabat PPD Kota Bharu.

Cikgu Abdul Rahman juga mengajar saya semasa di Tingkatan 4, tapi lupa mata pelajaran yang ajarnya. Yang saya ingat, beliau aktif "berceramah politik" ketika itu, maklumlah pada tahun tersebut diadakan pilihan raya umum di negara kita....Beliau yang berkulit putih, bercermin mata gelap dan agak sederhana tinggi itu merupakan antara guru disiplin sekolah yang digeruni oleh murid-murid lelaki.

Cikgu Mokhtar pula mengajar kami subjek Sejarah semasa di Tingkatan 4. Seorang yang mudah mesra dengan murid-muridnya. Semasa berjalan menuju ke kelas, dari jauh kami sudah dapat mendengar heretan kasutnya yang sudah agak lusuh itu. Beliau seorang yang simple, dan suka menyimpan misai yang kadang-kadang sekali imbas seperti hero hindustan....!

Saya masih ingat lagi, pada suatu ketika lewat hujung 1978, kami perhatikan Cikgu Mokhtar seperti dirundung masalah. Beliau yang suka berseloroh secara spontan, tiba-tiba keceriaan di wajahnya hilang dan menjadi pendiam. Rupa-rupanya, kami mendapat tahu kemudiannya, bahawa ketika 'saat' itu, beliau dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan baru. Beliau berkahwin dengan Cikgu Nasreen....warden asrama Puteri SIC, berbangsa Pakistan, mempunyai rupa paras yang menawan, halus tutur kata walaupun kurang fasih berbahasa Melayu...tapi agak garang....saya tidak pernah melihatnya memakai pakaian lain selain saree.. Cikgu Mokhtar kemudiannya menjadi guru Sejarah semasa saya di Tingkatan 6 Atas. Akhir tahun 1999, saya pernah bertemu secara tidak sengaja dengan Cikgu Mokhtar di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa... beliau masih ingat beberapa nama muridnya walaupun telah lama meninggalkan SIC....

Cikgu Zaiton pula mengajar kami subjek Geografi semasa di Tingkatan 4.

Mrs Ganesan mengajar kami Biology... yang paling saya ingat tentang Mrs Ganesan ialah beliau sering memakai sari. Rambut beliau yang ikal paras bahu di sesuaikan dengan cermin mata berbingkai tebal yang menjadi trend ketika itu menampakkan beliau seperti agak berumur.... Saya tidak pasti berapa umur Pn. Ganesan ketika itu, tetapi beliau kelihatan sangat "keibuan" dan penyayang....

Ada beberapa orang lagi guru yang mengajar saya ketika di Tingkatan 4, yang masih terbayang-bayang wajah mereka di ingatan. Tetapi sayang sekali, buat ketika ini, saat saya sedang mengetuk papan kekunci ini, saya tidak dapat mengingati mereka, sedangkan suatu ketika dahulu nama-nama itu bermain-main di bibir mulut....

Inilah hakikat yang perlu kita terima. Nikmat yang Allah pinjamkan kepada kita sudah sedikit demi sedikit diambil semula.... Dalam usia yang sudah menghampiri setengah abad ini, saya terasa seperti ada sesuatu yang sudah hilang....

....jika ada kesempatan, akan bersambung dengan kenangan bersama-sama guru Tingkatan 5 pula....

Foto : 1) Cikgu Mokhtar (1979)
2) Cikgu Abdul Rahman dan Cikgu Alias (1978)



2 comments:

Anonymous said...

Cikgu Pakistan adalah Miss Nasreen

roshanilawatey said...

tq, betul-betul dah lupa namanya... wajah dan perawakannya masih segar dalam ingatan...