Sunday, June 17, 2012

Setiap hari... HARI BAPA

Hari ini, 17 JUN 2012 - hari minggu yang ke-3 bagi bulan Jun - HARI BAPA diraikan di seluruh dunia. Sebenarnya, kita tidak perlu menunggu tarikh tersebut untuk meraikannya... ibu dan bapa perlu diraikan pada setiap masa sementara masih ada ruang waktu...

Peranan dan tanggungjawab seorang insan yang bergelar bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun bapa tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menghargai dan memberikan kebahagiaan kepada bapa yang dikasihi.

Insan yang bergelar bapa ini telah membesarkan kami dengan limpahan kasih sayang walaupun kehidupan kami sekeluarga agak sederhana...segala pengorbanannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata..! TERIMA KASIH, PAPA. 

Semoga Papa akan kembali sihat seperti sedia kala.... dan insyaAllah Papa akan menerima cicit pertama daripada cucu kedua Papa, MOHD FAHMI NAIN tidak lama lagi.

 

Selamat Hari Bapa juga ditujukan istimewa untuk AYAHANDA kepada putera puteriku. Seorang AYAH yang sentiasa prihatin dengan keperluan anak-anak dan kaya dengan kasih sayang. Terima kasih kerana menjadikan kami sangat bermakna dalam hidupmu. 


Oleh itu, pada kesempatan sambutan HARI BAPA yang diraikan di seluruh dunia, anak-anak yang masih berpeluang menghargai BAPA mereka, jadikan hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat beliau... hargailah bapa kita pada setiap masa... 

"...Papa, engkaulah segala-galanya untuk kami ...."

Hari ini juga merupakan hari yang sangat bermakna, 27 REJAB.... marilah sama-sama kita mengingati dan menghayati peristiwa Isra' dan Mi'raj....


 

Tuesday, June 12, 2012

Persiapan awal....

Sabtu, 9.6.12 - pagi-pagi lagi kami melewati Lebuh Raya Persekutuan menuju ke bandar Anggerik, Shah Alam.   Singgah ambil puteri bongsu kami di Jalan Plumbum, Seksyen 7 dan terus ke restoran berdekatan untuk sarapan.

Destinasi seterusnya adalah ke JAKEL.  Matlamat kami adalah untuk mencari kain baju untuk majlis Abe pada Syawal nanti.  Mula-mula kami ke tingkat 1 untuk mencari kain baju melayu. Untuk H sepasang berwarna purple dan untuk Abe sepasang warna 'silver grey'.  Baju saya dan Adik, kami akan beli yang 'ready made'....

Lepas itu kami terus ke tingkat 3. Wah... banyak sungguh kain lace yang cantik-cantik.... pelbagai design dan warna.  

Saya berhasrat untuk membeli 2 pasang kain lace.  Satu pasang untuk dihadiahkan kepada bakal tunang Abe untuk dipakai semasa majlis pertunangan dan sepasang lagi untuk hantaran bertunang.... 

Saya memilih kain lace berwarna kuning.  Masa bertunang nanti, Abe tak perlu buat baju melayu baru.  Boleh pakai aje baju Melayu kuning emas yang ditempah semasa majlis perkahwinan Emi Syawal tahun lepas.  Ini idea daripada Adinda Anggerek.  Satu cadangan yang baik.  Kalau tidak, baju melayu tu tersimpanlah di dalam almari.   Dalam setahun, boleh bilang dengan sebelah jari pakai...!

Kain lace untuk diletakkan di atas par semasa majlis bertunang nanti warna 'silver grey'....  Warnanya agak berbeza sedikit dengan kain baju melayu yang telah dibeli di tingkat 1 tadi, yang ini gelap sikit.   Jadi, saya beli sepasang lagi kain baju melayu untuk Abe.   Sedondon dengan kain lace itu.

Cincin emas putih bertatahkan sebutir berlian asli sudah ada.  Hadiah daripada Kak Ha.  Jadi, saya hanya perlu beli cincin belah rotan.  Minggu depan akan dapatkan dari kedai emas di TM.  Yang lain-lain akan disediakan sebelum Ramadan menjelang.

Semoga segalanya diberkati dan berjalan lancar.....

Tuesday, June 5, 2012

Hari Bertugas di sekolah....

Hari ni saya bertugas di sekolah.  Saya sampai di pekarangan sekolah pada pukul 8.00 pagi.  GPK yang bertugas pada hari ini ialah Encik Tan Kia Leng.  


Dari luar pintu masuk sudah nampak ada sebuah bas sekolah berwarna kuning.  Medan letak kereta pula kelihatan murid-murid yang saya tidak kenal sedang sedang duduk memenuhi ruang sambil tekun mendengar taklimat.  Daripada pengalaman tahun lepas, saya dapat meneka bahawa kemungkinan ini merupakan Kem Kewartawanan anjuran akhbar  Sin Chew... tekaan saya tepat sekali.   Ramai juga peserta yang terlibat. 

Semasa saya meninjau-ninjau kawasan persekitaran, saya berseliseh dengan para peserta kem ini.  Bukan seorang dua.  Ramai.  Berseliseh ketika mereka hendak ke kantin.  Bertembung ketika mereka naik turun tangga.  Bersua muka di laluan hadapan pejabat dan bilik guru.....  Mereka berjalan berkumpulan dan beriringan.  Ada yang berjalan berseorangan.  

Yang anehnya, mereka seolah-olah tidak nampak kehadiran saya walaupun dari jauh saya sudah melemparkan senyuman kepada mereka.  Maklumlah, sebagai tuan rumah kita hendaklah menunjukkan kemesraan kepada tetamu kita....  tetapi pelik sungguh.   Saya rasa nak tulis juga di sini walaupun mungkin ada yang kurang bersetuju. 

Ada sesuatu yang membuat saya rasa agak terkilan.  Mereka (mewakili sebahagian besar peserta yang jumlahnya pada mata kasar hampir 200 orang.... hanya seorang dua sahaja yang terkecuali) seolah-seolah tidak nampak "tuan rumah" yang tua ini.  Tuan rumah yang usianya jauh lebih lama daripada mereka.  Agaknya senyuman saya tidak cukup manis untuk mereka membalasnya dengan senyuman juga....!    Sebahagian besar daripada peserta kem itu seolah-olah tidak endahkan langsung kehadiran saya dan beberapa orang warga SMKTP yang ada di sekitar.  Mereka  memandang kami seperti orang asing dari planet lain....!  

Betullah, saya bukan Cikgu mereka.   Mereka tidak kenal saya.  Saya pun tidak kenal mereka, malah inilah kali pertama mereka lihat muka saya dan saya melihat wajah mereka.    Agaknya mereka ingat saya ini tukang sapu di sekolah ini.  Walau tukang sapu sekalipun, apa salahnya mereka senyum.  Tak luak sikit pun dan mereka tak rugi apa-apa.    

Sebenarnya, inilah hakikat yang berlaku dalam kalangan kebanyakan remaja kini.    Tidak tahu menghormati orang yang lebih tua.  Tidak tahu membawa diri di tempat orang.  Pada hal, daripada ampaian di bilik darjah yang mereka 'tumpang' dan daripada beg pakaian yang mereka bawa, saya rasa mereka akan berkampung beberapa hari di SMKTP....!  Tetapi sangat aneh, mereka boleh berkelakuan begitu dengan 'tuan rumah'.... Yelah, siapalah sangat kita ni.  Bukan Cikgu mereka pun....   Ah, biarlah.  Budak-budak.... Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya....biarkan...biarkan....!!!!

Di kawasan persekitaran kelihatan pekerja sekolah menjalankan tugas-tugas menceriakan sekolah.  Mencabut rumput, mengecat, menyiram pokok bunga dan lain-lain lagi.    Encik Lokman C.C tekun di pejabat.  Kelihatan juga kelibat En Saberi dan En. Param....

Puan Renuha, Puan Sakina dan Pn Letchumy juga hadir ke sekolah mengendalikan latihan pasukan Choral Speaking dan Drama Panitia BI yang akan bertanding pada minggu pertama sekolah dibuka.   

Mr. Koh dan Encik Firdaus juga ada di sekolah membuat persiapan apa-apa yang patut untuk Kejohanan Padang dan Balapan yang akan diadakan pada minggu ketiga selepas sekolah dibuka...dan...saya sudah diberitahu tugasan pada hari kejohanan tersebut....!

Selepas meninjau-ninjau buat seketika, saya menghabiskan masa di Bilik Guru.   Menyemak kerja kursus Sejarah PMR.  Waktu berlalu begitu pantas.  Sedar-sedar jam sudah menunjukkan pukul 12.30 pagi.   Saya kemudiannya ke dewan blok baru melihat latihan drama BI....




Cuti sekolah sebenarnya banyak kerja sekolah yang boleh dibuat dan perlu dibuat....

Sunday, June 3, 2012

Awal Jun - bercuti dan berehat di rumah....

Tahun lepas pada tarikh dan minggu yang sama saya sekeluarga dan beberapa orang adik bercuti di kampung halaman bersama bonda dan ayahanda tercinta.

1.6.11 jalan-jalan di KB


2.6.11 bersantai di tepi Pantai Irama, Bachok


3.6.11 makan-makan di Royal Kelantan (RK) Western Food, KB....



Semalam, hari ini dan beberapa hari lagi saya menghabiskan cuti di rumah saya di IM6 Kuantan. 

1.6.12 - Adinda Anggerek dan Nadia datang bercuti di Kuantan bersama dua orang anak saudara tersayang.... B & C.... A baru 2 minggu di UPM, jadi susahlah sikit untuk Along Tasya ikut sekali.   Mereka bermalam di Tembeling Resort, Teluk Chempedak.  

pandangan dari anjung Studio Aprtm D-3-10

Eeka nak mandi dan berenang di kolam.... Bee pula nak jalan-jalan makan angin di pantai Teluk Chempedak.  

Eeka yang mabuk berenang....

Malam tu kami makan-makan di Sara Thai Kitchen, Jln Teluk Sisek....

ramai-ramai di Sara Thai Kitchen....

Petang Sabtu, 2.6.12 pula kami ramai-ramai ke Pantai Batu Hitam.  Eeka tak puas hati kerana tak dapat mandi pantai

sepetang di Pantai Batu Hitam....

Pada sebelah malamnya adinda Melisa Kamelia atau lebih mesra kami panggilnya Kakak datang bertandang ke rumah saya di IM6 bersama Jai dan anak-anak.  Kebetulan Kakak balik ke rumah bonda mentuanya di kampung Seberang Balok....  Dapatlah tengok baby Zharif yang sekarang dah masuk usia 6 bulan.  

bersama baby Zharif....

Terima kasih Ya dan Wan kerana menjenguk kami.  Terima kasih Kakak kerana singgah di teratak kami....




Monday, May 28, 2012

seketika di kampung....

25.5.12 - usai solat Jumaat, kami bertolak balik ke kampung halaman.  

Cuti sekolah bermula esok selama 2 minggu.   Kebetulan Anakanda CT Nadiah juga bercuti selama seminggu, jadi dapatlah kami balik sama-sama.  Tak lama, hanya 3 malam.  Isnin, kami  sudah kembali ke Kuantan.

Kami tiba di rumah Mama sudah agak lewat.  Malam.  Mama akan mengikuti rombongan lawatan ke Acheh yang dijangka bertolak pada hari Ahad nanti.   
masih dalam pembinaan....

Esoknya, pagi-pagi lagi kami ke tapak rumah kami yang masih dalam pembinaan.  Selepas itu kami ke Pasar Siti Khadijah sebelum balik menjengok Mek di Batang Merbau, Tanah Merah.   Abang Mie minta tolong belikan serunding daging yang selalu kami hadiahkan kepadanya.  Sedap katanya....  

serunding @ sambal daging Kak Ani di Pasar Siti Khadijah....


bersantai sambil minum air nyiur muda....

puteri tunggal bongsu kami....

Sebelum ke TM, kami singgah di rumah Mama terlebih dahulu untuk mengambil apa-apa yang patut dan yang pasti untuk minum kopi-o panas yang disediakan oleh Mama.  Kebetulannya Papa sudah ada di rumah.  Papa nampaknya semakin sihat, cuma belum boleh berjalan-jalan di KB.  Selepas berbual-bual seketika dengan Papa, kami meminta izin untuk bertolak balik ke TM.

Kami tiba di rumah Mek ketika zohor sudah hampir ke penghujung.   Abang Mie tiba kira-kira 30 minit selepas itu dan Pak Teh sampai melewati waktu Asar.  Malam itu, keempat-empat anakanda Bonda Nik Zakiah berkumpul di rumah Mek.  A'zemin Mamat, Nain Mamat, Lokman Mamat dan Aynun Mamat. 

Bilangan anak-anak Mek sudah kurang.  Tinggal 4 daripada 6. Terasa seolah-olah ada yang tertinggal.  Terasa-rasa seperti Che Long masih ada.  Itulah hakikat kehidupan.... dua anak Mek sudah kembali menemui Penciptanya.   Arwah Abang Aziz kembali ke rahmatullah hampir 7 tahun yang lalu, manakalah arwah Che Long @ Kak Mah pada Hari Raya Haji yang kedua @ 11 Zulhijjah yang lepas.  

Kini, tinggallah Mek menghabiskan usia yang sudah semakin lanjut, yang kudratnya semakin menipis hari demi hari bersama dua orang cucunya, anak kepada puteri Mek yang bongsu - Su Aynun....  Mek sudah agak uzur sejak beberapa bulan kebelangan ini.   Mek terpaksa  menggunakan tongkat untuk berjalan bagi mengurangkan sengsara sakit lututnya.
tongkat Mek.... lama dan baru

Esok paginya, sebelum saya bertolak balik ke rumah Mama di KB, kami ke pekan TM untuk membeli tongkat yang lebih selesa untuk Mek gunakan. 

Kami bertolak balik dari rumah Mama di KB sebelum tengah hari.... Mama masih di Acheh dan hanya akan balik pada petang Rabu nanti.

kenangan Mama di Acheh....

Kami sampai di rumah di IM6 Kuantan sebelum azan Maghrib berkumandang di udara....


Thursday, May 24, 2012

Ayam pansuh di rumah Hanna....

Hari ketiga di Kuching kami diundang untuk makan malam di rumah keluarga pengantin perempuan.  Selepas solat Isya' Kami dijemput oleh abang dan ahli keluarga Hanna di BDC dengan 3 buah kereta.

Ayahanda dan bonda Hanna, Encik Wasta dan Puan Masnah siap siaga menanti kami di pekarangan rumah. Di ruang hadapan sudah sedia terhidang pelbagai jenis juadah yang enak-enak, walaupun belum 'disentuh' tetapi aromanya menusuk deria bau dan deria rasa kami....menjadikan kami semakin tidak sabar untuk 'mencubanya'.  

Usai doa ringkas yang dibaca oleh Abang Him, kami pun dijemput menjamu selera.  Tuan rumah dengan penuh ramah melayan kami makan sambil menerangkan jenis masakan yang terhidang.... 
ayam pansuh...

Dalam banyak-banyak juadah yang terhidang, saya tertarik dengan sejenis masakan ini.... dari jauh nampak seperti daging ayam disaluti santan... tapi bukan ayam percik...!   Kak Masnah memberitahu bahawa itu merupakan sejenis masakan tradisional masyarakat Sarawak iaitu ayam pansuh.  

Pertama kali saya mendengar nama itu dan saya belum pernah merasanya sebelum ini.  Melalui "Cik Google" tahulah saya sebenarnya perkataan 'pansuh' dalam masyarakat Iban membawa maksud memasak makanan di dalam batang buluh.   

Jika masyarakat Melayu Semenanjung  menggunakan buluh untuk membakar lemang menjelang Hari Raya, tetapi masyarakat Sarawak khususnya masyarakat Iban memasak pelbagai jenis makanan di dalam batang buluh - nasi, sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam.... 

Jadi, ayam pansuh ini ialah ayam yang dimasak di dalam buluh bersama-sama daun mentimun.  Ada juga yang menggunakan pucuk ubi kayu atau disebut pucuk gadong.

Menurut Kak Masnah, untuk menyediakan juadah ini, antara bahan yang diperlukan ialah :
Ayam
Bawang putih, bawang besar & bawang merah
halia & serai
pucuk mentimun
garam secukup rasa
dan
buluh 4 batang (anggaran untuk satu ekor ayam)
daging ayam yang diperap sebelum masukkan ke dalam buluh....

Terlebih dahulu daging ayam dibersihkan dan diperapkan dengan garam secukup rasa.  Bahan-bahan di atas perlu dikisar / tumbuk halus dan perapkan bersama ayam tadi.   Ada yang mengambil masa sehingga setengah hari untuk memastikan ayam yang diperap itu mesra dengan rempah ratus tersebut.... 

Langkah seterusnya, kita perlu memasukkan daging ayam yang diperap itu ke dalam buluh dan disumbatkan dengan daun mentimun.  Buluh yang diisi dengan daging ayam itu akan dibakar di atas bara api dan biarkan sehingga ayam betul-betul masak.   

Yang menariknya, buluh yang besar dan tebal seperti yang kita guna untuk membakar lemang itu tidak hancur; sebaliknya isi ayam yang terdapat di dalam buluh itu masak dengan elok dan tulang ayam boleh pecah semuanya.    MasyaAllah.   Betapa besarnya kuasa dan ciptaan Ilahi....

Wednesday, May 23, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (4) : bas mogok & kek lapis

Bas yang kami naiki menuruni Kampung Budaya Sarawak terus menuju ke pusat bandar Kuching.  Kami pada asalnya dijangka ke tempat pembuatan kek lapis yang sangat popular di Sarawak.

Encik Pemandu melencongkan menuju ke bangunan Dewan Undangan Negeri.  Kata Encik Pemandu, biasanya ramai pelawat yang akan berkunjung ke bangunan DUN itu.... Saya berkata kepada suami, hari ini bermula persidangan DUN, sudah pasti pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan bangunan DUN.
bangunan Dewan Undangan Negeri tersergam megah di tebing Sungai Sarawak....

Ketika bas yang kami naiki sampai betul-betul di pintu masuk bangunan DUN, tiba-tiba enjin bas terhenti.   Ketika itu waktu sudah melewati pukul 1.30 tengah hari.  Persidangan ditangguhkan untuk berhenti rehat. Abe Him, Abe Safuan, Ariff, dan suami turun dari bas dan 'bersantai' di bawah kanopi di persimpangan jalan ke bangunan DUN.

pandangan dari atas bas yang mogok....'part-time' ....
Dari jauh kelihatan anggota persidangan turun dari bangunan DUN menuju ke tapak letak kereta untuk pulang. Mereka melalui jalan tempat bas yang 'mogok' itu.   Mujurlah setelah 'dipujuk' beberapa ketika, bas tersebut dapat dihidupkan semula tetapi alat pendingin hawa perlu dimatikan.  Kami berada dalam keadaan 'suana' yang meresahkan...!  
pandangan dari arah pusingan "U" menuju ke pusat bandar....

Ketika bas kami mula bergerak membuat pusingan "U" di pintu masuk ke bangunan DUN menuju ke pusat bandar, kelihatan berderet-deret kereta keluar dari kawasan tersebut....Mujur sekali lagi, ketika itu kami sudah mula bergerak meninggalkan tempat itu.

Dalam keadaan berhati-hati dan 'bersauna', bas kami menuju ke kawasan pembuatan kek lapis Sarawak.  Hanna membawa kami ke kilang Kek Lapis Dayang Salhah.  Kedai/ kilangnya tidaklah berapa besar, tetapi ramai sungguh pengunjungnya.  Kami disambut mesra dan diberi stiker berwarna kuning yang dilekatkan pada lengan baju. 
di kedai kek lapis Dayang Salhah

Seronok juga 'mencuba-cuba' sampel kuih lapis itu.  Bermacam-macam jenis kek lapis disediakan di dalam bekas yang diletakkan di atas meja rendah di tengah-tengah ruang.  Rasanya seperti Hari Raya pula.  Selepas merasa hampir semua jenis sampel dan terasa sudah agak kenyang, kami pun mulalah memilih kek yang disukai.  Kek-kek ini diletakkan di dalam bakul dan dibawa ke kaunter bayaran.  Kek-kek tersebut dimasukkan ke dalam kotak dan dibungkus rapi.
sticker....

Dari kilang kek lapis Dayang Salhah kami berjalan kaki melintasi jalan menuju ke medan selera di tepi Sungai Kuching @ Sungai Sarawak, atau lebih tepat di Kuching Waterfront.   Waktu yang sesuai untuk kami mengisi perut yang sudah mula 'menyanyi-nyanyi'.... 

Ramai juga yang membuat pesanan Nasi Kerabu Kelantan.  Nampak dari jauh, cukup syaratnya.  Lengkap dengan budu lagi.  Saya dan suami memesan nasi goreng ikan terubuk.  Dua kali buat pesanan di gerai yang berlainan, barulah dapat makan dengan selesa....!
makanan di sini boleh tahan, terasa di tekak....

Bas yang kami naiki menunggu kami di seberang sungai.  Jadi, kami perlu menyeberangi sungai dengan perahu tambang untuk menjimatkan masa.  Tambang perahu tersebut hanyalah sebanyak RM0.50 sen.   Seronok juga sekali sekala melalui pengalaman begini.
menuju ke perahu untuk menyeberangi sungai....

Dulu, ketika usia remaja selalulah juga saya menyeberangi Sungai Kelantan menggunakan motobot dari pangkalan Seberang Pasir Mas ke bandar Pasir Mas untuk ke rumah seorang sahabat, TUAN HASNAH RAJA HASSAN.  Ketika itu belum ada jambatan yang menghubungkan Jalan Pasir Mas - Salor dengan bandar Pasir Mas di seberang Sungai Kelantan.
bersantai menghirup udara segar di Kuching Waterfront.....

Kami menjejakkan kaki di pangkalan seberang sana dengan selamatnya.   Kami menyusuri jalan di sepanjang deretan bangunan kedai lama untuk meninjau cenderamata yang akan dijadikan buah tangan kenangan.... Yang lainnya, Kak Ha dan Abe Him bersantai  di pelantar rehat berbentuk bulat di tepi sungai sambil memerhati cucunda kesayangan bermain....sementara menunggu bas tiba.  
asyik sekali dengan "baby angkasa" nya....

Beberapa ketika menunggu, bas pun tiba.  Jangkaan kami, bas lain akan menggantikan bas yang 'mogok' tadi. Rupa-rupanya kami akan balik ke inap desa dengan bas yang sama. Bas yang 'mogok' di depan bangunan DUN. Kami berdoa dalam hati agar perjalanan kami tidak akan tergendala.  Kami tiba di inap desa dalam keadaan 'bersauna' dengan selamatnya walaupun dua kali juga enjin bas terhenti ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau....


Pada sebelah malamnya, kami diundang oleh Encik Wasta dan Puan Masnah untuk makan malam di rumahnya di BDC....  

Inilah pengalaman yang indah dan menyeronokkan untuk dikenang di sepanjang jalan pulang....

Monday, May 21, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (3) : Kampung Budaya Sarawak

Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan seni budaya yang unik.  Sejenak di bumi Kenyalang mendekatkan diri saya dengan keindahan dan keistimewaan budaya hidup pelbagai etniknya.  
Kampung Budaya Sarawak....

Hari ke-3, 14 Mei 2012 di bumi Kenyalang, pagi-pagi lagi selepas sarapan, kami berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village).  Kunjungan ke Kampung Budaya Sarawak merumus segala inti sejarah, budaya dan keistimewaannya.  

Terletak di kaki Gunung Santubung sejauh 35 kilometer dari bandar raya Kuching dan tersorok di tengah-tengah kehijauan hutan hujan, KBS mencanang pakej dan agenda lawatan yang unik lagi menyeronokkan.  Dalam keluasan 14 ekar landskap semula jadinya, KBS menghimpunkan diversiti kumpulan etnik utama Sarawak dalam persekitaran yang benar-benar serupa dengan kehidupan mereka di seluruh Bumi Kenyalang.
Gunung Santubung dari kejauhan....

Dalam perjalanan ke KBS, dari kejauhan kelihatan megah berdiri Gunung Santubung yang menjadi kebanggaan penduduk bumi Kenyalang yang penuh dengan ceritera rakyat lagenda negeri Sarawak.  Untuk ke sana kami melalui Damai Beach Resort dengan pasirnya kelihatan halus memutih menghiasi gigi pantai, mengindahkan panorama pantainya.  

Sesampainya kami di KBS, kami terus membeli tiket yang nilainya RM60.00 untuk seorang dewasa.  Bagi warga emas, pelajar universiti / murid sekolah dapatlah sedikit diskaun.  Agak mahal juga.  Hanya Che' yang mendapat separuh harga kerana berada dalam kategori Warga Emas...!   
Pasport ke KBS bernilai RM60.00....

Kami diberi 'pasport' sebagai pas masuk ke KBS. Variasi ucapan yang menyambut kedatangan tetamu sejurus melewati pintu masuk kampung di kaki Gunung Santubong ini amat jelas mewakili sistem sosio majmuk yang menjadi penghuni di dalamnya.
menapak ke rumah tradisional etnik Sarawak....

Kami mulalah berjalan-jalan dan singgah turun naik semua rumah yang ada di situ.  Tangganya tinggi-tinggi.  Ada rumah yang tangganya cuma batang kayu yang ditakak untuk tempat menapak.  Nak naik memang senang, tetapi bab nak turun tu yang gayat sikit. 
kenangan di rumah panjang kaum Iban....

Ada tujuh buah rumah semuanya, iaitu Rumah Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan, Melayu , Cina dan  Rumah Melanau. Mendaki tangga tinggi rumah Orang Ulu, bermain buai di bawah rumah Melanau dan belajar menyumpit di pondok Penan adalah antara aktiviti yang boleh dicuba. 

Selain 'apa khabar' dan 'ni how' yang biasa didengari di Semenanjung Malaysia, sesekali terdengar juga ucapan salam yang lain bunyinya. 'inou dengah', 'damea brita', 'nama brita', dan 'nu denge', itu semua bersahut-sahut daripada bibir mereka yang kelihatan bangga menyarung pakaian tradisional masing-masing.  

Selepas diamati betul-betul wajah, dan pakaian mereka   barulah kami dapat membezakan satu-persatu orang yang menyambut penuh senyum itu.   Melanau, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu, terasa sungguh istimewa dan betapa bumi Sarawak ini kaya dengan entiti seumpamanya.
jambatan ke rumah kaum Penan....bersama Kak Ha, Mek & Zue

Dalam turun naik rumah-rumah tersebut, kami seronok tengok gelagat 3 beradik cucunda kesayangan Kak Ha dan Abe Him.  Mereka sedang dalam fasa semua benda nak buat sendiri.  Cepat saja mereka 'memanjat' tangga termasuklah si adik Nisa.  
Nisa sabar menunggu untuk didukung menuruni tangga...

Ada suatu ketika di dalam rumah Orang Iban, tengok-tengok ketiga-tiga si cilik ni sudah ada di atas loteng.... Masa naik cepat sahaja, tetapi nak turun mungkin mereka terasa sedikit gayat, terpaksalah ayahanda mereka naik ke atas dan dukung  seorang demi seorang menuruni tangga....

Kami tidak sempat singgah di semua rumah etnik itu.  Kami mengejar masa untuk menonton persembahan kebudayaan yang dijangka bermula pada pukul 11.30 pagi di Theatre KBS.... Semua rangkuman kehidupan itu boleh disaksikan dalam persembahan budaya selama 45 minit di panggung KBS.   
tarian tradisional etnik di Sarawak....

Kami mengambil tempat duduk di barisan hadapan panggung.  Jangan pula terkejut kalau tiba-tiba disergah oleh pahlawan-pahlawan Iban yang bersenjatakan parang dan tombak. Juga bersedialah untuk menyerah diri kalau tempat duduk dijadikan sasaran sumpit.

PERTUNJUKAN budaya di panggung KBS menghimpunkan lagu-lagu, kostum ekstravaganza dan tarian etnik negeri.  Di atas pentas yang sarat ciri teater itu juga, kita disaksikan oleh kenakalan bakat-bakat ini mengusik para tetamu wanita di panggung itu. Sememangnya menghiburkan!

Walaupun tidak sempat menghabiskan 'penjelajahan' kami ke seluruh kampung etnik ini, namun kami tetap berpuas hati dengan pengalaman separuh hari di Kampung Budaya Sarawak."


Yang pasti, pengunjung Kampung Budaya Sarawak boleh mendekati gaya hidup pelbagai kaum dari pelbagai aspek termasuk makanan, muzik dan juga aktiviti yang berkaitan dengan alam semula jadi.
 

Kepelbagaian kaum dan etnik merupakan tarikan utama di kampung yang bertindak sebagai muzium hidup ini.  sewajarnyalah bukan sahaja warga asing, malah kami rakyat Malaysia yang datang dari Semenanjung juga kagum dengan apa yang kami temui ini....

Kami turut difahamkan bahawa KBS menyediakan pakej perkahwinan yang membolehkan pasangan pengantin meraikan hari bersejarah mereka dengan persediaan persalinan dan sambutan yang mengikut adat Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau atau Cina.

Pengalaman disambut dengan aneka ucapan salam kaum etnik, merentas sungai dengan titi buluh, hampir 'disumpit', dan kemudian diajak menari tarian tradisional, tidak mungkin kalau satu pun daripada pengalaman itu tidak membuatkan tetamu tersenyum dan terkenang-kenang kembali saat melangkah pulang! 
rehat sekejab sebelum meninggalkan Kampung Budaya Sarawak....
 
Keluar dari Kampung Budaya, pemandu bas membawa kami menjenguk Kuching Waterfront....

....bersambung.

 

Saturday, May 19, 2012

Bertemu sahabat lama di Bumi Kenyalang...

Hari kedua di Bumi Kenyalang....

Dalam perjalanan pulang dari Top Spot Food Court, saya telah menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang sahabat lama.  Seorang sahabat yang pernah sama-sama menghabiskan usia remaja di Lembah Pantai awal 1980-an.    Ketika SMS itu dihantar, beliau sudah berada di kawasan penginapan kami.  Ketika itu saya masih di pusat bandar Kuching, dalam perjalanan balik ke inap desa di Herritage Garden.  Kami singgah seketika di sebuah kedai runcit di Satok kerana Abe Him hendak membeli lada hitam.... untuk masak mi sup, katanya.

Kami sampai di tempat penginapan melewati pukul 8 malam.  Beberapa minit kemudian sahabat kami, Sabariah Putit dan suaminya Wan Akil tiba untuk membawa kami ke rumahnya yang tidak jauh dari situ.... 
di kediaman  Sabariah dan Wan Akil... 13 MEI 2012

Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa suatu hari kami dapat bertemu muka dengan Sabariah setelah hampir 30 tahun terpisah.  Bertemu di bumi kelahirannya sendiri, iaitu di Kuching Sarawak.  Kebetulannya pula, Wan Akil merupakan rakan suami saya ketika di Fakulti Sains, UM hampir 3 dekad yang lalu....Kami dibawa ke rumah agamnya di Jalan Merdeka Off Jalan Astana, Petra Jaya. 
bersama Sabariah Dis 1982... hampir 3 dekad yang lalu



Pertemuan ini sarat dengan kisah keluarga, disulami dengan imbauan nostalgia tatkala menjadi warga Lembah Pantai suatu ketika dahulu.   Sambil menikmati juadah istimewa yang disediakan, kami tidak putus-putus melahirkan rasa syukur kerana pada usia melewati setengah abad ini kami masih diberi kesempatan bertemu muka berkongsi cerita.... 

Terima kasih Sab dan Akil kerana dalam kesibukan memenuhi tuntutan tugas, kalian masih sempat  meluangkan masa untuk menjemput dan menghantar kami.... Semoga persahabatan yang sudah sekian lama bertunas kembali mekar dan mewangi di sepanjang jalan pulang.  

Semoga kita akan bertemu lagi pada masa akan datang.... 


Friday, May 18, 2012

Mesra Bersama di Bumi Kenyalang (2)

Hari kedua,  sebelah petang usai majlis resepsi kami menyusuri Sungai Kuching @ Sungai Sarawak dengan cruise @ bot melepasi kediaman Ketua Menteri Sarawak.  
mesra bersama keluarga Kak Ha & Abe Him

Kami 9 orang semuanya, dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 seorang.  Biasanya RM20 hanya sehingga jambatan, jika ingin melewati kediaman KMS, akan dikenakan bayaran sebanyak RM25 seorang.  Memandangkan kami dalam jumlah yang ramai, pemandu cruise itu memberi diskaun kepada kami.  


menunggu di jeti...
Semasa kami mula menjejakkan kaki ke perut bot itu, awan kelabu bertompok hitam di sana-sini sedang melintasi sungai Kuching.  Sungai Kuching agak luas dan lebar.    Bot yang kami naiki akan mudik ke hilir sehingga tiba di kawasan rumah kediaman Ketua Menteri Sarawak.   Panorama di sepanjang sungai kelihatan menarik.  

menyusuri Sungai Kuching @ Sungai Sarawak....
Menurut pemandu bot tersebut, Kuching ditadbir oleh dua orang Datuk Bandar daripada dua kaum yang berbeza.   Pembangunan antara kedua-dua belah sungai nampak ketara perbezaannya.  Di sebelah kanan sungai  menghala ke muara kelihatan banyak bangunan tinggi terdiri daripada hotel, pejabat pentadbiran dan pusat beli belah.  Hotel Magheritta, Hilton dan lain-lain lagi mewarnai panorama tebing kanan sungai pada waktu malam.  Seronok sungguh melihat pemandangan di kiri dan kanak tebing sungai Kuching yang lebar ini. 
Kuching Water Front

Cuaca mula mencemburui kami.  Langit mendung bertukar kelabu gelap menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa.  Ketika kami melepasi kawasan kediaman KM yang tersergam indah di tebing sebelah kiri Sungai Kuching, pemandu bot mula mengubah haluan dan membuat pusingan mudik ke hulu menghala ke jeti semula.  Ketika inilah tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya berserta angin yang agak kencang.  Saat itu kami berada di tengah-tengah Sungai Kuching. 
pandangan dari cermin tingkap bot... hujan dan air sungai bergabung ....

Jarak penglihatan menjadi semakin kabur.  Hati mula berasa bimbang.  Di kiri kanan tebing sudah tidak nampak apa-apa.  Kelabu dan putih berkabut.  Tidak ada lagi bangunan batu dan rumah penduduk yang kelihatan.   Air hujan yang lebat meleleh masuk melalui cermin tingkap.  Walaupun tidak banyak tetapi sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam keadaan hujan lebat dan angin bertiup kencang ini.  Kalau sebelum ini kami tidak henti-henti menemubual pemandu bot ini, tetapi kini suasana sunyi sepi. Hanya enjin bot dan deburan air hujan memecah kesenyapan kami.
air hujan yang meleleh keluar melalui tingkap bertakung di lantai bot

Perjalanan kami masih jauh.  Kelajuan bot menjadi agak perlahan kerana pemandangan di hadapan sangat kelam dan kabur.  Kami tidak mahu mengganggu konsentrasi pemandu bot, jadi lebih baik berdiam dan berdoa dalam hati agar tidak ada perkara buruk berlaku.....!  Terasa pergerakan bot perlahan sangat.  Terasa lama berada di dalam bot berbanding ketika mudik ke hilir. 

Hati berasa lega kerana jeti tempat kami naik sudah kelihatan.  Hujan pun sudah semakin reda.  Bot hanya melewati jeti tanpa singgah menurunkan kami rupa-rupanya.  Ada lagi jarak perjalanan yang perlu dihabiskan.   Sambil bergurau, Abang Safuan berkata, "kita baru habis RM15.00 ada lagi RM5.00...."  Bot yang kami naiki terus menghala ke hulu.  Di sebelah kanan kami kelihatan bangunan Dewan Undangan Negeri gah berdiri di tebing Sungai Kuching yang menjadi mercu tanda dan kebanggaan penduduk Sarawak.
Bangunan DUN bersama titisan hujan....

Kami menjejak kaki di jeti dalam keadaan hujan masih turun renyai-renyai.   Kami bersyukur kerana telah sampai di pangkalan dengan selamatnya.....

Sebelum pulang kami singgah di Top Spot Food Court untuk makan malam. Medan Selera ini terletak di tingkat 6.  Kami menaiki lif untuk sampai ke sana.  Bangunan ini memang dikhaskan untuk medan selera ini sahaja, tidak ada kedai lain selain daripada kedai @ gerai makan.

Ramai betul peminat makanan laut singgah di sini dan benar gerai makanan berasaskan makanan laut, tetapi kebanyakannya gerai tidak halal.  Kami singgah di gerai Muslim Seafood.  

Saya tidak pasti apakah keistimewaan makanan laut di medan selera ini.... Makanannya memang sedap, tidak jauh bezanya berbanding dengan tempat-tempat lain terutamanya di Tanjung Lumpur, Kuantan.  Yang ketara bezanya ialah harga makanan di sini (khususnya di 'stall' makanan laut yang kami singgah) boleh tahan mahalnya.   Di gerai lain, tak pastilah pula.  Mungkin mereka "mengenakan" kami yang bukan penduduk tempatan....!  
menjamu selera di Top Spot Food Court....

Makanan yang belum saya cuba dan rasa di tempat lain ialah sejenis makanan laut yang dikenali sebagai 'ambal' goreng berlada.   Di semenanjung rasanya tidak ada jenis hidupan laut ini. Kalau ada pun sangat sukar ditemui.   Ambal ini sejenis dengan 'keluarga' kupang, kerang, kepah, lala, tijah dll yang terdapat di semenanjung....   
beginilah rupa ambal yang belum dimasak...

Kami beredar dari medan selera itu dengan senang hati.... gendang gendut tali kecapi; kenyang perut suka hati.... 

Sebenarnya, saya ada janji temu dengan sahabat yang telah lama terpisah pada malam itu....Dalam hati saya berdoa agar sahabat saya itu belum sampai di tempat penginapan kami untuk membawa kami ke rumahnya....!