CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, April 25, 2009

Kota Jelasin - Kota kampungku

Kota Jelasin. Sebuah kota yang melakar sejarah penting di Negeri Cik Siti Wan Kembang. 'KOTA' yang menjadi sebutan sampai bila-bila... Kampung Kota. Kampung tempat aku dilahirkan hampir 47 tahun yang lalu. Sebuah kampung yang indah lagi permai.

Kampung Kota yang letaknya dalam daerah Kota Bharu, sebenarnya mendapat namanya daripada Kota Jelasin - Kota yang telah dibina oleh Raja Abdullah, suami dan sepupu kepada Puteri Saadong.

Alkisahnya, apabila meningkat remaja, Puteri Saadong menjadi seorang Puteri yang sangat cantik paras rupa dan tingkah lakunya. Puteri Saadong juga dikenali sebagai "Puteri Vijaya Mala". Kecantikan Puteri Saadong ini termasyhur ke seluruh negeri sehingga sampai ke pengetahuan Maharaja Siam iaitu Raja Prasat Thong yang memerintah di Ayudhia. Baginda telah menghantar utusan ke Jembal untuk meminang Puteri Saadong. Setelah Raja Loyar berbincang dengan Cik Siti Wan Kembang, maka pinangan Raja Siam itu telah ditolak. Setelah rombongan Siam itu kembali, baginda Raja Loyar dan Cik Siti Wan Kembang berserta pembesar-pembesar telah bermesyuarat untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya Raja Abdullah iaitu anakanda Raja Bahar.

Setelah istiadat perkahwinan itu selesai, Raja Abdullah telah membina sebuah kota di hilir Negeri Kelantan dan dinamakan "Kota Jelasin". Setelah beberapa lama bersemayam di Kota Jelasin, mereka terpaksa berpindah pula ke Kota Mahligai (di Kampung Mahligai, Melor sekarang) apabila mereka diganggu oleh tentera Maharaja Siam yang ingin memiliki Puteri Saadong yang cantik itu.

Kampung Kota tempat tumpah darahku ini mendapat namanya daripada Kota Jelasin. Tapak Kota Jelasin sebenarnya terletak di Wakaf Che Yeh sekarang iaitu di tapak stesen RTM Kota Bharu (Radio Malaysia Kelantan) dan SK Kota, SK Seri Kota & SMK Kota.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula KOTA warisan nenek moyangku...

0 comments: