CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, June 8, 2011

Cuti sekolah dan getah


Lagi kenangan semasa cuti sekolah...


Dulu-dulu, semasa zaman sekolah rendah, cuti sekolah maknanya kami bebas bermain dan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu memikirkan kerja sekolah.

Bagi kami ketika itu, ada beberapa perkara yang berkaitan dengan getah. Pokok getah, susu getah, mesin getah, biji getah, main getah. Semua ini amat sinonim apabila tiba musim cuti sekolah. Cuti sekolah, buku pun turut 'bercuti'....

Pokok getah mengingatkan saya kepada Mok Lijah (nenek sebelah Mama) yang pernah menoreh getah (sebagai sumber pendapatan sambilan selain menanam padi). Saya juga sentiasa teringat kenangan bersama Che Daud (atuk sebelah Papa) yang pernah memiliki dan mengusahakan beberapa ekar ladang getah di Kuala Bertam, dekat Keroh, Kuala Krai. Kenangan ini akan saya kongsi dengan 5 orang adik, anak-anak saya, serta anak-anak buah yang tidak berpeluang melalui pengalaman 'indah' ini.

Nenek menoreh getah hanya pada luar musim menanam/ menuai padi. Getah yang ditoreh tidaklah banyak. Ada beberapa batang pokok berdekatan dengan rumah dan selebihnya di dusun/ kebun nenek berhampiran dengan tebing sungai. Nenek akan keluar awal-awal pagi lagi untuk menoreh, kerana susu getah lebih mudah mengalir pada waktu pagi. Pisau khas digunakan untuk menoreh lapisan kulit kayu getah. Ini dilakukan dengan teliti sekali supaya tidak merosakkan batang pokok getah. Torehan ini menembusi sel-sel pokok dan lateks akan mengalir dengan perlahan ke dalam mangkuk yang disediakan di bahagian bawah batang pokok. Lateks ini pekat dan putih. Ia kelihatan seperti susu. Lateks akan berhenti mengalir dalam masa 2 atau 3 jam.

Nenek akan pergi semula dari pokok ke pokok untuk menuang lateks dari mangkuk ke dalam baldi besar. Setelah dibawa pulang ke rumah, susu getah ini akan ditapis dan dimasukkan ke dalam takung (dibuat daripada tin minyak tanah dibelah menjadi 2) untuk dibekukan dengan campuran asid formik (cuka getah). Saya, Kak Roslena dan Noni akan mengelilingi tempat nenek membekukan getah ini. Setelah selesai, nenek akan membersihkan diri untuk solat Zohor, makan tengah hari dan berehat sekejab.

(Nota : Hari ini, saya dapati penoreh getah tidak lagi 'mengutip' susu getah dan dibekukan menjadikan kepingan getah, sebaliknya, susu getah dibiarkan beku dalam mangkuk dan dijadikan getah skrap. Dari segi kualiti / harga, getah keping lebih bermutu dan mahal harganya... Tidak pasti mengapa penoreh getah hari ini memilih untuk menjadikan getah skrap!)

Apabila susu getah telah menjadi beku, kami bertiga akan ikut nenek ke bangsal mesin getah. Pada masa itu tidak ramai penduduk di kg saya yang mempunyai mesin getah. Nenek guna sering mesin getah di rumah Tok Nik Weil (Tok Guru ngaji Quran kami) yang letaknya hampir 1 km daripada rumah kami. Kami berjalan kaki beramai-ramai ke sana ikut jalan belakang/ dalam kampung. Nenek akan menjunjung 2 buah takung yang berisi getah yang telah beku.

Sampai di bangsal mesin getah, nenek akan menuangkan isi takung itu ke atas simen. Kami bertiga pun akan memijak-mijak getah itu/ atau kadang-kadang ditekan-tekan saja dengan tangan agar menjadi agak nipis sebelum dimesin. Ada mesin getah licin dan ada mesin getah bunga. Kami berebut-rebut untuk menggunakan mesin getah licin kerana kerja menggelek masih ringan. Proses menggelek ini diulang beberapa kali sehingga menjadi kepingan getah yang nipis. Pusingan/ gelekan yang akhir, menggunakan mesin getah bunga, agak berat, nenek lah yang menyempurnakannya. Kini, semua itu hanya tinggal kenangan - Nenek Lijah sudah lama kembali ke rahmatullah. Kadang-kadang Nenek muncul dalam mimpi...

Biji getah juga agak dekat di hati kami. Cuti sekolah, kami akan mengikuti Abg Die ke dalam kampung untuk mencari biji getah. Ada pelbagai jenis biji getah. Abg Die memang pakar dalam memilih biji getah ini. Kalau tak silap, biji getah yang elok dipanggil biji getah bongkok....(?). Biji getah ini gunakan dalam permainan berlaga biji getah. Peserta yang mempunyai biji getah yang paling lambat pecah, dikira sebagai pemenang. Laga biji getah permainan ikut musim, iaitu musim buah getah luruh....

Selain itu, kami selalu bermain getah urat, seperti main lempar getah, main lompat tali. Tali ini dibuat daripada getah urat yang disambung-sambung menjadi panjang. Dua orang akan memegang hujung tali dan seorang akan melompat tali tersebut. Ada pelbagai variasi lompatan mengikut tahap yang dicapai oleh pemain. Selalunya kami tiga beradik bermain di atas simen depan tangga rumah....

Permainan ini jenis bermusim, paling popular ketika musim cuti sekolah....


1 comments:

Anonymous said...

HI , mesin getah licin ini ada lagi ?
saya nak beli mesin ini dengan harga tinggi . kalau ada contact saya
David 012-5831314
Wechat / whatsapp : 012-5831314