Sunday, June 19, 2011

Selamat Hari Bapa, Papa....

Hari ini, 19 JUN 2011 - hari minggu yang ke-3 bagi bulan Jun - HARI BAPA diraikan di seluruh dunia. Sebenarnya, kita tidak perlu menunggu tarikh tersebut untuk meraikannya... ibu dan bapa perlu diraikan pada setiap masa sementara masih ada ruang waktu...

Peranan dan tanggungjawab seorang insan yang bergelar bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun bapa tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menghargai dan memberikan kebahagiaan kepada bapa yang dikasihi.

Insan yang bergelar bapa ini telah membesarkan kami dengan limpahan kasih sayang walaupun kehidupan kami sekeluarga agak sederhana...segala pengorbanannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata..! TERIMA KASIH, PAPA.

Selamat Hari Bapa juga ditujukan istimewa untuk AYAHANDA kepada putera puteriku. Seorang AYAH yang sentiasa prihatin dengan keperluan anak-anak dan kaya dengan kasih sayang. Terima kasih kerana menjadikan kami sangat bermakna dalam hidupmu.

Oleh itu, pada kesempatan sambutan HARI BAPA yang diraikan di seluruh dunia, anak-anak yang masih berpeluang menghargai BAPA mereka, jadikan hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat beliau... hargailah bapa kita pada setiap masa...


"...Papa, engkaulah segala-galanya untuk kami ...."


Friday, June 17, 2011

Tahniah, Adik....


Alhamdulillah, sekali lagi Adik mengulangi kejayaan yang cemerlang sebagaimana semester yang lepas.... Semoga Adik akan terus berusaha dan sentiasa bersyukur.

Adik, dalam ghairah mengejar kejayaan di dunia, janganlah lupa pelaburan di akhirat. Ingat, jika kita sentiasa dekat dengan DIA, pasti kita akan sentiasa dilindungi, diberi petunjuk dan segala doa kita akan dimakbulkan.

Mak sentiasa doakan agar Adik akan berjaya dunia dan akhirat....

Foto : Konvo Nov 2010...


Thursday, June 16, 2011

Nikmat Hidup Satu Anugerah....


Nikmat dan anugerah yang kita kecapi dalam hidup ini terlalu banyak dan tidak terhitung.

Salah satu daripadanya ialah nikmat kesihatan, iaitu sihat tubuh badan dan fikiran. Dengan kesihatan yang baik, kita dapat melakukan pelbagai perkara dan menjalani kehidupan dengan sempurna sama ada untuk bekerja mahupun melakukan amal ibadat.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sekiranya kita mengalami masalah kesihatan, sudah pasti rutin seharian akan terganggu dan perlukan pengorbanan yang banyak...

Dalam meniti usia yang hampir mencecah setengah abad ini, adalah amat penting untuk menghabiskan masa yang berkualiti dengan ahli keluarga tercinta serta berusaha meningkatkan kualiti hidup pada setiap masa.

Semoga kita akan terus diberi kesihatan yang baik dan dapat meningkatkan amal ibadat kita serta meneruskan kerja-kerja harian tanpa sebarang masalah...

Bersyukur dan berdoa agar kita terus dilindungi...

Sunday, June 12, 2011

FOTO dan KENANGAN


Foto @ gambar memainkan peranan yang penting dalam hidup manusia.

Oleh sebab itu, ramai orang yang suka mengambil bermacam- macam gambar. Namun demikian, foto lama jugalah yang akan terus ditatap dan direnung, yang pasti dapat membangkitkan nostalgia, foto yang merakamkan pelbagai peristiwa untuk dikenang.

Saya memang suka menyimpan foto-foto lama. Sama seperti Mama, banyak gambar lama yang disimpan kemas di dalam album di rumah... Pernah suatu ketika, dalam pertengahan 1990-an, saya 'meminjam' foto hitam putih koleksi Mama untuk 'difotokan' semula... Gambar leluhur dan zaman kanak-kanak saya.

Awal 1990-an, teknik digital belum begitu popular di tempat kita... kalau adapun, susah nak dapat, apatah lagi kosnya tentulah tinggi. Masih saya ingat, gambar-gambar hitam putih itu saya hantar ke Kedai Gambar Gembira di Ampang (waktu itu saya menetap di sana). Foto yang Mama pinjamkan itu, perlu dikembalikan...

Walaupun saya mempunyai banyak koleksi gambar peribadi, tetapi banyak juga yang 'tercicir', daripada simpanan, terutama sekali foto-foto kenangan semasa di sekolah rendah. Dengan kemajuan teknologi moden hari ini, gambar-gambar ini dapat dikongsi dengan semua ahli keluarga dan kawan-kawan melalui alam siber.


Adakah anda mempunyai gambar-gambar kenangan? Mengapa hendak dikenangkan? Ayuh, mari kita kongsikan bersama....


Sebenarnya, gambar-gambar lama memudahkan kita untuk mengingati peristiwa lama dengan lebih tepat. Orang yang bersama dalam gambar dapat berkongsi memori. Tanpa gambar, kita cuma boleh mengolah imaginasi yang mungkin akan berubah mengikut kehendak. Lantaran itulah, pelukis seperti Michaelangelo, Leonardo da Vinci dll, melukis sesuatu mengikut imaginasi mereka dan bukannya berupa gambar benar.


Kenangan masa lalu terutamanya ketika zaman kanak-kanak, membawa ke alam persekolahan.... dan terus ke dunia remaja... cukup indah dan banyak yang manis...


Kini, ketika 'membuka-buka' FB, pandangan saya sering kali tertuju kepada banyak foto milik rakan-rakan lama dan bekas murid-muridku. Menatap foto-foto kenangan itu seolah-olah merenung dalam diri sendiri yang telah jauh merangkak usia menuju ke suatu destinasi yang abadi.

Menatap foto-foto lama yang dirakam bersama ahli keluarga atau rakan taulan, membuatkan saya terpaku, tersenyum penuh haru dan teringat kenangan yang lalu…

Foto lama, cermin peribadi, mengisi ruang waktu yang masih tersisa di sepanjang jalan pulang .... yang pasti akan dirindui dan tetap indah untuk dikenang...



Friday, June 10, 2011

Selamat Hari Lahir Anakanda....


Dulu, semasa anak-anak masih kecil, mereka sentiasa teruja untuk meraikan hari jadi. Setiap tahun, pasti kena beli kek b'day. Tak buat majlis pun tak apa. Kek mesti ada. Kalau tak, pasti ada yang 'mogok'!!! B'day Boy & B'day Girl sama saja.

Bila usia dah meningkat remaja, semuanya menjadi kenangan yang kadang-kadang mencuit hati. Hanya gambar yang dapat menceritakan segala-galanya...

Hari ini 10 JUN 2011, genaplah 24 tahun usia anakanda MOHD FAHMI NAIN...

"SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR, Emi "

Dalam masa terdekat ini Emi akan memasuki fasa baru dalam kehidupannya. Semoga Allah sentiasa menunjukkan jalan yang terbaik untuk kami dan dipermudahkan segala urusan....

Doa kami agar Emi sentiasa diberi keberkatan dan akan menjadi seorang anak yang soleh, berjaya mengejar cita-cita di dunia dan di akhirat.


Wednesday, June 8, 2011

Cuti sekolah dan getah


Lagi kenangan semasa cuti sekolah...

Dulu-dulu, semasa zaman sekolah rendah, cuti sekolah maknanya kami bebas bermain dan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu memikirkan kerja sekolah.

Bagi kami ketika itu, ada beberapa perkara yang berkaitan dengan getah. Pokok getah, susu getah, mesin getah, biji getah, main getah. Semua ini amat sinonim apabila tiba musim cuti sekolah. Cuti sekolah, buku pun turut 'bercuti'....

Pokok getah mengingatkan saya kepada Mok Lijah (nenek sebelah Mama) yang pernah menoreh getah (sebagai sumber pendapatan sambilan selain menanam padi). Saya juga sentiasa teringat kenangan bersama Che Daud (atuk sebelah Papa) yang pernah memiliki dan mengusahakan beberapa ekar ladang getah di Kuala Bertam, dekat Keroh, Kuala Krai. Kenangan ini akan saya kongsi dengan 5 orang adik, anak-anak saya, serta anak-anak buah yang tidak berpeluang melalui pengalaman 'indah' ini.

Nenek menoreh getah hanya pada luar musim menanam/ menuai padi. Getah yang ditoreh tidaklah banyak. Ada beberapa batang pokok berdekatan dengan rumah dan selebihnya di dusun/ kebun nenek berhampiran dengan tebing sungai. Nenek akan keluar awal-awal pagi lagi untuk menoreh, kerana susu getah lebih mudah mengalir pada waktu pagi. Pisau khas digunakan untuk menoreh lapisan kulit kayu getah. Ini dilakukan dengan teliti sekali supaya tidak merosakkan batang pokok getah. Torehan ini menembusi sel-sel pokok dan lateks akan mengalir dengan perlahan ke dalam mangkuk yang disediakan di bahagian bawah batang pokok. Lateks ini pekat dan putih. Ia kelihatan seperti susu. Lateks akan berhenti mengalir dalam masa 2 atau 3 jam.

Nenek akan pergi semula dari pokok ke pokok untuk menuang lateks dari mangkuk ke dalam baldi besar. Setelah dibawa pulang ke rumah, susu getah ini akan ditapis dan dimasukkan ke dalam takung (dibuat daripada tin minyak tanah dibelah menjadi 2) untuk dibekukan dengan campuran asid formik (cuka getah). Saya, Kak Roslena dan Noni akan mengelilingi tempat nenek membekukan getah ini. Setelah selesai, nenek akan membersihkan diri untuk solat Zohor, makan tengah hari dan berehat sekejab.

(Nota : Hari ini, saya dapati penoreh getah tidak lagi 'mengutip' susu getah dan dibekukan menjadikan kepingan getah, sebaliknya, susu getah dibiarkan beku dalam mangkuk dan dijadikan getah skrap. Dari segi kualiti / harga, getah keping lebih bermutu dan mahal harganya... Tidak pasti mengapa penoreh getah hari ini memilih untuk menjadikan getah skrap!)

Apabila susu getah telah menjadi beku, kami bertiga akan ikut nenek ke bangsal mesin getah. Pada masa itu tidak ramai penduduk di kg saya yang mempunyai mesin getah. Nenek guna sering mesin getah di rumah Tok Nik Weil (Tok Guru ngaji Quran kami) yang letaknya hampir 1 km daripada rumah kami. Kami berjalan kaki beramai-ramai ke sana ikut jalan belakang/ dalam kampung. Nenek akan menjunjung 2 buah takung yang berisi getah yang telah beku.

Sampai di bangsal mesin getah, nenek akan menuangkan isi takung itu ke atas simen. Kami bertiga pun akan memijak-mijak getah itu/ atau kadang-kadang ditekan-tekan saja dengan tangan agar menjadi agak nipis sebelum dimesin. Ada mesin getah licin dan ada mesin getah bunga. Kami berebut-rebut untuk menggunakan mesin getah licin kerana kerja menggelek masih ringan. Proses menggelek ini diulang beberapa kali sehingga menjadi kepingan getah yang nipis. Pusingan/ gelekan yang akhir, menggunakan mesin getah bunga, agak berat, nenek lah yang menyempurnakannya. Kini, semua itu hanya tinggal kenangan - Nenek Lijah sudah lama kembali ke rahmatullah. Kadang-kadang Nenek muncul dalam mimpi...

Biji getah juga agak dekat di hati kami. Cuti sekolah, kami akan mengikuti Abg Die ke dalam kampung untuk mencari biji getah. Ada pelbagai jenis biji getah. Abg Die memang pakar dalam memilih biji getah ini. Kalau tak silap, biji getah yang elok dipanggil biji getah bongkok....(?). Biji getah ini gunakan dalam permainan berlaga biji getah. Peserta yang mempunyai biji getah yang paling lambat pecah, dikira sebagai pemenang. Laga biji getah permainan ikut musim, iaitu musim buah getah luruh....

Selain itu, kami selalu bermain getah urat, seperti main lempar getah, main lompat tali. Tali ini dibuat daripada getah urat yang disambung-sambung menjadi panjang. Dua orang akan memegang hujung tali dan seorang akan melompat tali tersebut. Ada pelbagai variasi lompatan mengikut tahap yang dicapai oleh pemain. Selalunya kami tiga beradik bermain di atas simen depan tangga rumah....

Permainan ini jenis bermusim, paling popular ketika musim cuti sekolah....


Monday, June 6, 2011

banyoknyo ghok jame dulu....

Masih dalam mood bercuti di kampung, jadi aku akan berceloteh dan berkongsi secebis kenangan ketika zaman kanak-kanakku di kampung....

Sebenarnya, aku agak lasak juga sebagai kanak-kanak kampung. Aku dibesarkan di sebuah kampung yang tidaklah begitu jauh dari bandar Kota Bharu. Pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an, bilangan rumah belum banyak.

Berhampiran rumah kami, ada kawasan semak atau 'ghok' di sana-sini (mini jungle). Masih kuingat lagi, the bushes was my playground. Bersama-sama seorang kakak (setahun lebih tua) dan seorang adik (dua tahun lebih muda) kami meneroka setiap inci 'kawasan ghok' itu. Ada tumbuhan tertentu yang jadi 'makanan ringan' kami...

Dulu, di tapak rumah Pok Muda Leh sekarang, ada pokok pisang, pokok setol dan pokok keriat. Dekat jalan raya ada 'ghok' (bushes). Dalam 'ghok' tu ada pepohon renek seperti pohon buah cenerai/ kenerai, (buah yang kecil berwarna hijau, kadang-kadang dijadikan peluru for our bamboo gun), pohon mata ayam (ardisia crispa) dan pokok kandis (garcinia spp.). Kami selalu kutip pucuk kandis. Setelah dipetik, terus kami masukkan ke dalam mulut dan kunyah. Yarghh... its really sour untill you can feel the pulling effect at your jaw. Macam kunyah a bubble gum... you suck the liquid and spit out the hampas. One thing i really don't like about this pucuk kandis is, it will give you a bitter taste that last for quite sometime.

Buah mata ayam dan buah kerian juga biasa kami makan. Buah mata ayam warnanya merah. Kalau tak silap, rasanya agak manis kelat-kelat sikit. Ingat-ingat lupa... (Pucuknya boleh juga dibuat ulam untuk nasi kerabu campur dengan daun samak) Pokok buah kerian pula ada di tepi jalan raya depan rumah Pok Long (sebelah rumah nenek), dekat juga dengan rumah kami. Bentuk buah kerian bulat dan saiznya kecil aje, warna hijau kemerahan masa putik, dan bertukar menjadi warna hitam bila dah masak ranum. Bila makan, gigi jadi merah kehitam-hitaman.

Tak tahulah apa istimewanya buah-buah itu, tapi itulah dunia kami semasa kanak-kanak. seghik-seghik main dale ghok....(Makanan ringan /junk-food seperti hari ni belum banyak dalam pasaran. Sebab itulah orang dulu-dulu susah jatuh sakit; tahan lama...) Kini, semuanya dah tak ada. Kalau ada pun, kanak-kanak pada zaman serba moden ni dah tak pandang lagi buah yang suatu ketika dulu jadi 'makanan ringan' kita.

Cukup dulu, nanti bersambung lagi....


Saturday, June 4, 2011

Terubat sudah rinduku....

Walaupun hampir saban bulan aku pulang menjenguk kampung halamanku, tetapi kerinduan itu tetap singgah tanpa diundang.

Kini, aku sudah pun berada di kampung kelahiranku. Kampung Kota atau juga dikenali dalam kalangan generasi terdahulu sebagai Kg. Wakaf Sena. Pulang ke desa kelahiran pada musim cuti begini lebih bermakna kerana adik-adik yang lain juga turut bercuti. Kami berkumpul ramai-ramai di rumah Mama sambil berkongsi cerita zaman kanak-kanak yang sudah sekian lama ditinggalkan.

Kampung halaman adalah bingkai kenangan dan harapan yang tidak pernah usang. Selalu kuat menahan erat gambar rangkaian perjalanan kehidupan. Betapa jauh sekalipun seseorang itu merantau, di sudut hati pasti akan kembali ke kampung halaman jua. Seolah-olah telah terpikat dan tidak bisa melompat, memudar hasrat.

Kembali ke kampung halaman, mengimbau memori kala bersama leluhurku yang makin hari kian jauh meninggalkan dunia yang fana ini.... Ah... rindunya aku ... Che Yusof, Mok Lijah, Che Daud....Papa, Mama, Mek dan semua yang sentiasa dekat di hatiku....

Terpahat dalam memori, rakan-rakan sepermainan.... sama-sama berlari meniti permatang sawah, menangkap belalang kala musim menuai sudah berakhir... bermain bola 'kaki tiga' dan 'bola wa' dengan penuh gaya... berkejaran bermain 'to jail'. Sering kali juga bersama adindaku Noni menyusuri tali air melihat ayahanda saudara yang kami panggil Che' Abe, menjala ikan atau menangguk udang.... Semua itu hanya tinggal kenangan.

Di manakah semua kawan-kawan sepermainanku kini berada....?


Sesekali pulang ke kampung, teringat akan sepat dan puyu yang digoreng garing oleh Mama, dimakan dengan nasi panas berasap... tapi kini, sepat dan puyu sudah kian pupus, tidak seperti zaman kanak-kanak kita dahulu....yang ada kini ialah sepat dan puyu yang dibela di dalam kolam; tidak sama dengan puyu yang diserkap di bendang tika airnya kian mengering...!

Di antara kota yang telah menjadi saksi perjalanan kisah, kampung halaman akan tetap ramah untuk menumpahkan kerinduan yang indah. Meski hanya sesekali dijengok, tetapi kampung halaman takkan merengek. Kampung halaman tetap menanti kita kembali, untuk diinjak, meski hanya berpuluh hentakan kaki.

Pulang ke desa kelahiranku, sesekali terasa ingin berlari tanpa alas kaki di atas tali air atau di sepanjang permatang sawah. Tersenyum pada awan biru yang terhias kepakan sayap merpati, nuri dan sejenisnya. Bukankah kedamaian ada di sini, di hati yang berbisik mesra pada hembusan angin,

“Tuhan betapa indah dunia-Mu.”

Lalu rasa lelah pun dibasuh, dengan air jernih yang masih tersisa. Di sana, di kampung halaman.



Thursday, June 2, 2011

Cuti Sekolah, Bekwoh & Bla rock....


Setiap kali musim cuti sekolah, banyak sekali majlis kenduri kahwin atau bekwoh @ 'big work'.

Beberapa majlis kenduri kahwin kerabat terdekat sudah ada dalam catatan diari kami.
Ada yang sudah dimaklumkan, mungkin ada yang hanya diketahui setelah pulang ke kampung halaman tercinta.

Hari ini, 2hb Jun, kami akan ke majlis kenduri kahwin anak sahabat suami di Pengkalan Chepa. 3hb Jun pula kenduri kahwin puteri kepada sepupu MIL @ hubungan dua pupulah dengan kami, yang tinggal di Kg Laut, KB.

Pada 6hb Jun kami dijemput ke majlis kenduri kahwin adik Kak Moh di Kg. Kuala Tiga, Tanah Merah - Kak Moh ialah pengasuh anak-anak saya semasa mereka kecil hampir 20 tahun yang lalu....


Tuesday, May 31, 2011

seketika di SIC : Pengetua (2)....


Mulai Januari 1980, SIC menerima seorang pengetua baru. Beliau ialah Encik Ahmad Merican Othman. Sebelum pindah ke SIC, beliau menjadi pengetua di SIS Pasir Mas. Encik Ahmad Merican memang tersohor dengan penglibatan yang aktif dalam bidang sukan, terutama sekali olahraga.

Beliau yang memiliki "smilling face" sentiasa tersenyum, peramah tetapi tegas orangnya. Sewaktu perhimpunan mingguan, beliau sering menegaskan
tentang konsep "sense of belonging" dan melarang keras pelajar daripada memijak rumput di kawasan persekitaran sekolah.

Sepanjang 2 tahun di bawah pimpinan beliau, ada beberapa peristiwa yang masih segar dalam ingatan. Dalam mengejar kecemerlangan akademik, beliau dalam masa yang sama memberi galakan kepada pelajar SIC untuk terlibat dalam
pelbagai aktiviti di luar bilik darjah. Pada tahun-tahun 1980-an, aspek kokurikulum belum lagi diberi keutamaan seperti hari ini, tetapi beliau ketika itu sudah berpandangan jauh tentang aspek ini. Penglibatan dalam aktiviti luar bilik darjah dapat menanam keyakinan diri yang tinggi dalam diri seseorang pelajar.

Pada pertengahan tahun
1980, pelajar Lower Six telah terlibat dengan projek kajian soal selidik Bandar Kota Bharu di bawah MPKB. Program yang diselia oleh consultant dari Australia / New Zealand ...(?) ini memerlukan "pekerja tanpa gaji" yang dibayar sedikit elaun untuk menjalankan kaji selidik untuk meluaskan kawasan bandar Kota Bharu. Tuan Pengetua memberi sokongan moral yang tinggi dan sebahagian besar pelajar Ting. 6 Rendah terlibat.

Kami menjalankan projek ini pada cuti sekolah bulan Jun selama 2 minggu yang kebetulan jatuh pada bulan puasa. Kami secara berpasangan akan berjalan dari rumah ke rumah mengikut kawasan yang telah ditetapkan. Menandakan setiap rumah di dalam peta kosong yang ada di tangan kami lokasi rumah-rumah tersebut. Menyatakan jenis rumah dan setiap 10 buah rumah, kami perlu menemubual seorang tuan rumah/ penghuni / isi rumah menggunakan senarai questionaire yang telah disediakan.

Projek ini melibatkan kawasan yang agak luas... sehingga ke Pulau Panjang, Pulau Gorek di Sabak dan jalan da
ri Tapang ke Panji ketika itu masih jalan tanah merah).... Kawasan ini kemudiannya menjadi kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu. Seronok kerana mendapat banyak pengalaman bertemu dengan pelbagai ragam manusia....

Pada tahun 1981, Kelantan menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga MSSM yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad ke-IV. Saya ketika itu sudah berada di Ting. 6 Atas. Acara sukan dijalankan pada waktu sekolah, bukannya pada masa cuti seperti sekarang. Encik Ahmad Merican yang terlibat secara langsung dengan kejohanan tersebut dan kebetulannya ramai atlet dari SIC yang mewakili negeri (salah seorang daripadanya ialah Jeffery Mohd Nor) meminta beberapa pengawas SIC menjadi reporter di sepanjang kejohanan tersebut. Ketika itu murid Tingkatan 6 Rendah belum masuk lagi, pengawas perempuan hanya di Tingkatan 6 Atas, jadi mahu tidak mahu pengawas perempuan yang hanya beberapa orang itu, bersama beberapa orang pengawas lelaki (T6 dan T5) terlibat sebagai 'wartawan' di bawah bimbingan Encik Mahmud Rail (Cikgu Mahmud), yang juga seorang wartawan sambilan.

Kami beroperasi di SM Sains Kelantan. SM Sains Kelantan menjadi kem / asrama untuk para atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut. Setiap hari kami perlu berada di stadium dan bebas berada di trek / padang untuk menemu bual atlet dari seluruh negara yang m
engambil bahagian. Bahan berita tadi akan dimuatkan dalam 'news letter' khusus untuk Kejohanan tersebut. Jadi, di sepanjang kejohanan tersebut, kami tidak perlu hadir ke sekolah atas kebenaran Pengetua, dan pengetua sendiri bertugas di stadium....!

Pada tahun 1981 juga Badan Pengawas SIC dan SMZ diminta bertugas untuk Pameran Diraja yang diadakan di Istana Jahal... kini muzium Diraja. Kami bertugas secara bergilir-gilir dari 8.00 pagi hingga 10 malam. Pengawas SIC ditugaskan pada sebelah petang hingga malam, jadi pada sebelah pagi kami diberi kebenaran oleh Pengetua untuk tidak hadir ke sekolah. Saya sudah lupa berapa hari pameran ini berlangsung....


Walaupun kami bakal menduduki peperiksaan penting, iaitu STP dan SPM, namun Tuan Pengetua percaya semua itu tidak akan men
jejaskan prestasi kami dan terbukti keputusan peperiksaan awam 1981 adalah yang terbaik pada masa itu....

Kami melalui zaman persekolahan dengan penuh warna-warni dan sangat indah untuk dikenang pada era Encik Ahmad Merican sebagai Pengetua SIC.

Pengalaman lain, ialah ketika saya menjadi Setiausaha Badan Redaksi 'The Kijang 1981'. Saya perlu "mengadap" beliau untuk memastikan surat yang hendak dihantar kepada Menteri Pelajaran, Pengarah Pelajaran Negeri, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah dan YDP PIBG bagi mendapatkan kata alu-aluan, ditulis dengan betul dan mengikut prosedur/ protokol. Beliau agak cerewet (yang tepat adalah teliti...) dalam hal ini dan saya belajar sesuatu daripada beliau. Perlu teliti dan kemas dalam melakukan sesuatu tugasan untuk mendapat hasil yang terbaik.

Encik Ahmad Merican meninggalkan SIC pada Jun 1982 dengan satu penanda aras tertentu untuk diteruskan oleh pemimpin sekolah selepas itu....

Semasa saya bertugas di KL, beliau menjadi Timbalan Pengarah JPWP KL pada awal tahun 1990-an. Surat makluman penerimaan APC dalam skim SSB bagi tahun 1993 yang saya terima ditandatangan oleh beliau. Kali terakhir bertemu beliau ialah semasa saya mengikuti kursus PTK DG44 tahun 2006 di Kota Bharu. Beliau yang menyampaikan ceramah "Wawasan Pendidikan Negara", masih kelihatan bertenaga dan bersemangat seperti zaman saya di SIC...


....sedar tak sedar, rupa-rupanya sudah 3 dekad saya meninggalkan SIC....


Foto : 1) Gambar dua orang Pengetua SIC
2)
Sidang Redaksi "The Kijang 1981"....


Sunday, May 29, 2011

seketika di SIC : Pengetua (1)....

Selama 4 tahun di SIC (1978 - 1981), saya berada di bawah pimpinan 2 orang Pengetua.

Pengetua pertama semasa saya di SIC ialah Encik Yusof Abdullah, yang menjadi Pengetua SIC mulai Ogos 1977 hingga Disember 1979.


Ada beberapa kenangan yang masih terlekat dalam ingatan...

Saya masih ingat lagi secebis kisah pada tahun 1978... ketika itu, Almarhum DYMM Sultan Yahya Petra baru sahaja dilantik sebagai YDP Agong. Sekitar pertengahan tahun 1978, baginda berangkat pulang ke Kelantan buat pertama kalinya setelah menjadi YDP Agong. Satu upacara sambutan besar-besaran diadakan. Pelajar perempuan Tingkatan 4 dari beberapa buah sekolah di sekitar bandar KB (SIC, SMZ, SMKB, SMIP, Puteri, Maktab Kadir Adabi...) dipilih untuk menjadi penyambut (agaknya mereka ini akan berbaris di sepanjang laluan di lapangan terbang sambil menabur bunga rampai....!) dan pemilihan tersebut tentu sekalilah berdasarkan ciri-ciri tertentu.... cantik, tinggi, berkulit cerah (mungkin), dll....

Di SIC, Tuan Pengetua sendiri yang menentukan siapakah pelajar yang layak menyertai 'perbarisan' tersebut. Ini bermakna, beliau akan 'juri' dan melihat terlebih dahulu calon yang bakal dipilih. Salah seorang sahabat saya yang terpilih yang mempunyai ciri-ciri yang diperlukan ialah CHE NORIZAM ISMAIL. Saya ingat lagi, mereka dikehendaki memakai baju kebaya labuh berwarna merah dan berkain songket.

Semasa saya di Tingkatan 5 (1979), beliau mengajar kami subjek Sejarah. Jarang-jarang beliau sempat masuk ke kelas kerana banyak terlibat dengan urusan pentadbiran dan mesyuarat yang perlu dihadiri oleh beliau. Seingat saya, ketika itu beliau hanya sempat mengajar Bab 1, iaitu Sejarah Indonesia, itupun bahagian awal... VOC, Sultan Agong, Amangkurat I, Amangkurat II... Hamangubuwono, Perang Jawa dll.... nota pun hanya beberapa muka surat... Jadi, untuk mengatasi defisit pembelajaran, kami perlulah berusaha sendiri untuk menghabiskan tajuk-tajuk dalam buku teks yang padat dengan tulisan dan amat tidak menarik itu....!

Beliau yang saya ingat, mempunyai ciri-ciri seperti seorang 'bapa' kerana mungkin kerana beliau sudah agak berumur ketika itu. Ketika itu beliau baru sahaja menamatkan zaman solonya. Dari pandangan mata kasar, kita nampak beliau seperti kurang mesra dan agak tegas, tetapi apabila kita mengenali beliau dengan lebih dekat, sebenarnya beliau seorang yang penyayang dan suka juga bercerita. Bercerita tentang kisah hidup beliau yang sarat dengan pengalaman.....

Masih jelas dalam ingatan, dulu selalu juga ketika beliau masuk ke kelas pada waktu subjek Sejarah, banyaklah majalah yang (dibawa dari rumahnya) diedarkan kepada kami. Pelbagai jenis majalah yang kebanyakannya berbahasa Inggeris. Majalah itu tidak perlu dipulangkan. Diberi terus kepada kami. Terlintas juga difikiran nakal anak remaja....
".... ini sudah tentu suri hidupnya hendak melupuskan semua majalah yang banyak terdapat di rumahnya itu... sebelum ini, beliau hidup bersendirian, tidak ada sesiapa pun yang kisah. Pasti ruang kosong yang dahulunya diisi dengan majalah digantikan dengan peralatan rumah yang baru.....!"
Jadi, waktu Sejarah, kami habiskan dengan membelek-belek majalah....!

Kalau saya tidak silap, jika di luar waktu bekerja, atau ketika datang meninjau sekolah pada waktu petang, beliau suka memakai seluar pendek paras lutut, kembang dengan stokin panjang paras betis dan berkasut kulit... dengan paip @ pipa yang tidak pernah lekang di bibirnya itu, beliau kelihatan sangat klasik, seperti "manager estet" zaman colonial....sangat unik nostalgia ini.

Tuan Hj Yusof berkhidmat di SIC sehingga Disember 1979 dan kemudiannya berpindah ke SMK Mahmood Muhyidin, Pasir Pekan mulai awal 1980. Beliau digantikan oleh Encik Ahmad Merican Othman, seorang pengetua yang amat meminati bidang sukan....


Foto Badan Pengawas SIC 1979 : Tn Hj Yusof diapit oleh Cikgu Mokhtar dan Cikgu Alias....ada bersama di barisan hadapan ialah Pak Yew Pun, Nik Hafiez, Fauzi Hanipi....




Friday, May 27, 2011

seketika di SIC (4)



bersambung lagi....

Guru yang mengajar kami semasa Tingkatan 5 pula, antaranya ialah Cikgu Wan Zakaria, Cikgu Jaswant Kaur, Mr. Tanimalai, Mr. Yeap, Ustaz "Sodok".... (lupa nama beliau), Mr. Murkherjee, Cikgu Farid, dan beberapa orang lagi... rupa masih jelas dalam ingatan tetapi sudah tidak ingat nama mereka...

Guru BM semasa di Tingkatan 5 ialah Cikgu Wan Zakaria. Orangnya sederhana tinggi, sesuai dengan saiz badannya yang tidak besar, berkumis nipis dan sentiasa kelihatan ceria merupakan seorang jurulatih pasukan bola sepak sekolah. Mudah tersenyum dan jarang sekali melihat beliau 'naik darah' dengan murid-muridnya.... Beliau berulang alik ke sekolah dari rumahnya dengan kereta fiat berwarna coklat tua. Selepas hampir 15 tahun meninggalkan SIC, saya bertembung sekali dengan beliau ketika sama-sama membeli pisang goreng di sebuah gerai dekat dengan bulatan Wakaf Hj Abdulah, Kota. Beliau bersara sebagai seorang Pengetua di sebuah sekolah di Wakaf Baru.

Jika Cikgu Zaiton mengajarkan Geografi semasa kami Ting 4, subjek tersebut diambil alih oleh Ms Jaswant Kaur semasa kami di Tingkatan 5. Masih terbayang senyuman manis yang sentiasa menghiasi bibir beliau menjadikan kami tidak jemu untuk menunggu beliau masuk ke kelas. Gaya pengajaran beliau yang santai dan mudah difahami amat menarik dan menjadikan kami sangat meminati subjek yang diajar. Dengan sehelai kertas di tangan, sebatang kapur terselit di jari, beliau akan melakar peta atau lokasi yang diajar. Peta negara Jepun, India, dll... Banjaran Appalacian di kawasan Red Indian, yang memisahkan pantai timur dengan rangkaian tasik besar di Canada - Amerika seperti Tasik Erie, Huron, Michigan, Ontario dan Superior, dan padang rumput Midwest... dilakar serta diterangkan dengan jelas sekali.... asyik kami mendengar setiap butiran yang keluar daripada kedua-dua bibirnya yang mongel itu.... Kemudian, Ms Jaswant Kaur berpindah ke sebuah sekolah di Subang Jaya.

Guru Modern Maths kami semasa di Ting. 5 ada dua orang. Pada mulanya kami diajar oleh Cikgu Farid. Seorang yang berbadan kecil dan sederhana tinggi, berkaca mata bulat yang nampak seperti tertenggek di atas hidungnya.... agak mesra dengan kami. Kadang-kadang ada juga waktu yang membuatkan beliau 'naik angin' jika terdapat murid yang tidak siapkan kerja rumah/ tidak hantar buku latihan yang diberi.... Kemudian, Cikgu Farid telah melanjutkan pengajian peringkat ijazah di UTM, Jalan Gurney (kini, Jalan Semarak), KL.

Sepeninggalan Cikgu Farid, kelas Modern Maths kami digantikan oleh Mr. Tanimalai. Guru yang berasal dari Alor Setar ini kurus orangnya. Berambut ikal, mudah tersenyum dan mudah mesra. Suaranya jelas dan lantang ketika mengajar.

Saya sudah hampir lupa nama-nama guru yang mengajar komponen subjek Science, kecuali Mr. Yeap. Mr. Yeap mengajar kami Biology. Yang saya ingat tentang Mr. Yeap, beliau agak kurus dan badannya kelihatan melengkung (seperti tidak ada perut....), matanya yang sedikit juling itu sentiasa berkelip-kelip (orang lain pun berkelip juga, tapi beliau ni unik sikit..) Beliau kemudiannya berkahwin dengan Ms. Lee - guru English semasa saya Ting. 1 di SM Kota.... Beliau juga adalah antara guru penasihat 'The Kijang' semasa saya menjadi salah seorang ahli Badan Redaksi The Kijang pada tahun 1981.

Nama dua orang guru wanita yang mengajar kami Chemistry dan Physic, kalau tak silap, Ms. Lim dan Ms Goh.... (betul ke..?).

Ya, baru saya ingat, Ms Lim dan Ms Goh, baru keluar dari universiti ketika itu, masih muda dan ini merupakan 'first posting' untuk mereka. Ms Goh mengajar kami Chemistry sejak di Ting. 4 lagi dan terus sambung ke Ting. 5. Saya masih ingat bagaimana Ms Goh mengajar topik molecules - solid, liquid and gas semasa Form 4, kena lukis dalam buku nota bentuk molecule tersebut.... ah, tiba-tiba sahaja teringat akan senyuman Ms Goh yang berkaca mata, berambut lurus potongan 'bob' paras leher itu. Orangnya lembut dan comel. Beliau selalunya sudah siap berada di meja guru yang panjang dan tinggi itu di makmal. Kami mengambil sedikit waktu kerana jarak antara kelas kami dengan makmal agak jauh. Apatah lagi kalau jalannya bersantai makan angin.... Kami menggunakan makmal di tingkat bawah bangunan blok baru, iaitu bangunan 4 tingkat yang dikhaskan untuk murid Ting. 4 & Ting.5 aliran Sains....


Seorang lagi guru yang masih saya ingat ialah
Mr. Mukherjee. Wajah dan perawakan beliau seperti "Orang Putih". Kalaulah nama beliau Mr. Donald ke, atau Mr. Wilson ke, atau Mr. Hall ke, pasti sah, beliau berbangsa Inggeris. Beliau berkaca mata berbingkai tebal dan kelihatan sudah agak berumur.

Mr. Mukerjee mengajarkan subjek Seni Lukis.
Beliau sentiasa berada di bilik seni yang juga menjadi 'pejabat' beliau yang letaknya di tingkat 1 bangunan warisan SIC berhampiran Dewan Besar.... (di bawahnya ialah makmal sains tulen, untuk murid Form Six Science, rasanya). Kadang-kadang jika berjalan sorang-sorang melalui lorong dan menaiki tangga menuju ke bilik beliau itu, terasa seperti ada sesuatu yang mengekori kita.... meremang bulu roma.... lebih-lebih lagi kalau waktu petang yang lengang dan sunyi. Ah, mungkin itu hanya perasaan saya, orang yang tak berapa kuat semangat....!

Mr. Mukherjee memang seni orangnya.... beliau mengajar kami dengan tekun, sabar dan teliti.

Saya masih ingat lagi, semasa Form 5 tugasan amali kami adalah menghasilkan batik di atas kain cotton sepanjang 2 meter. Kaedah yang digunakan ialah kaedah stensil. Guna frame yang telah dilekatkan corak yang kita hasilkan sendiri di atas kepingan kertas berlilin, (apa nama benda tu, lupalah...). Kita gunakan seterika untuk melekatkan bahan tersebut pada frame. Ada tema yang telah ditetapkan.

Ketika itu, hanya 3 atau 4 orang murid 5A5 yang tidak mengambil kertas Seni Lukis semasa MCE 1979. Jadi, ketika kami berada di Bilik Seni lebih kurang 2 jam (3 waktu) pada setiap hari Rabu, rakan kami yang bertiga/ berempat itu akan berada di bilik darjah dengan aktiviti sendiri....! Semasa saya di Tingkatan 6, Mr. Mukherjee mengajar kami subjek English... kami belajar English di Bilik Seni....


Rasanya, cukup dahulu buat sementara.... bersambung nanti kenangan bersama barisan pentadbir SIC ketika itu, Mr. Jerome, Encik Yusof dan En. Ahmad Merican....

Foto (1) Mr. Tanimalai, Mr. Yeap, Ms. Lim (?), 1979
Foto (2) Mr. Mukerjeee dan En. Ahmad Merican mengiringi DYMM Sultan dan Raja Perempuan di bilik pameran seni sempena Speech Day 1981....



Thursday, May 26, 2011

seketika di SIC ...(3)


Sementara bulan Mei masih berbaki, biarlah saya menyambung nostalgia bersama insan yang banyak berbakti kepada kita suatu ketika dahulu di SIC....

Selain Mrs. Siew @ Mdm Lim, beberapa orang guru yang mengajar saya semasa Tingkatan 4 ialah Cikgu Rosni Yusof, Cikgu Alias, Cikgu Mokhtar, Cikgu Abdul Rahman, Cikgu Zaiton, dan Mrs Ganesan.

Guru yang mengajar kami semasa Tingkatan 5 pula, antaranya ialah Cikgu Wan Zakaria, Cikgu Jaswant Kaur, Mr. Tanimalai, Mr. Yeap, Ustaz "Sodok".... (lupa nama beliau), Mr. Murkherjee, Cikgu Farid, dan beberapa orang lagi... rupa masih jelas dalam ingatan tetapi sudah tidak ingat nama mereka...

Kenangan bersama mereka masih lagi tersisa di minda. Kadang-kadang ingatan itu muncul tiba-tiba dan pergi tanpa diduga....sehingga sukar dikutip untuk diabadikan dalam album kenangan....

Semasa di Tingkatan 4, Cikgu Rosni mengajar kami Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu . Sebenarnya, ketika itu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, diajar oleh dua orang guru yang berlainan. Puan Rosni mengajar aspek puisi. Sajak pertama yang diajar oleh beliau ialah sajak PERTEMUAN, manakala bahagian prosa pula diajar oleh Cikgu Alias. Teks sastera yang kami pelajari ketika itu ialah "PULANGLAH PERANTAU" karya Aziz Jahpin dan "HIKAYAT INDERAPUTERA". Cikgu Alias kemudiannya mengajarkan subjek Kertas Am ketika saya di Tingkatan 6 Atas. Saya masih ingat lagi, ketika itu Cikgu Alias tinggal di kuarters kerajaan bersebelahan SMZ yang kini merupakan lokasi pejabat PPD Kota Bharu.

Cikgu Abdul Rahman juga mengajar saya semasa di Tingkatan 4, tapi lupa mata pelajaran yang ajarnya. Yang saya ingat, beliau aktif "berceramah politik" ketika itu, maklumlah pada tahun tersebut diadakan pilihan raya umum di negara kita....Beliau yang berkulit putih, bercermin mata gelap dan agak sederhana tinggi itu merupakan antara guru disiplin sekolah yang digeruni oleh murid-murid lelaki.

Cikgu Mokhtar pula mengajar kami subjek Sejarah semasa di Tingkatan 4. Seorang yang mudah mesra dengan murid-muridnya. Semasa berjalan menuju ke kelas, dari jauh kami sudah dapat mendengar heretan kasutnya yang sudah agak lusuh itu. Beliau seorang yang simple, dan suka menyimpan misai yang kadang-kadang sekali imbas seperti hero hindustan....!

Saya masih ingat lagi, pada suatu ketika lewat hujung 1978, kami perhatikan Cikgu Mokhtar seperti dirundung masalah. Beliau yang suka berseloroh secara spontan, tiba-tiba keceriaan di wajahnya hilang dan menjadi pendiam. Rupa-rupanya, kami mendapat tahu kemudiannya, bahawa ketika 'saat' itu, beliau dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan baru. Beliau berkahwin dengan Cikgu Nasreen....warden asrama Puteri SIC, berbangsa Pakistan, mempunyai rupa paras yang menawan, halus tutur kata walaupun kurang fasih berbahasa Melayu...tapi agak garang....saya tidak pernah melihatnya memakai pakaian lain selain saree.. Cikgu Mokhtar kemudiannya menjadi guru Sejarah semasa saya di Tingkatan 6 Atas. Akhir tahun 1999, saya pernah bertemu secara tidak sengaja dengan Cikgu Mokhtar di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa... beliau masih ingat beberapa nama muridnya walaupun telah lama meninggalkan SIC....

Cikgu Zaiton pula mengajar kami subjek Geografi semasa di Tingkatan 4.

Mrs Ganesan mengajar kami Biology... yang paling saya ingat tentang Mrs Ganesan ialah beliau sering memakai sari. Rambut beliau yang ikal paras bahu di sesuaikan dengan cermin mata berbingkai tebal yang menjadi trend ketika itu menampakkan beliau seperti agak berumur.... Saya tidak pasti berapa umur Pn. Ganesan ketika itu, tetapi beliau kelihatan sangat "keibuan" dan penyayang....

Ada beberapa orang lagi guru yang mengajar saya ketika di Tingkatan 4, yang masih terbayang-bayang wajah mereka di ingatan. Tetapi sayang sekali, buat ketika ini, saat saya sedang mengetuk papan kekunci ini, saya tidak dapat mengingati mereka, sedangkan suatu ketika dahulu nama-nama itu bermain-main di bibir mulut....

Inilah hakikat yang perlu kita terima. Nikmat yang Allah pinjamkan kepada kita sudah sedikit demi sedikit diambil semula.... Dalam usia yang sudah menghampiri setengah abad ini, saya terasa seperti ada sesuatu yang sudah hilang....

....jika ada kesempatan, akan bersambung dengan kenangan bersama-sama guru Tingkatan 5 pula....

Foto : 1) Cikgu Mokhtar (1979)
2) Cikgu Abdul Rahman dan Cikgu Alias (1978)