Wednesday, June 29, 2011

Bemban dan Sembang-sembang pagi...

Sebenarnya, jarang-jarang kami berkesempatan bersembang antara satu sama lain, kecuali jika berkebetulan bertemu di kantin....



Pagi tadi, saya bersama Megawati, Ekelida, Suhana, Zulfazila dan Marina kebetulan berada di meja yang sama. Sambil menjamah sarapan (sebenarnya 'brunch' - breakfast + lunch), keluarlah pelbagai topik sebagai selingan mengisi 'ruang waktu' di meja makan. Bermula dengan cerita ikan patin... lepas tu tentang keenakan 'ikan darat', seperti sepat, keli, pepuyu yang suatu ketika dahulu terdapat di baruh atau bendang selepas musim menuai atau semasa musim menanam padi'; bukannya yang dibela di dalam kolam...!

Kisah ikan hilang begitu sahaja, dan timbul pula cerita buah-buahan 'kampung' yang sering menjadi 'makanan ringan' kami ketika zaman kanak-kanak, sambil bermain-main dengan rakan-rakan sekampung...ada cerita tentang buah kerian, sentol, sekiat, larak, buah kemunting, jambu biji berwana merah jambu, dan lain-lain. Panggilan buah ini mungkin berbeza mengikut tempat. Dalam bercerita tentang buah-buahan nadir itu, keluarlah pula cerita tentang pohon bemban.


Mega kata, dia tidak biasa dan tidak berapa kenal pohon bemban....mungkin faktor persekitaran rumahnya yang bercirikan urban tidak sesuai dengan pohon bemban. 

 
Nama saintifik pohon bemban ini ialah Donax Grandis. Bemban merupakan sejenis tumbuhan berumpun dengan batang yang kelihatan seakan-akan pokok buluh. Daunnya yang agak besar dan berbentuk oval itu mempunyai permukaan yang cantik berkilat. Batangnya tinggi dengan daunnya terletak di bahagian hujung batang. Bunganya berwarna putih dan menghasilkan bau wangi yang tidak kuat. Buahnya berbentuk bulat dan bersaiz kecil. Bemban mudah membiak melalui anak yang terhasil dari rumpunnya dan boleh dibiakkan melalui pecahan rumpun.

Saya masih ingat lagi, nenek gunakan kulit batangnya yang telah dibelah nipis untuk menjahit atap rumbia. Selain itu, ia juga boleh dianyam untuk dijadikan bakul. Perkataan bemban itu sendiri memberi maksud perangkap ikan sesuai dengan kegunaan batangnya yang boleh dianyam dan digunakan untuk menangkap ikan.

Saya juga pernah melihat nenek menggunakan kulit batang pokok yang telah dibelah, untuk mengikat anak-anak pokok padi atau kami panggil semai supaya senang dibawa ke petak semaian. Tapi sekarang zaman sudah berubah... orang dah tak pakai cara ni lagi. Petani-petani sekarang sudah tidak tanam anak padi, sebaliknya terus tabur benih padi di petak semaian. 

Bemban juga merupakan habitat utama bagi kelip-kelip. Ia juga sesuai dijadikan tumbuhan hiasan yang memaparkan ciri-ciri tropika.

Dulu, pohon bemban ini banyak terdapat di belakang rumah Mama, bersebelahan telaga We Tok Mek (nenek Mama). Pohon bemban ini menjadi sempadan antara rumah Mama dengan telaga tersebut. Kami selalu gunakan batang bemban ini untuk dijadikan senapang mainan... Daunnya yang agak lebar itu boleh digulung untuk dijadikan serunai. Serunai daun bemban menghasilkan bunyi yang merdu dan menjadi permainan kanak-kanak kampung.
Kami mulakan sembang-sembang pagi dengan imbauan kenangan zaman kanak-kanak... dan diakhiri dengan isu semasa yang menjadi bualan warga Kuantan, iaitu isu Lynas....

Thursday, June 23, 2011

khabar di angin lalu....


Pagi tadi, kami berkumpul di dewan sekolah untuk satu majlis bagi meraikan persaraan Ketua Bidang Bahasa SMKTP, Puan Yip Wai Lin yang telah bersara pilihan... usai majlis, saya terus ke kelas 3K8.

Kelas berakhir pada pukul 9.50 pagi dalam perjalanan ke bilik guru, saya singgah di pejabat untuk bertemu GPK1. Ketika saya melewati pintu pejabat, seorang staf, Puan Zurina memanggil nama saya dan memberitahu bahawa pihak sekolah telah menerima panggilan daripada seseorang yang ingin bercakap dengan saya. Sudah dua kali panggilan itu diterima.


Sambil menghulurkan sekeping kertas yang mempunyai catatan ringkas, Zurina dengan bersungguh-sungguh mengingatkan saya...

"Kak Ros, telefon segera ye, Dia kata, kawan lama Kak Ros. Sudah dua kali dia telefon. Petang semalam, Kak Ros dah balik, dan pagi tadi kawan lama Kak Ros ni buat panggilan lagi... nanti dia kata saya tak beritahu pula....telefon terus, ye"


Sebaik sahaja melihat catatan ringkas itu, saya terus dapat mengagak... seingat saya, seorang sahaja sahabat saya yang bernama NIK MOHD FAUZI... sahabat saya itu anak kepada Nik Mustapha, kerani sekolah semasa kami di SRJK (I) Kota hampir 4 dekad yang lalu.... berasal dari Kg. Surau Kota. Saya pasti....

Tanpa melengahkan masa, sebaik sahaja tiba di bilik guru, tepat pukul 9.58 pagi, saya terus membuat panggilan ke nombor yang tercatat pada kertas putih itu. Alhamdulillah, panggilan saya berjawab dan kami mula menyingkap kenangan bersama rakan-rakan sekolah dahulu....

Nik Fauzi kini bertugas di KKTM Balik Pulau, Pulau Pinang setelah bersara daripada ATM....

Wednesday, June 22, 2011

Genap Suku Abad Usia Abe....

Pada 22 JUN dua dekad setengah yang lalu, pada usiaku hampir mencecah 24 tahun, aku mula bergelar 'Mak' dengan hadirnya Abe dalam hidup kami, yang kami namakan MOHD FARIS B. NAIN

Kami sangat bersyukur kerana dalam usia yang masih muda, kami sudah bergelar "Mak" dan "Ayah". Kehadiran Abe juga telah menceriakan lagi keluarga Papa dan Mama yang selama ini dikelilingi oleh 8 orang cahayamata yang kesemuanya puteri. Abe merupakan cucu pertama Tok Pa dan Tok Ma. Hadir seorang lagi putera dalam keluarga besar Papa, selain menantu pertamanya..., suamiku!

Abe hadir pada musim masyarakat dunia 'demam' bola sepak Piala Dunia. Kebetulan pada waktu itu, di Mexico berlangsung perlawanan Bola Sepak Piala Dunia kali ke-13 yang bermula dari 31 Mei hingga 29 Jun 1986. Aku masih ingat lagi, Abe selamat dilahirkan di rumah Mama tepat pukul 10.30 malam, beberapa jam sebelum perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia 1986.

Ini bermakna, suamiku yang baru beberapa jam bergelar "Ayah" tidak lagi diselubungi resah gelisah menunggu 'orang baru'; dapat duduk dengan selesa, di depan kaca televisyen untuk menonton perlawanan separuh akhir antara Jerman dengan Perancis yang diadakan pada pukul 2.30 pagi (waktu Malaysia). Piala Dunia 1986 dimenangi oleh Argentina yang telah mengalahkan Jerman 3-2, dan Diego Maradona dinobatkan sebagai pemain terbaik pada musim itu.


Untuk Abe,

Mak dan Ayah sentiasa mendoakan agar Abe terus tabah dan kuat menghadapi cabaran hidup. Perjalanan masih jauh dan panjang. Setiap yang Abe lalui merupakan ujian daripada Yang Maha Esa. Kita perlu redha dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan ini.

Abe, SELAMAT HARI JADI YANG KE-25, Semoga Abe akan terus diberkati Ilahi. Jangan lupa berdoa kepada-NYA, selalu ingat Allah s.w.t dalam apa-apa jua keadaan, susah atau senang.... Tingkatkan usaha untuk menggapai cita-cita demi masa depan...


Tuesday, June 21, 2011

Doa


"Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, aku benar-benar bersaksi bahawa Engkau adalah Allah, tiada Allah selain Engkau; Yang Maha Esa, Allah yang bergantung segala sesuatu, yang tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, yang tidak seorangpun setara dengan-Nya."

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu semua kebaikan, yang lalu dan yang akan datang, yang kuketahui dan yang tidak kuketahui.

Aku berlindung kepada-Mu daripada semua kejahatan, yang lalu dan yang akan datang, yang kutahu dan yang tidak kuketahui...

Aku memohon syurga kepada-Mu dan yang dapat mendekatkan aku ke sana, berupa perkataan atau perbuatan... dan aku berlindung kepada-Mu daripada neraka dan apa yang mendekatkan ke sana berupa perkataan atau perbuatan.

Aku memohon kebaikan kepada-Mu seperti yang diminta hamba dan Rasul-Mu, Muhammad, kepada-Mu... dan aku berlindung kepada-Mu, seperti Muhammad, yang memohon perlindungan kepada-Mu...

...dan aku memohon kepada-Mu urusan yang Engkau tetapkan bagiku agar Engkau menjadikan kesudahan yang sempurna."


Sunday, June 19, 2011

Selamat Hari Bapa, Papa....

Hari ini, 19 JUN 2011 - hari minggu yang ke-3 bagi bulan Jun - HARI BAPA diraikan di seluruh dunia. Sebenarnya, kita tidak perlu menunggu tarikh tersebut untuk meraikannya... ibu dan bapa perlu diraikan pada setiap masa sementara masih ada ruang waktu...

Peranan dan tanggungjawab seorang insan yang bergelar bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Walaupun bapa tidak pernah meminta balasan atas pengorbanannya, namun sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menghargai dan memberikan kebahagiaan kepada bapa yang dikasihi.

Insan yang bergelar bapa ini telah membesarkan kami dengan limpahan kasih sayang walaupun kehidupan kami sekeluarga agak sederhana...segala pengorbanannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata..! TERIMA KASIH, PAPA.

Selamat Hari Bapa juga ditujukan istimewa untuk AYAHANDA kepada putera puteriku. Seorang AYAH yang sentiasa prihatin dengan keperluan anak-anak dan kaya dengan kasih sayang. Terima kasih kerana menjadikan kami sangat bermakna dalam hidupmu.

Oleh itu, pada kesempatan sambutan HARI BAPA yang diraikan di seluruh dunia, anak-anak yang masih berpeluang menghargai BAPA mereka, jadikan hari istimewa ini antara hari yang membahagiakannya sepanjang hayat beliau... hargailah bapa kita pada setiap masa...


"...Papa, engkaulah segala-galanya untuk kami ...."


Friday, June 17, 2011

Tahniah, Adik....


Alhamdulillah, sekali lagi Adik mengulangi kejayaan yang cemerlang sebagaimana semester yang lepas.... Semoga Adik akan terus berusaha dan sentiasa bersyukur.

Adik, dalam ghairah mengejar kejayaan di dunia, janganlah lupa pelaburan di akhirat. Ingat, jika kita sentiasa dekat dengan DIA, pasti kita akan sentiasa dilindungi, diberi petunjuk dan segala doa kita akan dimakbulkan.

Mak sentiasa doakan agar Adik akan berjaya dunia dan akhirat....

Foto : Konvo Nov 2010...


Thursday, June 16, 2011

Nikmat Hidup Satu Anugerah....


Nikmat dan anugerah yang kita kecapi dalam hidup ini terlalu banyak dan tidak terhitung.

Salah satu daripadanya ialah nikmat kesihatan, iaitu sihat tubuh badan dan fikiran. Dengan kesihatan yang baik, kita dapat melakukan pelbagai perkara dan menjalani kehidupan dengan sempurna sama ada untuk bekerja mahupun melakukan amal ibadat.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sekiranya kita mengalami masalah kesihatan, sudah pasti rutin seharian akan terganggu dan perlukan pengorbanan yang banyak...

Dalam meniti usia yang hampir mencecah setengah abad ini, adalah amat penting untuk menghabiskan masa yang berkualiti dengan ahli keluarga tercinta serta berusaha meningkatkan kualiti hidup pada setiap masa.

Semoga kita akan terus diberi kesihatan yang baik dan dapat meningkatkan amal ibadat kita serta meneruskan kerja-kerja harian tanpa sebarang masalah...

Bersyukur dan berdoa agar kita terus dilindungi...

Sunday, June 12, 2011

FOTO dan KENANGAN


Foto @ gambar memainkan peranan yang penting dalam hidup manusia.

Oleh sebab itu, ramai orang yang suka mengambil bermacam- macam gambar. Namun demikian, foto lama jugalah yang akan terus ditatap dan direnung, yang pasti dapat membangkitkan nostalgia, foto yang merakamkan pelbagai peristiwa untuk dikenang.

Saya memang suka menyimpan foto-foto lama. Sama seperti Mama, banyak gambar lama yang disimpan kemas di dalam album di rumah... Pernah suatu ketika, dalam pertengahan 1990-an, saya 'meminjam' foto hitam putih koleksi Mama untuk 'difotokan' semula... Gambar leluhur dan zaman kanak-kanak saya.

Awal 1990-an, teknik digital belum begitu popular di tempat kita... kalau adapun, susah nak dapat, apatah lagi kosnya tentulah tinggi. Masih saya ingat, gambar-gambar hitam putih itu saya hantar ke Kedai Gambar Gembira di Ampang (waktu itu saya menetap di sana). Foto yang Mama pinjamkan itu, perlu dikembalikan...

Walaupun saya mempunyai banyak koleksi gambar peribadi, tetapi banyak juga yang 'tercicir', daripada simpanan, terutama sekali foto-foto kenangan semasa di sekolah rendah. Dengan kemajuan teknologi moden hari ini, gambar-gambar ini dapat dikongsi dengan semua ahli keluarga dan kawan-kawan melalui alam siber.


Adakah anda mempunyai gambar-gambar kenangan? Mengapa hendak dikenangkan? Ayuh, mari kita kongsikan bersama....


Sebenarnya, gambar-gambar lama memudahkan kita untuk mengingati peristiwa lama dengan lebih tepat. Orang yang bersama dalam gambar dapat berkongsi memori. Tanpa gambar, kita cuma boleh mengolah imaginasi yang mungkin akan berubah mengikut kehendak. Lantaran itulah, pelukis seperti Michaelangelo, Leonardo da Vinci dll, melukis sesuatu mengikut imaginasi mereka dan bukannya berupa gambar benar.


Kenangan masa lalu terutamanya ketika zaman kanak-kanak, membawa ke alam persekolahan.... dan terus ke dunia remaja... cukup indah dan banyak yang manis...


Kini, ketika 'membuka-buka' FB, pandangan saya sering kali tertuju kepada banyak foto milik rakan-rakan lama dan bekas murid-muridku. Menatap foto-foto kenangan itu seolah-olah merenung dalam diri sendiri yang telah jauh merangkak usia menuju ke suatu destinasi yang abadi.

Menatap foto-foto lama yang dirakam bersama ahli keluarga atau rakan taulan, membuatkan saya terpaku, tersenyum penuh haru dan teringat kenangan yang lalu…

Foto lama, cermin peribadi, mengisi ruang waktu yang masih tersisa di sepanjang jalan pulang .... yang pasti akan dirindui dan tetap indah untuk dikenang...



Friday, June 10, 2011

Selamat Hari Lahir Anakanda....


Dulu, semasa anak-anak masih kecil, mereka sentiasa teruja untuk meraikan hari jadi. Setiap tahun, pasti kena beli kek b'day. Tak buat majlis pun tak apa. Kek mesti ada. Kalau tak, pasti ada yang 'mogok'!!! B'day Boy & B'day Girl sama saja.

Bila usia dah meningkat remaja, semuanya menjadi kenangan yang kadang-kadang mencuit hati. Hanya gambar yang dapat menceritakan segala-galanya...

Hari ini 10 JUN 2011, genaplah 24 tahun usia anakanda MOHD FAHMI NAIN...

"SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR, Emi "

Dalam masa terdekat ini Emi akan memasuki fasa baru dalam kehidupannya. Semoga Allah sentiasa menunjukkan jalan yang terbaik untuk kami dan dipermudahkan segala urusan....

Doa kami agar Emi sentiasa diberi keberkatan dan akan menjadi seorang anak yang soleh, berjaya mengejar cita-cita di dunia dan di akhirat.


Wednesday, June 8, 2011

Cuti sekolah dan getah


Lagi kenangan semasa cuti sekolah...

Dulu-dulu, semasa zaman sekolah rendah, cuti sekolah maknanya kami bebas bermain dan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu memikirkan kerja sekolah.

Bagi kami ketika itu, ada beberapa perkara yang berkaitan dengan getah. Pokok getah, susu getah, mesin getah, biji getah, main getah. Semua ini amat sinonim apabila tiba musim cuti sekolah. Cuti sekolah, buku pun turut 'bercuti'....

Pokok getah mengingatkan saya kepada Mok Lijah (nenek sebelah Mama) yang pernah menoreh getah (sebagai sumber pendapatan sambilan selain menanam padi). Saya juga sentiasa teringat kenangan bersama Che Daud (atuk sebelah Papa) yang pernah memiliki dan mengusahakan beberapa ekar ladang getah di Kuala Bertam, dekat Keroh, Kuala Krai. Kenangan ini akan saya kongsi dengan 5 orang adik, anak-anak saya, serta anak-anak buah yang tidak berpeluang melalui pengalaman 'indah' ini.

Nenek menoreh getah hanya pada luar musim menanam/ menuai padi. Getah yang ditoreh tidaklah banyak. Ada beberapa batang pokok berdekatan dengan rumah dan selebihnya di dusun/ kebun nenek berhampiran dengan tebing sungai. Nenek akan keluar awal-awal pagi lagi untuk menoreh, kerana susu getah lebih mudah mengalir pada waktu pagi. Pisau khas digunakan untuk menoreh lapisan kulit kayu getah. Ini dilakukan dengan teliti sekali supaya tidak merosakkan batang pokok getah. Torehan ini menembusi sel-sel pokok dan lateks akan mengalir dengan perlahan ke dalam mangkuk yang disediakan di bahagian bawah batang pokok. Lateks ini pekat dan putih. Ia kelihatan seperti susu. Lateks akan berhenti mengalir dalam masa 2 atau 3 jam.

Nenek akan pergi semula dari pokok ke pokok untuk menuang lateks dari mangkuk ke dalam baldi besar. Setelah dibawa pulang ke rumah, susu getah ini akan ditapis dan dimasukkan ke dalam takung (dibuat daripada tin minyak tanah dibelah menjadi 2) untuk dibekukan dengan campuran asid formik (cuka getah). Saya, Kak Roslena dan Noni akan mengelilingi tempat nenek membekukan getah ini. Setelah selesai, nenek akan membersihkan diri untuk solat Zohor, makan tengah hari dan berehat sekejab.

(Nota : Hari ini, saya dapati penoreh getah tidak lagi 'mengutip' susu getah dan dibekukan menjadikan kepingan getah, sebaliknya, susu getah dibiarkan beku dalam mangkuk dan dijadikan getah skrap. Dari segi kualiti / harga, getah keping lebih bermutu dan mahal harganya... Tidak pasti mengapa penoreh getah hari ini memilih untuk menjadikan getah skrap!)

Apabila susu getah telah menjadi beku, kami bertiga akan ikut nenek ke bangsal mesin getah. Pada masa itu tidak ramai penduduk di kg saya yang mempunyai mesin getah. Nenek guna sering mesin getah di rumah Tok Nik Weil (Tok Guru ngaji Quran kami) yang letaknya hampir 1 km daripada rumah kami. Kami berjalan kaki beramai-ramai ke sana ikut jalan belakang/ dalam kampung. Nenek akan menjunjung 2 buah takung yang berisi getah yang telah beku.

Sampai di bangsal mesin getah, nenek akan menuangkan isi takung itu ke atas simen. Kami bertiga pun akan memijak-mijak getah itu/ atau kadang-kadang ditekan-tekan saja dengan tangan agar menjadi agak nipis sebelum dimesin. Ada mesin getah licin dan ada mesin getah bunga. Kami berebut-rebut untuk menggunakan mesin getah licin kerana kerja menggelek masih ringan. Proses menggelek ini diulang beberapa kali sehingga menjadi kepingan getah yang nipis. Pusingan/ gelekan yang akhir, menggunakan mesin getah bunga, agak berat, nenek lah yang menyempurnakannya. Kini, semua itu hanya tinggal kenangan - Nenek Lijah sudah lama kembali ke rahmatullah. Kadang-kadang Nenek muncul dalam mimpi...

Biji getah juga agak dekat di hati kami. Cuti sekolah, kami akan mengikuti Abg Die ke dalam kampung untuk mencari biji getah. Ada pelbagai jenis biji getah. Abg Die memang pakar dalam memilih biji getah ini. Kalau tak silap, biji getah yang elok dipanggil biji getah bongkok....(?). Biji getah ini gunakan dalam permainan berlaga biji getah. Peserta yang mempunyai biji getah yang paling lambat pecah, dikira sebagai pemenang. Laga biji getah permainan ikut musim, iaitu musim buah getah luruh....

Selain itu, kami selalu bermain getah urat, seperti main lempar getah, main lompat tali. Tali ini dibuat daripada getah urat yang disambung-sambung menjadi panjang. Dua orang akan memegang hujung tali dan seorang akan melompat tali tersebut. Ada pelbagai variasi lompatan mengikut tahap yang dicapai oleh pemain. Selalunya kami tiga beradik bermain di atas simen depan tangga rumah....

Permainan ini jenis bermusim, paling popular ketika musim cuti sekolah....


Monday, June 6, 2011

banyoknyo ghok jame dulu....

Masih dalam mood bercuti di kampung, jadi aku akan berceloteh dan berkongsi secebis kenangan ketika zaman kanak-kanakku di kampung....

Sebenarnya, aku agak lasak juga sebagai kanak-kanak kampung. Aku dibesarkan di sebuah kampung yang tidaklah begitu jauh dari bandar Kota Bharu. Pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an, bilangan rumah belum banyak.

Berhampiran rumah kami, ada kawasan semak atau 'ghok' di sana-sini (mini jungle). Masih kuingat lagi, the bushes was my playground. Bersama-sama seorang kakak (setahun lebih tua) dan seorang adik (dua tahun lebih muda) kami meneroka setiap inci 'kawasan ghok' itu. Ada tumbuhan tertentu yang jadi 'makanan ringan' kami...

Dulu, di tapak rumah Pok Muda Leh sekarang, ada pokok pisang, pokok setol dan pokok keriat. Dekat jalan raya ada 'ghok' (bushes). Dalam 'ghok' tu ada pepohon renek seperti pohon buah cenerai/ kenerai, (buah yang kecil berwarna hijau, kadang-kadang dijadikan peluru for our bamboo gun), pohon mata ayam (ardisia crispa) dan pokok kandis (garcinia spp.). Kami selalu kutip pucuk kandis. Setelah dipetik, terus kami masukkan ke dalam mulut dan kunyah. Yarghh... its really sour untill you can feel the pulling effect at your jaw. Macam kunyah a bubble gum... you suck the liquid and spit out the hampas. One thing i really don't like about this pucuk kandis is, it will give you a bitter taste that last for quite sometime.

Buah mata ayam dan buah kerian juga biasa kami makan. Buah mata ayam warnanya merah. Kalau tak silap, rasanya agak manis kelat-kelat sikit. Ingat-ingat lupa... (Pucuknya boleh juga dibuat ulam untuk nasi kerabu campur dengan daun samak) Pokok buah kerian pula ada di tepi jalan raya depan rumah Pok Long (sebelah rumah nenek), dekat juga dengan rumah kami. Bentuk buah kerian bulat dan saiznya kecil aje, warna hijau kemerahan masa putik, dan bertukar menjadi warna hitam bila dah masak ranum. Bila makan, gigi jadi merah kehitam-hitaman.

Tak tahulah apa istimewanya buah-buah itu, tapi itulah dunia kami semasa kanak-kanak. seghik-seghik main dale ghok....(Makanan ringan /junk-food seperti hari ni belum banyak dalam pasaran. Sebab itulah orang dulu-dulu susah jatuh sakit; tahan lama...) Kini, semuanya dah tak ada. Kalau ada pun, kanak-kanak pada zaman serba moden ni dah tak pandang lagi buah yang suatu ketika dulu jadi 'makanan ringan' kita.

Cukup dulu, nanti bersambung lagi....


Saturday, June 4, 2011

Terubat sudah rinduku....

Walaupun hampir saban bulan aku pulang menjenguk kampung halamanku, tetapi kerinduan itu tetap singgah tanpa diundang.

Kini, aku sudah pun berada di kampung kelahiranku. Kampung Kota atau juga dikenali dalam kalangan generasi terdahulu sebagai Kg. Wakaf Sena. Pulang ke desa kelahiran pada musim cuti begini lebih bermakna kerana adik-adik yang lain juga turut bercuti. Kami berkumpul ramai-ramai di rumah Mama sambil berkongsi cerita zaman kanak-kanak yang sudah sekian lama ditinggalkan.

Kampung halaman adalah bingkai kenangan dan harapan yang tidak pernah usang. Selalu kuat menahan erat gambar rangkaian perjalanan kehidupan. Betapa jauh sekalipun seseorang itu merantau, di sudut hati pasti akan kembali ke kampung halaman jua. Seolah-olah telah terpikat dan tidak bisa melompat, memudar hasrat.

Kembali ke kampung halaman, mengimbau memori kala bersama leluhurku yang makin hari kian jauh meninggalkan dunia yang fana ini.... Ah... rindunya aku ... Che Yusof, Mok Lijah, Che Daud....Papa, Mama, Mek dan semua yang sentiasa dekat di hatiku....

Terpahat dalam memori, rakan-rakan sepermainan.... sama-sama berlari meniti permatang sawah, menangkap belalang kala musim menuai sudah berakhir... bermain bola 'kaki tiga' dan 'bola wa' dengan penuh gaya... berkejaran bermain 'to jail'. Sering kali juga bersama adindaku Noni menyusuri tali air melihat ayahanda saudara yang kami panggil Che' Abe, menjala ikan atau menangguk udang.... Semua itu hanya tinggal kenangan.

Di manakah semua kawan-kawan sepermainanku kini berada....?


Sesekali pulang ke kampung, teringat akan sepat dan puyu yang digoreng garing oleh Mama, dimakan dengan nasi panas berasap... tapi kini, sepat dan puyu sudah kian pupus, tidak seperti zaman kanak-kanak kita dahulu....yang ada kini ialah sepat dan puyu yang dibela di dalam kolam; tidak sama dengan puyu yang diserkap di bendang tika airnya kian mengering...!

Di antara kota yang telah menjadi saksi perjalanan kisah, kampung halaman akan tetap ramah untuk menumpahkan kerinduan yang indah. Meski hanya sesekali dijengok, tetapi kampung halaman takkan merengek. Kampung halaman tetap menanti kita kembali, untuk diinjak, meski hanya berpuluh hentakan kaki.

Pulang ke desa kelahiranku, sesekali terasa ingin berlari tanpa alas kaki di atas tali air atau di sepanjang permatang sawah. Tersenyum pada awan biru yang terhias kepakan sayap merpati, nuri dan sejenisnya. Bukankah kedamaian ada di sini, di hati yang berbisik mesra pada hembusan angin,

“Tuhan betapa indah dunia-Mu.”

Lalu rasa lelah pun dibasuh, dengan air jernih yang masih tersisa. Di sana, di kampung halaman.



Thursday, June 2, 2011

Cuti Sekolah, Bekwoh & Bla rock....


Setiap kali musim cuti sekolah, banyak sekali majlis kenduri kahwin atau bekwoh @ 'big work'.

Beberapa majlis kenduri kahwin kerabat terdekat sudah ada dalam catatan diari kami.
Ada yang sudah dimaklumkan, mungkin ada yang hanya diketahui setelah pulang ke kampung halaman tercinta.

Hari ini, 2hb Jun, kami akan ke majlis kenduri kahwin anak sahabat suami di Pengkalan Chepa. 3hb Jun pula kenduri kahwin puteri kepada sepupu MIL @ hubungan dua pupulah dengan kami, yang tinggal di Kg Laut, KB.

Pada 6hb Jun kami dijemput ke majlis kenduri kahwin adik Kak Moh di Kg. Kuala Tiga, Tanah Merah - Kak Moh ialah pengasuh anak-anak saya semasa mereka kecil hampir 20 tahun yang lalu....