CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, November 8, 2010

Ma'la







Perkuburan Ma'la atau lengkapnya Jannatul Ma'la terletak di kawasan Hujun, sekitar 600 meter sebelah utara Masjidil Haram.

Teringat semasa melakukan umrah pada tahun 2009...... Pada hari ke-3 berada di Makkah, kami sempat melawat kawasan perkuburan Ma'la. Dari tempat penginapan, kami berjalan kaki beramai-ramai ke sana.

Kubur Ma'la merupakan perkuburan awam untuk penduduk Makkah, tetapi ramai juga jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah dikuburkan di sini. Sejak sebelum Islam, Ma'la sudah dijadikan makam keluarga besar Bani Hashim, iaitu nenek moyang Nabi Muhammad s.a.w.

Pada zaman Rasulullah, Ma'la ini dijadikan perkuburan bagi umat Islam Makkah. Di perkuburan inilah antara lain terdapat kuburan Siti Khadijah r.a, isteri Nabi Muhammad s.a.w., putera baginda Qasim dan Abdullah yang meninggal dunia ketika masih kecil. Datuk Nabi Muhammad, Abdul Muttalib, dan bapa saudarnya iaitu Abu Talib juga dikuburkan di Ma'la. Selain itu, ramai juga sahabat Nabi yang dikuburkan di sini.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah bersabda :

"Allah akan membangkitkan dari bumi ini (perkuburan Ma'la) 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. Setiap seorang daripada mereka dapat membawa (membantu) 70,000 orang, wajah mereka cerah dan bersinar bagaikan bulan purnama..." (Hadis riwayat Abu Hafs)

Kini, perkuburan Ma'la telah diatur dengan rapi. Setiap kuburan secara bergantian telah dibuat secara tetap dan mayat dapat dikuburkan secara bergantian pada setiap satu lubang. Oleh itu, tidak perlu perluasan kawasan yang ada.

Kuburan Ma'la juga tidak menggunakan nisan dan tidak ada bangunan di atas kuburan. Jenazah yang yang dikuburkan di Ma'la biasanya disembahyangkan di Masjidil Haram oleh jemaah yang hadir sembahyang ketika itu.

Pada musim haji, kegiatan pengurus perkuburan bersiap sedia 24 jam siang malam. Perkuburan itu diterangi lampu yang terang benderang. Ada banyak lubang kuburan yang sudah disediakan.

Dalam perjalanan pergi dan balik ke Ma'la dapatlah kami lihat kawasan persekitarannya, termasuk Jabal Qubais dan kawasan Masjid Kucing (ramai jemaah Malaysia menginap di kawasan Masjid Kucing).

Di Jabal Qubais yang dahulunya perkampungan setinggan kini tersergam Istana Raja Saudi yang megah dan mewah...

0 comments: