Menghayati hikmah berkorban...
AIDILADHA yang juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban mempunyai siratan makna dan falsafah yang begitu mendalam dan menuntut setiap umat Islam untuk melakukan pengorbanan.
Sesungguhnya, Hari Raya Aidiladha yang disambut pada setiap 10 Zulhijjah adalah bersempena dengan ibadat haji yang merupakan rukun Islam kelima. Ia juga suatu usaha ke arah mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Pada hari yang mulia ini, seperti kebiasaannya kita sebagai umat Islam akan memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t atas segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya dengan menyempurnakan acara penyembelihan korban oleh mereka yang mempunyai kemampuan seperti mana yang disunatkan oleh agama kita.
Walau bagaimanapun, acara penyembelihan ini sebenarnya merupakan satu simbol sempena peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk menyembelih anaknya sendiri iaitu Ismail sebagai menguji ketaatan Nabi Ibrahim a.s. terhadap perintah Allah. Kita semua mengetahui bahawa dalam peristiwa itu Allah s.w.t telah menggantikannya dengan seekor kibas untuk dijadikan korban.
Pada hari ini, kita juga melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih lembu, kambing dan yang seumpama dengannya yang kemudiannya diagih-agihkan kepada fakir miskin dan orang Islam lain sebagai tanda kesyukuran kita terhadap nikmat yang diberikan kepada kita oleh Allah s.w.t.
Begitu banyak pengajaran yang boleh kita hayati daripada kisah Nabi Ibrahim a.s. tersebut. Pengertian korban bukan sekadar menyembelih binatang korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin, tetapi falsafah korban itu merangkumi aspek yang lebih luas.
Berkorban memberi interpretasi tentang kesanggupan kita untuk menyerahkan harta atau apa-apa yang disayangi dan dihargai kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan atau untuk tujuan kebaikan. Begitu juga dengan nyawa sendiri kadangkala terkorban demi mempertahankan agama dan umat Islam.
Di samping itu, ibadat korban yang dituntut oleh Islam bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan mematuhi segala titah perintahnya. Islam juga menuntut umatnya berkorban demi menegakkan kalimah Allah, mengabdikan diri seutuhnya kepada Allah dan menjadikan Islam sebagai peraturan hidup (nizamul hayah) iaitu suatu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Kesanggupan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk menyembelih dan disembelih itu bukan semata-mata didorong oleh perasaan taat setia yang membuta tuli, tetapi sebaliknya meyakini bahawa perintah Allah itu mengandungi falsafah yang begitu tersirat.
Allah s.w.t memberi perintah sedemikian sebagai peringatan kepada umat yang akan datang bahawa adakah mereka sanggup mengorbankan diri, keluarga dan harta benda yang disayangi demi menegakkan perintah Allah dan adakah mereka juga sanggup memikul amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Hidup ini juga adalah satu perjuangan dan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan tidak ada pengorbanan tanpa kesusahan...
Begitulah, kita di Malaysia akan sama-sama turut menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji yang jatuhnya pada tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun. Pada hari itu juga di Tanah Suci Makkah berkemuncaknya perhimpunan raksasa umat Muslimin yang datang dari seluruh dunia kerana menyahut seruan Allah.
Dari sini menunjukkan bahawa ibadat haji dan amalan korban mempunyai kaitan yang rapat, malah para ulama berpendapat amalan korban mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Selain ganjaran pahala yang dijanjikan, amalan ini juga akan dijadikan sebagai kenderaan ketika menyeberangi titian Siratul Mustaqim di akhirat nanti.
Selaras dengan semangat pengorbanan yang dianjurkan oleh Aidiladha ini, kita harus menjauhi sikap mementingkan diri sendiri atau puak yang boleh menjurus kepada perpecahan dan perbalahan sesama kita.
Pada hari yang mulia ini, kita sebagai umat Islam diseru dan diingatkan supaya selalu insaf dan bersyukur atas segala nikmat dan membuktikan keinsafan dan kesyukuran ini dengan mengorbankan kepentingan diri dan merapatkan hubungan silaturahim sesama orang Islam di negara ini. Pada masa yang sama juga perlu kita elakkan daripada bersengketa dengan kaum-kaum lain.
Tahun ini kami sekeluarga menyambut Hari Raya Aidiladha di Kuantan...
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA ...
No comments:
Post a Comment