Thursday, October 28, 2010

Pasar Kurma





Pasar kurma yang terletak di Kota Madinah ialah sebuah pasar yang khusus untuk menjual kurma. Letaknya lebih kurang 600m ke sebelah Selatan Masjid Nabawi. Di pasar inilah para jemaah dapat mencari dan menemukan 26 jenis kurma termasuk Ajwa, kurma kesayangan Nabi Muhammad s.a.w.

Pasar ini dibina oleh Kerajaan Arab Saudi pada tahun 1982 untuk menampung sekaligus menjadi pasar bagi penduduk setempat mahupun jemaah (umrah & haji) yang datang dari jauh.

Berbeza dengan Makkah yang benar-benar gersang, di Madinah terdapat banyak tanah subur dan mata air yang dapat ditanami buah dan sayur-sayuran. Kesuburan tanah itu tidak akan musnah atau berkurang, sebaliknya akan terus bertambah dan berkembang untuk mengimbangi pertumbuhan dan keperluan muqimin dan jemaah yang datang ke Madinah.

Tanah Madinah itu sebenarnya memiliki mukjizat atau sekurang-kurangnya 'berkat' khusus kerana Rasulullah s.a.w. pernah memohon kepada Allah s.w.t. seperti berikut "

"Ya Allah, berilah Madinah ini dua kali berkat yang Engkau berikan kepada Makkah."

Jadi, semua yang ada dan tumbuh di Madinah memiliki nilai keberkatan dua kali berbanding yang ada di Makkah. Padahal Makkah sendiri sudah demikian besar berkatnya kerana Allah s.w.t telah memakbulkan permintaan Nabi Ibrahim a.s agar Makkah tidak kekurangan dari segala keperluan hidup termasuk buah-buahan.

Diriwayatkan, kurma di Madinah mempunyai nilai istimewa kerana mutu zatnya sangat tinggi, bahkan dapat digunakan sebagai ubat. Salah satu sabda Nabi Muhammad s.a.w. tentang kurma adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim :

"Sesiapa makan kurma Ajwa tujuh buah pada pagi hari, dia akan selamat daripada racun dan guna-guna pada hari itu."

Hari kedua di Madinah, kami berjalan kaki ke Pasar Kurma, melalui dataran masjid sambil menghirup udara malam dan menikmati keindahan Masjid Nabawi.

No comments: