Sunday, October 31, 2010

Kota Suci Pertama




Alhamdulillah, selepas 3 hari berada di Madinah, pada 2 Jun 2009, kami bertolak ke Kota Makkah. Impianku selama ini untuk menjejakkan kakiku di kota suci pertama itu tertunai juga akhirnya.

Makkah terletak kira-kira 330 meter di atas permukaan laut, menempati sebuah lembah kering yang dikelilingi gunung-ganang karang yang tandus. Panjang lembah ini dari barat ke timur sekitar 3km dan dari utara ke selatan sekitar 1.5 km.

Makkah ialah kota yang pertama kali ada di muka bumi, kerana di sinilah manusia pertama Nabi Adam diturunkan dan hidup bersama pasangannya Siti Hawa. Dari sinilah keturunan anak manusia itu berkembang ke segenap penjuru dunia.

Ketika Nabi Adam pertama kali tinggal di sini, beliau memohon kepada Allah agar diselamatkan daripada godaan iblis yang telah memperdayakannya di syurga. Doa Adam terjabul, kemudian para Malaikat turun ke bumi mengelilingi tempat Nabi Adam untuk menjaganya agar iblis tidak dapat mencapainya. Tempat para Malaikat berjaga itulah kemudiannya menjadi batas Tanah Haram.

Sehingga tahun 8H (623M), Makkah masih boleh dikunjungi oleh orang-orang Nasrani, Yahudi dan bukan Islam lainnya. Tetapi kerana orang-orang kafir banyak melakukan tindakan munafik, ingkar janji dan memusuhi serta menodai syiar Islam, maka pada tahun 9H berdasarkan firman Allah s.w.t. , mereka sama sekali dilarang masuk Makkah. Firman Allah tersebut berbunyi :

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini (9H)"

Kota Makkah akan terus berkembang, namun Tanah Haram atau Tanah Suci Makkah tidak akan ikut berkembang kerana batasnya sudah ditetapkan, iaitu dari :

* arah utara Masjidil Haram lebih kurang 7km
* arah selatan lebih kurang 13km
* arah barat lebih kurang 25km

Di sinilah Kaabah dan Masjidil Haram ditempatkan oleh Allah s.w.t., di sini Adam dan Hawa dipertemukan dan yang lebih penting lagi, di sini juga haiwan buruan tidak boleh diburu, pepohonan tidak boleh dirosakkan, tanah dan batunya tidak boleh dibawa keluar, dan orang bukan Islam tidak boleh memasuki kota suci ini.

MASJIDIL HARAM

Masjid ini merupakan masjid tertua di dunia yang dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w. Masjid ini berbentuk empat persegi dan dibina mengelilingi Kaabah.

Saf Masjidil Haram ini berbentuk lingkaran, semuanya menghadap ke Kaabah yang berada di tengah-tengah. Ini merupakan keunikan yang tidak ada pada masjid mana pun di dunia.

Dari semasa ke semasa, masjid ini selalu mengalami pembaharuan dan perluasan. Pembaharuan yang paling besar dan menonjol dalam sejarah adalah yang digerakkan oleh Raja Fahd Bin Abdul Aziz yang bergelar "Pelayan Dua Tanah Haram", Raja Arab Saudi yang memerintah mulai tahun 1982.

Kini, bentuk masjid ini agak bulat dan sangat luas sehingga memerlukan banyak pintu untuk masuk dari setiap arah. Jumlah pintunya ialah sebanyak 49 terdiri dari 4 pintu utama, dan 45 pintu biasa.

Masjid yang terletak di sebuah lembah ini sentiasa terasa ajaib. Betapa tidak, jumlah jutaan jemaah dari pelbagai pelosok dunia masih dapat tertampung masuk masjid itu. Bertingkat tiga dengan 7 buah menara besar yang tinggi menjulang ke langit. Ketujuh-tujuh menara dengan ukiran tingkap yang khas itu siang dan malam ditaburi cahaya hingga nampak terang benderang seperti siang.

di sepanjang jalan pulang, ingin kubertandang ke rumahMu lagi...




No comments: